Monday 13 October 2014

Memori 2003 …Makkah dan Madinah


 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasehi.

Tahun 2003 aku dan isteri telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah, tetapi kali ini untuk menunaikan haji. Aku dan isteri mengambil pakej daripada Utas Travel yang beribu pejabat di ALor Gajah, Melaka. Penerbangan kami adalah terus ke Jeddah dan kemudian masuk ke Makkah Al-Mukarramah.

Makkah berasal dari kalimah ‘Bakkah’ ertinya tanah lembah yang dikelilingi deretan bukit batu. Di sana telah wujud satu binaan paling awal sebagai tempat ibadah dipanggil ‘Baitullah’ yang penuh dengan keberkatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah, yang barakah dan dijadikan pertunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, antaranya ialah Maqam Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia”… ayat 96-97, Surah Ali Imran.

Ada riwayat mengatakan saperti berikut;

Baitullah telah dibina oleh malaikat sebagai tempat tawaf dengan tujuan untuk menebus dosa atas ketelanjuran mereka seperti memprotes tidak setuju Nabi Adam AS dijadikan sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata, ‘adakah engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya … ayat 30, Surah Al-Baqarah.

Para malaikat telah menyesali atas ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam AS dijadikan khalifah di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka dengan melakukan tawaf mengelilingi Arasy. Oleh kerana Arasy itu tersangat luas maka Allah SWT pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil  dan sesuai untuk para Malaikat melakukan tawaf dinamakan Baitul Ma’mur yang kedudukannya dikatakan betul-betul di bawah Arasy.

Manakala para malaikat yang bertugas di bumi, Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya menyamai fungsi Baitul Ma’mur di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi mereka di bumi. Itulah Baitullah atau Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan Arasy di langit.

Apabila Nabi Adam dan Hawa bertemu di Jabal Rahmah setelah keduanya  disingkirkan dari Syurga, maka mereka berdua telah pergi ke Makkah lalu bertawaf atau mengelilingi Kaabah yang telah wujud di sana. Dan, mereka berdua itulah yang mula-mula tawaf daripada kalangan manusia.

Setelah berlalu ribuan tahun sejak Kaabah itu dibina oleh malaikat di bumi Makkah, maka Allah swt telah menitahkan kepada Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS untuk membina semula Kaabah setelah berlaku kerosakan, dan memakmurkan Makkah sebagai pusat ibadah dan kota suci Umat Islam.

Beberapa tahun sebelum itu, Ismail bersama ibunya Hajar diletakkan di sisi Kaabah, sedang Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua kerana baginda a.s terpaksa pulang ke Palestin atas tugas dakwah kepada masyarakat di sana. Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim AS dan dinyatakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: ” Wahai Tuhanku, Aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu jadikanlah hati sebahagian daripada manusia  tertarik kepada mereka. (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan , semoga mereka bersyukur”… ayat 37, surah Ibrahim.

Nabi Ibrahim AS juga berdoa sebagaimana dinyatakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat di antara mereka.”… syat 126, surah Al-Baqarah.

Alhamdulillah berkat doa Nabi Ibrahim AS dan berkat kesabaran Siti Hajar, akhirnya telah wujud telaga Air ZamZam yang airnya tidak putus-putus dan Makkah mula dikunjungi orang. Kemudian akhirnya  ia telah menjadi kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan haji dan umrah.


Aku dan isteri memilih untuk mengerjakan haji tamatuk kerana hari wukuf masih ada dua minggu lagi. Jadi kami telah siap memakai pakaian ihram dari Kelana Jaya lagi. Kami berniat ihram sebelum kapal terbang melepasi Qarnul Mananzil dan kami masuk ke Makkah dengan ihram umrah. Kapal terbang yang kami naiki mendarat di Terminal Haji Jeddah.

Ini dia Terminal Haji di Jeddah … terminal ni dulu hanya digunakan semasa musim haji sahaja, tetapi kini jemaah umrah yang menggunakan penerbangan selain Saudi Airline, juga mendarat di sini.

Keadaan didalam terminal ni sentiasa sebok semasa musim haji… jemaah haji dari seluruh dunia menggunakan terminal ini.

Lama juga kami menunggu untuk melepasi pemeriksaan imigresen kerana ketika itu ribuan para jemaah sampai pada masa yang hampir sama. Ada dalam sekitar tiga jam baru kami sampai diluar dan kami menunggu lagi kerana bas belum sampai lagi, katanya jalan sesak. Namun akhirnya dapat juga kami naik bas dan terus dibawa ke Makkah.

