Friday, 17 October 2014

Memori 2006 … cuti-cuti Jakarta dan Bandung


 
Cuti sekolah hujung tahun 2006, aku membawa isteri dan dua orang anak bercuti ke Jakarta dan Bandung. Disamping itu dapat juga kami menziarahi anak keduaku yang sedang menuntut di Fakulti Kedoktoran, Universitas Indonesia, Jakarta.  Anak sulungku tidak turut serta kerana akan menghadapi peperiksaan akhir semesta ke empat di Universiti Malaya. Itulah pertama kali kami sekeluarga menjejakkan kaki ke Kota Jakarta yang sentiasa sesak.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta sebelum waktu tengah hari dan anak lelakiku telah sedia menunggu, yang kebetulan dia tidak ada kuliah pada hari itu.


Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pagi itu tidak berapa sebok, tidak banyak kapal terbang yang mendarat.

Sebelum kami berangkat ke Kota Jakarta, melalui anakku, kami telah menempah sebuah kenderaan jenis Kijang Innova berserta seorang pemandu untuk memudahkan kami bergerak sepanjang berada di Jakarta dan Bandung. 

Keadaan dalaman Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.


Dari lapangan terbang, kami terus dibawa ke pusat Kota Jakarta untuk makan tengah hari di salah satu restoran makanan padang. Kemudian kami dibawa ke Mangga Dua iaitu salah satu pusat beli-belah yang terkenal di Kota Jakarta. Khabarnya, barang-barang yang terdapat di Mangga Dua harganya murah-murah.

Sebenarnya kami tidaklah membeli sangat walaupun ada beribu gerai jualan. Hanya barang tertentu sahaja yang harganya murah berbanding di Malaysia saperti telekong. Kami tak larat nak pusing semua tingkat kerana semuanya ada lima atau enam tingkat dan barang jualannya hampir sama sahaja.

Selepas dua jam berlegar-legar didalam komplek Mangga Dua, kami turun ke tingkat bawah kerana pemandu kami telah menunggu kami untuk pergi ke satu lagi komplek beli-belah iaitu Tanah Abang.

Di Tanah Abang pun lebih kurang sama sahaja barang yang dijual. Kami mengambil kesempatan untuk menunaikan solat di masjid yang terdapat di tingkat paling atas di Blok A Tanah Abang.


Masjid ini terletak di tingkat bumbung komplek beli-belah Tanah Abang. Dalamannya di hias cantik. Arch di sepanjang koridor “ala-ala” Masjid Nabawi di Madinah. Ramai juga orang berkunjung untuk mendirikan solat.

Dari Tanah Abang, kami terus di bawa ke tempat penginapan “homestay” yang telah ditempah oleh anakku. 


Hari kedua kami di Jakarta, kami dibawa oleh pemandu kami mengunjungi Monumen Nasional (Monas) iaitu satu mercu tanda Kota Jakarta. Anak lelakiku tidak ikut serta kerana ada kuliah pada waktu tersebut.

Ini dia menara Monas … kami bergambar di dataran Monas sebelum naik ke lantai atas menggunakan lift yang memang tersedia.

Monumen Nasional (Monas) adalah ikon ibukota Indonesia, Jakarta. Menara ini dirasmikan pada 17hb Ogos 1961 yang terletak di Lapangan Monas, Jakarta Pusat. Monas memiliki ketinggian 132 meter. Bentuk bangunan monas sangat unik dengan puncak menara terdapat lantai berbentuk cawan yang menampung binaan berbentuk obor diatasnya. Obor tersebut disalut dengan emas seberat 35 kg. Obor ini sebagai simbol perjuangan rakyat Indonesia yang ingin meraih kemerdekaan. Bangunan ini menambah keindahan Kota Jakarta dan selalu dikunjungi oleh ramai pelawat dari dalam dan luar negara.  Para pengunjung boleh naik ke atas menggunakan lift. Dari atas boleh melihat hampir keseluruhan Kota Jakarta.

Kami telah pun berada di lantai atas.Dari sini kami boleh melihat pemandangan sekitar Kota Jakarta, tapi waktu itu cuaca agak berjerubu sedikit.


Dari Monumen Nasional, kami dibawa ke taman rekreasi yang terkenal di Jakarta iaitu Taman Mini Indonesia Indah.

Ini dia pintu gerbang ke Taman Mini Indonesia Indah. Semua pelawat mesti melalui pintu gerbang ini dengan bayaran masuk 9,000 rupiah seorang (~rm2.50).

