Wednesday, 24 September 2014

Wahai anak-anak ayah, apakah yang menghalangimu untuk menutup aurat?



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Wahai anak-anak ayah,

Berat rasanya bagi ayah untuk memulakan tulisan ini, apatah lagi jari-jari ayah semakin kurus dan lemah untuk menekan butang kekunci, mata semakin rabun, fikiran tidak setajam dulu, namun ayah memaksa diri kerana ayah takut sudah tidak ada masa lagi, entahkan setahun lagi, sebulan lagi atau seminggu lagi ayah akan pergi sedangkan amanat Allah SWT belum bisa ayah penuhi, kerana Allah SWT berfirman yang beraksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan "..  surah At-Tahrim, ayat 6.

Begitu juga Nabi kita Muhammad SAW telah menegaskan yang bermaksud: "Seseorang laki-laki adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas yang dipimpinya" ... hadis riwayat Al-Bukhari.

Kerana itulah ayah bermohon kepada Allah SWT semuga tulisan ayah kali ini menjadi pembuka hati yang terkunci, menggetarkan perasaan yang tertidur, menggoncang jiwa yang mati sehingga boleh menyedarkan anak-anak ayah yang belum mentaati perintah menutup aurat dan kembali kepada fitrah yang telah diperintahkan Allah SWT. Baik karena belum mengetahui bahawa menutup aurat adalah wajib ataupun karena tidak mampu melawan tipu daya dan pesona dunia ataupun kerana dicengkam hawa nafsu yang sentiasa memerintahkan keburukan ataupun kerana tunduk oleh bisikan syaitan ataupun karena pengaruh teman-teman yang tidak suka kepada kebaikan ataupun karena alasan-alasan lain sekalipun.
 

Apakah kamu masih belum bersedia untuk berhijab?

Janganlah berdalih wahai anak-anak ayah, perintah itu bukan datangnya dari manusia, ia datang dari Allah SWT di dalam kitabnya, dan Allah SWT juga menghantar melalui Nabi-Nya agar disampaikan kepada umat-Nya, maka wajib kamu semua mentaatinya. Janganlah kamu semua meremehkan perintah Ilahi, meragukan perintah Yang Maha Pencipta, kerana bahayanya sangat besar iaitu boleh terkeluar agama tanpa sedar.

Dengarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidaklah patut bagi laki-laki mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata "… surah Al-Ahzab, ayat 36.

Sebagai seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah, percaya kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, tanpa mengira apakah kedudukanmu, maka tidak ada pilihan lain kecuali mentaati perintah Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Rasul telah beriman kepada Al Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali"…surah Al-Baqarah, ayat 285.

Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan perintah-Nya adalah untuk kebahagian semua makhluk-Nya, begitu juga dengan perintah agar wanita menutup auratnya, adalah untuk menjaga kebahagian, kemuliaan dan keangungan wanita.

Allah SWT Maha Mengetahui, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, mengetahui sejak sebelum manusia diciptakan, juga mengetahui apa yang akan terjadi di masa akan datang dengan tanpa batasan, mengetahui apa yang tidak akan terjadi dari berbagai peristiwa, juga Dia mengetahui andaikata peristiwa tersebut terjadi, apa yang bakal terjadi selepasnya. Dengan kepercayaan seperti ini, apakah patut dan masuk akal kamu menolak perintah Allah SWT itu.

Fahamlah wahai anak-anak ayah, bahawa yang dimaksud dengan "Islam" adalah menyerah, patuh dan tunduk secara total kepada perintah-perintah Allah dan larangan-laranganNya.

Apakah cukup kamu mengaku: "Saya juga seorang muslimah, saya menjaga soalat lima waktu,  saya puasa dibulan Ramadhan, saya telah melakukan haji, saya telah mengeluarkan zakat bahkan saya selalu berderma disana dan disini, tetapi saya belum bersedia untuk menutup aurat”. Kalau sememangnya apa yang telah kamu lakukan itu kerana mentaati perintah Allah SWT dan takut akan siksa-Nya, kenapa perintah yang satu iaitu menutup aurat itu kamu tidak laksanakan? Solat, zakat, haji, puasa Ramadan itu wajib, begitu juga menutup aurat itu pun wajib.

Amat-amatilah cercaan Allah SWT terhadap Bani Israil, karena mereka melakukan sebagian kewajipan dan meninggalkan sebahagian kewajipan yang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “….apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tidaklah balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari Kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat, Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat"… surah Al-Baqarah, ayat 85.

Dan renungkanlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya penghuni Neraka yang paling ringan adzabnya pada hari kiamat ialah orang yang diletakkan bara api di bawah kedua telapak kakinya lalu mendidihlah otaknya, seperti air yang mendidih didalam perikuk besar yang diletakkan diatas bara api… "… hadis riwayat Al-Bukhari.

Jika demikianlah seringan-ringan azab di hari kiamat, bagaimakah azab yang Allah SWT timpakan kepada  orang yang diancam Allah dengan azab yang amat pedih, iaitu mereka yang beriman kepada sebahagian ayat dan meninggalkan sebahagian yang lain?

Apakah hanya kerana ingin menonjolkan kecantikan diri didunia, kamu semua sanggup menjual akhirat dan menerima azab yang pedih? Sesungguhnya ayahmu hanya mengharapkan kebaikan dunia dan kebaikan akhirat untuk kamu semua, dan merayu agar anak-anak ayah menggunakan akal fikiran yang waras dan membuat pilihan yang betul iaitu bersegera untuk menutup aurat.
 

Apakah kamu belum mendapat hidayah?

Wahai anak-anak ayah, janganlah kamu berdalih dengan berkata "Allah belum memberiku hidayah. Sebenarnya aku juga ingin menutup aurat, tetapi hingga kini  Allah belum memberiku hidayah?,doakanlah agar aku segera mendapat hidayah!"

Janganlah kamu keliru wahai anak-anak ayah "Bagaimana kamu mengetahui bahwa Allah belum memberimu hidayah?"…sedangkan kamu tidak menginginkan untuk berubah kearah itu. Sesungguhnya perubahan nasib, hanya akan terjadi jika kamu mulakan dengan mengubah terlebih dahulu dirimu sendiri. Ingatlah Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri " … Surah Ar Ra'du, ayat 11.

Oleh itu jika kamu menginginkan hidayah, serta mahu orang lain mendo'akan agar kamu mendapat hidayah,  kamu harus berusaha keras dengan mengerjakan sebab-sebab yang boleh  membawa hidayah datang kepada kamu.

Suatu hari Maryam semasa hampir melahirkan Nabi Isa as, ia amat memerlukan makanan, sedang ia sangat lemah dan tersandar pada pokok kurma dan tidak terdaya untuk mendapatkan makanan. Allah SWT berfirman “Dan goyangkanlah pangkal pokok korma itu ke arahmu, pohon itu akan menggugurkan buah korma yang masak kepadamu” … ayat 25, Surah Maryam. Maryam yang dalam keadaan tidak mampu bergerak, bagaimana aku mahu menggoyangkan pohon korma, sedangkan menggerakkan tangan aku pun tidak mampu, namun digagahi juga untuk menggoyang pohon kurma tersebut, sebaik sahaja tangannya menyentuh pohon kurma, maka berguguranlah buah kurma itu. Begitulah, sesuatu kejayaan perlu diusahakan dan hidayah itu perlu dicari.

