Monday, 16 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 4 ... Phillip Island



Malam ketiga di Melbourne, kami semua keletihan selepas mengharungi perjalanan yang jauh dan lama dari Mt Buller. Malam itu kami cuma makan mi segera yang kami bawa dari Malaysia. Selepas solat isyak, masing-masing tidur keletihan.

Hari ke empat di Melbourne aku bangun seawal jam 4.30 pagi kerana telah kekenyangan tidur. Selepas solat subuh jam 6.00 pagi, aku mula membuat perancangan untuk aktiviti-aktiviti hari ke empat. Seperti hari sebelumnya, isteriku sempat memasak nasi dan juga lauk untuk dibawa sebagai bekalan makan tengah hari.

Tempat pertama yang kami tuju ialah Hosier Lane. Dari tempat penginapan, aku memandu berpandukan GPS terus ke Flinders Lane dan meletak kenderaan di tepi jalan sahaja berhampiran simpang ke Hosier Lane. Kemudian kami meronda-ronda di Hosier Lane sambil melihat berbagai corak dan warna didinding bangunan sepanjang Hosier Lane.

 
Hosier Lane adalah salah satu daripada jalan-jalan di Melbourne CBD dimana dinding-dinding bangunannya di sembor cat dengan berbagai corak yang begitu kreatif. Tidak pula mendapat bantahan dari pemilik bangunan ataupun pihak berkuasa tempatan.

 
Lukisan-lukisan seperti ini pun dipromosikan dan dijadikan sebagai satu tarikan pelancong. Semasa kami sampai ke Hosier Lane, hanya kami yang sahaja manakala pengunjung lain belum tiba lagi. 

 
Lebih sepuluh minit kami mundar mandir di Hosier Lane, kami terus berjalan kaki ke Flinders Sreet iaitu satu jalan yang terkenal di Melbourne CBD.

 
Tarikan utama di Flinders St ialah Federation Square yang merupakan pembangunan bercampur merangkumi kawasan seluas 3.2 hektar terletak dipersimpangan Flinders St dan Swanston St. Berhampiran Federation Square adalah ACMI (The Australian Centre for the Moving Image) dan The Ian Potter Centre.


Di Federation Square juga terdapat Melbourne Visitor Centre yang sedia membantu para pelancung yang berkunjung ke Melbourne khususnya dan Victoria amnya.


Stesen keretapi tertua di Melbourne yang dikenali sebagai Flinders Sreet Railway Station (gambar atas kanan) juga terletak di Flinders St berhadapan dengan Federation Square. Gambar kurang terang sebab waktu masih lagi pagi dan kebetulan hari itu adalah hari cuti umum di Australia sempena hari ulang tahun Queen Elizabeth II.


Dari Hosier Lane, kami terus menuju ke Dendy St Beach di Wilayah Brighton yang terkenal dengan “The Brighton Bathing Boxes” . Pasir pantainya begitu bersih dan halus dan merupakan tempat tumpuan pengunjung pada era 90an. Terdapat banyak pondok-pondok kecil yang dicat berbagai warna tersusun sepanjang pantai tersebut. Kelihatannya pondok-pondok tersebut seperti gerai untuk menjual makanan atau cenderahti, tetapi semuanya tutup. Mungkin akan digunakan sekiranya ada aktiviti-aktiviti tertentu di pantai tersebut.


Puas berjemur di pantai The Brighton Bathing Boxes, kami menaiki kereta semula untuk ke Phillip Island. Namun aku singgah sebentar di Masjid Emir Sultan yang terletak di 139-141, Cleeland St, Dandenong VIC 3175. Pembinaan masjid tersebut masih belum siap sepenuhnya. Hajat untuk masuk kedalam tidak kesampaian kerana pagar keselamatannya berkunci. Aku hanya merakam gambar masjid dibahagian luarnya sahaja. Semuga aku dapat datang semula untuk bersolat didalam masjid Emir Sultan satu hari nanti. Aminn.