Setibanya di Kota Makkah kami ditempatkan di Hotel Shaema Palace yang jaraknya hanya kira-kira 50 meter sahaja dari dataran Masjidil Haram. Aku menempah penginapan untuk tiga orang sebilik. Tanpa kami duga, mereka memberikan kami penginapan untuk dua orang sebilik sepanjang berada di Makkah tanpa bayaran tambahan. Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana segala-galanya berjalan lancar. Penginapan yang hampir dengan masjid memudahkan kami berulang-alik ke masjid setiap kali masuk waktu solat. Nota: Hotel tersebut kini telah dirobohkan untuk pembesaran Masjidil Haram.


Walaupun masih ada dua minggu lagi sebelum wukuf, tetapi Masjidil Haram sudah dipenuhi ratusan ribu jemaah dari seluruh dunia.

Ribuan jemaah berkumpul diluar Masjidil Haram … ruang dalam masjid sudah penuh.

Keadaan didalam masjid juga penuh sesak (kiri) sehingga ke bumbung masjid (kanan).

Pemandangan keadaan masjid yang dipenuhi jutaan jemaah haji setiap kali solat fardu didirikan.

Sementara menunggu hari wukuf, kami tidak digalakkan mengerjakan umrah berulang-ulang kali kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan, kerana pekerjaan wukuf, mabit di Mudzalifah, bermalam di Mina dan melontar jamrah adalah suatu pekerjaan yang sangat mencabar dan memerlukan banyak tenaga. Jadi kami hanya memperbanyakkan beribadah di dalam Masjidil Haram dan melakukan tawaf sunat.

Lagipun dalam satu hadis dari Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain” … hadis riwayat Imam Ahmad.

Menurut para ulamak pula, amalan yang paling afdhal semasa di Tanah Haram ialah memperbanyakkan Tawaf Sunat. Ini kerana tawaf  merupakan Sunatullah. Semua makhluk Allah yang melata di bumi hatta di langit sekalipun bertawaf sebagai menunjukkan ketaatan mereka kepada Allah. Bintang-bintang di langit, planet-planet yang berada di angkasa lepas semuanya berpusing ikut lawan jam mengelilingi matahari mengikut paksinya. Malah zarah sekecil atom turut sama berpusing mengikut aturan Allah. Jika semua makhluk Allah bertawaf sebagai menunjukkan kepatuhan mereka beribadah kepada Allah, maka sebagai manusia yang dikurniakan Allah dengan banyak kelebihan sewajarnyalah memperbanyakkan Tawaf sebagai tanda kita taat dan patuh kepada Allah yang Esa.

Dalam satu riwayat, Ibnu Abbas RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah” … hadis riwayat Al-Tabrani dalam dalam al-Mu`jam al-Kabir.

 Dataran Ka’abah dipenuhi ribuan Jemaah yang sedang bertawaf tidak kira siang atau malam … keadaan yang biasa pada musim haji.

Dalam riwayat lain, Anas bin Malik RA pula mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  ” Dua jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya, nescaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika ia dilahirkan oleh ibunya. Dua jenis tawaf itu adalah tawaf setelah solat Subuh yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan tawaf setelah solat Asar yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.”  Tidak hairanlah kenapa  pada dua waktu tersebut bilangan jemaah yang bertawaf bertambah berlipat kali ganda berbanding sebelumnya.

Juga dalam riwayat yang lain, Ibnu Umar RA pula menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  ” Barangsiapa melakukan Tawaf di Baitullah, maka Allah Azza Wa Jalla akan mencatat satu kebaikan dan menghapuskan satu keburukan bagi setiap langkahnya serta diangkat satu darjat untuknya.”  Oleh itu sangat dianjurkan memperbanyakkan solat sunat dan melakukan tawaf sunat sekerap mungkin sementara menunggu masa untuk wukuf di Arafah.


Nota: Untuk peristiwa semasa di Arafah, Mudzalifah dan Mina … temui di memori seterusnya.


Selepas selesai mengerjakan haji, satu hari kami telah dibawa ke Daerah Hudaibiyah untuk melawat kebeberapa tempat. Hudaibiyah merupakan sebuah bandar diluar kawasan tanah suci lebih kurang 26 kilometer dari Masjidil Haram iaitu di laluan antara Makkah dan Jeddah.  Nama Hudaibiyah diambil dari nama telaga, yang juga dikenal dengan sebutan telaga Asy-Syumaisi.

Destinasi pertama yang kami singgahi di Hudaibiyah ialah salah satu ladang unta yang terletak di kawasan padang pasir, ditepi jalan di kawasan Hudaibiyah.

Berada di ladang unta di Hudaibiyah.

