Thursday 3 April 2014

Kembara Bumi Acheh : Hari Pertama



Hasrat mengunjungi Acheh sememangnya sudah lama aku pendamkan sehingga pada satu malam ketika makan-makan di surau selepas solat isyak, seorang jemaah telah menyuarakan keinginannya untuk melawat Acheh. Apalagi, aku bagaikan mengantuk disorongkan bantal, terus bersetuju dengan cadangannya. Dia meminta aku membuat perancangan yang perlu. Dua hari kemudian, aku telah menyiapkan cadangan jadual perjalanan serta menyenaraikan tempat-tempat yang akan dilawati, anggaran harga dan tarikh pemergian. Dipendekkan cerita enam orang termasuk aku telah bersetuju untuk menyertai kembara bumi Acheh.


Seperti yang dijanjikan, pada 24hb. Mac 2014 apabila aku sampai disurau lebih kurang jam 7.30 pagi, teksi jenis mpv yang aku tempah telah sedia menunggu. Selang sepuluh minit kemudian, semua rakan yang akan sama-sama pergi ke Acheh pun sampai dan kami tidak menunggu lama terus menaiki teksi berkenaan untuk menuju ke LCCT Sepang. “Mahasuci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali” Surah Al-Zukhruf; ayat 13 &14.


Di dalam perjalanan yang dipenuhi dengan berbagai cerita dan gelak ketawa, tanpa kami sedari, kami telah sampai di LCCT Sepang. Aku mengarahkan pemandu teksi untuk menurunkan kami di Food Gardern kerana aku dan beberapa rakan masih belum bersarapan pagi.



Kami tidak terburu-buru kerana aku telah uruskan boarding pass secara on-line, jadi kami tak perlu lagi beratur untuk check-in. Selesai bersarapan, sempat juga aku merakam gambar rakan-rakan yang kelihatan sungguh ceria dan teruja untuk menziarahi Bumi Serambi Mekah.



Sedikit Tentang Acheh


Pakar sejarah menganggap bahawa Kerajaan Samudera Pasai adalah kerajaan Islam pertama di Acheh dibawah pimpinan Sultan Malik al-Saleh dan merupakan sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat pada pertengahan abad ke-13.  Kerajaan Samudera Pasai mengalami perpecahan akibat serangan-serangan dari Siam, Majapahit dan Portugis dan terbentuklah kerajaan-kerajaan kecil seperti  Peurelak, Pedir, Daya dan Aru. Menjelang akhir abad ke-14, kerajaan Aceh Darussalam telah berkuasa dibawah pemerintahan Sultan Ali Mughayat Syah yang telah berjaya menyatukan semula kerajaan-kerajaan kecil tersebut. Setelah kemangkatan baginda pada tahun 1528, Sultan Salahuddin telah menggantikan baginda sehingga tahun 1537 sebelum Sultan Aluddin Riayat Syah al-Kahar memerintah sehingga 1568. Kemuncak pemerintahan Aceh ialah ketika zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636) yang telah berjaya melemahkan kuasa Portugis di Melaka dan meluaskan pengaruhnya sehingga ke Sumatera dan Semenanjung Melayu.
Kerajaan Acheh mulai lemah selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani pada tahun 1641 apabila beberapa pemerintah selepas baginda adalah permaisuri-permaisuri yang lemah. Pada tahun 1873 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, tercetuslah Perang Acheh menentang Belanda.  Setelah satu tahun berperang, Sultan Mahmud Syah telah mangkat dan digantikan dengan Sultan Muhammad Daud Syah pada tahun 1874.  Penentangan terhadap Belanda berterusan sehingga akhirnya Sultan Muhammad Daud Syah menyerah diri kepada Belanda pada tahun 1903 setelah dua isterinya dan ibundanya ditangkap oleh Belanda.

Kesultanan Aceh akhirnya jatuh seluruhnya kepada penjajah Belanda pada tahun 1904. Istana Kesultanan Aceh kemudian di robohkan oleh Belanda dan dibangunkan bangunan baru  yang sekarang dikenal dengan nama Pendopo Gubernor.