Aku lantas beredar dari kawasan masjid dan meneruskan pemanduan ke arah Phillip Island. Phillip Island ni agak jauh juga sekitar 110 kilometer dari Port Melbourne. Sama seperti di laluan ke Mt Buller hari sebelumnya, laluan ke Phillip Island juga terdapat banyak kamera perangkap laju yang telah melatih aku untuk jadi pemandu berhimah.

 
Di penghujung tanah besar Australia sebelum melalui jambatan ke Phillip Island, kami singgah sebentar di San Remo Fisherman’s Cooperative dengan tujuan melihat angsa di bawah jambatan. Oleh kerana kami sampai agak lewat iaitu jam 1.00 tengah hari, angsa-angsa tersebut sudah tiada kerana angsa-angsa tersebut pada kebiasaannya akan datang ke bawah jambatan sekitar jam 12.00 tengah hari.

 
Setelah tidak dapat melihat angsa, kamipun mencari lokasi untuk membuka juadah makan tengah hari disalah satu meja di taman berhampiran pantai. Semasa kami menikmati makan tengah hari, kami melihat beberapa orang muslim sedang bersolat iaitu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun.

 
Selesai makan tengah hari, kami menyeberangi jambatan untuk ke Phillip Island. Destinasi pertama yang kami singgah ialah The Big Wave. Dibina dari konkrit berbentuk golongan ombak berwarna biru putih, dibina ditepi sebelah kiri jalan utama, the big wave kelihatannya sangat menarik dan tidak akan terlepas pandang. Binaan yang sungguh mudah ini pun dipromosikan sebagai tarikan pelancong.


Destinasi kedua yang kami singgah ialah Philip Island Chocolate Factory terletak ditepi sebelah kanan jalan utama. Berbagai jenis coklat di kilang di sini, namun  isteriku kata harganya agak mahal dan rasanya kureng sikit. Tidak lama kami berada di kilang coklat , kami terus beredar.

 
Kami kemudian meneruskan perjalanan dan singgah di National Vietnam Veterans Museum. Muzium ini menyimpan hazanah tinggalan pasukan tentera Australia yang menyertai perang di Vietnam. Dibuka hari rabu hingga isnin sahaja dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran AUD15.00 untuk dewasa dan AUD10.00 untuk kanak-kanak.


Seterusnya kami singgah di A Maze’N Things iaitu sebuah rumah ajaib yang menyeronokkan. Lihat sahaja kepala paip yang besar diatas rumah yang tidak bersambung ke paip air tetapi mengeluarkan air masuk kedalam rumah dan airnya terus keluar melalui bukaan didinding rumah. Memang ajaibkan!. Rumah ajaib ini dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran AUD21.00 untuk dewasa dan AUD14.50 untuk kanak-kanak. Mengambil gambar didalam rumah ajaib ini adalah dilarang (nanti rahsia terbongkar). Dihadapan rumah ajaib tersebut terdapat taman dan padang golf mini. Disatu sudut di Maze'N Things kami menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.

 
Dari rumah ajaib kami terus ke destinasi paling hujung di Phillip Island iaitu Nobbies Centre. Didalam Nobbies Centre di pamirkan perihal kehidupan laut dan dari dataran Nobbies Centre dibina laluan daripada kayu sepanjang kawasan tebing untuk memudahkan para pengunjung melihat keadaan sebenar pantai dan laut. Namun bahagian menuruni pantai telah ditutup bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini kepada para pengunjung dan supaya keaslian batu batan dan habitat pantai tidak terjejas. Dikawasan ini jugalah adakalanya kelihatan Singa Laut dan Ikan Paus berenang-renang. Angin yang bertiup kencang menambah lagi kesejukan di kala hari menjelang petang.

 Lebih setengah jam menunggu singa laut dan ikan paus tetapi tidak muncul di Nobbies Centre, kami bergerak ke Kitty Miller Bay. Kitty Miller Bay menjadi terkenal apabila sebuah kapal layar S.S. Speke yang membawa barang dagangan telah dipukul gombak dan terhempas ke batu di pantai Kitty Miller pada 8hb. November 1905. Kapal dengan tiga layar yang dibina di Wales dalam tahun 1891 sepanjang hampir 32 meter yang sedang dalam pelayarannya telah di badai angin kuat dan ombak besar selama 12 hari sebelum akhirnya tewas di pantai Kitty Miller.