Tidak mungkin orang mukmin terus-menerus berada di masjid, bahkan meskipun di Masjidil Haram dengan hanya duduk dan beribadah kepada Allah, dan mengharap rizki dari Allah. Tentu Allah tidak akan mengabulkannya tanpa dia sendiri mencari sebab-sebab rizki itu boleh diperolehi. Langit tak mungkin sekonyong-konyong menurunkan hujan emas dan perak.

Oleh karena itu, wahai anak-anak ayah, berusahalah dengan mengerjakan sebab-sebab yang boleh mendatangkan hidayah, niscaya kamu akan mendapatkan hidayah tersebut dengan izin Allah SWT. Di antara usaha itu ialah berdo'a agar mendapat hidayah, memilih teman yang shalihah, selalu membaca buku-buku agama, mempelajari dan merenungkan Kitab Allah, mengikuti kuliah-kuliah ugama, majlis-majlis zikir, mendengarkan CD pengajian agama, membaca buku-buku tentang keimanan dan sebagainya.

Namun, jangan lupa wahai anak-anak ayah hendaklah kamu tinggalkan perbuatan-perbuatan yang boleh menjauhkan dirimu dari jalan hidayah. Seperti teman yang tidak baik, membaca majalah-majalah yang tidak mendidik, menyaksikan tayangan-tayangan  television  yang membangkitkan perbuatan haram, keluar rumah tanpa disertai mahram, menjalin hubungan dengan para pemuda (pacaran), berpakaian yang menjolok mata dan hal-hal lain yang bertentangan dengan jalan hidayah.

Kerana sesungguhnya Allah SWT menciptakan kebolehan akal fikiran dalam diri setiap manusia untuk memilih antara jalan kebenaran atau jalan kejahatan dan kemusnahan. Jika anak-anak ayah memilih jalan kebenaran maka hidayah taufiq akan datang kepadamu. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ''Dan orang-orang yang meminta petunjuk, Allah (akan) menambah  petunjuk pada mereka dan memberikan kepada mereka (balasan) ketakwaannya " … Surah Muhammad, ayat 17.

Sebaliknya jika anak-anak ayah memilih jalan kesesatan dan kejahatan, maka Allah SWT akan menambahkan kesesatan padamu dan Dia mengharamkannya mendapat  hidayah taufiq. Allah berfirman yang bermaksud "Katakanlah: 'Barangsiapa yang berada dalam kesesatan, maka biarlah Tuhan Yang Maha Pemurah memperpanjang tempoh baginya .... " … Surah Maryam, ayat 75. Dan lagi firman-Nya yang bermaksud ”...Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka "… Surah Ash Shaf, ayat 5.

Perumpamaannya sekiranya anak-anak ayah pergi kesuatu tempat yang tidak diketahuai, lalu kamu bertanya kepada seseorang yang tahu disana untuk menunjukkan jalan, setelah itu kamu mengikut jalan yang telah ditunjukkan olehnya, nescaya kamu akan menghampiri tempat yang kamu cari tetapi sebaliknya jika kamu tidak mahu mengikut jalan yang ditunjukkanya, percayalah kamu akan semakin jauh dari tempat yang kamu ingin tujui.



Ah! Iman itu letaknya di hati?

Wahai anak-anak ayah, janganlah kamu semudah itu melontarkan kata-kata bila ditanya, mengapa kamu tidak menutup aurat? Ternyata tafsiranmu adalah salah. Sungguh Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk-bentuk (lahiriah) dan harta kekayaanmu, tetapi Dia melihat pada hati dan amalmu sekalian".

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW hendak menjelaskan makna keikhlasan bagi diterimanya suatu amal perbuatan iaitu Allah tidak melihat bentuk-bentuk lahiriahnya, seperti pura-pura khusyu' dalam solat dan sebagainya, tetapi Allah SWT melihat keikhlasan niat hatinya semata-mata kerana Allah SWT sahaja.

Iman dalam hati semata-mata tidak cukup menyelamatkan diri dari Neraka dan mendapatkan Surga. Menurut jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iman adalah "Keyakinan dalam hati, pengucapan dengan lisan dan pelaksanaan dengan anggota badan"

Orang yang mengatakan beriman dengan lidahnya, tetapi tidak disertai keyakinan hatinya, itu adalah keadaan orang-orang munafik. Pada zaman  Nabi SAW, golongan munafik senantiasa solat bersama Baginda, berperang, mengeluarkan nafkah, pulang pergi bersama kaum muslimin, tetapi hati mereka tidak pemah beriman kepada agama Allah dan balasan untuk mereka adalah di dasar Neraka.

Adapun orang yang beriman hanya dengan hatinya tapi tidak disertai dengan amalan anggota badan adalah termasuk golongan iblis. Iblis percaya pada kekuasaan Allah, Dzat yang menghidupkan dan mematikan,  dia juga percaya terhadap adanya hari Kiamat, tetapi dia tidak beramal dengan anggota tubuhnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "la (iblis) enggan dan takabur dan dia termasuk golongan orang-orang kafir"… surah Al Baqarah, ayat 34. Didalam Al Qur'an setiap kali disebutkan kalimah iman, selalu diiringi dengan kalimah amal, seperti: "Orang yang beriman dan beramal shaIih…” Amal selalu beriringan dengan iman, umpama aur dengan tebing, ombak dengan pantai, keduanya tidak dapat dipisah-pisahkan.


Apakah cukup sekadar dengan menutup kepala?

Apakah menutup aurat cukup sekadar berpakaian yang menutupi seluruh tubuh dan memakai tudung kepala? Apakah sempurna menutup aurat jika sekadar memakai seluar ketat yang memperlihatkan bentuk tubuhnya?, atau memakai pakaian pendek yang mendedahkan betisnya?, atau berpakaian panjang tetapi terbelah yang menayangkan pahanya?,  atau berbaju “low cut” yang mempamerkan bahagian atas dadanya?, atau berpakaian lengkap tetapi nipis kainnya sehingga jelas nampak warna kulitnya?, atau mengenakan tudung tetapi terurai ekor rambutnya?.  Sudah pasti tidak wahai anak-anak ayah!

Pakaian-pakaian itu jelas sekali tidak menepati syariat Islam dan melanggar perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”... Surah al-Ahzab, ayat 59.

Justeru untuk mendapatkan ridha Allah SWT, pakaian wanita Islam perlu mengikut garis panduan Syarii antaranya:

  1. Pakaiannya hendaklah menutupi seluruh tubuhnya selain wajah dan kedua tapak tangan. 
  2. Pakaiannya longgar dan tidak kelihatan bentuk tubuhnya. 
  3. Kainnya tebal dan tidak kelihatan sedikit pun warna kulitnya. 
  4. Kainnya juga tidak lembut dan licin kerana kain lembut dan licin mudah melekat pada kulit dan boleh kelihatan bentuk tubuhnya. 
  5. Kainnya tidak berwarna yang sangat menyala seperti merah, sehingga menjadi perhatian orang ramai melihatnya. 
  6. Tidak memakai wangi-wangian. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa juga wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina”. 
  7. Pakaian yang tidak menyerupai pakaian wanita-wanita kafir.  Baginda bersabda “Sesungguhnya itu adalah pakaian orang kafir”, dan melarangnya dari memakai kain itu. Dari Ali r.a “ Janganlah kaum memakai pakaian para pendita kerana … bukan termasuk golonganku”. 
  8. Pakaian yang tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk sehingga menjadi terkenal. 
  9. Hendaknya tidak menyerupai pakaian laki-laki, sebab hal tersebut dilarang oleh syarak. Salah satu daripadanya dari Abu Hurairah r.a. dia berkata: yang bermaksud “ Rasullulah s.a.w melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”

Berpakaianlah sesuai dengan batas-batas yang ditentukan syariat seperti pakaian-pakaian tersebut diatas, sehingga kamu termasuk dalam golongan wanita yang menutup aurat dengan sempurna kerena mencari ridha Allah dan takut akan murkaNya dan sekaligus dapat menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan dapat menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan lelaki terhadap wanita.

Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam akan mendapat keredaan Allah SWT, dipandang dengan penuh rasa hormat serta diberi penghormatan tinggi bersesuaian sifat mereka yang pemalu dan bersopan-santun.

Sebaliknya wanita yang enggan menutup aurat berarti ingkar perintah Allah, di hinakan Allah dan di laknati Rasul dan para malaikat-Nya.

Dalam satu hadith Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud: "Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Laki-laki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun hakikatnya ia telanjang dan jalannya berlenggang-lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian (dalam riwayat lain dinyatakan perjalanan 500 tahun)" … hadis riwayat Muslim.

Oleh itu wahai anak-anak ayah, bersegeralah berubah kearah kebaikan dengan niat tulus ikhlas kerana Allah SWT.


Apakah lelaki tidak mahu memilihmu sebagai isterinya?

Ini hanyalah bisikan syaitan! Apakah seseorang lelaki itu terus membuat keputusan untuk mengambil seseorang menjadi isterinya dengan hanya melihat badan, rambut, kulit, kecantikan  dan perhiasan seseorang wanita sahaja?

Walaupun kecantikan merupakan salah satu sebab paling utama dalam pernikahan, tetapi ia bukan satu-satunya sebab dinikahinya seseorang wanita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud  "Wanita itu dinikahi karena empat hal. Iaitu karena hartanya, keturunannya, kecantikannya  dan agamanya. Maka nikahilah wanita yang berpegang teguh dengan agama, (jika tidak) niscaya kedua tanganmu berlumur debu”.

Wahai anak-anak ayah, sudah pasti orang laki-laki tidak hanya melihat unsur kecantikan semata-mata, tetapi ada hal-hal lain yang bersatu dengan kecantikan itu yang dijadikan pertimbangan dalam memilih isteri. Ternyata salah wahai anak-anak ayah sekiranya menganggap kecantikan adalah segala-galanya.

Sedarlah wahai anak-anak ayah, perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat akan hanya menjadi pemuas nafsu pandangan mata laki-laki hidung belang sedangkan ia sendiri tidak mahu mengambil perempuan tersebut sebagai isteri kerana ia beranggapan perempaun yang berani melanggar salah satu perintah Allah SWT, iaitu dengan tidak menutup aurat, sudah pasti dia berani melanggar perintah-perintah  Allah SWT yang lain. Percayalah, laki-laki hidung belang sendiripun akan memilih perempuan yang bersopan dan mentaati perintah Allah SWT.


Apakah kamu rela kecantikanmu itu dinikmati oleh orang ramai?

Wahai anak-anak ayah, sekiranya kamu memiliki barang yang paling berharga sekali,  dimanakah kamu menyimpanya? Sudah tentu kamu akan menyimpannya ditempat yang sangat selamat sehingga tiada satu tangan pun yang dapat menyentuhnya! Apakah sesuatu yang paling berharga yang dimiliki oleh seorang wanita? Bukankah kesucian diri sesuatu yang paling berharga yang kamu miliki? Tetapi, kenapakah kamu tidak menyimpan kesucian diri ditempat yang paling selamat agar tidak terlihat oleh orang ramai? Atau apakah sesuatu yang amat berharga itu boleh diperlihatkan kepada umum?

Apakah kamu rela menjadi barang dagangan yang murah, bagi semua orang, baik yang jahat maupun yang terhormat?  Bagaimana kamu nak menyelamatkan dirimu dari mata para serigala yang berwajah manusia?  Mahukah kamu, jika dirimu dinilai serendah itu?

Wahai anak-anak ayah, kamu amat mahal dan berharga sekali. Pernahkah terlintas dalam fikiranmu, bagaimana seorang pembeli membelek-belek barang yang ingin dibelinya? Jika ia tertarik dan berniat membelinya, sudah tentu ia akan meminta dari penjualnya barang yang masih baru yang belum pernah disentuh oleh tangan orang lain.

Renungkanlah wahai anak-anak ayah, semuga kamu sedar betapa tingginya harga dirimu, maka kamu mesti menyembunyikan apa yang wajib kamu sembunyikan sesuai dengan perintah Allah SWT kepada kamu.

Wahai anak-anak ayah, jika kamu menampakkan auratmu dan bersolek demi suamimu atau di depan sesama kaummu maka hal itu tidak mengapa selama tidak keluar dari rumah. Jika sesama wanita, maka hendaknya kamu tidak menampakkan aurat yang tidak boleh dilihat sesama wanita, iaitu antara pusat dengan lutut.


Apakah begitu mudah kamu tertipu dengan bisikan syaitan?

Pakaian menutup aurat bagi wanita Islam adalah satu perintah yang tidak boleh diragui lagi. Namun, syaitan dalam rangka menggoda wanita agar tidak berpakaian menepati syariat Islam, sangat strategik dan licik sekali. Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu manusia kearah keburukan, lantas dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan pakaian yang menepati syariat Islam. Syaitan akan membisikkan dalam telingamu bahawa pakaian menutup aurat itu tidak ada kaitan dengan agama ia hanya sekadar fesyen pakaian wanita. Sehingga apabila zaman berubah, pakaian pun berubah mengikut peredaran zaman.

Bagaimanakah syaitan menggoda wanita untuk mendedahkan auratnya? Mula-mula syaitan membisikkan agar melipat lengan bajunya yang panjang sehingga ke paras siku, bukankah biasa sahaja, kemudian pemakainya menjadi terbiasa lalu ia membeli baju yang berlengan sekadar sampai disiku jadi tak perlu lipat lagi. Syaitan telah berjaya padaperingkat pertama. Dicuba lagi diperingkat kedua, lalu dibisikkan ke telinga wanita tersebut agar membuka leher dan dadanya supaya kelihatan lebih cantik, jika tidak berjaya, syaitan berbisik lagi ah! tak ada apa-apa, sedikit sahaja terbuka, akhirnya wanita itu tertipu dan membeli baju berlengan pendek dengan  leher dan dada agak terbuka.

Syaitan berjaya lagi diperingkat kedua dan terus menggoda lagi. Lalu syaitan berbisik lagi, pakaianmu agak longgar, cubalah yang ketat sedikit dan kainnya yang agak nipis, pasti lebih cantik dan menarik. Jika agak keberatan, syaitan akan menambah, kan pakaianmu masih lagi panjang! Akhirnya wanita itu tergoda dan membeli pakaian yang berlengan pendek, leher dan dada terbuka, kainnya nipis dan agak ketat. Ternyata bila ia memakainya ramai pula yang memuji kecantikan wanita tersebut.

Namun syaitai belum puas lagi lantas datang berbisik lagi, kamu sudah kelihatan cantik, tetapi kan agak susah nak berjalan atau duduk, kalau dibelah sebelah tepi hingga ke pangkal paha kan lebih selesa berjalan, lebih lincah dan lebih energetik. Wanita tersebut menganggokkan kepala, lalu dibelinya pakaian yang berlengan pendek, leher dan dada terbuka, kainnya nipis, saiznya ketat dan mempunyai belah sehingga pangkal paha disebelah kiri. Wanita tersebut pun memakainya, ternyata bukan sahaja lebih mudah berjalan dan bergerak dengan lincah, malah lebih ramai yang mengatakannya kelihatan lebih cantik.
 