Apabila Republik Indonesia dibentuk pada tahun 1945, Acheh  dimasukkan sebagai salah satu wilayahnya. Pada tahun 1975, Gerakan Acheh Merdeka (GAM) diwujudkan bagi menuntut kemerdekaan Aceh. Ini membawa kepada pertempuran puluhan tahun di antara sebahagian penduduk Aceh dan tentera pemerintah Indonesia. Akhirnya pada 19 Mei 2003, kerajaan Indonesia telah mengisytiharkan darurat di Aceh dan melancarkan operasi ketenteraan selepas GAM menolak autonomi khas yang diberikan pemerintah. Hasilnya kumpulan pemberontak itu berjaya dipatahkan.


Bencana gempa bumi kuat diikuti tsunami dahsyat pada 26hb. Disember 2004 yang menimpa bumi Acheh  telah membawa kedua pihak kembali ke meja rundingan. Pada 17 Julai 2005  rundingan persefahaman yang di langsungkan di Vantaa, Helsinki, Finland telah berjaya mencapai perdamaian dan nota persepakatan telah ditandatangani pada 15 Ogos 2005. Kuasa autonomi khusus turut diberikan kepada Acheh seperti yang ditawarkan pada 2002.


Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Acheh, pemandu kami telah sedia menunggu. Pemandu kami bernama Encik Nazir baru berusia 24 tahun dan masih menuntut di Unviversiti Serambi Mekah. Beliau menjadi pemandu dan pemandu pelancung sebagai kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya.


Tanpa membuang masa, beliau membawa kami ke destinasi-destinasi saperti didalam jadual perjalanan yang telah aku emailkan kepada beliau.



1) Kuburan Massal Siron


Dalam perjalanan dari Bandar Udara Sultan Iskandar Muda ke Pusat Banda Acheh, Perkuburan Massal (kubur beramai-ramai) Siron, menjadi tempat persinggahan pertama kami. Di perkuburan ini terdapat seramai 46,718 jenazah mangsa tsunami 2004 telah semadikan dan merupakan perkuburan massal terbesar di Acheh. Siron adalah sebuah G(k)ampung di Kecamatan Ingin Jaya, Kabupaten Acheh Besar.

Gambar atas kiri atas adalah pintu masuk ke Kuburan Massal Siron dan kami sempat berposing sebagai tanda kami telah menjejakkan kaki ke perkuburan Massal Siron. Al-fatihah juga kami hadiahkan kepada semua ahli kubur.


Dikuburan Massal Siron juga terdapat tugu bagi menampalkan satu  pernyataan  dalam tiga bahasa iaitu bahasa Acheh, Bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia yang berbunyi “Bencana Kita Sabari, Nikmat Kita Syukuri, Banyaklah Orang Akan Bahagia” yang maksudnya lebihkurang  hendaklah kita bersabar dengan setiap ujian yang mendatangi kita, dan bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, nescaya kita menjadi orang yang bahagia. Sebaliknya janganlah kita menjadi golongan yang sebagaimana di Firmankan Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah dan pergilah cari Tuhan yang lain”



Manakala dibahagian belakang Kuburan Massal Siron terdapat monumen berbentuk ombak tsunami yang tercatit dibahagian bawahnya ayat 82 dari Surah Yassin, “Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya “Jadilah!” maka terjadilah ia”



Juga terdapat tempat solat dan pondok bagi para pengunjung berehat.




2) Yayasan Dayah Ulee Titi


Dari Kuburan Massal Siron, kami dibawa ke Komplek Yayasan Dayah Ulee Titi iaitu sebuah pesantren yang menampung 1,800 pelajar yang sebahagiannya adalah dari kalangan anak yatim tsunami.  

 

Walaupun kami tidak memaklumkan terlebih dahulu akan kedatangan kami, tetapi Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi tetap menyambut kami dengan gembira. Gambar bawah sebelah kiri, nombor 5 dari kanan berbaju dan berkopiah putih adalah merupakan Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi. Nota: Kalau sekolah atau pondok di Malaysia, pimpinan mungkin bererti Tuan Guru atau Mursyid atau Pengetua.




Tanpa disangka-sangka, walaupun kedatangan kami ke Dayah Ulee Titi tidak dirancang, pihak pimpinan telah menjamu kami makan tengah hari Nasi Sop Kambing (gambar atas kiri). Demikianlah kehendak Allah SWT “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq.


