Monday, 23 December 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang



Kami menginap di Sandy Paradise Beach Hotel di Tanjung Bungah untuk dua malam. Selepas sarapan pagi di hotel, saperti dirancang, pagi itu aku akan menziarahi beberapa masjid bersejarah disekitar Bandaraya Georgetown.

Dari Sandy Paradise Beach Hotel aku memandu melalui Jalan Tanjung Bungah, menghala ke pusat Bandar melalui Jalan Tanjung Tokong, Jalan Kelawei, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Farquhar, Lebuh Light  dan akhirnya membelok ke Jalan Kapitan Keling. Kawasan meletak kenderaan disekitar Masjid Kapitan Keling memang terhad, jadi hanya aku seorang sahaja yang masuk ke kawasan masjid manakala isteri dan anakku menunggu di dalam kereta.
 
Masjid Kapitan Kling terletak di Jalan Lebuh Pitt di Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan merupakan masjid tertua di Pulau Pinang. Pada 26 Disember 1989 nama jalan Lebuh Pitt telah ditukar kepada Jalan Masjid Kapitan Keling dan perasmiannya dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu YB Tuan Mohd Zain Bin Haji Omar.


Mula-mula aku meronda sekitar luaran masjid dan merakam beberapa gambar daripada beberapa arah.


Masjid Kapitan Keling yang asal telah mengalami beberapa perubahan. Pada tahun 1910an, kerja-kerja penaiktarafan telah dilakukan dengan mengadaptasikan senibina Moghul iaitu penambahan kubah-kubah, menara-menara kecil, sebuah menara besar dan madrasah. Walaupun reka bentuknya mengikut seni bina Moghul, bumbung masjid ini dibina berdasarkan reka bentuk piramid atau lebih menjurus kepada reka bentuk bumbung tempatan. Kerja-kerja penambahbaikan ini telah disiapkan pada tahun 1916.

Masjid Kapitan Keling terus mendapat perhatian dan penaiktarafan seterusnya telah dilakukan pada tahun 1930 yang memberikan rekabentuk Masjid Kapitan Keling seperti rekabentuk sekarang ini. Pengubahsuaian tersebut telah dilakukan kerana rekabentuk asalnya dianggap sebagai kurang praktikal. Bagi mengekalkan ciri-ciri tradisi asalnya, masjid ini tidak dibina semula tetapi hanya diperbesarkan. Di antara kerja-kerja utama yang dilakukan pada waktu itu ialah meninggikan siling di ruang solat utama, meningkatkan sistem pengudaraan dan memperbaiki sistem pencahayaan. Seni hiasan dan rekabentuk luaran dan dalaman masjid ini pada asalnya menggadaptasikan seni geometrik.

Masjid Kapitan Keling telah menjalani satu lagi fasa pembinaan apabila kerja-kerja membaik pulih telah dilakukan pada tahun 2003 yang menelan belanja sebanyak RM5 juta. Kerja-kerja baikpulih terpaksa dilakukan kerana berlaku banyak kebocoran serta kerosakan pada sebahagian besar bangunan dan masjid ini terpaksa ditutup selama setahun semasa kerja-kerja baikpulih. Di antara kerja-kerja tambahan lain ialah pembinaan lorong pejalan kaki berbumbung menuju ke tempat wudhuk jemaah wanita, pemasangan hiasan kaligrafi Islam di dinding-dinding serta kubah utama dan pembinaan Pusat Maklumat Islam di bahagian bawah menara dihadapan masjid. Pusat Maklumat Islam itu membekalkan banyak penulisan tentang islam dalam berbagai bahasa yang untuk diedarkan kepada para pengunjung.

Semoga kerja-kerja untuk memperelokkan serta memakmurkan masjid ini akan terus dipertingkatkan di masa ini dan akan datang.



Gambar atas kiri … laluan masuk utama bahagian hadapan dari Jalan Kapitan Keling. Gambar atas kanan … adalah Dewan Makam Noordin yang khabarnya terdapat khazanah masyarakat India Muslim dipamerkan antaranya seni bela diri kalari payat, warisan tulisan Arab-Tamil dan adat perkahwinan. Dewan tersebut juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan majlis-majlis ucapan dan sebagainya.