Di ladang unta, kami berpeluang untuk melihat pemerahan susu unta dan membeli susu unta dengan harga lima riyal untuk satu botol kecil. Aku sempat juga membeli beberapa botol untuk diminum dan rasanya segar dan lazat. Jemaah lain kata susu unta ada power, tapi aku tak kisah.

Selain daripada minum susu unta, juga perlu diperhatikan bagaimana caranya unta duduk dan berdiri kerana dalam satu hadis daripada Abu Hurairah disebutkan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya “Apabila salah seorang dari kamu sujud maka janganlah ia turun sujud sebagaimana menderumnya (turun duduk) unta, dan hendaklah ia meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya” … hadis riwayat Abu Dawud (840).

Dalam hadis dari Wail ibnu Hujr, ia berkata, “Aku pernah melihat Nabi SAW  ketika sujud meletakkan kedua lutut beliau sebelum kedua tangannya. Semasa bangkit, baginda mengangkat kedua tangannya sebelum kedua lututnya” … hadis riwayat Abu Dawud (838), an-Nasa’i (1089), Ibnu Majah (882), at-Tirmidzi (268).

Sekiranya kita perhatikan betul-betul, unta akan melipat kaki depannya lebih dahulu semasa hendak turun duduk menyebabkan keadaannya menonggeng iaitu punggung diatas dan bahagian kepala di bawah. Jadi sekiranya kita turun untuk sujud dengan menundukkan kepala dan badan kebawah dahulu sedangkan punggung masih diatas, ia adalah menyerupai unta dan keadaan tersebut amatlah tidak sopan dan ditegah.

Oleh itu semasa turun sujud hendaklah kaki kita di lipatkan terlebih dahulu supaya bahagian punggung turun kebawah dahulu kemudian barulah kita menundukkan badan dan kepala serta meletakkan tapak tangan ke lantai untuk sujud. Dalam keadaan ini kita boleh memilih samaada untuk meletakkan lutut dahulu atau tapak tangan dahulu mengikut keselesaan kita. Yang pasti jangan menundukkan bahagian badan dahulu untuk turun sujud sedangkan bahagian punggung masih lagi di atas. Begitu juga semasa hendak berdiri, hendaklah kita menegakkan badan dan kepala dahulu baru meluruskan kaki supaya berbeza dengan unta yang meluruskan kaki belakangnya dahulu menyebabkan bahagian ponggong naik keatas dahulu baru bahagian badan.

 Gambar atas tengah … cara unta turun duduk, sekiranya kita dalam solat nak turun sujud sama saperti unta, kepala dan badan turun dahulu sedangkan ponggong masih diatas, alangkah tidak sopannya … sebab itu ditegah.

Selain daripada melihat cara unta duduk dan berdiri, hendaklah kita perhatikan betul-betul akan unta tersebut saperti bahagian kaki, kenapa tapak kakinya lebar, kenapa kulitnya tebal, kenapa ia mempunyai bonjol, kenapa hidung, matang dan telinganya Allah SWT ciptakan begitu. Ini kerana Allah SWT dalam surah Al-Ghasiyah, ayat ke 7 telah berfirman yang bermaksud: ”Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan”.

Sekiranya kita singgah di ladang unta hanya sekadar mahu minum susu unta maka kita akan rugi kerana tidak dapat menyedari kehebatan makhluk ciptaan Allah SWT.

Kawasan Hudaibiyah kini sudah berkembang menjadi kawasan penempatan dan penternakan. Di sepanjang jalan dari Makkah ke Hudaibiyah, akan kelihatan banyak ladang ternakan unta dan kambing yang terdapat dikawasan padang pasir.


Kenyang minum susu unta di ladang unta Hudaibiyah, kami dibawa ke Masjid Asy-Syumaisi atau lebih dikenali sebagai Masjid Hudaibiyah yang dijadikan miqat bagi umat Islam yang melaksanakan ibadah haji atau umrah.

 Ini dia Masjid Hudaibiyah

Masjid Hudaibiyah ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana dikaitkan dengan Perjanjian Hudaibiyah dan sirahnya adalah saperti berikut. 

Dalam tahun ke 6 Hijrah, Rasulullah SAW telah bermimpi  yang Baginda serta sahabat-sahabat telah masuk ke Masjidil Haram dan melakukan umrah dengan aman. Maka turunlah ayat 27 dari surah Al-Fath. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya, (yaitu) bahwa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat” … ayat 27, surah Al-Fath.

Rasulullah SAW kemudian memerintahkan umat Islam Madinah bersiap-siap untuk pergi ke Makkah bagi melakukan umrah. Umat Islam Madinah pun menyambut perintah Rasulullah SAW dengan gembira kerana sudah enam tahun mereka tidak masuk ke Makkah.