Sebelum kami beredar meninggalkan Dayah Ulee Titi, kami solat jamak qasar zuhur dan asar di masjid (gambar atas kiri.  Gambar atas kanan adalah tempat mengambil wuduk). Tidak lupa kami telah menyampaikan kiriman sumbangan daripada Jemaah di Malaysia sebanyak 2.0 juta Rupiah kepada Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi.



3) Hotel Sulthan International



Kira-kira jam 2.10 petang, kami meninggalkan Dayah Ulee Titi untuk menuju pusat Kota Banda Acheh dan seterusnya mendaftar masuk ke Hotel Sulthan International.


Gambar atas kiri, ini lah hotel yang menjadi tempat penginapan kami selama tiga malam yang terletak di no. 1, Jalan Sulthan Hotel, 23122 Banda Aceh. Sementara aku membuat urusan mendaftar masuk, rakan-rakan yang lain sempat juga berehat dan bersembang di ruang legar hotel. Eh! Mana lagi yang dua orang ! berasap agaknya.



 

4) Blang Padang – Monumen Ucapan Terima Kasih



Setelah berehat sebentar di bilik masing-masing, seperti didalam jadual perjalanan, kami dibawa ke kawasan Blang Padang iaitu satu taman permainan dan rekreasi yang sangat luas di pusat Banda Acheh. Jogging track sahaja melebehi 2 kilometer panjang.
Disepanjang jongging track tersebut terdapat 53 monumen ucapan terima kasih dari kerajaan Indonesia kepada semua negara yang telah memberi bantuan semasa kejadian gempa dan tsunami 2004. Monumen ucapan terima kasih itu berbentuk kapal separuh karam dan dilekatkan bendera Negara, serta ucapan “terima kasih dan damai” dalam bahasa Negara masing-masing.




Aku tercari-cari juga monument ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan terpaksa merujuk kepada papan tanda (gambar atas sebelah kiri sekali) untuk mengetahui kedudukan monument tersebut. Akhirnya setelah berjalan hampir separuh padang, monumen ucapan terima kasih untuk kerajaan Malaysia yang bernombor 28, aku jumpai (gambar atas bahagian bawah tengah).



 5) Blang Padang – Monumen Tsunami



Setelah penat aku berjalan kaki mengelilingi jogging track, aku ternampak sebuah binaan berwarna biru putih. 

Binaan tersebut dikenali sebagai monumen tsunami yang dibina daripada konkrit berbentuk ombak tsunami. Dibina bagi mengingatkan semua bahawa tsunami pernah melanda banda Acheh pada 26 Disember 2004.

6) Blang Padang – Tugu Peringatan Tsunami

Tidak jauh daripada monumen tsunami, terdapat sebuah tugu yang dikenali sebagai Tugu Peringatan Tsunami.



Tugu Peringatan Tsunami  (gambar atas) telah dibina untuk mengenang peristiwa tsunami yang terjadi pada 26 Disember 2004. Tugu ini dibina oleh Yayasan Harapan Bangsa Nusantara dan dibiayai oleh yayasan dari Amerika dan telah dirasmikan oleh Panglima Kodam Iskandar Muda, Mayjen TNI Supiadin AS pada tahun 2008.


7) Blang Padang – Pesawat Dakota

Berhampiran dengan Tugu Peringatan Tsunami, terdapat Monumen Pesawat Dakota DC-3 RI-00.


Menurut ceritanya, pesawat tersebut (gambar atas) merupakan pesawat pertama yang dimiliki Republik Indonesia yang telah dihadiahkan oleh Rakyat Aceh pada tahun 1948. Dari sinilah lahirnya Syarikat Penerbangan Garuda Indonesia.

8) Blang Padang – Kemudahan Lain
Dikawasan Blang Padang juga dilengkapi dengan tempat solat dikenali sebagai Mushala Arafah (gambar atas kanan atas) dan sebuah gelanggang bola keranjang dengan gelaran Teuku Nyak Arief (gambar atas kanan bawah). Gambar atas kiri menunjukkan keadaan Blang Padang selepas di landa tsunami 26 Disember 2004.



9) Pasar Acheh



Encik Nazir tidak lupa juga membawa kami untuk membeli belah di Pasar Acheh yang kelihatan sebok pada petang itu.




