Wednesday 17 December 2014

XPDC Makam Wali Songo Dis 2014 - Hari Ke 1: KL - Surabaya



Walaupun keriangan Ziarah Bumi Acheh akhir Mac 2014 masih lagi segar didalam ingatan, namun telah ada rakan jemaah yang mengusulkan agar aku mencari destinasi kedua untuk kami terokai. Lantas pada pertengahan Julai lepas, aku telah menyediakan cadangan jadual perjalanan untuk mengadakan XPDC ke Makam Wali Songo yang terletak di Surabaya, Gresik, Lamongan, Tuban, Gunung Muria, Kudus, Demak dan Cirebon di Pulau Jawa, Indonesia. XPDC selama tujuh hari enam malam akan bermula dari Surabaya dan berakhir di Bandung dengan menempuh perjalanan sejauh hampir 800 kilometer yang pastinya agak mencabar dan mengujakan.



Setelah mendapat bilangan korum yang cukup iaitu seramai enam orang, pada 11 Ogos 2014, aku telah menempah tiket penerbangan dari AirAsia untuk perjalanan KL-Surabaya pada 5 Dis 2014 dan Bandung–KL pada 11 Dis 2014. Namun pada saat akhir salah seorang dari jemaah menyatakan hanya akan turut serta ke Surabaya sahaja dan tidak mengikuti XPDC seterusnya kerana ada urusan peribadi. Mujur ada yang sudi menjadi pengganti walaupun terpaksa membayar harga tiket yang lebih mahal.



Pada masa yang ditetapkan, jam 6.30 pagi, 5hb. Dis 2014, kami berkumpul dihadapan Madrasah Nuril Iman untuk menaiki teksi ke KLIA 2.

Jemaah yang menyertai XPDC Makam Wali Songo di hadapan Madrasah Nuril Iman. Dari kiri … Tn. Hj. Zainuddin, Tn. Hj. Shaharuddin, Tn. Hj. Datuk Ismail, Tn. Hj. Kasni, Penulis, Tn. Hj. Rahmat dan Tn. Hj. Ahmad Arzaai. Nota: Tn. Hj. Ahmad Arzaai hanya bersama rombongan hingga ke Surabaya sahaja.



Lima orang jemaah menaiki sebuah teksi jenis MPV Innova, manakala aku memandu kereta bersama Th. Hj. Shaharuddin. Pemanduan pagi itu ke KLIA 2 tidak mengalami masaalah kesesakan lalulintas mungkin waktu masih awal pagi tambahan pula musim cuti sekolah, jam 7.45 pagi kami sudah tiba di KLIA 2.





Kami berjalan menarik bagasi masing-masing masuk kedalam KLIA 2 yang telah dibuka awal Mei 2014, memang gah dan boleh dibanggakan.





Aku segera ke kaunter “drop-in baggage” untuk memasukkan bagasi salah seorang Jemaah yang telah menempah bagasi. Selepas mengagihkan “boarding pass” kepada para Jemaah, kami sama-sama berjalan masuk melalui pintu Q.



Kami melepasi pemeriksaan paspot dan imbasan bagasi serta badan, kemudian kami terus berjalan melalui tangga bergerak yang tinggi dan melintasi “skybridge” yang panjang. Sekali lagi kami melepasi imbasan bagasi serta badan sebelum akhirnya kami sampai di Dewan Pelepasan Q 19. Masing-masing setia menunggu pengumuman untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat.


Penerbangan kami AirAsia QZ321 berlepas dari KLIA 2 jam 9.35 pagi dan mengambil lebihkurang 2jam 40 minit untuk tiba di lapangan terbang Surabaya.




Sedikit Tentang Ziarah Kubur


Ziarah kubur termasuk ibadah yang mulia kerana ia merupakan Sunnah Rasulullah SAW. Didalam hadis dari Buraidah bin Hushaib , Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku dahulu telah melarang kamu untuk berziarah kubur, maka (sekarang) berziarahlah kerana dengannya dapat mengingatkan kamu kepada akhirat dan akan menambah kebaikan bagi kamu.” (HR. Muslim). Dalam hadis riwayat Ahmad ada penambahan “dan janganlah kamu mengucapkan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT”.



