Thursday, 17 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 3 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 2



zǎoshang hǎo … selamat pagi (bahasa mandarin)

Pagi hari kedua, Ms Eka membawa  kami ke Ke kilang Jade “Beijing Wang Tiao Zhang” yang dimiliki dan diusahakan oleh kerajaan tempatan. Kilang jade tu memang besar sungguh dan terletak agak jauh dari kota Beijing.


  
Ini dia bangunan kilang jade, bumbungnya berwarna merah, lambang kemakmuran. Pagi itu telah ada beberapa buah bas yang sampai dulu, jadi sudah agak ramai pengunjung yang datang. Bas kami yang paling kiri sekali.



Diluar pintu masuk agak sebok dengan para pengunjung dari berbagai negara. Pengunjung dari Malaysia pun ada. Masuk sahaja ke dalam kilang dan ruang jualan, ada sebuah kolam ikan yang diperbuat daripada jade. Kemudian kami dibawa masuk ke ruang pameran dan jualan yang luas.


 
Memang banyak jade yang dijual, berbagai-bagai jenis, kualiti dan bentuk. Anakku hanya membeli satu bangle berharga lebihkurang rm80.00 sebagai kenangan.



Dari Jade Factory kami meneruskan perjalanan ke Badaling Ski Resort kerana ada diantara kami yang berminat nak berski.

 
Ini dia bahagian hadapan Badaling Ski Resort tempat kami singgah, waktu tu salji belum turun lagi, jadi tak nampak pun salji.


 
Masing-masing dah siap sedia dengan ski masing-masing. Aku dan isteri tak mahu main kerana mengalami sakit belakang yang mungkin menjadi lebih teruk kalau terjatuh. Salji disini adalah salji tiruan, namun boleh untuk meluncur. Mari kita lihat aksi masing-masing.


 
Adik terpaksa mengambil guru untuk mengajar main ski dengan bayaran … lupa pula bayarannya berapa … tetapi memang tak berbaloi langsung, dah bayar guru untuk mengajar pun masih tak boleh nak meluncur, mungkin masaalah bahasa agaknya ... sebab macam ayam dengan itik … tak faham.


 
Sudahnya, aku sendiri yang mengajar adik, dan akhirnya dapat juga dia meluncur agak jauh.



Si abang pula dari awal-awal lagi dah dapat meluncur dengan lajunya, macam dah biasa saja. Nasib baiklah salji belum turun, kalau tak seluruh gunung dikawasan tu di tawannya … inilah baru anak lanang namanya.



Ini keluarga Mak Dara paling bungsu, tiga-tiga cuba main ski namun ... tetapi mereka puas dan gembira.


 
Kelihatan Akeem sedang berehat kerana kepenatan atau kesakitan atau dah ‘give-up’ ... asyik jatuh je. Ms Peah pula walaupun ada guru yang mengajar namun masih belum boleh meluncur sendiri.




Ini pula pasangan baru kahwin dan mengambil kesempatan untuk berbulan madu mengikuti rombongan Mak Dara. Suami mengajar isteri main ski.



 
Akhirnya dapat juga meluncur namun sekejap saja dah jatuh dan cepat-cepat sisuami mengangkatnya, kelihatan begitu romantik sekali, maklumlah masih baru lagi.. memang gitu. Kalau dah lama, bangun sendirilah.


 
Mari kita lihat gelagat Mak Dara yang ni!.., cuba-cuba nak meluncur, tak sampai dua meter dah terlentang ... kan betul bila dah tua tak ada siapa nak angkat, tanggunglah sendiri. Tak mampu nak bangun sendiri terpaksalah petugas resort tu tolong angkat... ops tak terangkat, berat sangat.




Lebih kurang dua jam setengah bermain salji, kami bergambar beramai-ramai sebelum meninggalkan Badaling Ski Resort untuk makan tengah hari.





Disinilah kami makan tengah hari pada hari tersebut. Bangunan ini sangat besar, ditingkat bawah merupakan kilang dan kedai menjual bahan-bahan tembikar, manakala restorannya di ditingkat atas. Menurut Ms Eka tempat ni dikenali sebagai Golden Palace Restaurant. Masuk sahaja kedalam terdapat beberapa buah pasu yang lebih tinggi dari kebanyakan manusia. Apalagi, semua Mak Dara pun bergambar dengan pasu tersebut.