Syaitan masih belum puas lagi. Ia terus berbisik lagi, pakaianmu terlalu panjang, kalau dipotong setakat lutut, akan bertambah mudah bergerak dengan lebih lincah lagi.  Wanita itu pun membeli pakaian yang berlengan pendek, leher dan dada terbuka, kain nipis, saiznya ketat, tepinya berbelah kepangkal paha dan panjangnya hingga ke lutut sahaja. Setelah wanita tersebut memakainya, hatinya berbisik sendiri, aku kelihatan lebih cantik dan tepat sekali bertambah ramai lelaki yang menyukainya. Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya, dia mudah sahaja menurutnya. Maka lama-kelamaan wanita tersebut telah menjadi biasa memakai pakaian yang sedemikian tambahan pula semakin ramai yang memakainya.

Adakah syaitan puas setakat itu sahaja? Tidak! Syaitan belum puas lagi. Setelah wanita tersebut terbiasa memakai pakaian yang sedemikian, syaitan berbisik lagi, pakaian perlu berfesen, cubalah yang lengannya pendek lagi, saiznya lebih ketat lagi, belahnya lebih lagi, pendeknya bertambah pendek lagi, pasti akan kelihatan lebih indah dan lebih ramai lelaki melihatnya.

Maka akhirnya wanita tersebut memakai skirt pendek yang menampakkan bahagian bawah paha, bajunya berlengan pendek dan terbuka hingga nampak ketiaknya, lehernya terbuka luas hingga nampak sebahagian payudaranya, sekaligus bahagian punggungnya terkadang nampak seluar dalamnya dan langsung tiada berpenutup kepala, mukanya bermekap tebal, matanya memakai maskara, kasut tumitnya tinggi bergaya.

Begitulah hasil bisikkan syaitan terlaknat, sesuatu yang pada asalnya agak mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka wahai anak-anak ayah, segeralah ambil tindakan, jauilah bisikan syaitan, jangan dibiarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagimu untuk mengatasinya. Janganlah membiarkan dirimu mendapatkan kutukan daripada Allah S.W.T. Sekiranya ini pun tidak boleh menyebabkan kamu sedar, ayahmu berlepas diri kalau nanti kamu semua terjerumus kedalam neraka.  Ayahmu hanya menunjukkan jalan, tetapi kamu sendiri yang wajib melakukan perubahan, sekiranya tidak maka tanggung sendiri semua dosamu kerana yang pasti tatkala itu syaitan tak akan bersamamu lagi.


Apakah kamu tidak kisah melihat ayahmu dihumban ke Neraka?

Ingatlah wahai anak-anak ayah, ketaatan kepada Allah wajib didahulukan daripada ketaatan kepada makhluk, dan kemudian kedua ibubapamu lebih berhak untuk ditaati dari yang lainnya.

Apakah ayahmu tidak menganjurkan agar kamu menutup aurat? Atau apakah ayahmu membiarkan sahaja dirimu tidak menutup aurat? Sudah tentu tidak! Ayahmu ingin sangat agar kamu semua berpakaian menutup aurat sebagaimana di syariatkan dalam Islam kerana Allah SWT telah memerintahkan agar para hambaNya yang beriman menjaga diri dan keluarganya dari api Neraka.

Lihatlah firman Allah SWT yang beraksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan "…  surah At-Tahrim, ayat 6.

Nabi SAW juga menegaskan yang bermaksud: "Seseorang laki-laki adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya" ... hadis riwayat Al-Bukhari.

Apakah kamu tidak kasih akan ayahmu yang telah memeliharamu semenjak kamu lahir? Kenapakah susu yang ayahmu beri, tapi tuba yang kamu balas? Atau apakah kamu rela melihat ayahmu terhumban kedalam neraka? Wahai anak-anak ayah, kasihanilah ayahmu, tatatilah perintah Allah SWT dan tutuplah auratmu.

Apakah majikanmu yang melarangmu dari menutup aurat?

Dengarkanlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulnya dan ulil amri di antara kamu"… surah An-Nisa, ayat 59.  Lihatlah, kalimah taatilah hanya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sahaja kerana ketaatan kepada ulil amri (majikan) menjadi gugur kalau ia memerintahkan perbuatan yang mungkar iaitu jika perintah mereka bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya, saperti tidak membenarkan pekerja menutup aurat, maka perintah itu tidak boleh dituruti dan ditaati kerana tidak boleh ta 'at kepada makhluk dengan mendurhakai perintah kepada AI-Khaliq (pencipta) iaitu Allah SWT.

 
Apakah kamu fikir kematianmu lambat lagi?

Wahai anak-anak ayah, apakah yang kamu tunggu lagi? Apakah kamu tahu, bilakah kamu akan mati? Tidak sama sekali! Kematian akan menjemputmu bila-bila masa,  mungkin sepuluh tahun lagi, mungkin setahun lagi, sebulan lagi, seminggu lagi, sehari lagi, sejam lagi atau sesaat lagi. Semuanya boleh terjadi kerana selama-lamanya kita tidak akan tahu bila kita akan mati.

Wahai anak-anak ayah, kematian tidak hanya mengetuk pintu orang yang sakit, tidak pula orang yang lanjut usia saja, tetapi kematian juga akan menjenguk orang-orang yang sehat walafiat, orang-orang dewasa, orang-orang muda bahkan bayi yang masih menetek di pangkuan ibunya.

Seorang pemuda yang sehat walafiat dan berpangkat tinggi, tiba-tiba virus ganas menyerang otaknya, akibatnya ia menjadi koma dan kemudian meninggal dunia. Isteri, anak-anak, saudara mara, sahabat handai, rakan sekerja terkejut mendengar kematiannya, tetapi kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Seorang yang bertubuh sasa, sering melakukan senaman, sangat lincah dan cergas, seorang ahli sukan yang cemerlang, tidak pernah mengadu ada penyakit sedikitpun, saperti biasa disuatu malam ia masuk tidur, tetapi sehingga matahari terbit dia belum bangun lagi, lalu ibunya cuba mengejutkannya dari tidur, tetapi sang ibu terkejut bila mendapati tubuh anaknya sudah sejuk dan terbujur kaku. Tidurnya pada malam itu telah menghantarnya kepada kematian yang tidak akan kembali lagi.

Kisah tiga sahabat yang suka berkhemah di luar bandar bersama teman wanita dan berbekalkan minuman keras. Satu hari mereka lupa membawa makanan, lalu salah seorang pergi membelinya dengan menaiki motosikalnya, namun setelah hari hampir malam ia belum balik lagi sedangkan tempat tujuan tidak jauh sangat. Lalu seorang lagi pergi mencarinya dan dipertengahan jalan, terlihat ramai orang berkerumun, ia pun berhenti melihatnya. Alangkah terkejutnya kerana yang kemalangan itu adalah rakannya tadi. Lalu dipangku rakannya yang hampir mati itu, sedang dia tidak tahu nak berbuat apa-apa dan menggigil ketakutan, nak menyebut kalimah “Allah” pun jarang sekali, akhirnya rakannya meraung dengan suara yang memecah kegelapan malam dan kedengaran tarikan nafasnya yang terakhir. Innanlillaahi wa innaa ilaihi raaji 'uun. Usia manusia hanya ada pada Allah SWT.

