Tuesday, 12 March 2013

Kalau hatiku sedang rindu (3)… Panggilan Ilahi


Keesukan paginya kami mendaftar keluar dari Tasik Kenyir Resort satelah dua malam menghuni sebuah chalet yang menghadap ke tasik. Percutian yang singkat tetapi cukup mendamaikan, banyak kenangan manis yang tersimpan didalam sanubari dan aku berhasrat untuk datang lagi sekiranya diizinkan Allah swt. Kami meneruskan perjalanan kedestinasi utama percutian kami ke Pantai Timur iaitu menziarahi keluarga allahyarham sahabatku semenjak tahun 1984.

Satu petang, sedang aku membersihkan sekitar kawasan rumah, tiba-tiba talifon bimbitku berdering. Aku segera menjawab dan memberi salam. Tiba-tiba aku terkedu kerana pemanggilnya memaklumkan bahawa sabahatku itu telah meninggal dunia di Madinah lebihkurang jam 3.00 pagi sebelum subuh jumaat. Dalam keadaan sedih aku menyebut kalimah istirjaa “Sesungguhnya kami adalah milik Allah swt dan kepada-Nya lah kami kembali”… demikian maksud Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 156 … dan aku mensedekahkan bacaan al-fatihah. Tanpa aku sedari air mataku menitis kerana didalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidhi, dari Abdullah Bin A'mru katanya: Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud “Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah swt menyelamatkannya dari fitnah kubur” … telah berkata al-Albani dalam Ahkam Janaiz, hadis yang dihimpunkan dari pelbagai toriq itu adalah hasan atau sohih, jelaslah hadis ini menunjukkan kelebihan bagi sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan baiknya pengakhiran seseorang itu. Sangat beruntunglah, mereka-mereka yang telah meninggal dunia pada hari jumaat.

Didalam hadis yang lain riwayat daripada Imam Ahmad dari Abdullah bin Umar r.a. katanya Nabi saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ”. Didalam kitab al-Muwatta`ada nukilan yang menyatakan Umar bin al-Khattab r.a. telah berdoa kepada Allah swt; “Ya Allah berilah kepadaku syahadah ke jalanMu, mati di negeri NabiMu”, dan sebagaimana yang kita ketahui, sememangnya doa Saiyidina `Umar r.a. ini dimakbulkan Allah swt di mana beliau meninggal dunia di Madinah. Saad bin Abi Waqqas dan Said bin Zaid telah membuat perjanjian agar apabila mereka meninggal dunia supaya dibawa ke Madinah dan dikebumikan di sana. Alangkah beruntungnya orang yang dapat meninggal dunia di tanah haram Madinah atau Makkah.

Dikatakan bahawa kelebihan Madinah itu sendiri tidak boleh diingkari dan telah diketahui umum, kalau sekiranya seseorang yang meninggal dunia di Madinah bukan seorang yang baik, sekurang-kurangnya dia akan berjiran dengan orang yang soleh dan yang mati syahid dan sebagainya. Dalam hal ini ulamak berpendapat bahawa, tempat pengkebumian seseorang tidaklah boleh membersihkan diri dari dosa dan kesalahan, yang membersihkan seseorang dari dosanya ialah taubat dan amalan soleh, namun begitu jika seseorang yang baik dan beramal soleh kemudian dikebumikan ditempat yang baik akan digandakan pahala amalannya dengan sebab kemuliaan tanah perkuburannya dan akan dihapuskan dosanya. Hadis dari Ibnu Abas daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda yang bermaksud: “Jika mati salah seorang daripada kamu maka hendaklah diperelokkan kafannya, segerakan untuk menyelesaikan wasiatnya, perdalamkan tanah kuburnya dan elakkan dari berjiran dengan orang yang jahat” … lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah, Wahai Rasulullah, adakah mayat didalam kubur akan mendapat syafaat bila berjiran dengan orang yang soleh didalam kuburnya? Jawab Baginda: “ Adakah memberi manfaat ketika hidup didunia?” Jawab sahabat: Ya. Lalu Baginda menjawab: “Demikian juga memberi manfaat diakhirat” … dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan katanya Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Hendaklah kamu kebumikan mayat salah seorang dari kamu di tengah-tengah perkuburan orang yang soleh maka sesungguhnya mayat akan terseksa apabila berjiran dengan mayat yang jahat”. Menurut pandangan ulamak, digalakkan agar kita mendapat rahmat Allah swt dengan harapan agar kita dikebumikan bersama dengan kubur orang yang soleh, kita tinggal berjiran dengan mereka, mengambil berkat dengan mereka semoga mendapat keredaan Allah dengan kedudukan mereka yang hampir dengan Allah swt, hendaklah di jauhkan kubur kamu dari kubur orang yang jahat, iaitu bagi siapa yang takut terseksa apabila berjiran dengan mereka, takut dan tersiksa dengan melihat mereka yang sedang disiksa dalam kuburnya.