Pembinaan Taman Mini Indonesia Indah (TMII) telah di cetus oleh Siti Hartinah Soeharto iaitu isteri kepada Presiden Soeharto ketika itu. Beliau telah mengumumkan pembinaan projek TMII pada 30hb. Januari 1971. Pada 11hb. Ogos 1971 Nusa Consultant telah dilantik untuk merekabentuk TMII. Pada 30hb. Jun 1972, pembinaannya dimulakan dan tidak sampai tiga tahun pembinaannya telah disiapkan untuk dirasmikan oelh Presiden Soeharto pada 20hb. April 1975.

 Ini pelan lokasi Taman Mini Indonesia Indah.

Taman Mini Indonesia Indah merupakan suatu kawasan taman dimana para pengunjung boleh melihat budaya masyarakat dari 33 daerah di Indonesia yang dibahagi-bahagikan kepada anjungan-anjungan. Dibina dikawasan seluas 150 hektar. Di tengah-tengah TMII terdapat sebuah tasik yang menggambarkan kepulauan Indonesia di tengahnya, kereta kabel, berbagai muzium dan berbagai infrastruktur rekreasi yang  menjadikan TMII sebagai salah satu kawasan tarikan pelancung yang terkemuka di Kota Jakarta.

Ini merupakan Anjungan Nanggoroe Acheh Darussalam, binaan rumah adalah rumah traditional pahlawan Acheh iaitu Cut Mutiah yang telah dipindahkan dari tempat asal, dan kini telah lebih 150 tahun tetapi masih dalam keadaan baik. Manakala replika kapal terbang merupakan kapal terbang jenis “Dakota” bernombor R.I. oo1 “Seulawah” tahun 1948 yang telah disumbangkan oleh masyarakat Acheh.

Di Anjungan Sumatera Utara menampilkan rumah-ruamh adat, rumah Bolon Batak Simalungun, Jabu Bolon Batak Toba, Siwaluh Jabu Batak Karo, Rumah Batak Pak-Pak Dairi, Rumah Nias dan Rumah Melayu.

Rumah Gadang yang terdapat di Anjungan Wilayah Sumatera Barat.

Rumah Limas yang terdapat di Anjungan Sumatera Selatan.

Ini pula kawasan Anjungan Daerah Riau. Anjungan Wilayah Riau  terdapat empat buah bangunan adat, iaitu Balai Selasar Jatuh Tunggal, rumah Melayu Atap Limas, rumah Melayu Atap Kajang  dan rumah Melayu Atap Lontik.

Ini adalah bangunan Balai Selasar Jatuh Tunggal merupakan bangunan terbesar diantara empat bangunan.

Ini pula bangunan rumah Melayu Atap Limas, rumah Melayu Atap Kajang dan rumah Melayu Atap Lontik yang terdapat di Anjungan Wilayah Riau. Semua bangunan adat diberi hiasan, terutama ukiran dan semakin banyak ukiran pada suatu rumah maka semakin tinggi pula kedudukan pemiliknya.

Ini adalah rumah adat yang terdapat di Anjungan Bengkulu.


Rumah adat di Anjungan Jambi

Rumah adat di Anjungan Kalimantan Barat.


 Rumah adat di Anjungan Maluku Utara

 Ini adalah Muzium Indonesia

Istana anak-anak Indonesia

Sebenarnya banyak lagi rumah-rumah adat di setiap anjungan tetapi kami sudah keletihan dan tak mampu untuk meneruskan ronda-ronda di dalam TMII. Tetapi sebelum kami keluar, kami singgah di stesen kereta kabel untuk menghilangkan keletihan.

Kami juga berkesempatan untuk menaiki “cable car” atau kereta gantung, tetapi terpaksa beratur panjang. Dari kereta kabel boleh melihat pandangan yang lebih luas dari udara dan begitu indah sekali. Bayaran dikenakan hanya 20,000 rupiah seorang (~rm5.00). Selesai menaiki kereta kabel, hari sudah menjelang petang dan kami terus balik ke rumah penginapan.


Hari ketiga, pagi-pagi lagi kami telah bersiap untuk pergi ke Bandung. Perjalanan ke Bandung melalui jalan yang agak berliku dan jalan yang agak sempit (tiada lebuhraya), tetapi kami akan singgah di Taman Safari Indonesia, Bogor terlebih dahulu. Selepas dua jam setengah dalam perjalanan, kami sampai ke Taman Safari Indonesia.

