Sunday, 13 August 2017

Memori Percutian Perth Jun 2016 … hari pertama.

Sudah terlalu lama aku meninggalkan blog ini. Walaupun ada niat untuk menulis perjalanan-perjalanan yang lepas, tetapi masih belum berkesempatan. Ada sahaja halangan dan ada kalanya memang terasa malas untuk menulis. Namun, petang hari ini, tiba-tiba datang pula minat untuk menulis.


Malam  itu perjalanan kami ke KLIA2 tenang sahaja, keadaan lebuhraya yang kami lalui agak lengang. Aku dan isteri bersama  MakTeh dan anaknya menaiki sebuah teksi.  Mak Lang, Pak Lang dan cucunya di hantar oleh anaknya dari rumahnya berhampiran Putrajaya.

Dalam perjalanan, isteriku menalifon Mak Ngah untuk mengetahui kedudukannya. Alangkah terperanjatnya isteriku apabila diberitahu bahawa Mak Ngah masih lagi di rumahnya di Port Dickson kerana katanya penerbangan kami ke Perth esuk hari bukan malam tersebut. Memang betul esuk pagi tetapi di awal pagi iaitu jam 0005 pagi, jadi kami mesti berada di KLIA2 pada malam tersebut kerana penerbangan akan berlepas jam 12.05 malam itu.

Mak Ngah menjadi gelabah kerana anaknya belum balik dari KL sedangkan waktu ketika itu sudah hampir jam 9.30 malam. Episod seterusnya aku tidak tahu tetapi akhirnya MakNgah muncul juga di KLIA2. Masing-masing lega bila melihat MakNgah yang termengah-mengah berjalan kaki sambil menarik bagasinya. 

 MakNgah, MakLang, MakTeh dan isteriku sedang menunggu waktu untuk boarding.


Dalam laluan ke dewan berlepas, kami berhenti sekejap di sini untuk bergambar.


Menunggu untuk di panggil boarding.


Malam itu, pesawat AirAsia berlepas tepat jam 12.05 pagi. Waktu sudah lewat malam, masing-masing tertidur sepanjang  penerbangan ke Perth.


Lebih kurang jam 5.35 pagi waktu tempatan, pesawat AirAsia yang menbawa kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.



Keluar sahaja daripada pesawat, Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, mengalu-alukan kedatangan kami.



Kami terus bergerak ke ruang pengambilan bagasi dan kemudian terus berjalan ke kaunter pemeriksaan imigresen.



Pagi itu tidak ramai penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Perth, jadi tidak sampai 30 minit, kami sudah melepasi pemeriksaan imigresen dan juga kastam. Masing-masing nampak ceria. Alkhamdulillah, barangan makanan yang kami bawa bersama, semua dapat melepasi pemeriksaan tanpa perlu membuka bagasi.



Kami berjalan terus untuk keluar melalui beberapa kawasan “duty free tax”.

Akhirnya kami sampai dibahagian luar Terminal 1, Lapangan Terbang Perth dan keadaan masih agak lengang kerana waktu masih di awal pagi.



Aku terus ke kaunter Hertz RentCar untuk mengambil kereta yang aku tempah secara on-line berserta sebuah GPS. Sempat juga bertanya, arah ke bilik solat.

Bilik solat terletak di bahagian belakang deretan kaunter kereta sewa, iaitu arah kesebelah kiri sebelum pintu keluar.


Bilik solat di Lapangan Terbang Perth agak kecil dan bercampur untuk lelaki dan wanita, jadi kami bergilir-gilir untuk solat. Kami tidak perlu tergesa-gesa kerana waktu subuh masih lagi panjang dan tidak ada orang lain yang datang untuk bersolat. Masuk waktu subuh ketika itu jam 5.43 pagi dan berakhir 7.03 pagi.

Walaupun bilik solatnya bercampur dan agak kecil, tetapi kami bersyukur kerana di sediakan juga tempat solat untuk orang Islam menunaikan kewajipannya kepada Allah swt.

Bilik solat di Lapangan Terbang Perth.



Ruang wuduk yang terdapat di dalam bilik solat.



Selesai mengerjakan kewajipan kepada Allah Swt, kami terus keluar dari bangunan terminal untuk ke tempat letak kereta. Cuaca ketika itu sejuk dan masih lagi gelap.


Ini dia kereta yang aku tempat untuk kegunaan kami sepanjang berada di Perth. Kia Carnival, 8 tempat duduk.



Masih lagi dalam keadaan baik dan sangat selesa untuk kami berlapan.



Tempat bagasi yang luas dan boleh menempatkan kesemua bagasi kami.



Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, aku terus memandu dengan bantuan GPS, ke arah rumah penginapan yang aku tempah melalui Airbnb yang terletak di no. 6, Alan St., Balcata. Lebih kurang 28 km jauhnya dari Lapangan Terbang Perth.