 
Menurut Ms Eka lagi, restoran ni boleh menampung sehingga 5000 pelanggan pada satu-satu masa.  Terdapat tiga bahagian iatu bahagian makanan asia, bahagian makanan barat dan bahagian makanan muslim (halal). Inilah dia menu yang Ms Eka order untuk kami makan tengah hari, sangat menyelerakan. Disini juga disediakan ruang solat ditingkat paling atas untuk pelanggan muslim menunaikan kewajipan kepada Allah swt. Lega rasanya bila perut dah kenyang dan kewajipan dah beres.




Selesai makan dan solat zohor dan jamak asar, kami meronda ditingkat bawah untuk melihat-lihat sahaja. Bermacam-macam jenis barangan tembikar dijual sampai kelabu mata, dan akhirnya kami tak beli pun.





Setelah puas meronda di Golden Palace Restaurant, kami dibawa ke destinasi seterusnya iaiatu JuYong Pass Great Wall untuk mendaki tembok besar Negara China.


Nak panjat dan melawat tembok besar Negara China pun kena beli tiket juga. Berapa harga tiket kami tak tau, semuanya Ms Eka yang uruskan. Kemudian kami masuk melalui pintu masuk yang dikhaskan.



Sebelum kami meronda-ronda tembok besar, ada pulak jurugambar bebas yang mengesorkan supaya kami mengambil gambar kumpulan, kami pun terima tawarannya sebagai kenangan. Kemudian kami mulakan jelajahan tembok besar Negara China.



 
Budak tiga orang ni tak terasa penak agaknya, tau-tau dah separuh jalan. Isteriku berehat keletihan.




Umpama kura-kura jalan merangkak, namun akhirnya kami berenam sahaja yang dapat memanjat sehingga ke puncak paling tinggi dikawasan tersebut, yang lain sekadar setengah jalan atau ada yang hanya menunggu di bawah sahaja. Sakit lutut katanya ... alasan je tu.


 
Pemandangan dari atas ke bawah agak cantik. Aku dan isteri menuruni tembok besar melalui jalan yang berbeza yang telah dibina khas untuk turun sahaja, keadaannya lebih landai dan tidak sebok walaupun agak lebih jauh sedikit. Sampai dibawah, kami berkumpul dan berehat untuk menghilangkan penat.




Kami tinggalkan JuYong Pass Great Wall dengan seribu kenangan untuk ke destinasi seterusnya iaitu Bao Shu Tang Burning Cream Factory. Semasa kami sampai tidak ramai pengunjung berada disana. Kami dibawa kesebuah bilik dimana seorang wanita China yang fasih berbahasa Inggeris telah bersiap sedia untuk memberi penerangan kepada barangan yang dihasilkan di kilang tersebut.


 
Sebelum wanita tersebut memulakan penerangannya, beliau telah meletakkan sebatang rantai besi di atas dapur gas dan membiarkannya terbakar. Sementara beliau menerangkan tentang keberkesanan krim Bau Fu Ling, beliau menjeling ke arah rantai besi yang telah mulai kelihatan merah. Aku tidak tahu untuk apa rantai tersebut dipanaskan sebelum beliau menyatakan yang beliau akan memegang rantai yang sudah merah tersebut sebelum menyapu krim Bao Fu Ling sebagai membuktikan keberkesanan krim tersebut. Aku agak terkejut dan terasa seram, naik bulu roma.

Aku tidak melihat aksi berani beliau memegang rantai panas tersebut kerana tidak sampai hati. Beliau menayangkan tapak tangannya yang kelihatan merah kepada kami semua dan kemudian beliau menyapukan krim Bao Fu Ling. Kelihatan matanya berair mungkin kerana menahan kesakitan.



 
Atas rasa simpati kepada wanita tersebut, aku membeli sebotol krim Bao Fu Ling  dan sebotol “koyok” untuk menampal bahagian belakang badan. Ternyata “koyok” tersebut sangat berkesan dengan izin Allah swt kerana dapat melegakan sakit belakangku dan isteriku.




Selesai di Bao Shu Tang Burning Cream Factory, Ms Eka membawa kami balik ke pusat Bandar Beijing untuk makan malam sebelum balik ke hotel.



