Wednesday, 9 July 2014

Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 2 ... ku jejaki bumi Ash Shiin ... hari ke 1



Caosan selamat pagi,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ms Eka, jam 11.00 pagi kami telah sedia berada di lobi hotel menunggu kedatangan Ms Eka yang akan membawa kami untuk makan tengah hari disebuah restoran muslim sebelum memulakan jelajah Beijing hari pertama.


Ada yang duduk-duduk di lobi hotel, ada yang main di luar hotel walaupun cuaca diluar sangat sejuk.



Sebaik Ms Eka sampai, kami tidak menunggu lama terus naik ke dalam bas. Pak Lang , walaupun usianya telah menjengah tujuh puluh tahun, tetapi dia memang biasa mengikuti rombongan kami, jadi dia “cool” saja walaupun sebenarnya dia menggigil kesejukan.



Masing-masing ceria berada di bumi negara yang paling ramai penduduknya di dunia. Gambar atas kiri, anak Mak Teh yang baru melangsungkan perkahwinan dan pertama kali menyertai rombongan Mak Dara. Kanan ... Ms Sofi @“remaja muslimah” begitu ceria untuk memulakan perjalanan hari pertama di Beijing.



Lebihkurang 45 minit duduk dalam bas, kami telah sampai ke restoran yang di maklumkan oleh Ms Eka. Kami berjalan kaki menuju ke restoran kerana bas tidak dibenarkan berhenti di hadapan restoran dan terpaksa di letak agak jauh dari lokasi restoran. Memang cuaca begitu sejuk, jadi tak terasa penat pun berjalan kaki.

 

Tepat jam 12.00 tengah hari waktu Beijing kami sampai di restoran yang dimaksudkan. Pintunya telah sedia terbuka untuk kami masuk. Kami duduk didua meja bulat, manakala Ms Eka dan pemandu bas duduk dimeja berasingan. Ms Eka memesan makanan untuk kami semua, katanya dijamin halal.


Suspen juga menunggu makanan. Mula-mula datang nasi satu pinggan penuh, kemudian lauk tahu kemudian baru datang semua lauk, enam jenis semuanya tidak termasuk sop sayur. Kami makan sampai kenyang tengah hari itu, maklumlah makanan tengah hari pertama di Kota Beijing.


Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke satu masjid untuk solat zohor dan jamak takdim asar. Masjid ni namanya Masjid Anheqiao yang terletak di daerah Haidian, Beijing. Menurut ceritanya, masjid yang asal telah dibina pada akhir zaman Dinasti Ming dan telah berusia lebih 300 tahun. Pada tahun 1965, Masjid Anheqiao dipindahkan ke tempat lain kerana projek menggali terusan di tempat berkenaan. 


Pada Jun 2002, kerajaan membina semula Masjid Anheqiao di kampung Qinglongqiao di atas kawasan seluas 1,200 meter persegi, manakala bangunan masjid yang bercirikan seni bina tradisional China luasnya 700 meter persegi. Masjid yang berhampiran dengan Summer Palace dan Gunung Xiangshan ini menjadi destinasi lawatan pelancong islam untuk beribadat di sini.



Ruang mihrab masjid di hias agak cantik, mimbarnya dibuat dari kayu berkualiti. Di tengah-tengah siling masjid terdapat kubah yang cantik.



Sebelum kami meniggalkan masjid Anheqiao, kami bergambar beramai-ramai di tangga masjid.


Dari Masjid Anheqiao, kami dibawa ke sebuah kilang pakaian sutera yang terkenal di kota Beijing dan mempunyai beberapa lagi kilang di Seluruh Negara China

Gambar atas kanan bawah  ... Ms Eka memberi penerangan ringkas sebelum kami dibawa masuk oleh seorang jurujual yang agak fasih berbahasa Inggeris. 


Kilang sutera tu namanya Ying Feng Home Textile, memproses sutera daripada kepompong untuk dijadikan kain, begitu secara ringkas yang diterangkan oleh jurujual (gambar atas tengah dan kanan).


Kemudian kami dibawa naik ke tingkat atas, dan ada sesi penerangan lagi... tapi yang ini lebih kepada mempromosi harga jualan.


Kami termangu mendengar Promoter mengumumkan harga runtuh untuk semua alas katil . Sebenarnya kami tak berminat langsung nak membeli walaupun harganya telah jatuh tapi tidaklah murah sangat.


Namun atas kelembutan dan kemesraan serta kepetahan mereka menjual kata-kata akhirnya isteriku terpedaya juga. Sehelai baju dan alas katil terpaksalah aku angkut bersama.