Seseorang sedang memandu dengan cermat sekali, tiba-tiba sebuah kereta lain yang dipandu laju melanggarnya dari belakang, keretanya lalu tercampak dan bergolek beberapa kali. Ia tidak bergerak. Orang ramai segera memberikan pertolongan, kelihatan pemandunya seoarang pemuda yang taat menjalankan perintah Allah SWT. Ketika orang ramai cuba mengeluarkanya dari kereta yang remuk itu, kedengaran bacaan ayat-ayat suci al-quran, sangkanya dari radio didalam kereta tersebut, ternyata setelah diamat-amati suara tersebut datangnya dari mulut pemandu yang mengalami kemalangan. “Subhanallah” dalam keadaan yang kritikal, tulang-tulangnya yang patah, dan saat menghampiri kematian, pemuda tersebut masih mampu untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang merdu tetapi amat perlahan. Orang ramai yang mendengarnya menjadi tergamam dan senyap sunyi. Ada yang menggigil dan menitiskan air mata.

Tiba-tiba suara itu berhenti dan kelihatan jari telunjuk kanannya diluruskan dan mulutnya mengucapkan dua kalimah syahadah lalu perlahan-lahan kepalanya terkulai. Dia telah meninggal dunia. Sangat ramai orang yang terkesan sehingga menitiskan air mata ketika itu suasana sangat mengharukan. Orang pun ramai yang sanggup menghantarnya kehospital untuk pengesahan kematiannya. Setelah pihak hospital mengesahkan kematiannya dan menghubungi warisnya, ramai juga yang menghantar jenazah tersebut sampai kerumahnya.

Dirumah jenazah tersebut, telah sedia orang ramai berkumpul untuk meyolatkannya dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Didalam liang lahat yang sempit, almarhum disemadikan. Wajahnya dihadapkan ke kiblat. Dengan nama Allah SWT dan atas agama Rasulullah SAW, perlahan-lahan tanah dimasukkan sehingga keparas bumi. Mintalah kepada Allah SWT keteguhan hati kerana sesungguhnya ia akan ditanya. Almarhum menghadapi hari pertamanya di hari-hari akhirat…

Selesai pengkebumian dan bacaan doa, salah seorang saudaranya memaklumkan bahawa ketika kemalangan tersebut berlaku, pemuda tersebut sedang dalam perjalanan balik kekampungnya untuk menziarahi neneknya. Disamping itu ia juga memberi bantuan kepada penduduk-penduduk kampong yang miskin, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim. Ia membawa barang-barang keperluan asas saperti beras, gula, susu, tepung, minyak masak dan buku-buku agama serta kaset-kaset pengajian agama untuk diberikan kepada orang-orang yang diziarahinya. Itu adalah pekerjaan rutin bulanannya walaupun kampungnya agak jauh dari tempat tinggalnya. Telah menjadi kebiasaannya semasa pemanduannya, ia menghafal dan mengulang bacaan al-Quran dan juga mendengar keset-keset pengajian agama sambil mengharapkan ridho Allah pada setiap langkah perjalanannya.

Ingatlah akan hakikat kematian, bahawa manusia akan mengakhiri hidupnya dengan baik atau buruk. Kesudahan hidup itu biasanya pertanda dari apa yang dilakukan olehnya selama hidup didunia.

Wahai anak-anak ayah, bersegeralah bertaubat dari kebiasaan burukmu. Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dosa-dosamu di masa lalu dan meneguhkanmu untuk tetap mentaati-Nya, memberimu kesudahan hidup yang baik (khusnul khatimah) serta menjadikan pusaramu sebagai taman-taman Surga.

Amin...ya Rabbal’alamin.



Monday, 11 August 2014

Kembara Bumi Kemboja ... akhirnya aku sampai jua ..



Memang telah agak lama aku menyimpan angan-angan untuk menziarahi rakan seagama di bumi Kemboja sehinggalah pada pertengahan Ramadan 1435 H yang baru lepas, aku berkesempatan untuk mengikuti satu rombongan misi bantuan kemanusiaan ke Kemboja yang dianjurkan oleh satu badan NGO bebas.


HARI PERTAMA

Pada hari yang ditetapkan,  pagi itu aku meminta isteriku  menghantar aku sehingga ke Jalan Hj Salleh sahaja, kemudian aku berjalan kaki ke stesen KTM Komuter Sentul.



Aku hanya menaiki KTM Komuter untuk ke KL Sentral. Keadaan di stesen lengang sahaja. Aku membeli tiket dan kemudian menunggu keretapi datang di tingkat bawah. Keretapi tiba mengikut jadual dan aku terus masuk. Keretapi bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Sentul. Tak lama duduk di dalam keretapi, dah sampai di Stesen Sentral KL.

Aku tidak perlu terburu-buru ke KLIA 2 kerana penerbangan ke Phnom Penh hanya akan berlepas jam 3.00 petang. Di KL Sentral, aku berehat sebentar sebelum turun ke tingkat bawah untuk menaiki Aerobus ke KLIA 2. Harga tiket hanya rm10.00 sehala.




Bas ke KLIA 2 juga bergerak mengikut jadual. Sejam kemudian, bas pun sampai di KLIA 2. Aku terus turun dan masuk ke dalam. Terpaksa berjalan kaki agak jauh sebelum sampai ke ruang legar dihadapan pintu perlepasan antarabangsa. Disitu sudah ada beberapa orang anggota NGO berkenaan berkumpul menunggu rakan-rakan yang lain. Aku memperkenalkan diri kepada ketua rombongan kerana itulah pertama kali aku berjumpa dengan mereka.

Oleh kerana waktu sudah melangkaui 1.30 tengah hari, aku beredar ke surau untuk mendirikan solat jamak zohor dan asar di surau KLIA 2 yang terletak tidak jauh dari pintu perlepasan antarabangsa.


Masa tu belum ada orang datang solat. Tempat wuduk dan ruang solatnya bersih dan rapi ... mungkin masih baru lagi. Selesai melaksanakan kewajipan kepada Allah swt, aku kembali ke ruang legar perlepasan antarabangsa dan semua anggota rombongan telah sedia berkumpul.



Kami bersama-sama bergerak melalui pemeriksaan di pintu perlepasan antrabangsa. Kami terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk melintasi “aerobridge” sebelum sampai ke pintu perlepasan P. Di situ kami melalui satu lagi pemeriksaan sebelum sampai ke dewan perlepasan. Nasib baik pintu perlepasan P1, jadi tak perlu berjalan jauh lagi. Kelihatan pesawat Air Asia sudah sedia untuk menerima kemasukan kami.

Setelah kami berada didalam pesawat, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Mungkin disebabkan hujan lebat atau sebab-sebab lain menyebabkan berlaku kelewatan perlepasan pesawat Air Asia ke Phnom Penh yang kami naiki. Aku tidak kisah sangat, kerana kita hanya merancang tetapi Allah swt yang menentukan. Akhirnya jam 4.00 petang baru pesawat Air Asia dapat berlepas.


Dari  KAMPUCHEA  Ke  KEMBOJA

Kemboja atau Kampuchea merupakan sebuah negara di Asia Tenggara. Rakyatnya biasa dikenali sebagai Cambodian atau Khmer yang sebahagian besarnya beragama Budda Theravada dan hanya sebahagian kecil sahaja beragama Islam iaitu dari keturunan Islam Cham.

Pada 9 November 1953, Perancis mengakhiri penjajahannya di Kemboja semenjak tahun 1863.  Setahun kemudian, Raja Norodom Sihanouk yang kembali daripada Thailand telah memenangi pilihanraya. Pada tahun 1955, Norodom Sihanouk telah mengembalikan tahta kepada ayahnya, Norodom Suramarit. Norodom Sihanouk kemudian memasuki dunia politik dan memenangi pilihanraya  tahun 1955,1958, 1962 dan 1966.