Taman Safari Indonesia terletak di Desa Cibeureum, Jalan Raya Puncak, Cisarua, Bogor, Jawa Barat yang terkenal dengan panggilan Puncak, jadi ia terletak ditempat yang agak tinggi. Masuk ke Taman Safari dikenakan bayaran sebanyak 250,000 rupiah untuk seorang dewasa dan kenderaan dikenakan bayaran sebanyak 15,000 rupiah sebuah.


Taman Safari Indonesia asalnya dibina dikawasan ladang teh seluas 50 hektar untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong yang telah dibuka secara rasminya pada 16hb. Mac 1990. Kini kawasan Taman Safari telah berkembang menjadi 168 hektar.

Kita boleh memandu kenderaan di dalam kawasan Taman Safari ini sambil melihat dan memberi makan kepada haiwan-haiwan jinak yang dibiarkan bebas.

Haiwan-haiwan yang ganas saperti harimau, singa, beruang ditempatkan dalam kawasan yang berpagar.


Kelihatan Sang Harimau dan Sang Raja Rimba (Singa) sedang berehat … dia tak kisahpun, kami rakam gambarnya.

Ini pula kawasan sang badak sumbu, badak air, kambing gurun dan burung unta.


Ini dia sang beruang, Nampak macam marahje saya rakam gambarnya. Si orang utan pula girang bila kami rakam gambarnya, siap angkat tangan lagi.

Ini pula kawasan pertunjukkan untuk gajah-gajah menunjukkan kehebatan. Tempat ni berhampiran Restoran Rain Forest, jadi sambil minum dan makan boleh menonton pertunjukkan gajah, macam-macam aksi boleh dibuatnya bergantung kepada kreativiti pengarah pertunjukkan.

Di Taman Safari ada juga sebuah lorong saperti gua yang boleh dimasuki untuk melihat berbagai jenis burung  dan angsa. Kawasan ni lebih sejuk kerana terdapat air terjun dan air yang sentiasa mengalir macam anak sungai.

Ini kawasan white pony, anak bungsuku sempat juga naik pony yang sungguh jinak. Dari sini kami menamatkan lawatan di Taman Safari Indonersia Bogor.


Dari Taman Safari Indonesia, kami bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Bandung. Tetapi oleh kerana hari sudah semakin petang, kami membuat keputusan untuk bermalam di Kota Bunga iaitu lebih kurang 20 kilometer selepas Taman Safari. Kami tiba di Kota Bunga, hari sudah mulai gelap. Nota: Gambar-gambar yang tertera kami rakam pada keesukan harinya.

Gambar atas kiri … merupakan pintu masuk utama ke Kota Bunga – Puncak, dengan kawalan keselamatan yang agak ketat.

Selepas pintu masuk akan menjumpai binaan pintu gerbang yang sungguh indah ini yang terletak betul-betul selepas pintu masuk utama.

Kota Bunga merupakan sebuah kawasan perumahan di Daerah Puncak lebih kurang 100 kilometer dari Kota Jakarta. Terdiri dari berbagai macam bentuk rumah mewah atau villa yang memiliki bentuk yang unik, mengikut nama-nama terkenal saperti Orlando, Arsenal, Nottingham, Liverpool, Oxford dan banyak lagi. Selain daripada villa-villa mewah yang cantik, juga terdapat berbagai macam bunga yang menghiasi kawasan perumahan ala resort tersebut. Juga terdapat berbagai taman rekreasi yang menambah rasa nyaman di Kota Bunga yang bercuaca sejuk dan sentiasa bersih.

 Villa-villa mewah berbagai bentuk di hias dengan lanskap yang indah.


Pagi hari keempat di Indonesia, kami berada di Kota Bunga dan telah bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Kota Bandung.

Aku dan keluarga hanya menyewa sebuah rumah bersaiz biasa iaitu rumah dua bilik tidur dan dua bilik mandi dengan sewanya 650,000 rupiah untuk satu malam (~rm190.00). Rumah ini juga dikelilingi dengan bunga-bungaan yang segar dan indah.

Bunga-bunga yang terdapat disekitar rumah yang kami sewa … sejuk mata memandang. Kami bersiap-siap untuk meninggalkan rumah sewa di Kota Bunga untuk meneruskan perjalanan ke Kota Bandung. Anak bungsuku paling suka bergambar.

 Antara kawasan tarikan di Kota Bunga … air pancut

Sebelum kami keluar dari Kota Bunga, kami bersiar-siar di Little Venice … terdapat sungai dan bot yang boleh dinaiki untuk bersiar-siar di sepanjang sungai.