Sahabatku itu bermula daripada seorang peladang kemudian kontraktor dan pemaju perumaahan adalah seorang yang sangat dermawan, telah membina beberapa buah masjid dan surau untuk diwakafkan, dan membiayai ramai orang untuk menunaikan rukun islam kelima iaitu mengerjakan haji. Sahabatku itu sendiri setiap tahun berulang alik ke tanah suci Madinah dan Makkah untuk mengerjakan haji atau umrah. Lebih kurang jam 11.00 pagi kami telah sampai ke rumah allahyarham sahabatku itu. Kami memberi salam, lalu dijemput masuk. Daripada cerita balu kepada sahabatku itu, sahabatku telah bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi, sebelum tiba-tiba ia lemah dan meninggal dunia kira-kira jam 3.00 pagi sebelum subuh hari jumaat iaitu hari kedua berada di Madinah. Aku berdoa semuga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh … al-fatihah.

Tiba-tiba telefonku berdering. Aku melihat nombor yang tertera dan aku segera menjawab, pemanggil yang aku kenali dari syarikat pengendali umrah memaklumkan bahawa aku perlu segera memberi butiran nama dan membuat bayaran pendahuluan kerana pakej yang kami pilih tempoh hari telah penuh. Aku memaklumkan kepada isteriku supaya segera mendapatkan butiran terperinci sahabatnya yang ingin pergi bersama kami. Pada tengah hari itu juga aku mendepositkan wang tempahan dan menghantar butiran nama melalui email kepada syarikat tersebut. Setelah itu aku menefonnya untuk memastikan bahawa mereka telah menerima maklumat yang telah aku berikan. Aku sudah tidak sabar menunggu hari yang telah ditetapkan walaupun masih ada beberapa bulan lagi. Aku sudah merasai lambaikan Kaabah, mudah-mudah niat kami akan tercapai  ...  rinduku sudah bertamu di Bumi Madinah dan Makkah ...

Pendidikan Islam Dalam Pembangunan Insan



“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Islam menuntut pengikut-pengikutnya supaya bersandar kukuh kepada akidah Tauhid, dan menjurus penghidupan manusia kearah pengamalan ibadah secara berterusan. Setiap umat Islam diamanahkan memainkan peranan sebagai khalifah dalam masyarakatnya di muka bumi ini. Islam juga menyuruh kepada yang baik dan mencegah yang mungkar.

Segala amalan ibadah setiap orang Islam sebaik-baiknya beroirentasikan “amar-makruf nahi-munkar” terhadap diri sendiri. Misalnya, seseorang Islam itu digalakkan bersembahyang secara berjemaah di saf yang paling hadapan sekali. Untuk mendapatkan saf pertama, dia semestinya melakukan iktikaf di dalam masjid sebelum masuk waktu sembahyang; atau kalau dia mentablighkan orang lain supaya bertaqwa kepada Allah swt, janganlah hendaknya dia dilihat menganiyai kaum kerabatnya sendiri; dan kalaulah dia berdakwah agar orang lain menimba ilmu, tidak manis kalau dia kelihatan menonton televisyen dengan program-program lucu atau ganas; atau kalau dia begitu akrab dengan rakan-rakannya, janganlah hendaknya dia kelihatan menghina ibubapanya sendiri; atau kalau dia kelihatan meraikan tetamu di rumah, janganlah hendaknya dia kelihatan memulau jiran tetangganya; dan kalaulah dia sudahnya berjaya dalam perniagaan hingga menjadi kaya-raya, janganlah pula dia melupakan nasib anak-anak yatim miskin yang duduk berhampiran banglo mewahnya.

Apa yang perlu ialah keperihatinan tentang tanggungjawab kita sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah swt untuk membantu memakmurkan muka bumi ini. Hendaklah kita wujudkan keseimbangan dalam mentadbirkan hal-elwal hidup kita di dunia yang fana ini.

Seruan Belajar Dan Mengajar

Pentingnya Pendidikan Islam dapat difahami dengan baik jika kita memperhatikan kembali wahyu pertama yang turun kepada Nabi Muhammad saw. Firman Allah swt dalam Surah Al-‘Alaq, ayat 1 hingga 4 yang bermaksudnya: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam”.

Seruan “bacalah” yang di ulang-ulang pada wahyu pertama ini adalah petunjuk paling kuat untuk maju dan membangun dengan kunci membaca. Pembacaan yang didorong oleh al-Qur’an, bukan sekadar membaca huruf-huruf abjad semata-mata untuk melepasi keadaan buta huruf tetapi juga pembacaan terhadap kehidupan, alam sekeliling, malah terhadap Tuhan atau seluruh unsur yang wujud.

Ayat-ayat tersebut juga menyatakan bahawa Allah swt disamping menyeru Nabi Muhammad saw membaca, Allah swt juga mengajar Nabi Muhammad saw membaca dengan perantaraan kalam-Nya. Ini dinyatakan melalui firman-Nya dalam surah al-Qalam, ayat 1 yang bermaksud: “Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis”. Seruan “demi kalam dan apa yang mereka tulis” adalah seruan untuk menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu.