Pada bulan Mac 1969, tentera Amerika mulai mengebom tentera Vietcong di Kemboja. Pada tahun 1970, semasa Norodom Sihanouk melawat Moskow, Marshal Lon Nol telah menawan Phnom Penh dan menghapuskan kerajaan serta mengistiharkan sebuah negara republik. Norodom Sihanouk tidak balik ke Kemboja dan memilih menetap di Peking, China.

Khmer Rouge merupakan serpihan Parti Komunis Kampuchea.  Pada tahun 1960-an hingga 1970-an, Khmer Rouge melakukan perang gerila melawan rejim Shihanouk dan Marshal Lon Nol. Pada 17 April 1975, Pol Pot yang memimpin tentera Khmer Rouge berjaya menggulingkan kerajaan dan melantik dirinya sebagai pemimpin Kemboja. Pol Pot memerintah secara kejam dengan membunuh sebahagian besar penyokong Shihanouk dan Lon Nol terutama oarng-orang yang berpendidikan. Penduduk Phnom Penh dan daerah lain terpaksa berpindah ke daerah pendalaman.

Selama empat tahun Pol Pot dan Khmer Rouge berkuasa, hampir atau lebih 3 juta rakyat diseksa sebelum dibunuh di lebih 300 padang pembunuhan (Killing Field). Seorang dokter bernama Haing S Ngor telah berjaya melepaskan diri daripada rejim Khmer Rouge dimana dalam tahun 1984 beliau telah menerima Oscar hasil peranannya sebagai pemberita dalam filem “Killing Field”.

Pada 25 disember 1978, tentara Vietnam memasuki Kemboja dan pada 7 Januari 1979, telah menduduki Phnom Penh dan menggulingkan pemerintahan Pol Pot. Pemerintahan boneka dibentuk di bawah pimpinan Heng Samrin, namun tidak diakui oleh negara-negara Barat.

Pada tahun 1982, tiga kelompok utama yang masih bertahan di Kemboja iaitu Khmer Rouge, Barisan Kemerdekaan Kebangsaan dan Pangeran Sihanouk telah membentuk kerjasama dan akhirnya berjaya mengeluarkan tenteran Vietnam  daripada Kemboja pada tahun 1989.

Pada tahun 1992, PBB (UNTAC), mengambilalih sementara pemerintahan negara Kemboja manakala tahun berikutnya PBB mengiktiraf pilihanraya demokrasi yang telah dimenangi oleh FUNCINPEC yang kemudiannya membentuk kerajaan campuran bersama Partai Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen.


Dengan bantuan Negara-negara asing, Kemboja kini berkembang pesat dengan rakyat di bandar dan desa telah mula merasi kehidupan yang lebih selesa dan harmoni.


Lebih kurang dua jam berada dalam penerbangan, ketua peramugari Air Asia mengumumkan yang pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Phnom Penh. Girang rasanya kerana akhirnya aku akan menjejakkan kaki di bumi Kemboja.


Setelah pesawat mendarat, kami secara berkumpulan bergerak ke tempat untuk mengambil bagasi.

Semasa melalui pemeriksaan kastam, salah satu beg yang mengandungi ubat-ubatan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut, jadi terpaksalah kami menunggu. Alhamdulillah, akhirnya barangan tersebut diberi pelepasan dan kami meninggalkan lapangan terbang lebih kurang jam 6.00 petang waktu tempatan dan terus menuju ke hotel.



Sampai di hotel hari sudah mulai gelap kerana telah masuk waktu maghrib. Kami menginap di Hotel Holiday Villa, sebuah hotel yang agak lama di Kota Phnom Penh. Kami hanya berbuka puasa dengan buah kurma dan air mineral sahaja pada hari pertama berbuka di Phnom Penh.



Selesai urusan check-in bilik masing-masing, baru kami dibawa keluar untuk makan malam di sebuah Restoran Halal Mamak Malaysia di Khan Doun Penh. Ketua rombongan kami telah menempah makanan di situ, jadi bila kami sampai terus sahaja kami makan. Aku ada berbisik kepada ustaz pengiring kalau boleh hantar ke masjid untuk menunaikan solat terawih, tetapi katanya majoriti mahu balik ke bilik hotel. Aku menurut sahaja. Selesai makan malam, dengan perut kenyang, kami balik semula ke hotel untuk berehat kerana esuk ada misi yang perlu diuruskan. Sementara rakan sebilikku pergi ke pasar berhampiran untuk membeli buah, aku mengambil peluang untuk bersolat terawaih secara solo di dalam bilik sahaja.



Inilah menu makan sahur kami pada malam pertama di Phnom Penh yang disediakan oleh Holiday Villa. Hanya nasi putih dan ayam goreng sahaja. Oleh kerana makan sahur itu sunnah, aku habiskan juga bersama segelas Ali Cafe yang aku bawa dari Malaysia.



HARI KEDUA

Pagi hari kedua di Phnom Penh, 7 orang termasuk aku telah pergi ke kampung dimana misi bantuan kemanusiaan akan dilaksanakan keesukan harinya, manakala yang lain ada yang tinggal berehat di bilik hotel dan ada yang shopping di Central Market.

Kami menunggu lebih satu jam baru van yang penuh dengan barangan makanan sampai menjemput kami di hotel. Kami bertujuh terus manaiki van dan meninggalkan hotel untuk ke Kampong Barain di Daerah Kandal lebih kurang 42 km dari bandar Phnom Penh. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Toul Tom Poung Market atau biasa di panggil Russian Market kerana salah seorang daripada kami ada yang ingin menempah baju melayu untuk raya. Katanya murah dan boleh siap dalam masa satu hari sahaja.



Ini dia Pasar Russia yang sentiasa penuh sesak, gerai jualannya rapat-rapat dengan berbagai barangan, tukang jahit berderetan yang menawarkan harga yang agak murah dan perhidmatan yang cepat. Masaalah utama untuk pengunjung dari Malaysia ialah masaalah bahasa, jadi terpaksa pergi bersama ustaz pengiring sebagai penterjemah. Aku tak sempat mencari jawapan kenapa Toul Tom Poung Market di kenali sebagai Russian Market.

Walaupun tidak begitu jauh, namun sebab keadaan jalan yang kurang baik dan van yang sarat dengan muatan, selepas hampir dua jam dalam perjalanan baru kami sampai. Kami langkah kanan, kerana sampai sahaja, azan zohor dikumandangkan. Jadi kami mengambil kesempatan untuk solat zohor berjamaah bersama penduduk tempatan sebelum kami sama-sama solat jamak takdim asar.


Selepas solat dan para jemaah meninggalkan masjid, aku pun mulalah merakam beberapa pos untuk kenangan. Gambar atas tengah, adalah satu-satunya masjid di kampung tersebut. Gambar kecil atas kanan, ruang dalam masjid yang agak luas dan bersih. Gambar kecil atas kiri (bawah), antara para jemaah masjid.


Sementara itu, kerja-kerja memindahkan barangan yang akan disumbangkan kepada penduduk tempatan pada keesukan hari sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung dan diperhatikan dari jauh oleh dua orang anggota petugas NGO, yang berbaju hijau dan berbaju jalur merah putih. Barangan tersebut disimpan didalam bilik darjah sekolah agama bersebelahan dengan masjid.