Selepas lebih seratus tahun, bangkai kapal layar tersebut hanya tinggal rangka besi buruk sahaja.
 

 
Tempat terakhir yang kami singgahi di Phillip Island ialah Pyramid Rock yang terletak di bahagian paling selatan pantai Phillip Island. Juga disediakan laluan dibina dari kayu untuk para pengunjung menyusuri tebing pantai bagi melihat Pyramid Rock dari jarak yang lebih dekat.

Kami tidak sempat singgah didestinasi lain saperti Churchill Island Heritage Farm, Cape Woolamai Walk, Koala Consevation Centre, Phillip Island Grandprix Curcuit, The Penguin Parade, Anchor Belle Holiday Park dan lain-lain kerana kesuntukan masa disebabkan anak sulungku akan balik ke Malaysia pada sebelah malamnya. Jadi aku terpaksa bergegas menghantarnya ke lapangan terbang.



Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 3 ... Mount Buller



Seperti malam pertama di Melbourne, malam kedua juga begitu sejuk. Tidak banyak aktiviti waktu malam yang kami lakukan kerana cuaca yang sejuk dan siang yang pendek. Kami hanya berehat di dalam rumah. Isteriku memasak untuk makan malam, anak-anakku menonton tv, manakala aku sebok membuat perancangan untuk ke Mount Buller keesukan harinya.

Mt Buller, ialah satu pekan kecil terletak di daerah Shire of Mansfield iaitu lebihkurang 210 kilometer dari Bandar Melbourne.  Ketinggiannya lebih kurang 1805 meter dari aras laut, merupakan kawasan yang sejuk sepanjang tahun terutamanya pada musim sejuk iaitu pada bulan-bulan Jun, Julai dan Ogos suhunya boleh berada dibawah paras beku. Merupakan Bandar peranginan dan percutian yang menyediakan aktiviti-aktiviti seperti bermain ski, berbasikal, menaiki skylift, bermain salji dan aktiviti lain yang berkaitan.

Antara perkara yang aku pelajari untuk memandu di jalan yang bersalji, roda hendaklah dipasang rantai supaya tidak mudah tergelincir. Begitu juga dengan pakaian sejuk, sarung kepala dan kasut yang khusus untuk bermain dikawasan salji. Peralatan tersebut boleh disewa dengan harga yang berpatutan.

Pada hari ketiga, selepas isteriku siap memasak makanan untuk bekalan makan tengah hari, kami keluar dari rumah agak awal untuk menuju ke Mount Buller. Maklumlah perjalanan akan mengambil masa tiga ke empat jam.

 
Aku memandu bertemankan isteri dan anak-anak dengan bantuan GPS. Aku memandu dengan berhati-hati kerana keadaan jalan yang agak lembab tambahan pula terdapat banyak kamera perangkap laju sepanjang perjalanan. Sepanjang perjalanan aku melihat dikanan-kiri jalan kebanyakkannya padang ragut dimana terdapat ribuan kambing biri-biri dan juga lembu dan tidak kelihatan kawasan industri. Pada pagi itu tidak berapa banyak kenderaan yang menuju ke Mt Buller, mungkin kerana musim sejuk baru bermula dan salji belum turun lagi.

 
Setelah memandu lebihkurang satu jam, aku berhenti di satu kawasan rehat Mckenzie Reserve untuk ke tandas dan juga untuk menghilangkan mengantuk sebelum meneruskan perjalanan. Setelah rasa mengantuk hilang, aku meneruskan pemanduan untuk menuju ke Mount Buller tetapi perlu singgah sebentar di pekan Mansfield untuk menyewa alat kelengkapan.