Perlu diketahui bahawa perintah pertama kepada Nabi Muhammad saw adalah memajukan dan membangunkan ilmu, seperti firman Allah swt dalam Surah Asy-Syu’araa, ayat 214 yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat”.

Keluargaku Syurgaku

Oleh yang demikian, proses pembangunan ilmu mesti dimulakan dari keluarga kita sendiri . Ini adalah cara yang dilakukan oleh para Nabi dan Rasul. Allah swt juga berfirman kepada orang beriman dalam al-Qur’an iaitu melalui Surah al-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”.

Para sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad saw, “Bagaimana kita menyelamatkan keluarga kita dari api neraka? Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Dengan memberi mereka Pendidikan Islam”.

Pembaharuan Jiwa

Pendekatan dengan menekankan Pendidikan Islam, memerlukan suatu pembaharuan. Pembaharuan sesuatu masyarakat tidaklah datang dengan tiba-tiba atau secara kebetulan sahaja. Bangsa-bangsa didunia bangun sesudah tidurnya, menjadi kuat sesudah mengalami kelemahan, maju sesudah mundur, adalah setelah melalui pembangunan ilmu yang sihat dan mendalam iaitu sesudah mengalami perubahan jiwa dan berfikir.

Perubahan jiwa ini merupakan suatu revolosi dan pembaharuan, tentang tujuan hidup dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, keinginan dan kebiasaan. Setiap gerakan, kebangkitan, revolusi, politik, ekonomi, hendaklah sejajar dengan pembaharuan jiwa dan semangat. Begitulah sunnatullah, undang-undang Tuhan dalam alam ini, sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu bangsa, sebelum mereka merubah keadaan diri (jiwa) mereka sendiri”.

Melakukan pembaharuan jiwa dan semangat, ini bukanlah sesuatu yang mudah dan ringan, ia adalah suatu pekerjaan yang amat berat dan sulit. Ini disebabkan manusia adalah makhluk yang bertemu dan bercampur aduk dalam dirinya berbagai keadaan dan sifat-sifat yang beraneka ragam.

Bukan perkara yang mudah membentuk manusia sampai mengetahui kebaikan dan mencintai kebaikan itu untuk orang lain, sebagaimana mencintai untuk dirinya sendiri. Tiada manusia yang mahu bersusah payah dan letih untuk memperbaiki mana yang rusak, memanggil orang lain kepada kebaikan, menyuruh berbuat baik, mencegah kemungkaran dan rela berkorban dengan diri dan harta benda di jalan yang hak.

Iman Merubah Jiwa

Tetapi iman satu-satunya yang menimbulkan keajaiban. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia, untuk menerima buah fikiran yang baik, biarpun didalamnya tersembunyi pikulan kewajiban, pengorbanan dan kesulitan. Iman adalah satu-satunya unsur yang dapat mengadakan perubahan dalam jiwa manusia dan menjadikan manusia dalam bentuk yang baru, sehingga berubah tujuan hidupnya dan jalan yang ditempuhnya, berubah tingkah laku, pandangan hidup, perasaan dan pertimbangannya.

Apabila iman telah mendalam dan telah bersemi dengan jiwa, nescaya ia sanggup merubah tujuan hidup seseorang, merubah pandangan hidupnya tentang alam dan kehidupan, terhadap segala sesuatu dan segala pekerjaan pengaruh iman itu bagi pembaharuan, bukan hanya terbukti dalam kehidupan masyarakat, umat dan bangsa dalam sejarahnya, juga bagi kehidupan peribadi dan perseorangan.Iman dapat merubah haluan, merubah tingkah laku, merubah budi pekerti, bahkan merubah kebiasaan seseorang tentang makan minum. Iman itu memberi pendidikan yang mendalam bagi peribadi seseorang, sehingga menjadi peribadi yang baik.

Sebab itu peribadi yang beriman, kalau dia seorang peniaga, dia peniaga yang jujur. Kalau dia hidup miskin tetap menjaga kehormatan dirinya dan mahu bekerja keras. Kalau dia menjadi seorang yang kaya-raya, dia suka menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Kalau menjadi pemimpin, dia akan menjadi pemimpin yang ikhlas dan jujur.

Di atas peribadi yang baik ini berdirilah masyarakat Islam yang baik dan memberikan kebaikan, kepada perseorangan dan masyarakat, kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Maka untuk menciptakan masyarakat yang adil, makmur dan beradab , perlu dibina keiman dalam jiwa setiap peribadi yang akan menjadi anggota yang akan menentukan bentuk masyarakat yang diidamkan.

Ada orang mempunyai anggapan yang salah yang mengatakan bahawa iman dan akidah keagamaan itu mengurangi dan melambatkan prestasi kerja atau menjadi penghalang kepada pertumbuhan dan perkembangannya. Kesalahan fahaman ini timbul kerana menurut pendapatnya, apabila iman itu telah masuk ke dalam hati seseorang, dia merasa hidupnya sudah ditentukan dan tidak lagi ada perasaan kebebasan.