Inilah dia antara rumah-rumah penduduk Islam di kampong berkenaan. Ada yang daif tetapi banyak juga yang agak mewah sehingga “railing” tangga diperbuat daripada stainless steel. Kebanyakannya membela lembu di bawah rumah masing-masing. Menurut ketua rombongan, kampung ini tidaklah begitu mundur berbanding dengan kampung yang mereka pernah pergi sebelum ini.


Selesai menghantar barang, kami balik semula ke hotel di Phnom Penh. Kami tidak melalui jalan yang sama sebaliknya kami menyeberangi sungai menggunakan feri kerana van kami telah pun kosong. Gambar atas tengah ... berbaju merah adalah ketua misi bantuan dari Malaysia. Kami terus balik ke hotel untuk berehat.

Disebelah petang, lebih kurang jam empat petang sementara menunggu waktu berbuka puasa, rombongan kami telah dibawa untuk menaiki bot menyusuri Sungai Tonle Sap. Sampai sahaja kami dipengkalan bot, banyak pengusaha bot menyerbu ustaz pengiring kami untuk menawarkan perhidmatan.


Setelah berlaku tawar menawar harga, akhirnya kami dibawa kesebuah bot dua tingkat yang sederhana saiznya. Kami hanya perlu menuruni anak tangga dan berjalan diatas titi papan untuk sampai ke bot berkenaan.  Tiada pengkalan yang khusus untuk bot-bot persiaran berkenaan. Walaupun bot kami hanya menyusuri sungai, namun ianya bergelombang juga apabila berselisih dengan bot-bot yang lain. Oleh kerana aku mudah mabuk bila bot bergoyang, jadi aku hanya duduk dibahagian bawah sahaja bersama dua tiga orang yang senasib dengan ku termasuk ketua rombongan.


Tujuan utama menaiki bot menyusuri Sungai Tonle Sap adalah untuk melihat perkampungan sampan dimana kebanyakan orang Islam menjadikan sampan sebagai tempat tinggal mereka. Sepanjang lebih kurang satu kilometer kami menyusuri sungai, kelihatan rumah sampan berderetan sepanjang tepi sungai. Kehidupan mereka sebagai nelayan sungai mencari ikan untuk dijual bagi membeli barangan keperluan harian yang lain. Mereka hidup dalam serba kekurangan, namun mereka tetap tinggal didalam sampan sehingga beranak pinak. Aku tak dapat bayangkan bagaimana mereka ....


Kelihatan beberapa bot lain juga sedang menyusuri Sungai Tonle Sap. Ada yang mengadakan majlis hari jadi di atas bot, ada juga yang menikmati makan petang di atas bot. Juga terdapat kapal pengorek pasir dan juga kapal pasukan keselamatan Negara Kemboja untuk mengawasi keadaan. Cuaca petang itu begitu nyaman sehingga tidak disedari waktu sudah menghampiri jam 6.00 petang. Waktu berbuka pula jam 6.30 petang sedangkan kami masih lagi berada di atas bot.

Menyedari kelewatan tersebut, ustaz pengiring kami terus mengarahkan pemandu bot untuk berlabuh. Kami bergegas keluar dari bot dan mujurlah bas sudah sedia menunggu kami. Dalam keadaan hujan renyai-renyai kami meninggalkan bot dan berjalan untuk menaiki bas. Bas kami terus bergerak dalam jalan yang agak sesak dan akhirnya kami sampai kesebuah restoran lima minit sebelum waktu berbuka puasa.


Petang itu kami berbuka puasa di Restoran D’Nyonya yang dimiliki oleh usahawan Malaysia yang telah menetap di Phnom Penh. Masakan ala Malaysia, rasa pula sedap, perut pun lapar, jadi tiada masaalah untuk kami menghabiskan juadah yang disediakan.


Selepas selesai berbuka puasa dan makan malam, kami dibawa ke Phnom Penh Night Market. Keadaan begitu sesak dengan para pengunjung. Tujuan kesana hanya untuk minum segelas air tebu madu. Memang sedap, tapi perut masih lagi penuh, jadi satu gelas pun susah nak habis. Kami lepak diatas tikar sahaja malam itu.

Dalam banyak-banyak gerai yang menjual makanan, ada juga gerai yang menjual makanan halal yang diusahakan oleh penjual beragama Islam. Mereka hanya mengharapkan pengunjung Islam saperti kami untuk membeli jualan mereka sedangkan penduduk Islam tempatan sangat sedikit.



Tidak jauh dari Phnom Penh Night Market, satu pertunjukkan bunga api sedang dijalankan. Walaupun rakyat Negara Kemboja agak miskin, tetapi mereka mampu juga mengadakan pertunjukkan bunga api. Juga terdapat satu papan tanda besar “Visit Malaysia 2014” berhampiran dengan Phnom Penh Night Market.

Kira-kira satu jam berlegar-legar di Phnom Penh Night Market, kami balik ke hotel penginapan untuk berehat kerana hari esuk ada misi yang akan kami jalankan. Seperti malam semalam, aku hanya bersolat jamak maghrib dan isyak dan solat sunat terawih didalam bilik sahaja.



Ini pula menu makan sahur malam kedua di Phnom Penh, mee goreng dan sosej sahaja, tanpa kuah atau sos. Namun aku dan rakan sebilik menikmatinya dengan rasa syukur kepada Allah swt.




HARI KETIGA

Keesukan paginya, jam 9.00 pagi semua sudah bersiap di lobi hotel menunggu untuk menaiki bas. Masing-masing bersemangat untuk melaksanakan misi kedatangan kami ke Kemboja. Namun bas tidak kunjung tiba. Jam 10.00 pagi baru bas sampai. Alasannya terpaksa tukar bas kerana bas yang semalam mengalami masaalah alat penghawa dingin.


Sampai sahaja bas gantian yang lebih selesa, kami bergegas naik. Bersedia didalam bas untuk menuju ke destinasi tujuan. Biasalah, aku kalau naik bas, memang jadi backbencher. Bertopi dan berT-shirt biru adalah rakan sebilikku. Gambar kecil atas kanan ... ustaz pengiring sedang memberi taklimat dan juga bacaan doa musafir. Bas memang tidak penuh kerana rombongan kami hanya seramai dua puluh sembilan orang termasuk kanak-kanak.


Perjalanan kami ke destinasi tujuan melalui beberapa pekan kecil dengan jalan yang agak sempit serta berdebu dan belopak-lopak. Jadi bas tidak dapat bergerak laju. Walaupun destinasi tujuan hanya berjarak lebih kurang 42 km daripada kota Phnom Penh, ia mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit baru sampai.


Akhirnya kami sampai jua. Rombongan kami telahpun sampai di pintu gerbang Masjid Al-Naim, Parinkerom. Gambar atas kiri ... paling kiri adalah ustaz yang mengiringi kami sepanjang berada di Kemboja. Nombor tiga dari kanan adalah ketua rombongan dari Malaysia. Gambar kecil atas, adalah anggota squad para medik yang terdiri dari lima orang doktor perubatan bertauliah dan tiga pelajar tahun lima fakulti perubatan UM.

Kami terpaksa berjalan kaki lebih kurang 150 meter untuk sampai ke masjid kerana bas tidak dapat melalui jalan dan pintu gerbang yang sempit.


Sampai di perkarangan masjid, kami dapati penduduk tempatan sedang sebok memasak dan ada yang sedang memanggang lembu untuk dijadikan lauk berbuka puasa. Beruntung sungguh rombongan kami dapat makan lembu golek.

Pasukan kami tidak membuang masa terus memulakan kerja untuk mengubah sebuah bilik darjah menjadi kelinik sementara untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.