Malam itu Ms Eka membawa kami makan malam di Mahua Western Flavor Restaurant, iaitu sebuah restoran muslim yang menjual makanan halal.


 
Gambar atas … antara menu yang kami makan pada malam itu sebelum diakhiri dengan semangkuk ais kerim yang lazat. Kami balik hotel dengan rasa kekenyangan.


Ni you me you che … awak sudah makan ke belum.



Wednesday, 9 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 2 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 1



Caosan … selamat pagi,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ms Eka, jam 11.00 pagi kami telah sedia berada di lobi hotel menunggu kedatangan Ms Eka yang akan membawa kami untuk makan tengah hari disebuah restoran muslim sebelum memulakan jelajah Beijing hari pertama.


Ada yang duduk-duduk di lobi hotel, ada yang main di luar hotel walaupun cuaca diluar sangat sejuk.



Sebaik Ms Eka sampai, kami tidak menunggu lama terus naik ke dalam bas. Pak Lang , walaupun usianya telah menjengah tujuh puluh tahun, tetapi dia memang biasa mengikuti rombongan kami, jadi dia “cool” saja walaupun sebenarnya dia menggigil kesejukan.



Masing-masing ceria berada di bumi negara yang paling ramai penduduknya di dunia. Gambar atas kiri, anak Mak Teh yang baru melangsungkan perkahwinan dan pertama kali menyertai rombongan Mak Dara. Kanan ... Ms Sofi @“remaja muslimah” begitu ceria untuk memulakan perjalanan hari pertama di Beijing.



Lebihkurang 45 minit duduk dalam bas, kami telah sampai ke restoran yang di maklumkan oleh Ms Eka. Kami berjalan kaki menuju ke restoran kerana bas tidak dibenarkan berhenti di hadapan restoran dan terpaksa di letak agak jauh dari lokasi restoran. Memang cuaca begitu sejuk, jadi tak terasa penat pun berjalan kaki.

 

Tepat jam 12.00 tengah hari waktu Beijing kami sampai di restoran yang dimaksudkan. Pintunya telah sedia terbuka untuk kami masuk. Kami duduk didua meja bulat, manakala Ms Eka dan pemandu bas duduk dimeja berasingan. Ms Eka memesan makanan untuk kami semua, katanya dijamin halal.


Suspen juga menunggu makanan. Mula-mula datang nasi satu pinggan penuh, kemudian lauk tahu kemudian baru datang semua lauk, enam jenis semuanya tidak termasuk sop sayur. Kami makan sampai kenyang tengah hari itu, maklumlah makanan tengah hari pertama di Kota Beijing.


Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke satu masjid untuk solat zohor dan jamak takdim asar. Masjid ni namanya Masjid Anheqiao yang terletak di daerah Haidian, Beijing. Menurut ceritanya, masjid yang asal telah dibina pada akhir zaman Dinasti Ming dan telah berusia lebih 300 tahun. Pada tahun 1965, Masjid Anheqiao dipindahkan ke tempat lain kerana projek menggali terusan di tempat berkenaan. 


Pada Jun 2002, kerajaan membina semula Masjid Anheqiao di kampung Qinglongqiao di atas kawasan seluas 1,200 meter persegi, manakala bangunan masjid yang bercirikan seni bina tradisional China luasnya 700 meter persegi. Masjid yang berhampiran dengan Summer Palace dan Gunung Xiangshan ini menjadi destinasi lawatan pelancong islam untuk beribadat di sini.



Ruang mihrab masjid di hias agak cantik, mimbarnya dibuat dari kayu berkualiti. Di tengah-tengah siling masjid terdapat kubah yang cantik.



Sebelum kami meniggalkan masjid Anheqiao, kami bergambar beramai-ramai di tangga masjid.


Dari Masjid Anheqiao, kami dibawa ke sebuah kilang pakaian sutera yang terkenal di kota Beijing dan mempunyai beberapa lagi kilang di Seluruh Negara China

Gambar atas kanan bawah  ... Ms Eka memberi penerangan ringkas sebelum kami dibawa masuk oleh seorang jurujual yang agak fasih berbahasa Inggeris. 


Kilang sutera tu namanya Ying Feng Home Textile, memproses sutera daripada kepompong untuk dijadikan kain, begitu secara ringkas yang diterangkan oleh jurujual (gambar atas tengah dan kanan).