Gambar atas kiri … Sebelum masuk kedalam masjid, aku mengambil wuduk di tempat wuduk yang merupakan sebuah kolam wuduk yang masih dikekalkan sehingga sekarang. Dari kolam wuduk aku berjalan masuk ke ruang solat yang lantainya dikemasi dengan jubin lantai manakala lembaran permaidani diletakkan diatasnya … gambar atas kanan. 



Gambar atas kiri ... Ini pula ruang mihrab dan juga mimbar masjid yang dihias indah dengan kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran. Gambar atas kanan ... Antara tiang dengan tiang dibina arch yang melambangkan senibina moghul.

Lagi gambaran bahagian dalam ruang solat. Aku sempat juga solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat dzuha di Masjid Kapitan Keling. Aku bersyukur kerana itulah pertama kali aku dapat masuk ke masjid tersebut. Ketika itu tiada orang kerana waktu masih awal untuk para jemaah datang iaitu sekitar jam 11.30 pagi. Harap-harap bilangan jemaah yang hadir untuk solat setiap waktu melebehi bilangan tiang yang terdapat di Masjid Kapitan Keling.


Ditengah-tengah iaitu di bawah kubah utama masjid, tergantung megah lampu “chandelier” yang menghiasi ruang solat masjid.

Aku keluar dari ruang solat dan melalui satu kawasan perkuburan diluar masjid. Khabarnya ia menempatkan kubur tiga isteri Kapitan Kling yang dikenali sebagai Che Minah iaitu isteri pertama, Mak Ma (isteri kedua) dan Tengku Maheran (isteri ketiga) yang juga merupakan kerabat Diraja Kesultanan Kedah.

Aku berjalan keluar dari kawasan masjid melalui pintu pagar utama dan melewati menara utama Masjid Kapitan Keling.


Gambar atas kiri … Dibahagian hadapan iaitu disebelah kiri pintu masuk utama dari Jalan Kapitan Keling ada sebuah menara yang tinggi. Dibahagian bawah menara tersebut terdapat sebuah bilik yang dijadikan sebagai tempat penerangan islam dan pusat dakwah yang dikendalikan oleh Saudara Kamaruddin Abdullah, bekas penganut kristian yang telah memeluk islam. Kerja dakwah yang dijalankan di situ sangat dinamik, pengunjung boleh dapatkan banyak artikel tentang Islam dalam pelbagai bahasa. Khabarnya ramai juga di kalangan pelancong asing dan pengunjung yang memeluk Islam, apabila didakwahkan di situ.

Aku terus berjalan sehingga ke persimpangan Jalan Kapitan Keling dengan Jalan Buckingham dimana terdapat satu binaan yang menceritakan sejarah masjid tersebut.


Sejarah Masjid Kapitan Keling ….

Masjid Kapitan Keling yang terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling merupakan sebuah masjid tertua dan bersejarah di Pulau Pinang. Ia dibina oleh tentera Syarikat Hindia Timur yang tiba di Pulau Pinang pada suku abad ke – 18.

Memandagkan penduduk kaum India Muslim di Pulau Pinang pada masa itu semakin bertambah maka Caudeer Mohudeen seorang ketua kaum India Muslim (Kapitan Keling) telah memohon sebidang tanah supaya sebuah masjid yang lebih  besar dan tetap dapat didirikan.

Pada tahun 1801 Syarikat HIndia Timur telah memberi sebidang tanah seluar 18 ekar dimana buruh dan bahan binaan dari India telah dibawa untuk kerja-kerja pembinaan. Masjid tersebut dibina di atas halaman yang luas bersama dengan kawasan tanah perkuburan dan perkampungan dimana sewa yang dikenakan adalah untuk kegunaan penyelenggaraan masjid dan kerja-kerja amal.

Selepas kematian Caudeer Mohudeen pada tahun 1834, sebahagian tanah tersebut telah diambil balik untuk pembinaan jalan-jalan awam dan rumah-rumah di kawasan masjid yang mengakibatkan pengecilan keluasan tanah menjadi 8 ekar pada tahun 1903.