Tepat jam 11.00 pagi, kami sampai di sebuah kedai Discount Ski Hire  di pekan Mansfield. Berdasarkan maklumat di perolehi dari puncak Mt Buller, semua kereta pacuan dua roda perlu membawa rantai roda sebagai persediaan sekiranya salji turun di atas jalan raya. Aku menyewa lima pasang “snow boot” dengan harga AUD15.00 sepasang. Snow boot perlu dipakai semasa kita berjalan atau bermain salji. Oleh kerana aku telah menyewa lima snow boot, jadi pemilik kedai dengan murah hati hanya meminjamkan rantai roda tanpa perlu membayar sewa. Pakaian lain seperti baju sejuk, seluar, penutup kepala dan sarung tangan kami telah bawa dari KL.


Selesai menyewa snow boot dan snow chain, aku meneruskan pemanduan untuk ke Mt Buller. Seperti di awal pemanduan, sepanjang perjalanan yang kelihatan di kanan kiri jalan adalah padang ragut yang menghijau dengan ribuan ekor kambing biri-biri dan lembu. Dalam suasana yang lengang dari kenderaan, ada juga orang yang sanggup berniaga ditepi jalan. Aku memberhentikan kereta untuk isteriku membeli beberapa biji buah epal untuk di makan semasa di Mt Buller kelak.

Jam 12.30 tengah hari kami sampai di pintu gerbang ke Mt Buller yang terletak di kawasan Mirimbah. Kami perlu membayar AUD40.00 untuk sebuah kereta termasuk penumpangnya. Mereka melakukan pemeriksaan bagi memastikan yang kami ada membawa snow chain sebagai persediaan sekiranya salji turun ... gambar atas bahagian bawah kanan.

 
Daripada pintu gerbang, aku perlu memandu sejauh 15 kilometer dilaluan yang berliku untuk sampai ke Mount Buller. Betul kata pemeriksa di pintu gerbang yang aku perlu memandu terus sehingga ada orang menyuruh aku berhenti, kerana setiba di suatu kawasan pegawai terafik telah sedia menunggu dan mengarahkan aku untuk meletak kenderaan di kawasan letak kereta bagi pengunjung harian. “Shuttle bus” percuma telah sedia menunggu untuk membawa kami ke puncak Mt Buller. Setelah menukar kasut kepada snow boot, kami berlari menaiki shutte bus dan tidak lupa beg yang mengandungi bekalan makan tengah hari. 

 
Lima belas minit kemudian, kami sudah sampai di puncak Mt Buller. Walaupun matahari memancarkan sinarnya, tetapi cuaca begitu sejuk sehingga mencecah -0.6 darjah celcious, namun salji belum turun lagi. Aku membeli lima tiket berharga AUD5.00 setiap seorang untuk menaiki “chair lift” untuk sampai ketempat tertinggi di Mt Buller dan bagusnya boleh naik berulang kali. AUD5.00 adalah harga promosi sempena permulaan musim sejuk berbanding harga biasa AUD19.00 seorang. Blue Bullet (gambar atas) adalah stesen untuk menaiki chair lift.


Sampai di tempat tinggi di puncak Mt Buller, kami berjalan dan bermain-main dikawasan salji buatan kerana salji asli belum turun lagi. Kebiasaannya salji betul akan mulai turun pada hujung bulan Jun.


Hampir satu jam kami berada di kawasan salji tiruan dan berulangkali menaiki chair lift, kemudian kami masuk kedalam Village Square Plaza yang terletak didataran Mt Buller untuk menghilangkan kesejukan. Disatu meja didalam Village Square Plaza, kami pun mengeluarkan bekalan makanan yang kami bawa untuk makan tengah hari ... gambar atas paling kanan bawah. Nampaknya hanya kami sahaja yang membawa bekalan makanan kerana kami tidak mahu mengambil risiko dengan makanan yang dijual di kafe yang terdapat di Village Square Plaza.

Selesai makan tengah hari dan berehat sebentar, kemudian kami menunaikan solat jamak qasar zuhor dan asar di sutu sudut di dalam Village Square Plaza.

 
Jam 4.00 petang kami meninggalkan Mt Buller untuk balik ke penginapan di Port Melbourne. Kami juga perlu memulangkan lima pasang snow boot dan snow chain di Discount Ski Hire sebelum ianya tutup jam 6.30 petang.