Iman Meningkatkan Produktiviti

Iman itu sebenarnya pendorong yang sangat kuat untuk meningkatkan produktiviti dan produktiviti tidak akan maju berkembang melainkan disebabkan bekerja, dan bekerja keras yang dilakukan manusia. Bekerja dengan baik dan sempurna sangat diperlukan untuk pembangunan dan peningkatan produktiviti. Kemajuan itu tidak akan tercapai, melainkan hanya dalam suasana kejujuran dan keikhlasan bekerja. Untuk memperolehi kejujuran dan keikhlasan bekerja itu, tidak ada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya, selain dari iman.

Nabi Muhammad saw telah menerangkan bahawa iman itu bukanlah merupakan harapan dan bukan pula perhiasan lahir, melainkan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Dalam al-Qur’an ada lebih 70 ayat yang menyebutkan iman itu sejajar dengan amal perbuatan.

Tidak cukup pula dengan semata-mata amal perbuatan, melainkan dikehendaki pula amal perbuatan yang baik, dengan erti kata yang lebih luas; memberikan kebaikan untuk keduniaan dan keagamaan, untuk perseorangan dan masyarakat, untuk kehidupan rohani dan kebendaan.

Tiada Paksaan Bagi Orang Yang Beriman

Orang beragama pada umumnya dan orang yang mempercayai aqidah Islam khususnya, dalam melakukan sesuatu pekerjaan dunia tiada merasa terpaksa, tiada didorong oleh kekuasaan pemerintahan atau paksaan dari luar. Orang beriman itu bekerja kerana kehendak jiwanya dan dorongan hatinya, kerana seruan dan perintah dari dalam dirinya. Mereka bekerja dengan dorongan semangat dari dalam, iaitu mempercayai Allah dan risalah-Nya, kerana mengingat tugas dan kewajipan dari Tuhan untuk memakmurkan bumi dan menguasai alam.

Orang beriman menyakini bahawa kebahagian di hari akhirat dan kejayaan dalam kehidupan dunia, bergantung kepada pekerjaan yang dilakukan semasa hidupnya. Syurga di hari akhirat bukanlah diberikan kepada orang-orang yang malas, melainkan untuk orang-orang yang bekerja dengan rajin dan sempurna. Allah telah berfirman yang maksudnya:-

“Taman syurga yang di wariskan kepada kamu , disebabkan perbuatan baik yang telah kamu kerjakan”. (Az-Zukhruf, ayat 72).

Sesungguhnya Kami tiada membuang saja pahala orang-orang yang melakukan perbuatan baik”. [Al Kafhi, ayat 30].

“Dan amat baik balasan untuk orang yang bekerja” [Ali Imran, ayat 136]

Dari keterangan ayat-ayat Allah swt di atas jelaslah bahawa orang yang tidak bekerja dan malas bekerja tidak akan memperolehi apa yang diharapkan sebaliknya orang yang rajin bekerja dan melakukan kebaikan akan mendapat ganjaran yang banyak. Dengan pandangan yang demikian, orang beriman bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, mengikuti sunnah Allah yang berlaku didalam alam ini.

Melentur Buluh Biar Dari Rebung

Untuk membina dan membangun keimanan dan kehidupan yang sejati dan kukuh, Pendidikan Islam hendaklah di terapkan kepada setiap individu sedari kecilnya supaya ia mampu meresap kedalam jiwa dan mampu memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari demi mencapai pembangunan insan yang hakiki.

Sudah menjadi perkara yang lumrah bagi setiap keluarga Islam mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas Fardhu-‘Ain, Rukun Islam dan Rukun Iman berdasarkan Taqwa kepada Allah swt. Ini semua perlu dihayati dengan istiqomah demi mempertingkatkan dan memantapkan setiap mukmin yang beramal soleh. Dan bagi memanfaatkan lagi peranannya dalam masyarakat, adalah lebih baik lagi disusuli dengan melangsungkan ibadah Fardhu-kifayah.

Seorang doktor jiwa dari Amerika Syarikat dalam bukunya yang bertajuk “Kembali Kepada Iman” menjelaskan pentingnya pendidikan yang berjiwa agama bagi kanak-kanak serta menerangkan kesalahan orang-orang yang hendak menjauhkan jiwa agama dalam pendidikan kanak-kanak. Beliau menerangkan pentingnya kembali kepada agama dan mengikuti cara-cara yang digariskan oleh agama dalam mendidik anak-anak dan memperbaiki budi pekertinya.

Pada pandangan doktor jiwa tersebut, tidak ada jalan lain yang lebih baik untuk mendidik anak-anak, melainkan dengan mengucapkan kepadanya : “Ini baik, kerana Allah menyuruhnya. Allah menyukai dan senang kepada yang baik dan akan memberikan balasan syurga kepada sesiapa yang mengerjakannya. Ini buruk, kerana Allah melarangnya. Allah benci dan murka melihatnya, dan nanti akan menyiksa dengan neraka, siapa yang memperbuatnya”.

Kanak-kanak mempunyai sifat yang berbeda-beda baik dari segi sifat dasar atau pun apa yang mereka warisi (keturunan). Walaupun sifat yang diwarisi itu baik, namun untuk menanamkan kebiasaan yang baik supaya menjadi dasar yang kuat, memerlukan usaha-usaha yang terus menerus dan teratur.