Maka pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah, Rasulullah SAW dan para sahabat seramai 1500 orang dari golongan Ansar dan Muhajirin berangkat ke Makkah tanpa membawa persiapan perang. Rasulullah SAW telah siap berihram dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan sebagai memberitahu kepada orang lain bahawa Rasulullah SAW keluar sedemikian bukan bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk berziarah ke Baitulullah bagi menunaikan ibadah umrah.

Semasa dalam perjalanan,  Rasulullah SAW telah mendapat berita yang kaum Quraisy Makkah sudah menyiapkan pasukan untuk berperang. Ternyata ketika rombongan Rasulullah SAW sampai di Hudaibiyah, kaum kafir Quraisy telah menghalang mereka dari memasuki tanah haram Makkah. Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman bin Affan untuk berunding dengan mereka. Uthman telah dipilih atas sifatnya yang lemah lembut dan bertolak ansur serta merupakan seorang sahabat yang matang dan berusia berbanding sahabat yang lain disamping mempunyai ramai saudara mara di Makkah.

Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali, terdengar berita mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga menyebabkan para sahabat marah dan berbai’ah dengan Rasulullah untuk memerangi Quraisy. Sumpah taat setia tersebut telah diikrarkan oleh para sahabat di hadapan Rasulullah SAW di bawah sebatang pohon di tepi telaga. Salah satu dahan pohon tersebut dipegang oleh Ma’qil bin Yasir, sedangkan Sayyidina Umar Bin Khattab memegang tangan Rasulullah SAW. Bai’at tersebut dikenali dengan nama Bai’atur Ridhwan. Nota: Ditempat pohon tersebut kemudiannya telah dibina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Bai’ah Ar-Ridhwan namun kini hanya tinggal binaan asasnya sahaja yang terletak di bahagian kiblat Masjid Hudaibiyah.

Selesai perjanjian taat setia para sahabat dengan Rasulullah SAW, maka turun wahyu daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”… ayat 10, surah Al-Fath.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” ... ayat 18, surah Al-Fath.

Pada peringkat awal kafir Quraisy Makkah tidak mempedulikan, tetapi apabila mendapat tahu yang orang-orang Islam telah bersumpah setia dengan Nabi SAW untuk membela Uthman yang dikatakan dibunuh, orang Quraisy mulai merasa takut dan membebaskan Uthman sambil menyatakan kesediaannya untuk berunding dan telah menghantar Suhail bin Amru untuk berbincang. Akhirnya kedua-dua pihak bersepakat untuk mengadakan perjanjian damai. Maka wujud Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah SAW dan kafir Quraisy Makkah pada tahun ke 6 Hijrah bersamaan 628M.

Isi kandungan Perjanjian tersebut adalah seperti berikut: 

  1.  Gencatan senjata antara Makkah dengan Madinah selama 10 tahun. 
  2. Warga Makkah yang meninggalkan Makkah dan memasuki  Madinah tanpa izin walinya harus dihantar balik ke Makkah. 
  3. Warga Madinah yang meninggalkan Madinah dan memasuki Makkah tidak perlu dihantar balik ke Madinah. 
  4. Warga selain Mekah dan Madinah, dibebaskan memilih untuk berpihak ke Mekah atau Madinah.
  5. Pada masa tersebut, rombongan Rasulullah SAW harus meninggalkan Makkah dan dibenarkan memasuki Makkah tahun berikutnya serta dibenarkan tinggal selama tiga hari di Makkah dengan syarat hanya membawa senjata bersarung (bukan senjata untuk berperang). Selepas tiga hari, mereka haruslah keluar daripada Makkah. 
  6. Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan. 
  7. Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu dalam peperangan.

Isi perjanjian tersebut sedikit sebanyak telah mengecewakan kaum Muslimin sehingga Saidina Umar bin Al-Khattab sendiri memprotesnya. Ketika Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin untuk menyembelih haiwan kurban yang mereka bawa, tidak ada seorang pun yang bersegera mematuhinya. Namun akhirnya terbukti bahawa Rasulullah SAW mempunyai visi politik yang sangat hebat sehingga tidak terlintas difikiran orang lain dan Rasulullah SAW tidak memberitahu orang lain akan rahsia disebalik perjanjian tersebut.

Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’ atau ‘Sulh Hudaibiyah’. Kemudian Rasulullah SAW dan para sahabat berangkat balik ke Madinah. Di tengah perjalanan itulah melalui perantaraan Malaikat Jibril AS, turun wahyu yang dikenali dengan istilah Fathun Mubiinun (kemenangan nyata).

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata (1).  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya) (2). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya) (3).  Dialah Allah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (4).  (Allah melakukan demikian) supaya ia memasukkan orang yang beriman ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)” (5)…. Surah Al-Fath, ayat 1 hingga 5.