Kelihatan  squad paramedik sedang menyiapkan susunan kedudukan meja doktor, meja mengambil ubat dan kerusi pesakit, sebelum pemeriksaan kesihatan dimulakan. Mereka berkerja sebagai satu pasukan yang pantas dan dalam masa tidak sampai setengah jam kelinik tersebut telah sedia untuk menerima pesakit.



Pemeriksaan kesihatan percuma pun dimulakan. Oleh kerana penduduk tempatan tidak boleh berbahasa melayu dan anggota paramedik juga tidak faham bahasa mereka, hidmat penterjemah terpaksa digunakan untuk berkomunikasi. Ini menjadikan proses pemeriksaan kesihatan agak lambat sedikit, namun segalanya berjalan lancar. Squad paramedik berkerja terus menerus, hanya berhenti untuk solat secara bergilir dan meneruskan semula pemeriksaan kesihatan, kerana begitu ramai penduduk tempatan yang menunggu untuk diperiksa.


Lihat sahaja begitu ramai penduduk tempatan yang hadir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang jarang-jarang mereka dapati. Antara yang menunggu giliran ialah tiga dara yang memberikan pos istimewa bila aku mahu merakam gambar mereka. Lebih kurang jam 5.30 petang baru pemeriksaan kesihatan berakhir. Walaupun squad paramedik keletihan, namun mereka puas kerana dapat menabur bakti kepada penduduk tempatan yang seagama. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas segala usaha mereka.

Selesai sahaja pemeriksaan kesihatan, maka bermulalah pengagihan bantuan bahan makanan kepada keluarga yang layak menerima bantuan. Di kampung tersebut terdapat lebih kurang 500 keluarga Islam tetapi hanya 370 keluarga sahaja yang layak menerima bantuan bahan makanan. Penilaian serta bancian telah dijalankan oleh ketua kampung berkenaan dan mereka yang layak telah diberikan kupon bagi memudahkan agihan barangan makanan kepada mereka.


Pengagihan dimulakan oleh ketua rombongan (bertopi dalam gambar atas kanan).


Kemudian kami secara bergilir-gilir menyampaikan bahan makanan kepada penerima yang layak sehinggalah selesai.


Selesai mengagihkan barangan makanan, tiba pula masa kanak-kanak tempatan menerima sumbangan duit raya. Lebih kurang 700 kanak-kanak telah berkumpul dan kami sekali lagi secara bergilir-gilir menghulurkan sumbangan ikhlas kepada kanak-kanak yang setia duduk menanti. Memang sungguh meriah mereka menerima sumbangan kami walaupun tidak seberapa.

Aku merasa sebak melihat keadaan mereka dan bersyukur kerana dapat juga menghulurkan sedikit sumbangan mudah-mudah dirahmati dan diberkati Allah swt.


Waktu berbuka puasa sudah hampir dan juadah sudah siap terhidang di atas meja. Nasi putih dengan daging lembu panggang dan ikan toman bakar berserta sambal cecah memang sangat menyelerakan. Walaupun tiada lauk berkuah, habis juga aku makan sepinggan. Aku makan bersama-sama ustaz pengiring dan juga imam masjid tempatan yang telah berusia hampir lapan puluh tahun. Aku makan bersama mereka ... orang dulu-dulu kata untuk mengambil berkat.

Malam itu selepas solat maghrib kami meninggalkan Kampung Barain dengan seribu kenangan dan berharap segala usaha yang sedikit itu dijadikan oleh Allah swt sebagai amalan soleh sebagai bekalan untuk menghadap-Nya kemudian.

Malam terakhir di Phnom Penh, aku dan rakan sebilik terlewat bangun. Agaknya kami kepenatan setelah sehari berhidmat di Kampung Barain. Jaga-jaga sudah jam 4.50 pagi sedangkan waktu subuh masuk jam 4.35 pagi. Pagi itu kami berdua tidak makan sahur namun kami tetap niat berpuasa. Selepas mendirikan solat subuh, kami tidur semula.


HARI TERAKHIR

Hari keempat adalah hari terakhir kami berada di Phnom Penh. Pagi itu tidak ada aktiviti khusus sementara menunggu penerbangan balik ke KL jam 4.40 petang. Ada yang duduk dibilik hotel sahaja dan ada yang ke Central Market. Aku mengambil kesempatan untuk menziarahi masjid yang ada di kota Phnom Penh. Aku pergi berseorangan sahaja kerana rakan sebilik memilih untuk tidur sahaja bila aku mempelawanya pergi bersama.

Di Phnom Penh, masaalah utama ialah pertuturan kerana sangat sedikit yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi aku bernasib baik, kerana pemandu “tuk-tuk” yang aku naiki boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak begitu fasih. Setelah menerangkan tempat tujuan ku, ia pun membawa aku ke destinasi pertama.

Masjid ini (gambar bawah kanan) adalah masjid terbesar di Kota Phnom Penh tetapi kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf sedang dijalankan.


Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Al-Azhar (Al-Serkal Mosque) yang merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab Saudi selepas kejatuhan kerajaan Khmer Rouge di Kemboja. Terletak di Boeung Kak yang dahulunya sebuah tasik yang kini telah kering. Gambar kecil atas bawah, berkubah kuning adalah masjid asal. Kerja-kerja mengubahsuai bermula seawal tahun 2013 dan dibiayai oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan sehingga kini masih belum siap sepenuhnya. Pagar keselamatannya berkunci, jadi aku tak dapat masuk ke dalam.


Selesai di Masjid Al-Azhar, pemandu tuk-tuk membawa aku ke satu lagi masjid iaitu Masjid Jamek Al-Islami (Mosque Al Jamee Al Islami) yang terletak di Khan Chamkarmon. Masjid ni kecil sahaja tidak sehebat masjid Al-Azhar. Namun aku bersyukur kerana dapat mendirikan solat sunat tahiyat masjid dan juga solat sunat dzuha didalamnya. Beberapa buah kereta mewah dipakir di dalam kawasan masjid ... aku tak dapat mencari jawapan siapa pemiliknya.


Dari Masjid Jamek Al-Islami, pemandu tuk-tuk membawa aku ke tempat paling popular di Phnom Penh iaitu Regie Du Marche Central atau Central Market juga dikenali sebagai Pasar Kubah Kuning. Central Market memang lebih besar dan moden berbanding Russian Market, tetapi keadaan dalamannya lebih kurang sama sahaja, kedai-kedai berderetan menjual berbagai barang, memang rambang mata dibuatnya.


Hampir satu jam aku meronda di Central Market, aku hanya membeli sepasang kain sutera, kain selempang dan fridge magnet sebagai ole-ole dari Phnom Penh. Akhirnya aku meminta pemandu tuk-tuk untuk menghantar aku semula ke hotel kerana waktu check-out sudah hampir tiba.



Sampai di hotel aku terus berkemas kemudian turun ke lobi hotel kerana bas telah sedia menunggu untuk menghantar rombongan kami balik ke Lapangan Terbang Phnom Penh.


Lebih kurang jam 2.00 petang kami sudah berada di Lapangan Terbang Phnom Penh. Orang belum begitu ramai dan selepas berbaris lebih kurang dua puluh minit, sampai giliran aku untuk mendapatkan Boarding Pass. Aku terus bergegas ke bilik solat untuk menjalankan kewajipan kepada Allah swt. Alhamdulillah setelah berada didalam penerbangan sekitar dua jam, penerbangan Air Asia AK 535 telah selamat mendarat di KLIA 2.

Demikian sedikit catatan perjalanan ....