Jika sekiranya memelihara kebiasaan yang baik itu sangat diperlukan, tentu sewajibnya pula mempergunakan segala jalan dan cara, yang dapat memberikan pengaruh dan menarik, sehingga kebiasaan yang baik itu kekal selamanya. Apabila dibahas lebih mendalam, dilihat dalam segi akal dan fikiran, ataupun berkenaan dengan jiwa dan perasaan, dapatlah diambil kesimpulan, bahawa penolong yang paling berjasa dalam hal ini ialah agama (Pendidikan Islam).

Mempercayai bahawa Allah itu ada dan mempercayai Rasul, dapat memberikan kepada ibu bapa bantuan yang kuat dan dapat dipercaya dalam memelihara budi dan jiwa anak-anaknya. Tetapi kalau ibu bapa itu tidak mempunyai pegangan dalam hidupnya, dan tidak mempunyai ukuran dalam menilai buruk dan baik, tentu saja dia tidak akan mendapat jalan untuk membimbing anak-anaknya dalam kehidupan sehari-hari.

Anak-anak yang tidak diberi pegangan yang teguh akan mudah terumbang-ambing menghadapi kekuatan yang bersimpang siur seperti sekolah, jiran tetangga, teman sepergaulan dan masyarakat yang melingkunginya. Maka agamalah satu-satunya kekuatan yang dapat menolong setiap orang dalam menyelesaikan kesulitan-kesulitan mengenai budi pekerti dan padangan hidup.

Iman Mencegah Kemungkaran

Anak-anak yang sejak kecilnya telah mempercayai Allah itu ada dan telah dapat menentukan buruk dan baik, tentulah kepercayaan yang demikian akan mendorongnya lebih cepat menjadi orang baik. Di samping dia hendak melakukan pekerjaan yang disukainya atau yang tidak disukainya, dia nampak mana yang benar dan mana yang salah. Jika terlanjur melakukan kesalahan maka dengan cepat kepercayaannya membisikkan ke dalam jiwanya supaya menghentikan perbuatan yang salah itu dan tidak mengulangnya sekali lagi.

Oleh itu sangatlah dianjurkan supaya tetap memberikan pelajaran agama kepada anak-anak sejak masa kecilnya untuk membina iman yang sejati dan kukuh, biarpun mereka belum memahami dengan cukup apa yang diajarkan kepadanya. Bidalan lama menyebut "lentur buluh biarlah dari rebung". Memberikan pelajaran agama setelah mencapai umur dewasa adalah sudah terlambat dan sangat merugikan .
Wallahhu a'lam.

Rujukan

1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahanya Rasm Uthmani.
2. Imtiaz Ahmad, Peringatan Kepada Ulul Albab, Edisi Terjemahan, Ir Hj Ismail Umar & Hj Titie Wibiprianto, Jakarta.
3. Dr Yusuf Al-Qaradawi, Iman dan Kehidupan, Edisi Terjemahan, Dewan Pustaka Fajar (2001), Kuala Lumpur.
4. Ismail Noor & Muhammad Azaham. Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Pelanduk Publication (2000), Kuala Lumpur.
5. Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Islam Hadhari Melahirkan Saintis dan Teknokrat Muslim Penggerak Tamadun Umat, Kementerian Penerangan Malaysia (2004), Kuala Lumpur
6. Ir Permadi Alibasyah, Bahan Renungan Kalbu, Penghantar Mencapai Pencerahan Jiwa, Cahaya Makrifat (2005), Bandung, Indonesia.
7. Bacalah Dengan Nama Tuhanmu, Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, Edisi Terjemahan, Syamil Samad, Jasmin Enterprise (2006), Kuala Lumpur.

Monday, 11 March 2013

Kalau hatiku sedang rindu (2) … Lambaian Tasik Kenyir


Pada hujung minggu tersebut aku membawa isteri dan anak bungsuku bercuti ke pantai timur. Kami memandu melalui lebuhraya karak dan seterusnya lebuhraya pantai timur, sempat kami melihat kehijauan dikanan-kiri sepanjang lebuhraya tersebut. Sungguh bumi ini telah Allah swt jadikan subur untuk memudahkan manusia mentadbir kehidupan masing-masing. Leka memandu tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang kuat, aku segera tersedar rupa-rupanya aku hampir terbabas kerana mengantuk semasa memandu, apa lagi mulalah isteriku membebel sepanjang perjalanan. Sampai disuatu kawasan rehat aku berhenti untuk ke bilik air dan membasuh muka kemudian aku menuju ke salah satu gerai, isteriku memesan minuman kegemaranku “kopi o”. Isteri dan anak bungsuku pun masing-masing memesan minuman. Kami duduk disatu meja yang agak lengang.