Diantara rahsia disebalik perjanjian Hudaibiyah yang tidak diketahui oleh para sahabat adalah: 
  1. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Suhail bin Amru, sebagai wakil kaum Quraisy. Suku Quraisy adalah suku paling dihormati di daerah Arab, sehingga sesiapa sahaja akan menghormati apa yang mereka lakukan. Dengan termetrainya perjanjian tersebut, maka Madinah diakui sebagai suatu daerah yang mempunyai pemerintahan sendiri. Jika Suku Quraisy telah mengakui, maka suku-suku lain pun pasti mengakuinya. 
  2. Dengan perjanjian tersebut, pihak Quraisy Makkah memberi kuasa kepada Madinah untuk menghukum mereka jika melanggar perjanjian tersebut. 
  3. Tempoh gencatan senjata selama 10 tahun memberi peluang kepada Rasulullah SAW mengukuhkan kedudukan Madinah dengan menghantar utusan ke negara-negara saperti Mesir, Persia, Romawi, Habasyah (Ethiopia) dan lain- lain bertujuan mengembangkan agama Islam. 
  4. Perjanjian tersebut juga memberi  jaminan bahawa kaum Quraisy Makkah tidak akan memusuhi kaum Muslimin Madinah dan ini memberi peluang kepada kaum Muslimin Madinah menghukum kaum Yahudi Bani Khaibar yang telah menjadi dalang terhadap serangan Quraisy Makkah keatas kaum Muslimin Madinah didalam Peperangan Ahzab (Perang  Khandaq). 
  5. Satu perkara yang pasti bahawa Rasulullah SAW sangat faham akan perangai dan sifat Quraisy Makkah dan Baginda yakin bahawa mereka akan melanggar perjanjian tersebut sebelum tempoh sepuluh tahun berakhir. Keyakinan Rasulullah SAW menjadi kenyataan  apabila pada tahun ke 8 Hijrah, Quraisy Makkah telah melanggar perjanjian. Kesempatan tersebut di ambil oleh Rasulullah SAW untuk melakukan penaklukan (pembukaan) kota Mekah yang terjadi secara damai tanpa pertumpahan darah kerana kaum kafir Quraisy sudah tidak berdaya lagi.

Setelah bersalin pakaian dengan hanya memakai dua helai kain ihram, aku mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid untuk mendirikan solat tahiyatul masjid dan solat sunat ihram. Kemudian aku dan isteri berniat ihram umrah.

Dihadapan Masjid Hudaibiyah setelah selesai solat sunat ihram dan berniat ihram umrah di dalam masjid.

Di sebelah kanan kiblat masjid Hudaibiyah, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam yang merupakan tempat berlakunya Bai’ah diantara para sahabat dengan Rasulullah SAW.

Ini dia yang dikatakan bekas tapak Masjid Bai’ah Ar-Radhwan yang terletak dibahagian kiblat Masjid Hudaubiyah.


Selesai berihram umrah, kami dibawa ke destinasi ke tiga pagi iatu iaitu Muzim Dua Masjid Suci yang tidak jauh daripada Masjid Hudaibiyah.

Dihadapan Muzium Dua Masjid Suci iaiatu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Muzium tersebut menyimpan khazanah daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dan telah dirasmikan oleh Raja Abdullah lebih kurang 20 tahun yang lalu. Semasa musim haji, muzium tersebut dibuka setiap hari dan kebenaran daripada Kementerian Kebudayaan Arab Saudi di perlukan sebelum berkunjung ke muzium tersebut. Masuk ke muzium adalah percuma.

 Antara barangan yang di pamerkan adalah … tiang kaabah.

Di salah satu kaligrafi indah

Ini pula … telaga zam-zam.

Di salah satu sudut didalam muzium.

 Ini pula hajarul Aswad.

Di hadapan kaligrafi khat yang pernah menghiasi dinding Ka’abah.

Ini pula … pintu Kaabah

Di hadapan pintu yang pernah di pasang di Masjid Nabawi.


Kira-kira 45 minit berada di dalam muzium dua masjid suci, kami pun beredar keluar dan menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya iaitu Jabal Rahmah yang terletak berhampiran padang Arafah.

Di Jabal Rahmah … tempat pertemuan semula Adam dan Hawa.


Kami tidak lama di Jabal Rahmah, sekadar singgah untuk mengambil gambar kerana perlu bergegas balik ke Makkah untuk solat zuhur di Masjidil Haram. Dalam perjalanan, mutawif yang bersama kami telah menceritakan sirah pembukaan Kota Makkah.

