Saturday, 13 April 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 .. (4) .. hari ketiga .. Konya … Cappadocia …



Saperti hari semalam, tepat jam 5.00 pagi waktu tempatan, loceng berbunyi, aku tidak membuang masa terus bangun serta membersihkan badan walaupun cuaca diluar semakin sejuk. Lepas solat subuh, kami mengemaskan barangan dan membawa bagasi ke lobi hotel, kemudian bersarapan pagi. 


Sementara menunggu bagasi dimasukkan ke dalam bas, sempat juga isteriku berposing sebagai kenangan sebelum menaiki bas.  Lebihkurang jam 7.20, bas mula bergerak dan saperti biasa,  encik Azizan daripada Terengganu  membacakan doa musafir.
   
 
Masing-masing ceria untuk meneruskan pengembaraan yang jauh pada hari ketiga di Turki, di jangkakan perjalanan kami termasuk lawatan dan makan tengah hari akan mengambil masa antara 12 hingga 14 jam sebelum kami sampai ke hotel penginapan kami di Kappadokia. Ketika bas kami mula meninggalkan Hotel Tripolis di Pamukkale, matahari baru mulai muncul. 

Menurut Ms Luna, destinasi pertama kami pada hari ketiga ialah Bandar Konya di dalam wilayah Anatolia iaitu dibahagian selatan Turki, kira-kira 420 km jauhnya dari Pamukkale. Ms Luna menyambung cerita bahawa Bandar Konya merupakan ibu kota Empayar Saljuk pada waktu itu. Kini, Konya merupakan antara bandar-bandar bersejarah di Turki yang harus dilawati bagi mereka yang berkunjung ke Turki. Antara tempat-tempat yang menarik di Konya adalah Makam dan Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi, Alaeddin Tepesi, Alaeddin Mosque, Selimiye Mosque dan Iplikci Mosque, tetapi pengembaraan kami hanya akan melawat Muzium Maulana ar-Rumi kerana kesuntukan masa.
 
Perjalanan menuju Bandar Konya melului lebuhraya baru yang kurang berbukit dan berliku. Pemandangan disepanjang perjalanan menuju ke Konya kelihatan ladang-ladang gandum yang baru selesai dituai, kerana telah bermula musim sejuk, mungkin kawasan saperti itu akan diselaputi oleh salji pada kemuncak musim sejuk. Saperti biasa, Encik Abdullah memandu mengikut had laju yang ditetapkan, bila rasa mengantuk dia pun mencari kawasan rehat untuk ke tandas serta berehat sambil minum kopi. 

Perjalanan diteruskan sehingga memasuki ke Bandar Konya, tiba-tiba Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi berada dihadapan kami. Semasa bas kami sampai di Konya, waktu ketika itu sudah melewati waktu zohor. Kami terus di bawa untuk melawat Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi.

Jalaludin ar-Rumi atau nama penuhnya Maulana Jalaluddin Rumi Muhammad bin Muhammad bin Husin al-Khattabi al-Bakri adalah anak kepada Bahauddin Walad Muhammad bin Husin. Beliau dilahirkan di Balkh, sebuah pecan kucil di Khurasan, Afghanistan pada tahun 30 September 1207 (604 H). Selain penyair dia juga tokoh sufi yang berpengaruh di zamannya. Mendapat panggilan ar-Rumi kerana sebahagian besar hidupnya dihabiskan di Konya (kini Turki), yang dahulu dikenal sebagai daerah Rum (Roma).

Ayahnya, Bahauddin Walad Muhammad bin Husein, adalah seorang ulama besar bermadzhab Hanafi yang mendapat gelaran Sultanul Ulama karena kharisma dan menguasai ilmu agama yang sangat luas. Ini menimbulkan irihati dikalangan ulamak dan akhirnya ia terpaksa meninggalkan Balkhan disebabkan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Ketika itu Jalaluddin Rumi masih berusia 5 tahun. Sejak itu Bahauddin bersama keluarganya hidup berpindah- pindah dari suatu negara ke negara lain. Mereka pernah tinggal di Sinabur (Iran timur laut). Dari Sinabur pindah ke Baghdad, Makkah, Malattya (Turki), Laranda (Iran tenggara) dan terakhir menetap di Konya, Turki. Raja Konya Alauddin Kaiqubad, bukan sahaja mengambil bapa Rumi sebagai penasihatnya, tetapi juga  melantiknya sebagai guru besar disebuah sekolah agama yang didirikan di Konya.