Demikian kisah di Ying Feng Home Textile, berlainan pula kisah di Summer Palace. Semasa kami sampai di Summer Palace, waktu lebih kurang jam 4.00 petang dan matahari sudah condong ke barat kerana semasa musim sejuk, siangnya pendek dan malamnya panjang.

Selepas membeli tiket, Ms Eka membawa kami masuk ke Komplek Summer Palace melalui pintu masuk (gambar atas kanan). Di dalam kompleks, Ms Eka memberi penerangan tempat-tempat bersejarah yang terdapat di komplek Istana Musim Panas.


Antaranya, ke sebelah kiri pintu gerbang (gambar atas kiri) adalah sebuah jambatan yang dikenali sebagai The 17 Arch Bridge (gambar atas kanan) merupakan jambatan terbesar daripada lebih tiga puluh jambatan yang terdapat di dalam Komplek Istana Musim Panas. The 17 Arch Bridge, panjangnya 150 meter dan 8 meter lebar menghubungkan Menara Segi Lapan di sebelah timur Tasik Kunming dengan Nanhu Island. Katanya, jambatan ini dibina dizaman Dinasti Qianlong yang berkuasa dari tahun 1711 hingga 1799.


Lima Mak Dara yang mengikuti rombongan kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di tepian Tasik Kunming yang begitu tenang airnya, walaupun masih belum beku lagi. Tasik Kunming yang meliputi sebahagian besar Komplek Istana Musim Panas iaitu seluas kira-kira 540 ekar merupakan tasik air tawar buatan manusia. Nun dibelakang mereka adalah “Tower of Buddhist Incense” (gambar kecil atas kanan bawah) di pinggiran tasik dan dikelilingi  bukit “Longevity” yang terbina dari longgokan tanah semasa menggali Tasik Kunming.


Kemudian kami dibawa berjalan kaki ke sebelah kanan pintu gerbang sepanjang pinggiran tasik yang dihias pepohon yang telah berguguran daunnya hingga sampai ke suatu pintu dipanggil Wenchang Tower (gambar atas tengah) yang telah di dibina semula oleh Mahajara Guangxu selepas dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Menara yang asal telah dibina dalam tahun 1750.


Menurut Ms Eka, The Hall of Benevolence and Longevity telah dibina dalam tahun 1750 tetapi telah dibakar oleh tentera Perancis dalam tahun 1860. Telah dibina semula dalam tahun 1888.


Ini dia lima orang jejaka yang mengikuti rombongan ke Beijing pada kali ini.


Kami tidak lama berada di Kompleks Summer Palace kerana hari sudah mulai gelap. Ms Eka membawa kami ke destinasi seterusnya ialah menonton persembahan akrobatik. Ms Eka membawa kami ke Chaoyang Theater Acrobatic Show yang terletak di No.36, Dongsanhuan Beilu, Chaoyang District, Beijing untuk menonton persembahan akrobatik jam 5.30 petang. 


Kami tiba di Chaoyang Theater orang sudah berpusu-pusu untuk menonton persembahan. Nasib baik Ms Eka telah menempah tiket terlebih dahulu, jadi kami tak lah terlepas dari menyaksikan persembahan akrobatik yang sungguh mengasikkan.


Persembahan pertama secara solo oleh ahli akrobatik wanita yang mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.


Kini tiba giliran ahli akrobatik lelaki membuat persembahan secara berkumpulan, juga mendapat tepukan gemuruh dari para penonton.



Ini pula persembahan kumpulan akrobatik wanita, sungguh mempersonakan sampai ada yang tak berkelip mata memandangnya.


Ini pun persembahan akrobatik berkumpulan wanita yang sungguh memukau.


Lagi persembahan akrobatik oleh kumpulan wanita.  Selesai persembahan ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan ahli akrobatik.


Selesai menonton persembahan akrobatik, Ms Eka membawa kami ke restoran muslim untuk makan malam.

Makan malam pertama di Beijing sangat menyelerakan. Seperti makan tengah hari kesemuanya ada enam jenis lauk. Kami makan sampai kenyang malam itu sebelum balik ke hotel untuk berehat.

Man On, Pai pai, dingyat kin ... selamat malam, sampai jumpa esok.


Destinasi Cuti-cutiku ... Beijing 1 ... ku jejaki bumi Ash Shin ...Lei Hooma



Semasa aku dan isteri serta anak bungsuku menginap di Hotel Flamenggo Taiping tempoh hari, atas persetujuan bersama, aku telah membeli tiket penerbangan ke Beijing untuk aku, isteri dan tiga orang anakku. Anak sulungku tidak ikut bersama kerana khuatir tidak dapat cuti pada hujung tahun. Rupa-rupanya bukan keluargaku sahaja yang akan pergi, ramai lagi kakak-kakak ipar serta anak-anak buah yang ikut serta, kesemuanya enam belas orang. Biasalah rombongan Mak Dara.