Kemudian kami dibawa naik ke tingkat atas, dan ada sesi penerangan lagi... tapi yang ini lebih kepada mempromosi harga jualan.


Kami termangu mendengar Promoter mengumumkan harga runtuh untuk semua alas katil . Sebenarnya kami tak berminat langsung nak membeli walaupun harganya telah jatuh tapi tidaklah murah sangat.


Namun atas kelembutan dan kemesraan serta kepetahan mereka menjual kata-kata akhirnya isteriku terpedaya juga. Sehelai baju dan alas katil terpaksalah aku angkut bersama.


Demikian kisah di Ying Feng Home Textile, berlainan pula kisah di Summer Palace. Semasa kami sampai di Summer Palace, waktu lebih kurang jam 4.00 petang dan matahari sudah condong ke barat kerana semasa musim sejuk, siangnya pendek dan malamnya panjang.

Selepas membeli tiket, Ms Eka membawa kami masuk ke Komplek Summer Palace melalui pintu masuk (gambar atas kanan). Di dalam kompleks, Ms Eka memberi penerangan tempat-tempat bersejarah yang terdapat di komplek Istana Musim Panas.


Antaranya, ke sebelah kiri pintu gerbang (gambar atas kiri) adalah sebuah jambatan yang dikenali sebagai The 17 Arch Bridge (gambar atas kanan) merupakan jambatan terbesar daripada lebih tiga puluh jambatan yang terdapat di dalam Komplek Istana Musim Panas. The 17 Arch Bridge, panjangnya 150 meter dan 8 meter lebar menghubungkan Menara Segi Lapan di sebelah timur Tasik Kunming dengan Nanhu Island. Katanya, jambatan ini dibina dizaman Dinasti Qianlong yang berkuasa dari tahun 1711 hingga 1799.


Lima Mak Dara yang mengikuti rombongan kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di tepian Tasik Kunming yang begitu tenang airnya, walaupun masih belum beku lagi. Tasik Kunming yang meliputi sebahagian besar Komplek Istana Musim Panas iaitu seluas kira-kira 540 ekar merupakan tasik air tawar buatan manusia. Nun dibelakang mereka adalah “Tower of Buddhist Incense” (gambar kecil atas kanan bawah) di pinggiran tasik dan dikelilingi  bukit “Longevity” yang terbina dari longgokan tanah semasa menggali Tasik Kunming.


Kemudian kami dibawa berjalan kaki ke sebelah kanan pintu gerbang sepanjang pinggiran tasik yang dihias pepohon yang telah berguguran daunnya hingga sampai ke suatu pintu dipanggil Wenchang Tower (gambar atas tengah) yang telah di dibina semula oleh Mahajara Guangxu selepas dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Menara yang asal telah dibina dalam tahun 1750.


Menurut Ms Eka, The Hall of Benevolence and Longevity telah dibina dalam tahun 1750 tetapi telah dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Telah dibina semula dalam tahun 1888.


Ini dia lima orang jejaka yang mengikuti rombongan ke Beijing pada kali ini.


Kami tidak lama berada di Kompleks Summer Palace kerana hari sudah mulai gelap. Ms Eka membawa kami ke destinasi seterusnya ialah menonton persembahan akrobatik. Ms Eka membawa kami ke Chaoyang Theater Acrobatic Show yang terletak di No.36, Dongsanhuan Beilu, Chaoyang District, Beijing untuk menonton persembahan akrobatik jam 5.30 petang. 


Kami tiba di Chaoyang Theater orang sudah berpusu-pusu untuk menonton persembahan. Nasib baik Ms Eka telah menempah tiket terlebih dahulu, jadi kami tak lah terlepas dari menyaksikan persembahan akrobatik yang sungguh mengasikkan.


Persembahan pertama secara solo oleh ahli akrobatik wanita yang mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.


Kini tiba giliran ahli akrobatik lelaki membuat persembahan secara berkumpulan, juga mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.



Ini pula persembahan kumpulan akrobatik wanita, sungguh mempersonakan sampai ada yang tak berkelip mata memandangnya.


Ini pun persembahan akrobatik berkumpulan wanita yang sungguh memukau.


Lagi persembahan akrobatik oleh kumpulan wanita.  Selesai persembahan ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan ahli akrobatik.


Selesai menonton persembahan akrobatik, Ms Eka membawa kami ke restoran muslim untuk makan malam.