Peristiwa Pembukaan Kota Makkah berlaku pada tahun ke 8 Hijrah apabila Bani Bakar yang berada di bawah jagaan Quraisy telah bertindak menyerang Bani Khuza’ah yang berada di bawah pembelaan Rasulullah SAW. Bani Bakar dengan bantuan kafir Quraisy telah melakukan serangan sehingga 20 orang daripada Bani Khuza’ah telah terkorban. Melihat kezaliman ini maka ‘Amru bin Salim bersama 40 orang berkuda daripada Bani Khuza’ah telah pergi ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW. Lalu Baginda menjanjikan pertolongan kepada Bani Khuza’ah.

Kuffar Quraisy  yang mendapat berita bahawa Rasulullah SAW telah diberitahu tentang tindakan mereka memerangi Bani Khuza’ah ini merasa begitu menyesal kerana serangan ini merupakan perlanggaran terhadap perjanjian Hudaibiah yang telah dibuat sebelum ini antara Quraisy dengan Rasulullah SAW. Puak Quraisy terus menghantar Abu Sufian bin Harb untuk bertemu Rasulullah SAW bagi meminta maaf terhadap kejadian yang berlaku tetapi Rasulullah SAW  dan para sahabat yang lain tidak melayan rayuan tersebut sehingga Abu Sufian pulang dalam keadaan kecewa tanpa sebarang keputusan.

Rasulullah SAW telah membuat persiapan untuk memasuki Kota Makkah dengan kekuatan sepuluh ribu pasukan Muslimin.  Sebelum memulakan perjalanan, Baginda berdoa, "Ya Allah, aku mohon kepada-Mu janganlah ada seorangpun daripada kaum kafir Mekah yang melihat kedatangan kami, agar kami dapat menangkap mereka semua secara mendadak".  Namun salah seorang muslimin iaitu Hatob telah menulis surat bertujuan memberitahu keluarganya di Kota Makkah tentang perancangan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah mengutus Sayyidina Ali, Zubair dan Miqdad untuk merampas surat tersebut dan apabila disoal siasat maka Hatob telah memberitahu bahawa dia hanya mahu menyelamatkan satu-satunya ahli keluarganya yang berada di Kota Makkah. Rasulullah SAW menerima alasan tersebut dan tidak membenarkan Sayyidina Umar al-Khottab memancungnya kerana Hatob merupakan salah seorang yang pernah menyertai peperangan Badar sebelum ini di mana Allah SWT telah menjanjikan keampunan kepada ahli Badar.

Apabila pasukan Muslimin telah begitu hampir dengan Kota Makkah, kaum kafir Quraisy telah menjadi sangat takut, yang memaksa Abu Sufian serta pemimpin Quraisy mengelilingi dan mengawasi keadaan Kota Makkah pada setiap malam daripada sebarang ancaman. 

Suatu malam, bapa saudara Nabi SAW iaitu Abbas telah menemui pemimpin Quraisy iaitu Abu Sufian yang membawa kepada pengislaman Abu Sufian. Abbas meminta agar Rasulullah SAW memberi penghargaan kepada Abu Sufian sebagai seorang pemimpin Quraisy yang disegani. Nabi bersabda, "Sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abu Sufian ia akan selamat, sesiapa yang masuk ke dalam rumahnya sendiri ia akan selamat, dan sesiapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram juga akan selamat".

Pasukan Muslimin memasuki Kota Makkah dengan Khalid bin Al-Walid bersama pasukannya bergerak masuk ke Kota Makkah dari arah kanan, Zubair bin Al-Awwam dari arah kiri, sementara Abu Ubaidah bin Al-Jarrah memimpin pasukan pejalan kaki. Rasulullah SAW bergerak menuju ke Baitullah dengan kawalan kaum Ansar dan Muhajirin. Pasukan Muslimin tidak mendapat tentangan hebat kecuali sekelompok kecil pemuda kafir Quraisy yang menghalang Khalid bin Walid dan tenteranya. Seramai lapan orang daripada mereka tewas dalam pertempuran yang singkat itu, sementara bakinya meninggalkan pertempuran itu . Sementara dua orang tentera Muslimin yang terpisah dari kelompok pasukan telah dibunuh oleh kafir Quraisy. Seluruh pasukan Muslimin bergabung dengan Nabi SAW di Bukit Safa yang berada di sempadan Masjidil Haram.

Selepas Rasulullah dan kaum Muslimin berjaya masuk ke dalam Masjidil Haram, baginda terus mencium Hajarul Aswad serta mengelilingi Ka’abah dengan menunggang unta. Ketika itu Baginda SAW melihat 360 buah berhala yang berada di sekeliling Kaabah lalu membaca firman Allah SWT, ayat 81 dari surah al-Isra’ yang bermaksud: "Telah datang kebenaran dan hancur leburlah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu pasti hancur lebur". Serentak dengan itu Baginda dan para sahabat meruntuhkan berhala-berhala tersebut dengan busur panah.