Di samping belajar daripada bapanya, ar-Rumi juga berguru kepada Burhanuddin Muhaqqiq at-Turmudzi dan seterusnya belajar hingga ke Syam (Suriah) dan kembali ke Konya pada tahun 634 H, untuk sama-sama mengajar disekolah agama bersama bapanya.

Setelah bapanya meninggal dunia, ar-Rumi yang ketika itu baru berusia 24 tahun telah menggantikan bapanya sebagai guru besar di sekolah agama tersebut. Di samping mengajar, beliau juga menjadi pendakwah dan ahli majlis fatwa. Ketika berusia 48 tahun, beliau telah bertemu dengan seorang pengembara sufi bernama Syamsuddin @ Syamsi dati Kota Tabriz. Pertemuan tersebut telah mengubah jalan hidupnya menjadi seorang penyair sufi terkenal dalam kesusasteraan Parsi.

Maulana ar-Rumi, menyampaikan tulisannya dalam bahasa cinta yang penuh makna. Melalui puisi-puisinya ar-Rumi menggambarkan bahawa pemahaman atas dunia hanya mungkin diperolehi melalui cinta kepada Tuhannya yang menjadi satu-satunya tujuan hidup, tidak ada yang menyamaiNya. Kumpulan puisi ar-Rumi yang terkenal bernama al-Matsnawi al-Maknawi.

Zikir adalah salah satu tuntutan Nabi Muhammad saw untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  Maulana Jalaluddin ar-Rumi, kemudiannya mengembangkan kaedah zikir dengan gerakan berputar yang dikenal sebagai ”Whirling Dervishes” (Tarekat Mawlawi). Gerakan berputar  mengikut arah jam yang dilakukan secara terus-menerus yang melambangkan alam semesta yang sentiasa berpusing dan beredar pada paksinya tanpa henti yang semuanya dibawah kawalan Allah SWT.

Maulana Jalaluddin ar-Rumi meninggal dunia pada 17 Desember 1273 Masehi di Konya ,Turki dan dimakamkan berhampiran sekolah agama dimana beliau mengajar. Tempat dimana ar-Rumi dimakamkan itulah kemudian didirikan Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi.

Gambar kiri ... Inilah Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi atau Yesil Turbe (Makam Hijau) yang berbumbung warna biru kehijauan. Muzium Maulana ar-Rumi juga dikenali sebagai Istana Kebun Mawar atau Rose Garden kerana bunga mawar yang berwarna-warni banyak ditanam dikawasan lapang diluar muzium. Cuma pada masa kami sampai, bunga mawar sudahpun luruh dan kami pun tidak menghidu wangian bunga mawar.

Untuk masuk kedalam muzium, tak perlu buka kasut Cuma balut dengan beg plastik yang disediakan. Memasuki muzium ini tidak dibenarkan menggunakan kamera. Larangan membawanya terpampang dipintu masuk utama. Gambar-gambar dibawah aku ambil daripada poskad yang banyak dijual di kedai cenderamata diluar muzium.


Hari itu, orang agak ramai, jadi terpaksa bersesak-sesak sambil bergerak kehadapan, didalam muzium. Masuk sahaja, kelihatan disebelah kanan terletaknya makam Maulana ar-Rumi (gambar kiri).
Gambar kanan .. ini merupakan ilustrasi ar-Rumi yang sedang berdiskusi dengan sahabatnya di suatu sudut didalam muzium. Di katakan bahawa ar-Rumi biasanya menghabiskan masa berhari-hari lamanya untuk berbincang dengan sahabatnya dan dari situ ia menghasilkan karyanya. Disebelah kiri, terdapat koleksi Masnavis (buku puisi yang ditulis oleh Mevlana), Al-Quran dan sajadah bergambar.