Isteriku masih lagi meneruskan bebelannya, mahu saja rasanya aku memarahinya, namun aku teringat akan kisah saidina Umar r.a. sahabat Rasulullah saw … pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh … si isteri tidak henti-henti membebel … sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel … si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel … dia pun marah balik isterinya kerana membebel ... dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari … lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau … memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya … sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah … tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar memarahinya … mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tadi tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya … katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku … kitani dua serupa … ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?” … si suami tadi menjawab, “Aku datang hendak mengadu akan hal isteriku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu” … Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya, bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? sedangkan itu semua bukan kewajipannya dan dia dengan rela hati telah melaksanakannya untuk aku … sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri)” … begitulah kisahnya … aku tersenyum sendirian. Memang benarlah kata-kata Saidina Umar r.a.

Aku tersentak bila tiba-tiba isteriku menepuk bahuku, “apa ni! pagi-pagi dah berangan” bentaknya, “ya lah, dah sampai Madinah dah ni” jawabku sambil tersenyum sinis. Belum sempat aku bangun, kedengaran suara azan dari corong radio disalah satu gerai di kawasan rehat tersebut. Suara azan persis azan dari Masjidil Haram, aku menunggu dan mendengarnya dengan penuh syahdu, begitu juga isteriku, kerinduan kepada Masjidil Haram kembali menjelma. Aku mencadangkan agar kami mendirikan solat dhuhur terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Isteri dan anakku beredar ke surau muslimat manakala aku terus ke surau muslimin. Aku melaksanakan solat dhuhur dan ‘asar secara qasar dan jamak. Aku lakukan ini berdasarkan Firman Allah swt dalam surah al-Nisaa’ ayat 101 yang bermaksud “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu” …. walaupun keamanan sentiasa menyelubungi kita, lebih afdhal solat secara qasar berdasarkan satu riwayat dari Ya’laa bin Umayyah r.a. dia berkata “Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab r.a. berkenaan dengan firman Allah swt“maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” ; sedangkan pada masa sekarang ini manusia telahpun berada dalam keadaan aman.” Umar r.a. menjawab: “Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hal ini lalu baginda bersabda: “Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah swt kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya”… hadith riwayat Imam Abu Daud, Imam Muslim dan Imam al-Tirmidhi.

Selesai solat aku terus ke kereta dimana isteri dan anakku telah sedia menunggu. Aku memandu untuk meneruskan perjalanan dengan rasa segar dan senang hati kerana telah melaksanakan kewajipan kepada Allah swt. Lebih kurang jam 3.00 petang kami telah sampai ketempat destinasi pertama. Aku mendaftar masuk di sebuah resort yang menghadap ke Laut China Selatan di Bandar Dungun.
 
Petang itu aku tidak kemana-mana hanya duduk berehat, anakku mengambil kesempatan untuk mandi-manda di kolam renang yang tidaklah berapa luas, isteriku pula sempat juga pergi ke kelinik pergigian untuk menampal semula giginya yang telah pecah semasa makan tengah hari tadi. Selepas solat maghrib dan ‘isyak , kami berkereta ke kawasan pasar malam berhampiran resort tersebut untuk meninjau-ninjau dan membeli barang makanan untuk makan malam. Kebetulan anak sulungku yang sedang bertugas di Paka datang untuk menjengok kami. Kami makan malam berempat dibilik resort yang agak luas juga. Aku amat bersyukur dengan rezeki yang Allah swt kurniakan kepada kami, “Ya Allah! berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dan peliharalah kami dari seksa api neraka” .

Malam itu begitu sunyi dan sebelum melabuhkan mata aku teringat satu hadith dari Shahih Bukhari, diriwayatkan dari Aisyah bahawa “Setiap kali Rasulullah saw hendak tidur (malam hari) Nabi saw menangkupkan kedua tangannya dan meniupnya setelah membaca Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan Al Nas, lalu mengusapkannya ke seluruh bahagian tubuhnya, dimulai dari kepala, wajah, dan bahagian depan tubuhnya. Nabi saw melakukannya tiga kali” . “rinnnggggg … rinnngggggg “ loceng daripada talifon bimbitku berdering mengejutkan aku daripada lena. Aku segera bangun dan terus ke bilik mandi walaupun agak sejuk ditambah hujan yang turun menyambut kehadiran waktu subuh. Sempat juga aku bersolat tahajjud dan witir sebelum azan subuh kerana dalam satu hadith Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah swt telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir”… hadith riwayat Abu Daud, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah. Didalam satu hadith yang lain dari riwayat at-Tabrani, Nabi saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang mati syahid.”. Aku mengejutkan isteri dan anakku untuk solat subuh bersama-sama. 