Selepas itu, Baginda SAW memanggil Uthman bin Talhah untuk membuka pintu Ka'abah dan masuk ke dalamnya. Di dalamnya, Baginda SAW menjumpai patung seekor burung merpati lalu dimusnahkannya. Baginda juga mengarahkan supaya dipadam semua gambar-gambar yang terdapat di dalam Ka’abah. Apabila masuk waktu solat Zuhur, Rasulullah SAW menyuruh Bilal melaungkan azan di atas Ka’abah. Setelah Ka'abah bersih daripada berhala-berhala, Baginda SAW kemudiannya telah menghantar pasukan tenteranya untuk menghancurkan rumah-rumah yang terdapat berhala di sekitar Kota Makkah.

Orang-orang Quraisy yang dahulunya telah menyiksa Rasulullah SAW dan umat Islam yang lain telah diberi kebebasan oleh Rasulullah SAW. Akhirnya dua ribu orang lelaki dan perempuan dari suku Quraisy memeluk Islam dan memberi taat setia kepada Rasulullah SAW di Bukit Safa. Begitu juga suku-suku Arab yang lain yang sebelumnya telah yakin atas kenabian Muhammad bersama-sama dengan jumlah yang besar memeluk Islam.

Selepas peristiwa tersebut, turun ayat 1 hingga 3, dari surah an-Nars, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah) dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai, maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat".

Ketika Rasulullah SAW membacakan ayat diatas, para sahabat nampak sangat gembira, namun Abbas mulai menangis teresak-esak. Rasulullah SAW pun bertanya apakah yang menyebabkan beliau menangis. Abbas berkata, "Ini adalah petanda berakhirnya tugas risalah yang engkau bawa dan boleh jadi Allah SWT akan segera memanggilmu untuk kembali kepada-Nya dalam waktu terdekat."

Rasulullah SAW bersetuju dengan pendapatnya. Surah An-Nasr adalah surah terakhir yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW dan Baginda wafat selepas lapan puluh hari surah an-Nasr diturunkan.

Aku terpegun juga mendengar sirah pembukaan Kota Makkah yang telah disampaikan oleh mutawif bernama Ust Moin yang berketurunan Indonesia tetapi telah menetap lebih dua puluh tahun di Kota Makkah.


Sampai di Masjidil Haram, kami terus melaksanakan tawaf dan sai kemudian bergunting diikuti dengan solat berjemaah fardu zuhur.


Hari-hari berikutnya kami hanya memperbanyakkan beribadah di dalam Masjidil Haram untuk solat fardu, solat sunat dan melakukan tawaf sunat dan sekali-sekala kami melakukan umrah sunat dengan mengambil miqat di Masjid Tanaem.


Pada hari yang ke tiga puluh berada di Kota Makkah, setelah mengemaskan semua bagasi dan melakukan tawaf wida’, kami meninggalkan Kota Makkah untuk ke Kota Madinah dengan menaiki Bas.

Sepanjang berada di Madinah kami menginap di Hotel Saha Al Safir bersebelahan dengan Hotel Al-Haram. Kedudukannya juga berhampiran dengan Masjid Nabawi.

Di hotel inilah kami menginap selama lapan malam sepanjang berada di Madinah. Bilik-biliknya cukup selesa.

Kami berada di Kota Madinah selama sembilan hari lapan malam untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat puluh waktu solat berjemaah di Masjid Nabawi. Dalam satu hadis daripada  Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)"hadis riwayat Imam Ahmad, dalam Musnad.

Walaupun ada yang berpendapat hadis tersebut lemah (dhaif), ia masih boleh diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal, kerana amalan ini sudah menjadi tradisi umat Islam melakukannya. Para ulamak juga berpendapat bahawa latihan 40 waktu solat berjemaah di Masjid Nabawi itu merupakan satu latihan asas bagi seseorang itu menjadikan solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air masing-masing.

Selain daripada itu, umat Islam digalakkan banyak melakukan solat di Masjid Nabawi kerana kelebihan solat yang diperolehi sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku (Masjidil nabawi di Madinah) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram"… hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Oleh itu sangat rugilah bagi mereka yang tidak mengambil peluang untuk solat berjemaah di Masjid Nabawi sepanjang berada di Madinah.