Setelah memandu lebih kurang 45 minit melalui lebuhraya yang selesa, kami telah sampai di rumah penginapan kami. Waktu ketika itu lebih kurang jam 8.15 pagi.


Sebuah banglo dua tingkat yang telah di ubahsuai di tingkat bawah menjadi “homestay” manakala tuan rumah menginap di bahagian atas. Kami telah membuat temu janji untuk “check-in” awal tanpa bayaran tambahan dan apabila kami sampai, tuan rumah telah sedia menunggu kami. Setelah mengambil kunci, kami masuk ke dalam rumah.




Ruang tamu sederhana besar.


Dapur dilengkapi dengan peralatan memasak. Isteriku telah menyamak segala peralatan memasak termasuk pinggan mangkuk yang di sediakan menggunakan sabun samak yang kami bawa dari KL.

Bilik Tidur utama untuk Pak Lang dan cucunya, Ijat.


Bilik Tidur kedua untuk Mak Teh dan anaknya.


Bilik Tidur ketiga untuk Mak Ngah dan Mak Lang.


Aku dan isteri tidur di bilik ini yang berhampiran dengan bilik mandi.


Bilik mandi di lengkapi dengan mesin basuh baju.


Tandas ke dua.


Taman di bahagian belakang rumah.


Setelah berkemas ala kadar, masing-masing mengambil kesempatan untuk tidur sebentar kerana tidak puas tidur di dalam pesawat.


Sebelah tengah hari, isteri dan kakak-kakak iparku, mula sebok memasak. Mereka hanya memasak nasi, manakala lauknya hanya perlu dipanaskan sahaja.



Antara lauk-pauk yang kami bawa. Hanya perlu dipanaskan untuk menjimatkan masa.



Lagi beberapa jenis nasi sejuk beku yang hanya perlu di panaskan sebelum di makan.



Tidak ketinggalan roti boom sejuk beku untuk habuan sarapan pagi.


Selepas selesai makan tengah hari dan solat zuhur, kami memulakan penerokaan kami di Bandar Perth. Destinasi pertama yang kami lawati ialah Kings Park and Botanic Garden yang terletak di tengah bandar Perth iaitu lebih kurang 15 km dari tempat penginapan kami.


30 minit kemudian, kami sudah sampai di tempat tujuan.


State War Memorial



Ceremonial Walk menuju ke State War Memorial


Dari State War Memorial, aku memandu ke arah sebatang pokok yang besar, batangnya bercabang dua dan mungkin telah berusia ratusan tahun.

Antara tarikan di Kings Park ialah sebatang  Pokok Baobab yang telah berusia 750 tahun.


Di bahagian belakang adalah Swan River.


Aku dan isteri.


Mak-mak dara pun ambil kesempatan bergambar bersama.



Tree Top Walk sepanjang 620 meter, juga di kenali sebagai Lotterywest Federation Walkway.  Mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menghabiskan perjalanan pergi dan balik sambil melihat pemandangan yang cantik di sepanjang jambatan tersebut.


Pemandangan Swan River dari Tree Top Walk.


Puas, putar-putar di Kings Park and Botanic Garden, kami menuju ke satu lagi tarikan di Bandar Perth, iaitu Bell Tower yang terletak di Barrack Square bersebelahan Elizabeth Quay, mengambil masa lebih kurang 20 minit perjalanan.





Kami dihadapan Perth Bell Tower.



Di Bell Tower.


Di hadapan Perth Bell Tower.



Hari sudah semakin petang dan kami bercadang untuk solat maghrib di Masjid Perth. Berpandukan GPS, aku memandu terus ke Masjid Perth melalui jalan-jalan yang agak sesak pada petang itu. Kami sampai di Masjid Perth hanya beberapa minit sahaja sebelum azan maghrib di laungkan.


Masjid Perth pemandangan bahagian hadapan. Kami masuk melalui pintu di bahagian utama yang sebenarnya adalah bahagian kiblat masjid.

Ruang tengah laman Masjid Perth.

Ruang tengah laman Masjid Perth.


Tempat wuduk lelaki.


Setelah berwuduk, aku terus berjalan melalui satu lorong untuk naik ke dewan solat.

Sempat merakam gambar sebelum naik ke dewan solat dan dapat solat berjemaah bersama-sama imam.


Agak ramai juga orang yang datang ke masjid untuk solat.

Ini adalah kumpulan kedua yang solat berjemaah di masjid tersebut.

Kelihatan dewan solat utama Masjid Perth.



Di dalam dewan solat utama selepas solat maghrib berjemaah.



Pemandangan dari penjuru bahagian belakang masjid.


Selesai solat maghrib di Masjid Perth, kami bersetuju untuk balik terus ke rumah penginapan kerana waktu pun sudah mulai gelap dan penerokaan Bandar Perth akan di sambung keesokan harinya.

No comments:

Post a comment