Wednesday 9 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 2 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 1



Caosan selamat pagi,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ms Eka, jam 11.00 pagi kami telah sedia berada di lobi hotel menunggu kedatangan Ms Eka yang akan membawa kami untuk makan tengah hari disebuah restoran muslim sebelum memulakan jelajah Beijing hari pertama.


Ada yang duduk-duduk di lobi hotel, ada yang main di luar hotel walaupun cuaca diluar sangat sejuk.



Sebaik Ms Eka sampai, kami tidak menunggu lama terus naik ke dalam bas. Pak Lang , walaupun usianya telah menjengah tujuh puluh tahun, tetapi dia memang biasa mengikuti rombongan kami, jadi dia “cool” saja walaupun sebenarnya dia menggigil kesejukan.



Masing-masing ceria berada di bumi negara yang paling ramai penduduknya di dunia. Gambar atas kiri, anak Mak Teh yang baru melangsungkan perkahwinan dan pertama kali menyertai rombongan Mak Dara. Kanan ... Ms Sofi @“remaja muslimah” begitu ceria untuk memulakan perjalanan hari pertama di Beijing.



Lebihkurang 45 minit duduk dalam bas, kami telah sampai ke restoran yang di maklumkan oleh Ms Eka. Kami berjalan kaki menuju ke restoran kerana bas tidak dibenarkan berhenti di hadapan restoran dan terpaksa di letak agak jauh dari lokasi restoran. Memang cuaca begitu sejuk, jadi tak terasa penat pun berjalan kaki.

 

Tepat jam 12.00 tengah hari waktu Beijing kami sampai di restoran yang dimaksudkan. Pintunya telah sedia terbuka untuk kami masuk. Kami duduk didua meja bulat, manakala Ms Eka dan pemandu bas duduk dimeja berasingan. Ms Eka memesan makanan untuk kami semua, katanya dijamin halal.


Suspen juga menunggu makanan. Mula-mula datang nasi satu pinggan penuh, kemudian lauk tahu kemudian baru datang semua lauk, enam jenis semuanya tidak termasuk sop sayur. Kami makan sampai kenyang tengah hari itu, maklumlah makanan tengah hari pertama di Kota Beijing.


Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke satu masjid untuk solat zohor dan jamak takdim asar. Masjid ni namanya Masjid Anheqiao yang terletak di daerah Haidian, Beijing. Menurut ceritanya, masjid yang asal telah dibina pada akhir zaman Dinasti Ming dan telah berusia lebih 300 tahun. Pada tahun 1965, Masjid Anheqiao dipindahkan ke tempat lain kerana projek menggali terusan di tempat berkenaan. 


Pada Jun 2002, kerajaan membina semula Masjid Anheqiao di kampung Qinglongqiao di atas kawasan seluas 1,200 meter persegi, manakala bangunan masjid yang bercirikan seni bina tradisional China luasnya 700 meter persegi. Masjid yang berhampiran dengan Summer Palace dan Gunung Xiangshan ini menjadi destinasi lawatan pelancong islam untuk beribadat di sini.



Ruang mihrab masjid di hias agak cantik, mimbarnya dibuat dari kayu berkualiti. Di tengah-tengah siling masjid terdapat kubah yang cantik.



Sebelum kami meniggalkan masjid Anheqiao, kami bergambar beramai-ramai di tangga masjid.


Dari Masjid Anheqiao, kami dibawa ke sebuah kilang pakaian sutera yang terkenal di kota Beijing dan mempunyai beberapa lagi kilang di Seluruh Negara China

Gambar atas kanan bawah  ... Ms Eka memberi penerangan ringkas sebelum kami dibawa masuk oleh seorang jurujual yang agak fasih berbahasa Inggeris. 


Kilang sutera tu namanya Ying Feng Home Textile, memproses sutera daripada kepompong untuk dijadikan kain, begitu secara ringkas yang diterangkan oleh jurujual (gambar atas tengah dan kanan).


Kemudian kami dibawa naik ke tingkat atas, dan ada sesi penerangan lagi... tapi yang ini lebih kepada mempromosi harga jualan.


Kami termangu mendengar Promoter mengumumkan harga runtuh untuk semua alas katil . Sebenarnya kami tak berminat langsung nak membeli walaupun harganya telah jatuh tapi tidaklah murah sangat.