Dalam perjalanan balik, aku memberhentikan kereta di tepi jalan untuk merakam beberapa pemandangan indah yang memukau untuk dijadikan ingatan tentang kekuasaan Allah SWT menjadikan alam ini.  Kemudian aku terus memandu tanpa henti sehinggalah kami sampai di Port Melbourne jam 8.00 malam.



Sunday, 15 June 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Melbourne 2 ... Ronda-Ronda CBD



Malam pertama di Melbourne begitu sejuk. Walaupun berada didalam bilik, cuaca sejuk tetap dapat menerobos sampai kedalam tulang. Mujurlah penginapan yang aku sewa ada menyediakan alat pemanas udara (heater), jadi kurang sikit sejuknya. Sementara menunggu isteriku masak untuk makan malam, aku telah membuat perancangan perjalanan bagi memudahkan pergerakan untuk hari esuk iaitu hari kedua berada di Melbourne.

Satu perkara yang perlu diingat, ialah berkenaan tempat letak kereta, walaupun banyak tetapi harganya sangat mahal, ada yang sampai 1 jam AUD8.00 sehingga satu hari berpuluh-puluh AUD. Jadi aku terpaksa mencari-cari tempat letak kereta yang paling murah.


Pagi-pagi lagi pada hari kedua kami telah keluar rumah menuju ke pusat bandar Melbourne dan terus ke tempat letak kereta CBD, di 58, Franklin St. Inilah tempat letak kereta yang paling murah yang aku dapat cari iaitu AUD12.00 (early bird) untuk sehari, itupun terpaksa masuk sebelum jam 9.00 pagi dan keluar selepas jam 3.00 petang. Memang pada hari kedua kami hanya akan ronda-ronda sekitar Melbourne CBD dengan menaiki Trem No. 35 iaitu trem percuma.

Dari tempat letak kereta CBD, kami berjalan kaki lebihkurang 200 meter melalui Franklin St ke arah Queen St untuk sampai ke Queen Victoria Market. Waktu itu orang masih belum ramai lagi. 


Kami datang lagi ke Queen Victoria Market kerana semalam tidak sempat membeli belah sebab dah tutup. Bermacam-macam barang dijual di QVM. Yang paling seronok anak-anak perempuanku. Membeli sakan sehingga lupa duit dah habis, mujurlah ada mesin ATM di QVM, nasib baik mesin ATM itu tak minta maaf “maaf baki anda tidak mencukupi”.

Isteriku sempat juga membeli beberapa helai baju dan cenderahati untuk rakan-rakannya dan membelikan topi koboi untuk aku. Sejak waktu tu, aku sentiasa bergaya dengan topi koboi tu. Sebelum meninggalkan QVM, kami berjalan-jalan dan tak sangka bertemu dengan seniman jalanan yang sedang menghiburkan orang ramai disatu sudut QVM (gambar bawah kanan bawah).


Setelah selesai membeli belah di QVM, kami kembali ke tempat letak kereta untuk menyimpan barang bagi meringankan perjalanan seterusnya. Dari tempat letak kereta kami berjalan kaki melalui Franklin St ke arah Victoria St untuk ke Old Melbourne Gaol. Bila sampai di Victoria St kami sudah nampak Old Melbourne Gaol berada disebelah kanan kami iaitu di no. 377 Russell St. Kami berjalan lebihkurang 300 meter dari CBDpark.


 Old Melbourne Gaol terdiri daripada penjara tertua di Melbourne, Mahkamah Magistrit paling bersejarah dan Balai Polis semenjak tahun 1840an dan banyak kes-kes jenayah berat telah diselesaikan dan hukuman gantung juga dijalankan di dalam penjara tersebut. Kini dijadikan tapak warisan sejarah untuk dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia. Dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang dan dikenakan bayaran masuk sebanyak AUD25.00 untuk dewasa dan AUD13.50 untuk kanak-kanak. Masuk kedalam tidak dibenarkan mengambil gambar.

Selesai melakukan lawatan kami menunaikan kewajipan kepada Allah swt solat zohor dan asar secara qasar dan jamak diatas pangkin disebelah kanan tempat kami duduk diluar Old Melbourne Gaol (gambar atas bawah paling kanan).