Pagi itu, lebih kurang jam 11.30 pagi kami mendaftar keluar dari resort tepi pantai di Bandar Dungun untuk meneruskan perjalanan ke destinasi kedua. Perjalanan hari itu agak kurang selesa kerana kerja-kerja memperbaiki jalan sedang dijalankan hampir disepanjang jalan dan satelah melalui perjalanan yang agak mencabar, kami akhirnya sampai dan kami terus mendaftar masuk di Kenyir Lake Resort. Kami memilih sebuah calet yang menghadap ke tasik. Satelah selesai solat dhuhur dan ‘asar secara qasar dan jamak, aku duduk diberanda yang menghadap ke tasik. Air tasik yang seluas mata memandang begitu tenang pada petang itu … sungguh Allah swt Maha Agong dalam menciptakan Alam ini …”Susungguhnya didalam penciptaan langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang terdapat bukti-bukti (kekuasaan Ilahi) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang sentiasa mengingati Allah swt dalam keadaan mereka berdiri, duduk dan berbaring diatas lambung mereka dan mereka sentiasa memikirkan penciptaan langit dan bumi. (Dan berkata:) Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan alam ini dengan sia-sia sahaja. Maha Suci Engkau! Oleh itu lindungilah kami dari azab neraka” … demikian maksud Firman Allah swt dalam Surah ‘Ali ‘Imran, ayat 190 dan 191.

Keesukan harinya selepas sarapan pagi, aku menyewa sebuah bot untuk membawa kami melawat dipersekitaran Tasik Kenyir. Tasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia di Semenanjung Malaysia pada tahun 1985 untuk membina Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud bagi menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. 
 
Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kawasan yang luas dan berbukit-bukau yang dahulunya dipercayai pernah menjadi tempat penginapan dan perlindungan masyarakat pada zaman Neolitik melalui peralatan serta senjata diperbuat daripada batu yang ditemui pakar pengkaji sejarah di kawasan ini, akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara ditenggelami air. Khabarnya banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini.

Aku terpegun dalam pesona, melihat kawasan takungan air seluas 2,600 km persegi itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya … sesungguhnya Allah swt Maha Agung … Allah swt berfirman dalam Surah al-An’aam ayat 99 yang bermaksud ”Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau …” Melalui pembacaan, aku mendapat tahu bahawa hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi lebih daripada 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk lebih 800 spesies orkid, lebih 300 spesies kulat dan lebih 370 jenis burung.

Kekayaan alam semula jadi yang dimiliki Tasik Kenyir merangkumi 340 buah pulau, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, gunung batu kapur serta gua yang penuh misteri sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga untuk diterokai. Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang, baung dan toman yang menambahkan lagi kekaguman kepada mereka yang ingin berkunjung ke kawasan Tasik Kenyir. Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama

Tasik Kenyir yang terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Kuala Terengganu dengan Pengkalan Gawi sebagai pintu masuk utama ke tasik ini yang juga merupakan pintu masuk terdekat ke Taman Negara melalui Tanjung Mentong di Pulau Petang. Tasik Kenyir menjanjikan detik percutian menakjubkan dengan keheningan dan kehijauan alam semula jadi yang mungkin tidak pernah diintai sebelum ini. 
 
Ketenangan dek kehijauan alam semula jadi di Tasik Kenyir memang memukau pandangan. Kebiruan yang memenuhi pemandangan ditambah dengan kicauan pelbagai spesies burung mendamaikan hati yang gundah. Keindahan dan kepelbagaian flora dan fauna di tasik buatan manusia terbesar dan tercantik di Asia Tenggara itu memang mengasyikkan. Pemandangan waktu senja di kala matahari terbenam sememangnya cukup cantik dan mempesonakan. Pemandu bot yang sedari tadi mengawasi perjalanan botnya, mula memperlahankan kelajuannya, Ohh.. rupanya kami telah sampai kesebuah pulau kecil.

Pulau kecil ini dikenali sebagai Pulau Sah Kecil yang berkeluasan 15.84 hektar iaitu lebih kurang lapan kilometer dari Pengkalan Gawi. Di pulau inilah terdapatnya Taman Herba Tasik Kenyir. Disitu terdapat sebuah pondok dengan seorang pegawai hutan yang sentiasa ceria menerima kunjungan para pelancong. Menurut ceritanya, terdapat lebih 200 spesis tumbuhan dan herba yang antaranya Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Jerangau, Misai Kucing, Akar Seratus, Mas Cotek, Cekur Emas dan banyak lagi. Kebanyakan daripada pokok-pokok herba tersebut telah di’tag’kan dengan nama saintifik dan nama aslinya. Jadi senanglah para pengunjung termasuk aku mengenali mana satu tongkat Ali dan kacip Fatimah.
Berhampiran dengan pondok tersebut, terdapat sebuah bangsal yang menempatkan dapur untuk merebus herba-herba untuk menjadi minuman para pengunjung.Aku pun mengambil kesempatan untuk meminum air tongkat Ali yang asli, hmm … rasanya sangat pahit dan kelat tapi cukup berkhasiat. Gambar kiri ... Ini dia akar Tongkat Ali yang terdapat di Pulau Herba.
 
 
 
 
Lebihkurang setengah jam kemudian kami mula beredar untuk ke destinasi berikutnya. Sambil memandu botnya, pemandu bot bercerita, bagi mereka yang sukakan cabaran dan ingin mandi-manda dengan air yang dingin sambil ditemani kehijauan alam semula jadi, terdapat 14 air terjun di Tasik Kenyir yang menjunam dari kecerunan setinggi 500 kaki sehinggalah rangkaian air terjun rendah yang bersambung-sambung.
 