Satu hari semasa aku berada di dalam Masjid Nabawi aku dapat menyaksikan payung gergasi terbuka yang terdapat diruang tengah masjid. Nota: Tahun 2003, payung gergasi hanya terdapat di dalam Masjid Nabawi sahaja. Di luar masjid, payung gergasi dipasang sekitar tahun 2007.

 Keadaan payung gergasi yang belum terbuka.

 Payung mula dibuka

  Payung terbuka sepenuhnya. Menurut ceritanya, payung-payung gergasi tersebut telah dipasang semenjak tahun 1992.


Nota: Untuk sirah ziarah dalaman Masjid Nabawi dan perkuburan Baqi’ boleh ditemui di Memori 2001…bahagian 1.


Kami juga dibawa untuk ziarah luar saperti ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada Uhud, Masjid Tujuh, Kilang Percetakan Al-Quran dan Pasar Kurma. 

 Kami berada di Masjid Quba.

Selain daripada ziarah yang dikendalikan oleh Utas Travel, aku dan isteri mengunjungi Masjid Quba setiap dua hari sekali kerana ada riwayat mengatakan bahawa junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah mengakui bahawa Masjid Quba' adalah sebuah masjid yang dikasihinya dan kerap kali Baginda menziarahinya serta sembahyang di dalamnya.

Manakala riwayat yang lain mengatakan Abdullah bin Omar RA ada meriwayatkan "adalah Nabi SAW selalu berziarah ke Masjid Quba'" dan satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba' setiap hari Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan terkadang-kadang berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat di dalamnya.

 Kami berada di Masjid Qiblatain.


Nota: Untuk sirah ziarah lebih lanjut ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Makam Syuhada Uhud dan Pasar Kurma boleh ditemui di Memori 2001…bahagian 1.


Kami juga dibawa melawat ke Kompleks Percetakan Al-Quran Malik Fahd yang terletak lebih kurang 5 km dari Masjid Nabawi.

Ini dia Kompleks Percetakan al-Quran Malik Fahd, Madinah telah dirasmikan pada 16 Muharram 1405 bersamaan 30 Oktober 1984 dan ditadbir  di bawah Kementerian Urusan Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Islam.

Kompleks Percetakan al-Quran dengan keluasan 250,000 meter persegi mampu mencetak sehingga 10 juta naskah setahun. Selain produk mushaf cetakan riwayat Hafs ‘an Asim yang biasa dibaca oleh kebanyakan umat Islam seluruh dunia, kompleks ini juga menerbitkan al-Quran terjemahan ke dalam lebih 50 bahasa seluruh dunia.

Kompleks tersebut sedia menerima kunjungan para jemaah haji dan umrah namun hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan masuk. Biasanya para pengunjung akan dihadiahkan senaskah al-quran setiap orang.

Jemaah wanita hanya dibenarkan setakat bilik pameran dan jualan sahaja. Berbagai jenis Al-Quran di pamerkan dan juga untuk jualan. 


Dimasa-masa lapang sepanjang berada di Madinah, sekali-sekala ada juga kami meronda kedai-kedai berhampiran Masjid Nabawi dan sekitar hotel penginapan.


Kebanyakkan kedai-kedai yang menjual kurma dan berbagai jenis pakaian terletak di tingkat bawah bangunan-bangunan hotel dan ada juga shopping komplek yang terletak di “sub-basement” bangunan, tetapi harganya lebih kurang sahaja. Ia mengikut kepandaian seseorang dalam tawar-menawar harga.


Sampai hari yang ditetapkan, kami terpaksa juga meninggalkan Kota Madinah yang penuh barakah untuk pulang ke Tanah air yang telah kami tinggalkan hampir empat puluh hari. Terasa sebak sekali untuk meninggalkan Kota Madinah, hanya doa yang aku panjatkan kepada Allah SWT semuga kami di beri kesempatan untuk datang semula di Kota Suci Madinah Al-Munawarah. Dari Madinah, kami di bawa ke tempat transit bagi jemaah haji Malaysia yang dikenali sebagai Madinatul Hujjaj

Ini dia Madinatul Hujjaj. Kami tinggal disini untuk dua hari satu malam bagi persiapan menimbang barang dan pemberian “boarding pass”.

Ini dia antara “dorm” yang menempatkan katil-katil dua tingkat. Terdapat sehingga dua puluh katil untuk setaip “dorm”. Kompleks Madinatul Hujjaj ini dilengkapi dengan pejabat, kelinik, surau dan juga kantin yang dibuka 24 jam.


Daripada Madinatul Hujjaj, kami dibawa menaiki bas terus ke Terminal Haji Jeddah untuk pulang ke Malaysia dengan doa agar kami mendapat haji yang diterima.

Sekian, memori 2003 … ikuti memori seterusnya....




No comments:

Post a Comment