Ini pula kotak yang tersimpan janggut Nabi Muhammad saw juga terdapat didalam Muzium Maulana. Janggut tersebut asalnya tersimpang di dinding Masjid Agung Konya di zaman peperangan dan telah dijumpai semula oleh pengarah muzium ketika itu iatu Mehmet Onder pada tahun 1950 semasa masjid tersebut dibaiki. Kain sutera pembungkus kotak  mengeluarkan bau yang harum saperti bau bunga mawar.




 Di bahagian luar muzium, terdapat deretan bangunan yang menempatkan 17 buah bilik para darwis . Gambar kanan ... Peralatan tulisan yang digunakan pada zaman itu yang dipamerkan disalah satu bilik.

Gambar kiri ... Ini pula seruling yang digunakan oleh para sufi semasa zikir gerakan berputar. Kanan ... Tasbih para darwis begitu panjang juga tersimpan di sebuag bilik.


Gambar kiri ... agaknya beginilah cara mereka memainkan muzik iringan semasa mereka mengalunkan zikir "whirling Dervishes". Gambar kanan ... dewan persembahan.

Gambar bawah ... para darwis sedang berzikir dengan penuh khusuk.

 Sebelum kami meninggalkan Muzium Maulana Jalaluddin ar-Rumi, kami sempat meninjau-ninjau kedai diluar muzium yang menjual berbagai barangan cenderamata … kemudian kami meninggalkan Konya dengan seribu kenangan.

Perjalanan diteruskan kedestinasi kedua iaitu Caravanserais (Kervansarays) yang jauhnya lebih kurang 150 km dari Bandar Konya. Caravanserais adalah satu bangunan yang digunakan sebagai tempat persinggahan oleh para pedagang zaman dulu semenjak kurun ke 10 lagi . Di dalamnya  terdapat bili-bilik penginapan dan tempat merehatkan binatang tunggangan saperti unta dan kuda yang digunakan untuk menarik kereta kuda. Bangunan ini pada asalnya sebuah bangunan yang kecil digunakan oleh angkatan tentera Turki, kemudiannya dibesarkan dan digunakan sebagai tempat persinggahan para pedagang, juga terdapat sebuah tempat untuk menunaikan solat. Bangunan ini dibina menggunakan batuan gunung berapi, dengan dinding yang tebal dan tinggi untuk mengelakkan serangan dari para perompak.

Kebiasaannya, para pedagang akan singgah di sini untuk tempoh antara 3 hingga 4 hari sebelum meneruskan perjalanan yang jauh dan juga sukar. 

Semasa kami sampai di Caravanserais, hari sudah gelap dan kamera aku pun sudah habis bateri, jadi tak banyak gambar yang dapat aku ambil.


Aku berdiri dipintu masuk ke Caravanserais (gambar kiri), dan ini pula pemandangan bahagian dalam dimana, Ms Luna, walaupun kesejukan sempat juga memberi penerangan berkenaan sejarah Caravanserais. Menurut ms Luna, terdapat tiga lagi Caravanserais, tetapi inilah tempat yang selalu dikunjungai oleh para pelancung kerana kedudukanya berhampiran dengan jalan utama.

Kami tidak lama di Caravanserais, lebih kurang 15 minit sahaja  kerana keadaan begitu sejuk dan masing-masing pun telah kelaparan dan keletihan, sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kappadokia untuk bermalam di sana yang jauhnya lebihkurang 45km.

 
Lebih kurang jam 8.30 malam baru kami sampai di Avrasya Hotel yang bertaraf 4 bintang di Kappadokia. Kami menginap di hotel tersebut selama dua malam ... nantikan pengembaraan hari ke 4 di Turki ... jelajah Kappadokia (Cappadocia)...













No comments:

Post a Comment