Didalam Kitab Al Majmuk, Imam An-Nawawi berkata: “Sebab dilarangnya ziarah kubur sebelum disyari’atkannya, iaitu kerana para sahabat di masa itu masih dekat dengan masa jahiliyah, yang ketika berziarah diiringi dengan ucapan-ucapan batil. Setelah mereka mempunyai asas-asas Islam dan pengamalam yang kuat, barulah disyari’atkan ziarah kubur.



Dalam hadis lain dari Buraidah bin Hushaib beliau berkata: “Rasulullah telah mengajarkan kepada para sahabatnya, bilamana berziarah kubur agar mengatakan: “Assalamu’alaikum wahai penduduk kubur dari kalangan kaum mukminin dan muslimin. Kami Insya Allah akan menyusul kamu. Kamu telah mendahului kami, dan kami akan mengikuti kamu semua. Semoga Allah memberikan keampunan untuk kami dan kamu semua.”(HR. Muslim 3/65).



Manakala hadis dari Anas bin Malik menyatakan, “Sesungguhnya ziarah kubur itu akan melunakkan hati, mengundang air mata dan mengingatkan pada hari kiamat.” (HR Al Hakim)



Dari ‘Aisyah, beliau berkata “Dahulu, Rasulullah SAW pernah keluar menuju perkuburan Baqi’ lalu baginda mendoakan kebaikan untuk mereka. Kemudian ‘Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara itu. Baginda bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku (diperintahkan oleh Allah) untuk mendoakan mereka”. (HR. Ahmad disahihkan oleh Al Albani dalam Ahkamul Janaiz)



Dari hadits-hadits di atas, jelas amalan ziarah kubur dapat memberi manafaat kepada penziarah dan juga penghuni kubur. Penziarah kubur dapat mengambil pengajaran disamping dapat melembutkan hati, mengingatkan kepada kematian dan mengingatkan tentang akan adanya hari akhirat. Manakala di pihak penghuni kubur, mereka mendapat ucapan salam serta doa dari para penziarah kubur.




Pesawat AirAsia QZ321 telah selamat mendarat di Bandaraudara Jaunda, Surabaya tepat jam 11.25 pagi waktu tempatan. Satelah turun dari pesawat, kami menaiki bas untuk di bawa ke Terminal 2 iaitu bangunan yang baru siap dibina setahun yang lalu.





Selesai pemeriksaan kastam dan imigresen, kami terus berjalan keluar dimana pemandu pelancung kami iaitu Bapak Robby Sutrisno telah sedia menunggu. Bapak Robby yang masih muda dan peramah merupakan pemilik Arby Tour & Travel iaitu ejen pelancungan tempatan yang telah aku tempah secara dalam talian.



Tanpa membuang masa, beliau bersama pemandunya membawa kami ke destinasi-destinasi saperti didalam jadual perjalanan yang telah aku emailkan kepadanya.




1) Masjid Nasional Al-Akbar, Surabaya



Dalam perjalanan dari Bandaraudara Juanda ke Pusat Kota Surabaya, Masjid Nasional Al-Akbar menjadi tempat persinggahan pertama kami. Masjid Nasional Al-Akbar atau dikenali juga sebagai Masjid Agung Surabaya merupakan masjid kedua terbesar di Indonesia selepas Masjid Istiqlal di Jakarta. Terletak di tepi Lebuhraya Surabaya – Porong, iaitu lebihkurang 10 kilometer daripada Bandaraudara Juanda.





Mula dibina pada Ogos 1995 dan telah dirsamikan oleh Presiden Indonesia iaiatu Kiayi Haji Abdurrahman Wahid pada 10 November 2000. Masjid yang berkeluasan 22,300 meter persegi mempunyai empat buah kubah kecil yang mendukung sebuah kubah besar  setinggi 27 meter. Tidak ketinggalan sebuah menara setinggi 99 meter dengan lantai tinjau pada ketinggian 68 meter yang boleh melihat pemandangan sekitar Kota Surabaya.