Masjid kini adalah dibina pada tahun 1916 bagi menggantikan masjid lama dengan minaret yang berbentuk kubah memaparkan gaya seni bina Islam yang dipengaruhi oleh unsur-unsur dari India.

Masjid Kapitan Keling merupakan pusat beribadat bagi kaum India Muslim yang telah menetap dan bekerja di sekeliling masjid dengan nilai sejarah yang berlanjutan sejak 200 tahun dahulu.

Saturday, 14 December 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Terapung Tanjung Bungah



Daripada Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar kami terus menuju ke Pulau Pinang melalui Lebuhraya PLUS dan menaiki feri Pulau Pinang. Petang itu kami sampai di Terminal Feri Butterworth keadaan tidak sesak sangat. Jadi kami menunggu lebihkurang sepuluh minit sahaja dah dapat naik ke atas feri.

Memang sudah lama aku tidak menaiki feri Pulau Pinang dan aku pun sebenarnya dah lama tak datang ke Pulau Pinang. Aku tidak menggunakan Jambatan Pulau Pinang kerana aku akan terus pergi ke kawasan Tanjung Bungah, jadi lebih mudah menaiki feri sahaja. Maklumlah, itulah saja jalan yang aku tahu, kalau guna jalan lain mungkin aku sesat, akhirnya nanti pimai pimai tangtu!. Gambar atas kiri ... feri Pulau Pinang yang tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang dan masih setia membawa penumpang berulang-alik dari Butterworth ke Pulau Pinang dan sebaliknya. Gambar atas kanan ... keadaan didalam feri petang itu agak tenang tetapi berangin.


Turun daripada Terminal Feri Raja Tun Uda Goerge Town, aku terus memandu ke arah Jalan Pengkalan Weld. Aku membelok ke kanan ke Jalan Pengkalan Weld dan memandu terus sampai disatu bulatan yang terdapat menara jam ditengahnya (gambar kiri), aku mengambil jalan terus ke Jalan Lebuh Light. Dari situ aku memandu melalui Jalan Lebuh Farquhar, Jalan Penang, Jalan Burmah, Jalan Pangkur, Jalan Kelawei dan terus hingga sampai ke persimpangan Bagan Jermal. Salepas lampu isyarat bertukar hijau, aku memandu terus ke Jalan Tanjung Tokong, sehingga sampai ke Jalan Tanjung Bungah dan terus memandu hingga akhirnya kami sampai ke Masjid Terapung Tanjung Bungah di sebelah kanan jalan.

  
Gambar atas kiri ... papan tanda Masjid Terapung Tanjung Bungah. Gambar atas kanan ... pandangan hadapan MTTB.


Aku agak terkilan kerana semasa aku sampai di masjid tersebut, air sedang surut, jadi masjid tersebut tidak kelihatan saperti terapung. Menurut penduduk tempatan air akan pasang sekitar jam 1.00 pagi. Jadi aku tidak dapat untuk merakam gambar masjid tersebut yang dalam keadaan terapung.


Untuk tidak mengecewakan diriku sendiri aku sempat juga mendapatkan gambar masjid yang dalam keadaan terapung (gambar kiri) ... pemandangannya memang cukup indah.

Masjid dua tingkat yang mampu memuatkan 1,500 jemaah itu dan dibina di atas lot 254, 265, 266, 308 dan 643 Mukim 18, Daerah Timur Laut iaitu di kawasan Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang. Terletak di tepi pantai Tanjung Bunga dilengkapi ruang sembahyang utama, ruang sembahyang wanita, tempat mengambil wuduk lelaki dan wanita serta bilik menguruskan jenazah.


Ruang mihrab yang dihias cantik menggunakan jubin dinding yang beraneka corak (gambar atas kiri). Mimbar masjid juga ditempah khas menggunakan kayu berkualiti tinggi serta berukir kaligafi jawi serta berkubah kecil (gambar atas kanan)


Ruang solat yang boleh memuatkan 1,500 jemaah, lantainya dikemasi dengan permaidani berkualiti tinggi dilengkapi dengan kipas bertiang bagi keselesaan para Jemaah.

