Tuesday 28 July 2015

Destinasi Cuti-cutiku - Seoul Jun 2015 .. ohhh rumahku diatas bukit



Sebulan sebelum bermulanya cuti sekolah Jun 2015, isteriku meminta aku menjengok-jengok laman web AirAsia, kalau-kalau ada tiket murah ke Seoul, Korea. Saperti biasa, aku layari  laman web AirAsia mengunakan komputer usangku. Beberapa minit kemudian, aku maklumkan pada isteri, harga tiket ke Seoul pada minggu pertama cuti sekolah Jun 2015 adalah rm1,200.00 seorang. Setelah mencongak-congak jumlah kos untuk aku, isteriku dan dua orang anakku, agak besar juga, hasrat ke Seoul pada minggu pertama cuti sekolah dibiar beralu bergitu sahaja tambahan pula kami sudah menempah tiket penerbangan untuk ke Kundasang, Sabah untuk minggu kedua cuti sekolah.

Selang dua minggu, satu hari isteriku bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan AirAsia memberi potongan harga tiket sebanyak 50 peratus, mungkin kerana musim panas di Seoul telah bermula. Tanpa membuang masa, aku terus mengadap komputer usangku untuk mendapat kepastian. Memang benar, harga tiket yang pada awalnya rm1,200.00  menjadi rm 600.00 sahaja seorang. Tanpa berfikir panjang, aku terus membeli tiket ke Seoul untuk empat orang.

Seterusnya aku telah membuat tempatan tempat tinggal secara on-line sahaja iaitu satu bilik untuk empat orang yang dilengkapi dengan dapur sekali kerana isteriku kata nak masak sendiri. Khabarnya kos makanan siap dimasak di Seoul adalah agak mahal.

Sejak itu aku mula merangka jadual perjalanan kami semasa di Seoul nanti. Sampai hari yang ditentukan iaitu 31 Mei 2015, jam 10.00 malam kami sudah berada di KLIA 2. Selepas check-in bagasi, kami masuk melalui pintu P&Q untuk memulakan percutian ke Seoul.



Kami dihadapan pintu Perlepasan Antarabangsa. Penerbangan kami berlepas dari KLIA 2 pada jam 12.01 pagi 1 Jun 2015.
Lebih kurang jam 8.30 pagi waktu Seoul, penerbangan AirAsia dari KL selamat mendarat di Lapangan Terbang Incheon, Seoul. Keluar sahaja dari pesawat, para penumpang berlari-lari kearah stesen Shuttle Train. Kami tak perlu tergesa-gesa kerana tiada apa yang perlu dikejarkan. Kami hanya mengikut mereka dari belakang. Kami mengambil masa kami sendiri kerana kami tidak mengikuti mana-mana pakej.

Akhirnya, kami sampai juga di stesen Shuttle Train yang akan membawa semua penumpang ketibaan antarabangsa ke Terminal Ketibaan Penumpang.



Aku dan isteri sedang menunggu ketibaan Shuttle Train. Penumpang yang lain semua dah naik tren untuk ke Terminal Ketibaan.

Kami hanya menunggu beberapa minit sahaja sebelum ketibaan tren berikutnya. Tidak sampai 10 minit kami berdiri di dalam tren, kami dah sampai di Terminal Ketibaan.



Keluar sahaja dari shuttle train, tempat pertama yang kami cari adalah bilik air. Sempat juga kami bergambar berhampiran bilik air. Kemudian kami meneruskan perjalanan. Papan tanda memang banyak dan mudah sahaja untuk kami mengikutinya.



Kemudian kami meneruskan perjalanan. Kami berjalan menuju ke kaunter imigrisen.



Sampai di kaunter imigresen, kami terpaksa beratur, tetapi tidak terlalu panjang. Lebih kurang 15 minit kami sudah melepasi kaunter imigresen berbanding dengan jangkaanku yang akan mengambil masa yang lebih lama kerana ketika itu agak ramai penumpang.


Kami terus berjalan lagi kearah tempat pengambilan bagasi. Disini kami tidak menunggu lama kerana dalam masa sekejap sahaja bagasi kami sudah sampai.


Kami pun berjalan keluar dan ramai juga orang menunggu penumpang, tetapi bukan menunggu kami. Kami dengan selamba terus sahaja berjalan seolah-olah macam dah biasa sahaja sedangkan itulah kali pertama kami menjejakkan kaki di Incheon Airport.

Aku terus sahaja mencari-cari kedai 7-Eleven, nak bertanya segan pula. Setelah mundar-mandir, akhirnya jumpa juga kedai 7-Eleven tu.


Disinilah aku membeli empat keping T-Money Card yang berharga 2,500 won setiap kad. Kemudian aku tambah nilai 20,000 won setiap kad. T-Money Card sangat berguna untuk menaiki subway tren dan mendapat potongan harga berbanding kalau kita beli tiket untuk menaiki subway tren.

T-Money Card sudah ada ditangan dan tanpa membuang masa kami menyorong bagasi kami menuju ke Airport Railroad Station.



Kami hanya mengikut papan tanda yang ada. Kami menuruni tangga kerana stesen subway berada di tingkat bawah.


Ini dia stesen subway tren di lapangan terbang Incheon. Kami terus masuk dan menunggu tren sampai. Keadaan di dalam tren memang selesa dan bersih.