Satu perkara penting yang perlu kami lakukan sebelum berangkat ke Beijing ialah memohon visa lawatan ke China. Oleh kerana rombongan kami tidak mengikuti mana-mana pakej pelancungan, jadi kami terpaksa memohon visa sendiri. Untuk memohon visa, borang visa boleh diisi secara on-line atau manual, kesemuanya ada 4 muka surat (seperti dibawah).


Dokumen yang perlu disertakan semasa mengemukakan borang permohonan adalah:
- Borang yang telah lengkap diisi.
- Paspot yang masih sah tempoh sekurang-kurangnya untuk enam bulan.
- Salinan fotokopi paspot.
- Dua keping gambar berukuran paspot.
- Salinan tiket kapal terbang.
- Pengesahan tempahan hotel.
- Jadual lawatan (itinerary) semasa di Beijing dan
- Bayaran sebanyak rm85.00 bagi setiap visa (visa fee = rm30.00, service fe = rm55.00)

Menjadi tugas aku sebagai ketua rombongan tak rasmi untuk memohon visa. Setelah semua borang siap diisi, aku pun pergi ke pejabat Chinese Visa Application Service Centre. Sebelum pergi ke Visa Centre, aku dah “google” dulu untuk mengetahui lokasi pejabat supaya tak sesat.



Berpandukan kepada pelan jalan, aku terus sahaja pergi ke bangunan Hampshire Place Office di Jalan Mayang Sari of Jalan Tun Razak. Aku letak kereta di tingkat bawah.

Di lobi lift ada ditampal kenyataan saperti di bawah dan aku terus sahaja naik ke tingkat enam.


Sampai di Visa Centre masih awal pagi, jadi pejabat masih lagi lengang. Mereka menyemak semua borang dan alhamdulillah semua borang yang aku bawa lengkap diisi. Mereka memberi nombor giliran. Belum panas aku duduk menunggu, nombor aku dah dipanggil. Tak sampai dua puluh minit berada di Visa Centre urusan dah selesai. Cuma aku kena datang balik pada hari keempat untuk mengambil visa.

Sampai tarikh yang dijanjikan, kami bersiap ke Terminal Tambang Murah Sepang kerana kami menaiki penerbangan Air Asia. Namun pada saat akhir seorang daripada anak buah tidak dapat pergi kerana terpaksa menghadiri kursus. 


Penerbangan kami ke Beijing telah berlepas pada jam 7.10 malam, dan alhamdulillah telah sampai keesukan paginya jam 1.15 pagi.


Sebaik melepasi pemeriksaaan imigresen, kami tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar pemandangan tembok besar Negeri China yang dilukis didinding luar sementara menunggu bagasi kami sampai.


Masing-masing sebok mengumpulkan bagasi sebelum beredar melepasi pemeriksaan kastam dan terus keluar. Jurupandu kami yang bernama Ms. Eka telah sedia menanti kami.


Oleh kerana waktu pun sudah larut malam, lebih kurang jam 2.00 pagi, Ms Eka terus membawa kami menaiki bas untuk menuju ke hotel penginapan. Walaupun mata sudah mengantuk, tetapi kami tetap ceria. Aku pertama kali sampai ke Beijing, isteri dan anak-anakku, ini kali kedua mereka datang ke Beijing.

Coi Kin ... jumpa lagi


Monday, 23 June 2014

Kertas Ujian Penilaian Kefahaman Solat (1)


Assalamu'alaikum wbr

Seorang ustaz yang telah selesai mengajar bab solat di surau berhampiran rumahku, telah mengedarkan kertas ujian penilaian kefahaman solat (1) untuk para jemaah menguji kefahamannya.  Seingat aku, inilah pertama kali ustaz yang mengajar di surau mengadakan ujian kefahaman, berderau juga darahku membaca soalan-soalannya.

Soalan-soalannya seperti berikut:

KERTAS UJIAN PENILAIAN KEFAHAMAN SOLAT (1)
SILA PILIH JAWAPAN YANG BETUL SAMADA RUKUN, SUNAT HAI’AT ATAU SUNAT AB’ADH BAGI SETIAP SOALAN. 

Penjelasan: 

Rukun ialah perkara yang wajib dilakukan dan sekiranya tidak dilakukan dengan sempurna atau tidak tertib maka solat tersebut tidak sah atau terbatal dan wajib di ulang semula solatnya.