Sekali lagi, Tn Hj Khamdan menjadi model dalam setiap foto yang aku abadikan.





10) Masjid Raya Baiturrahman



Selepas puas membeli belah di Pasar Acheh, kami dibawa mengunjungi Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di Pusat Kota dan tidak jauh dari Pasar Acheh. Masjid Raya Baiturrahman adalah salah satu tarikan di pusat Banda Aceh. Dilengkapi dengan keindahan arsitekturnya, masjid ini adalah salah satu kebanggaan Nanggroe Acheh Darussalam (NAD).


Masjid Raya Baiturrahman dibina semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1022 H (1612 M). Masjid ini hanya mengalami sedikit kerosakan semasa tsunami 2004 walaupun di rempoh  gelombang setinggi 21 meter. Di bahagian hadapan masjid dibina sebuah menara (gambar atas sebelah kanan atas) yang tinggi dan dikhabarkan bahawa bangunan-bangunan yang akan dibina di Acheh tidak boleh lebih tinggi daripada ketinggian menara masjid ini.



Aku sempat masuk kedalam masjid semasa orang belum ramai. Sambil menunggu ketibaan waktu maghrib, sempat juga aku merakam beberapa gambar bahagian dalam masjid. Gambar atas sebelah kiri atas merupakan bahagian ruang mihrab dan mimbar masjid. Gambar atas sebelah kanan adalah bahagian ruang solat masjid yang sangat luas.



Selepas solat maghrib dan jamak takdim isyak, aku sempat merakam gambar masjid yang diselubungi suasana malam hari. Masjid dan menara kelihatan lebih menarik pada waktu malam.




Gambar atas  menunjukkan keadaan di sekeliling masjid selepas dilanda tsunami 2004 yang kini telah berubah menjadi taman yang indah dan menarik.


Selesai menziarahi sambil solat di Masjid Raya Baiturrahman, kami dibawa ke restoran untuk makan malam dan kemudian langsung balik ke hotel untuk istirehat.



3 comments:

  1. Inshaallah saya akan ke Acheh bersama ibubapa hujung March nanti. Jika tidak keberatan, boleh cadangkan pemandu bersama kenderaan untuk 4 orang yg boleh kami tempah sepanjang 4 hari kami di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pertama sekali terima kasih kerana mengunjungi blog saya.

      Pemandu yang saya gunakan adalah pelajar universiti di Banda Acheh dan pernah bekerja di Malaysia. Namanya Nazir dan no. tel nya: 085361111700. Saya sewa kenderaan pun dari beliau.

      Anda boleh cuba hubungi beliau. Saya sendiri sudah lama tidak berhubung dengan beliau. Dia seorang pelajar yang baik dan boleh dipercayai.

      Terima Kasih.

      Delete
  2. SPESEL OFFER - Khas Utk Orang 1MALAYSIA yg nak tengok langsung KESAN TSUNAMI, ACHEH !! Anda WAJIB baca ni..
    .
    .
    Bayangkan..
    .
    Apa yang anda rasa, bila anda sibuk rancang holiday ke ACHEH..ticket flight dah beli, hotel dah book.. tapi bila sampai kat airport ACHEH tlupa lak tak book lagi keta sewa.. mula la gelabah nak cari mana nak dapat kereta sewa yang harga bajet..lagi2, CUTI SEKOLAH ni.. ada pun, banyak agen2 keta sewa tunggu kat airport, tapi semua mahal gila.. biasalah, semua agen amik kesempatan tekan harga bila tau anda desperate nak book keta sewa gak.. anda takda pilihan, nak taknak kena ada gak keta sewa kat sana..

    "Kesian bhaa kalau kena mcm tu.. Kesian family aku bhaa.."
    .
    .
    "Ada ke keta sewa harga bajet kat ACHEH? Ada ke yang offer servis amik kat airport terus bila kitorang sampai nanti? ARGHHH, macam mana ni?"
    .
    .
    DONT' WORRY.. Anda nak PM kami terus?
    .
    Whatsapp kami di
    .
    ❥❥ + 6 2 8 1- 2639 7 9 8 2 8
    ❥❥ + 6 2 8 1 - 2639 7 9 8 2 8
    ❥❥ + 6 2 8 1 - 2639 7 9 8 2 8

    ReplyDelete