 
Dari Old Melbourne Gaol, kami berjalan kaki menyusuri Victoria St ke arah Rathdowne St untuk ke Royal Exibition Building yang terletak di no. 9,  Nicholson St, Carlton VIC 3053. Royal Exibition Building telah di iktiraf sebagai salah satu bangunan Warisan Dunia yang perlu dipelihara. Pada hari itu tidak ada apa-apa pameran di adakan, jadi ianya ditutup. Tak dapatlah kami masuk untuk melihat-lihat. Kami hanya bergambar disekitar bangunan yang dipenuhi dengan pepohon rendang, rumput yang menghijau disamping taman bunga yang dihias cantik.


Berhadapan dengan Royal Exibition Building adalah  Melbourne Museum yang terletak di no. 11, Nicholson St, Carlton VIC 3953. Bangunan muzium tersebut telah direkabentuk oleh Denton Corker Marshall Architects dan pembinaannya telah disiapkan dalam tahun 2001. Muzium tersebut dibuka pada setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk sebanyak AUD24.00 untuk dewasa dan AUD12.00 untuk kanak-kanak. Pada hari kami datang, ada promosi bayaran masuk iaitu hanya AUD 10.00 untuk dewasa manakala percuma untuk kanak-kanak.

 
Antara bahan yang dipamerkan di Muzium Melbourne ialah tulang rangka ikan paus, binatang purba dan juga berbagai binatang yang telah dikeraskan.

Disatu bahagian yang lain pula dipamerkan replika kereta kuda zaman dahulu dan keretapi lama, mesin jahit lama dan juga mesin taip lama.


Disudut yang lain terdapat galeri lukisan, sejarah sains dan manusia dan di ruang legar di tempatkan sebuah kereta antik sebagai tarikan kepada para pengunjung.


Selesai melihat-lihat di Muzium Melbourne, kami berjalan kaki melalui Rathdowne St ke arah La Trobe St untuk ke perhentian trem terdekat iaitu lebihkurang 500 meter yang terletak di La Trobe St. Kami menaiki Trem no. 35 iaitu trem percuma yang mengelilingi Pusat Bandar Melbourne sahaja.


Tempat menunggu trem mudah sahaja hanya di pembahagi jalan. Semua trem akan melalui laluan yang sama, namun hanya trem no. 35 yang percuma. Tidak lama menunggu, trem pun sampai. Kami menaiki trem no. 35 untuk ke Harbour Town Shopping Centre yang terletak di Wilayah Dockland. Naik trem no. 35 sama macam naik LRT di KL, tempat duduknya terhad, lebih ramai yang berdiri, setiap akan sampai di perhentian seterusnya akan dimaklumkan. Jadi kami taklah terlajak walaupun pertama kali naik trem no. 35. Macam dah biasa je.


Kami sampai di Harbour Town Shopping Centre lebihkurang jam 4.00 petang. Harbour Town merupakan kawasan beli belah terbaru di Melbourne. Beratus-ratus kedai menjual pakaian, kasut, barangan cenderahati, tetapi di sini lebih eklusif berbanding Queen Victoria Market.


Juga terdapat berpuluh restoran antaranya restoran Chilli Padi dan terdapat sebuah hotel iaitu Harbour Town Hotel.

 
Tarikan utama di Harbour Town ialah Melbourne Star Flight of Discovery, juga sebuah sebuah Mini Olympic Stadium.

Harbour Town sebenarnya tidak jauh dari Waterfront City. Jadi sementara menunggu isteri dan anak-anakku shopping, aku berjalan kaki menuju ke Water Front City yang hanya lebihkurang 200 meter dari Harbour Town.

 
Sempat juga aku merakam beberapa pemandangan yang cantik di sekitar Water Front City. Lebih kurang jam 5.00 petang kami menunggu Trem no. 35 di Docklands Dr untuk ke CBD park. Dari CBD park aku memandu kereta untuk balik ke rumah penginapan kerana siang mulai melabuhkan tirai.