Makan malam pertama di Beijing sangat menyelerakan. Seperti makan tengah hari kesemuanya ada enam jenis lauk. Kami makan sampai kenyang malam itu sebelum balik ke hotel untuk berehat.

Man On, Pai pai, dingyat kin ... selamat malam, sampai jumpa esok.


Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 1 ... ku jejaki bumi Ash Shin ...Lei Hooma



Semasa aku dan isteri serta anak bungsuku menginap di Hotel Flamenggo Taiping tempoh hari, atas persetujuan bersama, aku telah membeli tiket penerbangan ke Beijing untuk aku, isteri dan tiga orang anakku. Anak sulungku tidak ikut bersama kerana khuatir tidak dapat cuti pada hujung tahun. Rupa-rupanya bukan keluargaku sahaja yang akan pergi, ramai lagi kakak-kakak ipar serta anak-anak buah yang ikut serta, kesemuanya enam belas orang. Biasalah rombongan Mak Dara.

Satu perkara penting yang perlu kami lakukan sebelum berangkat ke Beijing ialah memohon visa lawatan ke China. Oleh kerana rombongan kami tidak mengikuti mana-mana pakej pelancungan, jadi kami terpaksa memohon visa sendiri. Untuk memohon visa, borang visa boleh diisi secara on-line atau manual, kesemuanya ada 4 muka surat (seperti dibawah).


Dokumen yang perlu disertakan semasa mengemukakan borang permohonan adalah:
- Borang yang telah lengkap diisi.
- Paspot yang masih sah tempoh sekurang-kurangnya untuk enam bulan.
- Salinan fotokopi paspot.
- Dua keping gambar berukuran paspot.
- Salinan tiket kapal terbang.
- Pengesahan tempahan hotel.
- Jadual lawatan (itinerary) semasa di Beijing dan
- Bayaran sebanyak rm85.00 bagi setiap visa (visa fee = rm30.00, service fe = rm55.00)

Menjadi tugas aku sebagai ketua rombongan tak rasmi untuk memohon visa. Setelah semua borang siap diisi, aku pun pergi ke pejabat Chinese Visa Application Service Centre. Sebelum pergi ke Visa Centre, aku dah “google” dulu untuk mengetahui lokasi pejabat supaya tak sesat.



Berpandukan kepada pelan jalan, aku terus sahaja pergi ke bangunan Hampshire Place Office di Jalan Mayang Sari of Jalan Tun Razak. Aku letak kereta di tingkat bawah.

Di lobi lift ada ditampal kenyataan saperti di bawah dan aku terus sahaja naik ke tingkat enam.


Sampai di Visa Centre masih awal pagi, jadi pejabat masih lagi lengang. Mereka menyemak semua borang dan alhamdulillah semua borang yang aku bawa lengkap diisi. Mereka memberi nombor giliran. Belum panas aku duduk menunggu, nombor aku dah dipanggil. Tak sampai dua puluh minit berada di Visa Centre urusan dah selesai. Cuma aku kena datang balik pada hari keempat untuk mengambil visa.

Sampai tarikh yang dijanjikan, kami bersiap ke Terminal Tambang Murah Sepang kerana kami menaiki penerbangan Air Asia. Namun pada saat akhir seorang daripada anak buah tidak dapat pergi kerana terpaksa menghadiri kursus. 


Penerbangan kami ke Beijing telah berlepas pada jam 7.10 malam, dan alhamdulillah telah sampai keesukan paginya jam 1.15 pagi.


Sebaik melepasi pemeriksaaan imigresen, kami tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar pemandangan tembok besar Negeri China yang dilukis didinding luar sementara menunggu bagasi kami sampai.


Masing-masing sebok mengumpulkan bagasi sebelum beredar melepasi pemeriksaan kastam dan terus keluar. Jurupandu kami yang bernama Ms. Eka telah sedia menanti kami.


Oleh kerana waktu pun sudah larut malam, lebih kurang jam 2.00 pagi, Ms Eka terus membawa kami menaiki bas untuk menuju ke hotel penginapan. Walaupun mata sudah mengantuk, tetapi kami tetap ceria. Aku pertama kali sampai ke Beijing, isteri dan anak-anakku, ini kali kedua mereka datang ke Beijing.

Coi Kin ... jumpa lagi