Little Venice di Kota Bunga – Puncak, sangat nyaman … tak perlu pergi ke Italy untuk menikmati keindahan Venice.

Terasa berat untuk meninggalkan Kota Bunga kerana keindahan dan kenyamanan suasana di sana telah menambat hatiku, jadi selepas tengah hari baru kami beredar untuk meneruskan perjalanan ke Kota Bandung. Kami tiba di Kota Bandung lebih kurang jam 5.00 petang dan terus mendaftar masuk ke Hotel Grand Selera Bandung. Alhamdulillah ada bilik kosong walaupun kami tidak menempah bilik terlebih dahulu. 

Ini dia Hotel Grand Selera Bandung… kami mengambil bilik keluarga dengan satu katil besar dan satu katil dua tingkat. Biliknya cukup selesa dan dilengkapi bilik air yang agak mewah. Sewanya pun hampir satu juta rupiah untuk satu malam.

Kota Bandung memang terkenal sebagai tempat beli belah. Sebelah malam kami sempat meronda ke beberapa factory outlet yang berhampiran dengan hotel penginapan. Kami hanya berjalan kaki sahaja. Kami singgah dibeberapa factory outlet antaranya Rumah Mood Factory Out, Heritage Factory Outlet, the Secret Factory Out. Walaupun, factory outlet, tetapi untuk pakaian yang berjenama harganya agak mahal juga.

Keesukan harinya iaitu hari ke lima, kami sekali lagi meronda ke factory outlet yang lain saperti Grande Fashion Gallery, House of Donatella dan The Solution.

Kami juga singgah di Rabbani House iaitu sebuah gedung pakaian Islamic yang terkenal di Kota Bandung. Kami sempat juga membeli beberapa helai baju sebagai kenangan.

Selepas makan tengah hari disebuah restoran di Bandung, kami meneruskan perjalanan balik ke Kota Jakarta dan sampai di Jakarta hari sudah malam.


Hari keenam di Jakarta kami melawat ke Taman Impian Jaya Ancol yang merupakan taman rekreasi terbesar dan paling popular di Jakarta. Taman Impian Jaya Ancol ini mempunyai berbagai pilihan tarikan. Kami hanya sempat pergi ke dua tempat sahaja iaitu Dunia Fantasi (dufan) dan Sea World.

Gambar atas kiri …merupakan pintu gerbang masuk ke Taman Impian Jaya Ancol. Pada hari itu agak banyak kereta yang nak masuk ke dalam. Manakala gambar tengah adalah pintu masuk ke Dunia Fantasi (DUFAN).

DUFAN merupakan tempat yang paling diminati kerana terdapat banyak permainan yang mencabar keberanian seseorang. Antaranya yang diberi nama Halilintar, Tornado, Hysteria, Vertigo, Kora-kora dan banyak lagi.

Antara permainan yang mencabar keberanian seseorang. Kalau ada sakit jantung jangan berani-berani nak cuba.


Ini satu lagi permainan yang mencabar keberanian seseorang. Lepas turun boleh muntah belahak … habis isi perut. Permainan ini diberi nama Halilintar.


Ini pun permainan yang mencabar keberanian seseorang, sebelah kiri yang dikenali sebagai Histeria. Disebelah kanan permainan untuk kanak-kanak.


Aku dan keluarga duduk-duduk di kawasan DUFAN sebelum beredar keluar.

Dari DUFAN kami beredar ke SeaWorld Indonesia.

Di SeaWorld Indonesia, kita boleh melihat berbagai-bagai jenis ikan-ikan yang tidak pernah kita lihat.


 Aku, isteri dan anak-anak … dibelakang yang gelap adalah akuarium.


 Anak-anak … dibelakang yang gelap adalah akuarium.


Lagi pemandangan didalam SeaWorld Indonesia.


Ini adalah aquarium besar yang menempatkan banyak ikan termasuk ikan jaws, pari dan banyak lagi. Pertunjukkan didalam aquarium sedang dijalankan dan kita boleh melihatnya dari luar aquarium.


Satu lagi pemandangan di dalam SeaWorld Indonesia.


Selepas puas meronda didalam SeaWorld, akhirnya kami keluar dan sebelum beredar kami merakam gambar sebagai kenangan.

SeaWorld Indonesia adalah destinasi terakhir kami di Kota Jakarta sebelum kami menuju ke Lapangan Terbang Soekarno – Hatta untuk pulang ke Malaysia.