 
Katanya lagi,  tidak semua air terjun ini mempunyai laluan mudah, sebaliknya ada yang perlu merentas hutan tebal dan antara air terjun yang pastinya menggamit hati ialah air terjun Lasir, Petuang Rapid, Tembat, Lata Terap, Soak, Petang dan Sungai Buweh yang menjanjikan kedinginan air terjun yang pasti meninggalkan kenangan … begitu ceritanya.
 
Pemandu bot terus mengemudi botnya dan membawa kami ke Air Terjun Sauk yang merupakan air terjun paling hampir dengan Pengkalan Gawi. Memang seronok dapat berendam di air terjun ini ... sejuk dan menyegarkan tetapi airnya sedikit deras. Sambil bermain air, kami tidak melepaskan peluang mengambil gambar kerana terpukau dengan keindahan lanskapnya. Penat bermain air, aku segera mendapatkan kudap-kudapan yang kami bawa kerana perut terasa berkeroncong. Lebih kurang jam 2.30 petang kami meniggalkan pengkalan bot di Air Terjun Sauk. Dalam perjalanan balik ke Pengkalan Gawi, pemandu bot yang peramah itu bercerita lagi. 

Katanya antara aktiviti menarik yang lain ialah mengintai burung . Terdapat lebih 370 spesis burung yang boleh dilihat di persekitaran Tasik Kenyir seperti Kenyalang, Helang, Merbuk, Merpati, Merak dan Rajawali. Aku sebenarnya tidak begitu gemar dengan aktiviti ini kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi, apa tidaknya, bukan senang hendak mengintai burung-burung ini, kalau membuat bising atau tidak bertindak pantas, memang sukar hendak melihat kelibatnya. Pemandu bot menyambung ceritanya, Kelah Santuari Sungai Petang, kira-kira 21 kilometer dari jeti Pangkalan Gawi juga satu tempat yang sangat menarik, keseronokan akan dirasai apabila seseorang turun ke permukaan air dan cuba menangkap ikan kelah dengan menggunakan tangan. Namun untuk sampai ke Kelah Santuari itu, perlu merentas hutan kira-kira 45 minit. Satu perjalanan yang memang meletihkan tetapi apabila sampai ke Lubuk Kejor, kepenatan akan hilang begitu saja ketika melihat ribuan ikan kelah berebut makanan. Aku mengambil keputusan untuk tidak ke sana. Menurutnya lagi aktiviti meneroka gua juga cukup menarik. Antara gua yang selalu dikunjungi ialah Gua Taat dan Gua Bewah yang menurut ceritanya manusia prasejarah pernah membina kehidupan didalam gua tersebut. Ini dibuktikan dengan penemuan tulang-temulang dan artifak peninggalan zaman Mesolithik yang dipercayai berusia lebih 16,000 tahun. Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir, namun perjalanan ke gua tersebut mengambil masa kira-kira dua jam dari Pengkalan Gawi. 
 
Sedang aku dibuai angin petang yang begitu dingin, bot yang kami naiki, perlahan-lahan menyusuri air tasik yang begitu tenang tetapi di sebalik ketenangan air Tasik Kenyir, siapa sangka di dalamnya terdapat lebih 300 spesies ikan air tawar yang sentiasa menggamit para pemancing kerana pelbagai sepisis ikan air tawar termasuk kelah, lampam, sebarau, baung dan tapah yang hidup bebas di tepian air terjun, jeram, lubuk dan sungai di dalam Tasik Kenyir. Demikianlah infomasi yang aku dapat daripada pemandu bot. “Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan yang berasal dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu …” demikian maksud Firman Allah swt dalam surah al-Maaidah ayat 96. Maksud binatang buruan laut iaitu ikan dan termasuk dari sungai, tasik, kolam. Satelah berhenti seketika ditengah-tengah tasik, pemandu bot meneruskan ceritanya, aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini ialah saperti perkhemahan yang mana kawasan perkhemahan dan trek jelajah hutan mudah disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan, Tembat dan Pulau Poh, manakala aktiviti rentas hutan yang lebih lasak pula menanti di trek laluan ke puncak Gunung Gagau.
 
Bagi mereka yang meminati sukan air terdapat kemudahan untuk berkayak serta bot laju malah aktiviti sukan air tahunan saperti Kenyir Regatta juga diadakan disini. Katanya lagi … Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah membuat kenyataan bahawa, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan baru iaitu aktiviti jelajah pulau. Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu. Projek yang akan dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak. Tambahnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran. Seronok mendengar cerita pemandu bot yang sangat infomatif itu, tanpa aku sedari bot kami telah menghampiri Pengkalan Gawi. Walaupun Tasik Kenyir sering diselubungi misteri, tetapi destinasi percutian ini sangat popular di kalangan pengunjung yang cintakan keindahan alam semulajadi, bahkan, kaki-kaki pancing juga gemar ke Tasik Kenyir.
 
Tasik Kenyir menjanjikan sebuah percutian yang cukup mendamaikan.