Masjid ini mempunyai ruang wuduk yang luas serta dewan solat yang sayup mata memandang dengan suasanan yang nyaman. Mihrab yang dihias cantik dan mimbar setinggi 3 meter yang diperbuat daripada kayu jati memberikan suasana yang sangat kondusif untuk beribadah didalamnya.





Kami sampai di Masjid Nasional Al-Akbar setelah selesai solat jumaat, jadi pada hari tersebut kami hanya solat zuhur dan asar secara qasar dan jamak takdim. Selepas solat, kami merakam gambar bersama untuk kenangan.




2) Makan Tengah Hari di Warung Wulan


Dari Masjid Nasional Al-Akbar, kami terus dibawa ke pusat Kota Surabaya untuk makan tengah hari. Kebetulan perut kami sudah mendendangkan lagu keroncong, agaknya sebungkus Nasi Lemak Pak Nasir semasa dalam pesawat tadi tidak cukup mengenyangkan.



Semasa kami meninggalkan Masjid Agung Surabaya, sekonyong-konyong turun hujan dengan lebatnya, satu rahmat daripada Allah SWT, agaknya menyambut kedatangan kami ke bumi Surabaya.




Kami telah dibawa kesebuah restoran yang terletak di Kompleks AJBS, Jalan Ratna, Surabaya. Warung Wulan menyediakan hidangan bufe berbagai jenis lauk. Dengan harga 20,000 rupiah (~Rm6.00), kita boleh makan apa sahaja sehingga kenyang tetapi belum termasuk air. Walaupun pertama kali makan masakan Surabaya tetapi masing-masing berselera apatah lagi hujan diluar masih belum reda.




3) Masjid Cheng Ho Surabaya


Selepas makan tengah hari, kami dibawa untuk menziarahi Masjid Cheng Ho Surabaya yang terletak di Komplek Serbaguna PITI (Pembina Imam Tauhid Islam), di Jalan Gadeng, Genteng, Surabaya. Pembinaannya di biayai oleh Pengurusan PITI dan Yayasan Haji Muhammad Cheng Ho Jawa Timur serta para pemimpin masyarakat China di Surabaya. Pembinaanya bermula pada 10 Mac 2002 dan telah dirasmikan pembukaannya pada 13 Oktober tahun yang sama.





Di awal abad ke 15, iaitu dizaman Dinasti Ming, orang-orang China Islam daripada Yunnan mula datang untuk berniaga dan menyebarkan Islam terutamanya di Pulau Jawa.  Pada tahun 1410, Laksamana Cheng Ho juga dikenali sebagai Sam Poo Kong merupakan utusan Maharaja Yung Lo telah mendarat di Simongan, Semarang untuk mengunjungi Raja Majapahit disamping berniaga dan menyebarkan agama Islam.


Bagi mengiangati jasa beliau, telah dibina sebuah masjid yang didirikan di atas tanah seluas 21 x 11 meter persegi dengan luas bangunan utama 11 x 9 meter persegi dan mampu menampung 200 orang Jemaah ketika solat Jumaat.





Rekabentuknya menyerupai rumah ibadat kaum China dengan pintu masuk berbentuk pagoda dan disebelah kiri terdapat sebuah beduk yang sederhana besar. Ia diilhamkan dari rekabentuk Masjid Niu Jie di Ox Street, Beijing yang telah dibina pada tahun 996 Masehi. Aku tidak melepaskan peluang untuk mendirikan solat sunat tahiyatul masjid didalamnya.



Jam sudah pukul 3.00 petang waktu tempatan, namun hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Destinasi ziarah seterusnya sepatutnya Makam Sunan Ampel, tetapi setelah mengambil kira hujan yang belum pasti bila akan berhenti, kami membuat keputusan untuk mengunjungi Masjid Ajaib di Turen, Malang dan menunda ziarah ke Makam Sunan Ampel ke keesukan harinya.