Silingnya juga dihias indah dengan berbagai corak yang menakjubkan.


Masjid Terapung Tanjung Bungah telah siap dibina dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada 19 Januari 2005. Perasmian masjid tersebut telah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Mac 2007.


Masjid tersebut juga bersebelahan dengan perumahan pangsapuri yang menempatkan mangsa-mangsa tsunami 2004. Kedudukan yang strategik iaitu ditepi jalan menuju ke Batu Feringghi menjadikan masjid berkenaan sebagai tempat persinggahan di kalangan pelancong bukan sahaja untuk solat malah bagi merehatkan minda. Keadaannya yang terapung semasa air laut pasang sejauh kira-kira 100 meter dari pantai cukup unik dan indah dipandang oleh sesiapa sahaja.

Masjid Terapung Tanjung Bunga turut menyerlah dengan seni bina mengagumkan hasil gabungan seni bina tempatan dan Asia Barat terutama Turki dengan kubah pula berbentuk aerodinamik, sesuai dengan persekitaran lautan. Keunikan masjid terapung diperkukuhkan lagi dengan menara setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia


Sejarah Pembinaan dan Perkembangan

Sejarah asal Masjid Tanjung Bunga bermula dengan sebuah surau yang dibina pada 1967 berkeluasan 7.2 meter x 10.8 meter, hasil permuafakatan penduduk tempatan, namun keadaannya agak sempit apabila berlaku pertambahan penduduk.

Berkat permuafakatan penduduk, surau berkenaan dinaikkan taraf menjadi sebuah masjid pada 1977 dan keluasannya bertambah kepada 13.2 meter x 21.5 meter yang mampu memuatkan kira-kira 500 jemaah. Segala perbelanjaan diperoleh daripada sumbangan kerajaan negeri dan kutipan derma yang dibuat setiap minggu, manakala kerja pembinaan dilakukan secara gotong-royong.

Memandangkan pertambahan penduduk serta pertumbuhan taman perumahan di kawasan itu, pembinaan masjid baru dicadangkan pada tahun 1980-an. Bagaimanapun, untuk membina masjid baru, kawasan tanah yang ada amat terhad sedangkan untuk membina di kawasan masjid lama pun agak sukar kerana ia betul-betul berada di tepi jalan menghala ke Batu Feringghi yang agak sibuk.

Oleh kerana keluasan tanah yang terhad dan harga tanah yang semakin mahal di kawasan Tanjung Bunga, tercetus idea membina masjid terapung. Apabila cadangan pembinaan masjid terapung dikemukakan, kerajaan negeri bersetuju kerana ia dapat menjimatkan penggunaan tanah dan tidak perlu membuka kawasan lain yang sememangnya terhad di sini.

Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah dimulakan pada 1 Oktober 2003 oleh Syarikat Pembinaan Jamil Ghani Sdn Bhd dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya. Mengunakan 100% bahan-bahan keluaran tempatan yang berkualiti tinggi yang melibatkan sehingga 100 orang pekerja semuanya. Pembinaannya telah siapkan dua bulan lebih awal dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada 19 Januari 2005. Kos pembinaan sekitar Rm15 juta.

Semasa tsunami melanda negeri di utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, masjid tersebut telah hampir siap dibina namun tidak terjejas sedikitpun sedangkan banyak rumah di kawasan sekitarnya ranap sama sekali. Sebagai contoh,  Kampung Masjid yang terletak berhampiran Masjid Terapung Tanjung Bunga, hampir seluruh rumah kayu beratap zink dan nipah ranap dipukul ombak besar.
 
Masjid tersebut bukan sahaja terselamat daripada bencana tsunami tetapi juga menjadi benteng penahan ombak yang mungkin boleh mengakibatkan kemusnahan lebih teruk dialami penduduk kampung sekitar Tanjung Bunga.