Sunat Hai’at ialah perkara yang kalau ditinggalkan maka ia tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

Sunat Ab’adh ialah perkara yang kalau ditinggalkan maka ia boleh ditampung semula dengan sujud sahwi di akhir solat.
   
Bil.
Perkara-perkara semasa dalam solat
Rukun
Sunat Hai’at
Sunat Ab’adh
1.
Niat



2.
Berdiri betul bagi orang yang berupaya



3.
Mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram



4.
Mengucapkan “Allahu-Akbar”  untuk memulakan solat.



5.
Meletakkan perut tangan kanan diatas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkan dibawah dada atau di atas pusat.



6.
Membaca doa Iftitah



7.
Membaca “A’uzubillah ..….” sebelum membaca surah al-fatihah



8.
Membaca surah Al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat



9.
Membaca Amin selepas fatihah



10.
Membaca surah al-quran di rakaat pertama dan kedua selepas bacaan al-fatihah



11.
Menguatkan bacaan surah al-Fatihah dan surah a-quran dirakaat pertama dan kedua pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh.



12.
Mengucapkan takbir ketika berpindah dari rukun kepada rukun yang lain kecuali ketika bangkit dari rukuk.



13.
Rukuk dengan toma’ninah.



14.
Meletakkan dua tapak tangan diatas dua lutut ketika rukuk.



15.
Membaca tasbih ketika rukuk.



16.
Membaca “samiallahulimanhamidah ketika bangkit dari rukuk.



17.
I’tidal dengan toma’ninah



18.
Membaca “Rabbana lakal hamdhketika I’tidal.



19.
Sujud dua kali dengan toma’ninah dalam setiap rakaat.



20.
Membaca tasbih ketika sujud.



21.
Duduk antara dua sujud dengan toma’ninah.



22.
Duduk iftirasy (duduk bersimpuh) pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri kecuali pada duduk tahiyyat akhir.



23.
Meletakkan kedua tangan di atas paha dengan melepaskan jari kesemuanya sambil membaca “Rabbighfirli warhamni wajburni …….” sampai akhirnya ketika duduk antara dua sujud.



24.
Duduk untuk membaca tasyahud awal



25.
Membaca tasyahud awal



26.
Membaca selawat ke atas nabi saw selepas membaca tasyahud awal



27.
Meletakkan dua tapak tangan keatas lutut ketika duduk dan menunjuk dengan telunjuk tangan yang kanan ketika membaca tahiyyat.



28.
Membaca doa qunut ketika I’tidal di rakaat kedua pada solat subuh dan akhir solat witir selepas separuh daripada bulan Ramadan dan juga ketika I’tidal di rakaat yang akhir pada mana-mana solat yang dibaca Qunut Nazilah.



29.
Duduk tasyahud akhir dengan toma’ninah.



30.
Membaca tasyahud akhir.



31.
Membaca selawat ke atas Nabi saw pada tasyahud akhir.



32.
Membaca selawat ke atas keluarga Nabi saw pada tasyahud akhir.



33.
Membaca selawat ibrahimiah pada tasyahud akhir.



34.
Membaca doa selepas selesai membaca selawat ibrahimiah.



35.
Membaca salam yang pertama



36.
Berpaling ke kanan pada salam yang pertama begitu juga berpaling ke kiri ketika salam yang kedua.



37.
Memberi salam yang kedua.



38.
Tertib iaitu  mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut





Demikianlah soalan-soalannya. Selamat mencuba dan mudah-mudahan ada manafaatnya.

Oleh kerana mendirikan solat merupakan salah satu rukun Islam yang menjadi kewajiban setiap umat Islam, eluklah kita fahami yang mana satu Rukun, yang mana satu Sunat Hai’at dan yang mana satu Sunat Ab’adh.  Dan lagi kewajiban solat ini menjadi hal yang utama kerana amal dari solatlah yang akan dihisab dahulu oleh Allah SWT di akhirat nanti. Jika solat seseorang hamba itu baik, baik pula amalnya yang lain dan jika buruk solatnya maka buruk amalan seseorang hamba itu.

Ini ada dijelaskan dalam satu hadith riwayat Ibnu Majah yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya " Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah Azza Wajalla Berfirman:  " Lihatllah ( hai para malaikat ) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu "

Oleh itu apabila kita mengetahui serta memahami setiap perbuatan dalam solat itu yang mana rukun, yang mana sunat hai'at dan yang mana sunat ab'adh, Insyaallah lama-kelamaan kita akan dapat meningkatkan kuali solat kita.

Wallahhu'alamu'alam