Namun atas kelembutan dan kemesraan serta kepetahan mereka menjual kata-kata akhirnya isteriku terpedaya juga. Sehelai baju dan alas katil terpaksalah aku angkut bersama.


Demikian kisah di Ying Feng Home Textile, berlainan pula kisah di Summer Palace. Semasa kami sampai di Summer Palace, waktu lebih kurang jam 4.00 petang dan matahari sudah condong ke barat kerana semasa musim sejuk, siangnya pendek dan malamnya panjang.

Selepas membeli tiket, Ms Eka membawa kami masuk ke Komplek Summer Palace melalui pintu masuk (gambar atas kanan). Di dalam kompleks, Ms Eka memberi penerangan tempat-tempat bersejarah yang terdapat di komplek Istana Musim Panas.


Antaranya, ke sebelah kiri pintu gerbang (gambar atas kiri) adalah sebuah jambatan yang dikenali sebagai The 17 Arch Bridge (gambar atas kanan) merupakan jambatan terbesar daripada lebih tiga puluh jambatan yang terdapat di dalam Komplek Istana Musim Panas. The 17 Arch Bridge, panjangnya 150 meter dan 8 meter lebar menghubungkan Menara Segi Lapan di sebelah timur Tasik Kunming dengan Nanhu Island. Katanya, jambatan ini dibina dizaman Dinasti Qianlong yang berkuasa dari tahun 1711 hingga 1799.


Lima Mak Dara yang mengikuti rombongan kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di tepian Tasik Kunming yang begitu tenang airnya, walaupun masih belum beku lagi. Tasik Kunming yang meliputi sebahagian besar Komplek Istana Musim Panas iaitu seluas kira-kira 540 ekar merupakan tasik air tawar buatan manusia. Nun dibelakang mereka adalah “Tower of Buddhist Incense” (gambar kecil atas kanan bawah) di pinggiran tasik dan dikelilingi  bukit “Longevity” yang terbina dari longgokan tanah semasa menggali Tasik Kunming.


Kemudian kami dibawa berjalan kaki ke sebelah kanan pintu gerbang sepanjang pinggiran tasik yang dihias pepohon yang telah berguguran daunnya hingga sampai ke suatu pintu dipanggil Wenchang Tower (gambar atas tengah) yang telah di dibina semula oleh Mahajara Guangxu selepas dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Menara yang asal telah dibina dalam tahun 1750.


Menurut Ms Eka, The Hall of Benevolence and Longevity telah dibina dalam tahun 1750 tetapi telah dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Telah dibina semula dalam tahun 1888.


Ini dia lima orang jejaka yang mengikuti rombongan ke Beijing pada kali ini.


Kami tidak lama berada di Kompleks Summer Palace kerana hari sudah mulai gelap. Ms Eka membawa kami ke destinasi seterusnya ialah menonton persembahan akrobatik. Ms Eka membawa kami ke Chaoyang Theater Acrobatic Show yang terletak di No.36, Dongsanhuan Beilu, Chaoyang District, Beijing untuk menonton persembahan akrobatik jam 5.30 petang. 


Kami tiba di Chaoyang Theater orang sudah berpusu-pusu untuk menonton persembahan. Nasib baik Ms Eka telah menempah tiket terlebih dahulu, jadi kami tak lah terlepas dari menyaksikan persembahan akrobatik yang sungguh mengasikkan.


Persembahan pertama secara solo oleh ahli akrobatik wanita yang mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.


Kini tiba giliran ahli akrobatik lelaki membuat persembahan secara berkumpulan, juga mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.



Ini pula persembahan kumpulan akrobatik wanita, sungguh mempersonakan sampai ada yang tak berkelip mata memandangnya.


Ini pun persembahan akrobatik berkumpulan wanita yang sungguh memukau.


Lagi persembahan akrobatik oleh kumpulan wanita.  Selesai persembahan ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan ahli akrobatik.


Selesai menonton persembahan akrobatik, Ms Eka membawa kami ke restoran muslim untuk makan malam.

Makan malam pertama di Beijing sangat menyelerakan. Seperti makan tengah hari kesemuanya ada enam jenis lauk. Kami makan sampai kenyang malam itu sebelum balik ke hotel untuk berehat.

Man On, Pai pai, dingyat kin ... selamat malam, sampai jumpa esok.


No comments:

Post a Comment