Monday, 2 December 2013

Destinasi Cuti-cutiku ... Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar



Kami meninggalkan Masjid Kampung Paloh, Ipoh lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Aku memandu terus menuju ke arah Lebuhraya PLUS untuk menuju ke Bandar Diraja Kuala Kangsar. Di lebuhraya PLUS, kami berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak untuk solat zohor dan makan tengah hari. Keadaan di R & R agak sesak maklum sajalah musim cuti sekolah. Lepas makan, solat dan rehat , lebih kurang jam 1.30 petang kami meneruskan perjalanan ke destinasi Masjid Ubudiah Kuala Kangsar. Aku memandu terus di Lebuhraya PLUS sehingga sampai ke jalan susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar. Dari Plaza tol, aku mengambil Jalan Taiping menuju ke Pusat Bandar Kuala Kangsar.


Memandu di Jalan Taiping arah ke Pusat Bandar Kuala Kangsar, kami melalui bawah satu jejantas yang dihias indah seolah-olah pintu gerbang yang dilengkapi dengan kubah bentuk telur berwarna emas. Keindahan hiasan pada jejantas tersebut memaksa aku memberhentikan kereta sabentar untuk merakam gambar jejantas tersebut sebagai kenangan (gambar atas kiri). Aku meneruskan pemanduan memasuki Pusat Bandar sehingga sampai ke satu bulatan kecil yang terdapat menara jam ditengahnya, juga berkubah bentuk telur warna emas (gambar atas kanan). Aku memasuki Jalan Istana dan terus menuju ke Masjid Diraja Ubudiah yang tersergam Indah. Itulah kali pertama kami sampai ke masjid tersebut.






Masjid Diraja Ubudiah (dahulu dikenali sebagai Masjid Ubudiah atau Masjid Negeri) yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia. Masjid Diraja Ubudiah terletak disebelah Makam Diraja Al-Ghufran dan berhampiran dengan Istana Iskandariah, tempat bersemayam raja-raja pemerintah Negeri Perak. Masjid Ubudiah telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan yang ke-29, pada tahun 1917. Nota: Ikuti sejarah pembinaan masjid di akhir coretan.




Masjid Diraja Ubudiah berbentuk segi lapan (oktagon) bergarispusat 96 kaki , berbumbung kubah besar bergaris pusat 60 kaki dengan ketinggian 140 kaki. Empat buah anjung juga dibina disekeliling binaan utama sebagai laluan masuk ke serambi masjid sebelum masuk ke dewan solat. Anjung-anjung tersebut juga berbumbung kubah yang lebih kecil.  Empat buah menara utama setinggi 126 kaki setiap satu juga dibina disekeliling masjid yang juga dilengkapi dengan kubah lebih kecil. Juga terdapat 16 buah menara kecil disekeliling bumbung masjid yang juga dihiasi dengan kubah yang lebih kecil.


Kesemua kubah-kubah di masjid tersebut adalah berbentuk bawang mengambil motif seni bina India Moghul. Manakala jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar Perak iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar Delapan dan Orang Besar Enam Belas.




Disekeliling beranda masjid, terdapat arch berbentuk kunci yang membentuk identiti kukuh terhadap elemen seni bina Moorish pada masjid tersebut. Ini menunjukkan betapa terpengaruhnya penjajah British terhadap seni bina Moorish di dalam setiap reka bentuk bangunan, sama ada bangunan kerajaan mahu pun masjid di negara ini pada waktu itu. Sesungguhnya pertembungan elemen classical seni bina Islam dan Barat telah menghasilkan suatu objek seni bina yang romantis dan menakjubkan.


Apabila Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, Masjid Ubudiah yang pada mulanya adalah Masjid Negeri Perak, kemudiannya dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Masjid tersebut ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Diraja Ubudiah dan dipengerusikan oleh individu yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan dan wakil pegawai daripada Pejabat Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Jawatankuasa itu dilantik untuk menguruskan segala pembangunan dan perbelanjaan Masjid Diraja Ubudiah.


Walaupun Masjid Diraja Ubudiah hampir berusia 100 tahun, namun nilai seni rekanya yang bermutu tinggi telah mengangkat Masjid Diraja Ubudiah dikenali sebagai masjid terindah sehingga ia mendapat tempat dalam peta pelancongan Malaysia.