4) Masjid Ajaib, Turen, Malang



Pak Robby dan pemandu kenderaan tanpa merungut terus sahaja memandu kenderaan kearah Malang, mungkin pemandu mengetahui untuk ke Makam Sunan Ampel, jalan sudah pastinya majet (sesak) diwaktu petang ditambah dengan hujan sedangkan laluan ke Malang agak selesa walaupun sedikit jauh.



Kenderaan berjalan kadang-kadang laju dan kadang-kadang perlahan dalam keadaan jalan yang basah kerana melalui jalan yang agak sempit, permukaan jalan yang agak kurang baik disamping jumlah kenderaan yang banyak. Aku tertidur hampir sepanjang perjalanan mungkin kerana keletihan.



Akhirnya selepas mengharungi perjalan selama empat jam, kami tiba di Komplek Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri Asali Fadlaailir Rahmah, di Turen, Malang sebuah kota 126 km dari Kota Surabaya. Penduduk tempatan mengenalinya sebagai Masjid Ajaib atau Masjid Tiban.





Masjid Ajaib atau Masjid Tiban adalah sebenarnya Kompleks Pondok Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri Asali Fadlaailir Rahmah yang terletak di Jalan Kiyai Haji Wahid Hasyim Gang Anggur, Desa Sananrejo, Turen, Kabupaten Malang, Jawa Timur.



Disebut Masjid Tiban kerana kononnya masjid tersebut dibina tanpa pengetahuan masyarakat setempat. Mengikut ceritanya dibina oleh jin dalam tempoh hanya satu malam sahaja. Ternyata dakwaan tersebut adalah salah kerana ianya merupakan sebuah pesantren yang telah dibina sendiri oleh pengasas pesantren tersebut iaitu Kiyai Haji Ahmad Bahru Mafdlaluddin Shaleh Al-Mahbub Rahmat Alam secara berperingkat. Beliau telah mula membina pesantren tersebut semenjak tahun 1978 bersama anak-anak muridnya dan penduduk sekitar seramai 250 orang.





Gambar atas kiri … kami diruang rehat. Gambar atas kanan … ruang kicauan burung-burung.



Bangunan utama pesantren tersebut telah mencapai 10 tingkat, tingkat 1 hingga 4 diguna sebagai tempat pengajian para Jemaah, tingkat 6 adalah ruang keluarga Pak Kiyai, tingkat 5,7,8 terdapat ruang-ruang jualan barangan pakaian saperti kain sarung, sejadah, jubah, tasbih dan sebagainya. Didalam komplek pesantren ini juga terdapat masjid, akuarium, laman burung dan kolam renang.





Ini adalah ruang rehat dan ruang keluarga di mana keluarga almarhum Kiyai Haji Ahmad Bahru Mafdlaluddin Shaleh Al-Mahbub Rahmat Alam tinggal disini yang berada di tingkat 6 komplek pesantren.



Pembinaannya komplek pesantren tersebut masih diteruskan dan semasa kami berada di komplek tersebut, beberapa orang pekerja sedang giat dengan kerja-kerja pembinaan.





Ini adalah kawasan masjid yang terletak di tingkat 5, ruang lantai yang agak luas dilengkapi dengan beduk yang besar, PA system dan mimbar yang dihias cantik.





Gambar atas kiri … ruang penyambut tetamu terletak ditingkat bawah. Gambar atas kanan … gerai makanan yang terdapat disekitar kompleks pesantren tersebut. Selepas hampir satu jam, kami dibawa melawat komplek tersebut, kami meminta diri untuk pulang.





Kenyang mengisi perut, kami beredar untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT di sebuah masjid kecil ditepi bangunan utama komplek pesantren.


Kami meninggalkan Komplek Pesantren Salafiyah Bihaaru Bahri Asali Fadlaailir Rahmah tepat jam 9.00 malam dan terus balik ke Surabaya dan tiba di Hotel Grand Sumatera jam 1.00 pagi.


No comments:

Post a Comment