Kami menaiki subway tren untuk ke setesen Itaewon, tetapi kami terpaksa turun di stesen Gongdeok kerana tren tersebut akan terus ke stesen Seoul. Oleh itu kami mesti berhati-hati kerana tren tersebut akan berhenti di lapan stesen sebelum sampai ke stesen Gongdeok.



Sampai di stesen Gongdeok, kami pun turun. Tidak perlu keluar stesen kerana kami hanya perlu tukar tren tetapi terpaksa berjalan kaki agak jauh juga mengikut papan tanda dan akhirnya kami sampai di lobi menunggu tren yang menuju ke arah Itaewon.

Bila tren tiba, kami terus bergegas naik kerana tren hanya berhenti sekejap sahaja. Tren yang kami naiki akan berhenti di tiga stesen sebelum tiba di stesen Itaewon.


Tiba di tesen Itaewon, kami pun turun dan keluar sambil mencari-cari pintu keluar no. 1. Terpaksa pula naik tangga dengan membawa bagasi yang agak berat untuk keluar di pintu keluar no. 1 yang terletak betul-betul dihadapan Hamilton Shopping Centre.


Berpandukan kepada gambar yang dikirim oleh pemilik Cozy Place, rumah tumpangan yang telah aku tempeh, keluar sahaja dari pintu keluar no.1 stesen Itaewon, kami terus sahaja berjalan kehadapan, macam dah biasa. Sambil menarik bagasi, kami berjalan terus. Kami tak kisah orang pandang pun.



Kami berjalan kaki sambil menarik bagasi dihadapan deretan bangunan perniagaan antaranya Hamilton Shopping Centre dan New Balance Store. Selepas Aurora Store kami belok ke kanan. Disini jalan agak mendaki dan kami teruskan sahaja mendaki jalan tersebut dan  kemudian kami pusing ke kiri.



Jalan semakin mendaki. Sampai di tangga pertama, kami pusing kiri lagi. Bila sampai anak-anak tangga kami pun naik dan kami pun dah nampak papan tanda Cozy Place. Termengah-mengah juga kami mendaki jalan yang berbukit. Tak sangka pula Cozy Place terletak di tempat tinggi.



Ini dia bilik yang kami sewa dengan satu katil double, satu katil lipat dan satu sofa dan peralatan dapur yang memuaskan. Masing-masing tertidur keletihan lagi pun waktu baru jam 12.30 tengah hari.


Petang itu kami tertidur dengan nyenyaknya. Sedar-sedar sudah jam 3.00 petang. Isteriku bangun dan mula memasak barangan makanan yang kami bawa dari Malaysia untuk kami makan kerana perut pun sudah mulai berkeroncong.



Jam 4.30 petang setelah makan dan solat, kami telah bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan hari pertama di Seoul. Dari Cozy Place, kami berjalan kaki ke stesen tren Itaewon. Tidak terasa penat kerana jalannya menurun walaupun jaraknya lebih kurang 400 meter.

Petang itu kami bercadang untuk membeli tiket bas untuk ke Nami Island. Pejabat jualannya terletak di Insadong. Dari stesen Itaewon, kami menaiki subway ke arah Yaksu.  Sampai di setesen Yaksu kami turun untuk tukar tren ke arah Jongno 3(sam)-ga. Sampai di stesen Jongno 3(sam)-ga, kami turun dan keluar mengikut pintu no. 5. Dari situ kami berjalan kami untuk kepejabat jualan tiket yang terletak di no. 157, Insadong-gil. Kami kurang bernasib baik, kerana pejabat jualan telah pun tutup, jadi kami bercadang untuk datang semula esuk paginya.

Dari Insadong-gil, kami terus sahaja berjalan kaki melalui jalan Samil-daero untuk ke Cheonggyecheong-ro iaitu sistem perparitan yang direkabentuk dengan lanskap yang begitu menarik sehingga menjadi tempat orang ramai bersiar-siar.



Kami turun melalui tangga yang disediakan dan berjalan kaki di kaki lima perparitan yang airnya sangat jernih. Kelihatan air terjun tersebut adalah permulaan sistem perparitan tersebut.



Kami naik semula keatas dan berehat didataran yang terdapat arca siput sedut yang sangat besar.


Bila hari mulai gelap, dari dataran siput sedut, kami berjalan kaki ke  arah stesen Gwanghwamun untuk balik ke rumah penginapan. Dari stesen Gwanghwamun, kami menaiki subway ke  arah stesen Gongdeok, kemudian kami tukar tren ke  arah stesen Itaewon. Sampai di Itaewon, isteri dan anak2 terus balik ke rumah penginapan manakala aku pergi ke satu-satunya masjid yang ada di Itaewon untuk solat. Aku berjalan kaki berpandukan peta jalan dan dalam masa 20 minit aku dah dapat jumpa masjid tersebut. Terletak diatas kawasan yang tinggi juga.



Semasa aku sampai di masjid, para Jemaah solat maghrib telah pun beredar. Jadi aku solat jamak maghrib dan isyak sekali sendirian. Keadaan dewan solat masjid agak indah dan besar juga. Selepas melakukan sujud syukur kerana dapat menjejakkan kaki di masjid tersebut, aku beredar untuk balik ke rumag penginapan.


1 comment:

  1. Saya sudah membaca itnerary kek Korea encik! Bagus sekali. Saya akan ke Korea tahun hadapan kalau ada rezeki.

    ReplyDelete