Semasa aku tiba di Masjid Diraja Ubudiah, masih ada para jemaah yang sedang bersolat zohor, jadi aku meluangkan masa diluar masjid buta seketika sebelum aku mengambil wuduk dan masuk kedalam masjid melalui anjung ini. Aku menaiki anak-anak tangga kerana aras lantai masjid ditinggikan sekitar tiga kaki dari aras bumi sekelilingnya. Jelas kelihatan arch berbentuk kunci menghiasai setiap ruang masjid yang membentuk identiti kukuh terhadap elemen seni bina Moorish pada masjid tersebut.


Air pancut di atas dibina dihadapan salah satu daripada anjung yang terdapat di Masjid Diraja Ubudiah, menjadikannya lebih nyaman dan santai untuk di kunjungi. Gambar kanan … satu lagi anjung yang terdapat di masjid tersebut sebagai laluan menaiki anak-anak tangga ke lantai masjid .


Gambar kiri … ini adalah ruang solat yang berbentuk lapan segi bergaris pusat 60 kaki. Lantainya dikemasi dengan marmar berwarna hitam putih, namun kini lantainya dikemasi dengan permaidani yang indah, dindingnya dihiasi dengan bentuk-bentuk arch yang menarik yang kesemuanya melambangkan pengaruh senibina Moorish. Gambar kanan … silingnya kini dihias dengan berbagai bentuk ukiran yang menarik dan lampu chandelier tergantung megah ditengah-tengah siling.


Ruang Mihrab dan mimbar juga dihias cantik dan terletak disalah satu daripada anjung yang empat iaitu tidak didalam lingkungan segi lapan yang bergaris pusat 60 kaki. Laluan ke ruang mihrab dan mimbar juga dibina arch yang cantik. 


Sebelum aku meninggalkan Masjid Diraja Ubudiah, aku sempat merakam beberapa gambar yang menunjukkan beberapa arch berbentuk kunci ditiang-tiang menara. Gambar kanan … laluan ke pintu pagar utama masjid yang kelihatan dibelakang sana adalah Makam Diraja Al-Ghufran.






Makam Diraja Al-Ghufran yang terletak bersebelahan dengan Masjid Diraja Ubudiah juga dibina berkonsepkan Masjid Diraja Ubudiah iaitu kubah berbentuk telor, menara dan juga arch berbentu kunci.









Sedikit Sejarah Masjid Diraja Ubudiah



Diluar pagar masjid, terdapat satu binaan yang memaparkan sejarah Masjid Diraja Ubudiah. 

Ikuti ceritanya …


Masjid Ubudiah dibina atas titah Sultan Perak ke-28 iaitu Sultan Idris Mursyidul’adzam Shah I yang menjadi Sultan Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916, sebagai membayar nazar satelah sembuh daripada penyakit yang dialaminya. Semasa Sultan Idris Murshidul’adzam Shah I beristirahat dalam rawatan di Port Dickson baginda telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.


Dengan izin Allah, penyakit yang dihadapi Sultan Idris telah pulih dan sekembalinya ke Kuala Kangsar, baginda menitahkan W.S. Huxley daripada Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk mereka bentuk sebuah masjid seperti mana dihasratkan. W.S. Huxley mendapatkan khidmat Arthur Benison Hubback, seorang akitek Kerajaan Negeri-Negeri Melayu untuk mereka bentuk masjid yang diingini Sultan Idris. Seni reka yang diilhamkan oleh A.B.  Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai seni reka yang bermutu tinggi dan indah.


Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul’adzam Shah I telah meletakkan batu asas untuk masjid tersebut. Encik Caufield, Ketua Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan untuk  melaksanakan dan mengawasi pembinaan masjid tersebut sehingga siap.


Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris  dan Raja (Sir) Chulan Ibni Sultan Abdullah. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.


Perjuangan kedua-dua gajah itu telah melarat sehingga ke tempat simpanan batu marmar menyebabkan batu marmar pecah ranap. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya tanpa boleh dihalang oleh sesiapa sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang.


Oleh sebab batu marmar itu telah pecah ranap, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama. Akhirnya batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan.


Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.) Sultan yang ke-29, yang telah menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00