Thursday, 3 April 2014

Kembara Bumi Acheh : Hari Pertama



Hasrat mengunjungi Acheh sememangnya sudah lama aku pendamkan sehingga pada satu malam ketika makan-makan di surau selepas solat isyak, seorang jemaah telah menyuarakan keinginannya untuk melawat Acheh. Apalagi, aku bagaikan mengantuk disorongkan bantal, terus bersetuju dengan cadangannya. Dia meminta aku membuat perancangan yang perlu. Dua hari kemudian, aku telah menyiapkan cadangan jadual perjalanan serta menyenaraikan tempat-tempat yang akan dilawati, anggaran harga dan tarikh pemergian. Dipendekkan cerita enam orang termasuk aku telah bersetuju untuk menyertai kembara bumi Acheh.


Seperti yang dijanjikan, pada 24hb. Mac 2014 apabila aku sampai disurau lebih kurang jam 7.30 pagi, teksi jenis mpv yang aku tempah telah sedia menunggu. Selang sepuluh minit kemudian, semua rakan yang akan sama-sama pergi ke Acheh pun sampai dan kami tidak menunggu lama terus menaiki teksi berkenaan untuk menuju ke LCCT Sepang. “Mahasuci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali” Surah Al-Zukhruf; ayat 13 &14.


Di dalam perjalanan yang dipenuhi dengan berbagai cerita dan gelak ketawa, tanpa kami sedari, kami telah sampai di LCCT Sepang. Aku mengarahkan pemandu teksi untuk menurunkan kami di Food Gardern kerana aku dan beberapa rakan masih belum bersarapan pagi.



Kami tidak terburu-buru kerana aku telah uruskan boarding pass secara on-line, jadi kami tak perlu lagi beratur untuk check-in. Selesai bersarapan, sempat juga aku merakam gambar rakan-rakan yang kelihatan sungguh ceria dan teruja untuk menziarahi Bumi Serambi Mekah.



Sedikit Tentang Acheh


Pakar sejarah menganggap bahawa Kerajaan Samudera Pasai adalah kerajaan Islam pertama di Acheh dibawah pimpinan Sultan Malik al-Saleh dan merupakan sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat pada pertengahan abad ke-13.  Kerajaan Samudera Pasai mengalami perpecahan akibat serangan-serangan dari Siam, Majapahit dan Portugis dan terbentuklah kerajaan-kerajaan kecil seperti  Peurelak, Pedir, Daya dan Aru. Menjelang akhir abad ke-14, kerajaan Aceh Darussalam telah berkuasa dibawah pemerintahan Sultan Ali Mughayat Syah yang telah berjaya menyatukan semula kerajaan-kerajaan kecil tersebut. Setelah kemangkatan baginda pada tahun 1528, Sultan Salahuddin telah menggantikan baginda sehingga tahun 1537 sebelum Sultan Aluddin Riayat Syah al-Kahar memerintah sehingga 1568. Kemuncak pemerintahan Aceh ialah ketika zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636) yang telah berjaya melemahkan kuasa Portugis di Melaka dan meluaskan pengaruhnya sehingga ke Sumatera dan Semenanjung Melayu.
Kerajaan Acheh mulai lemah selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani pada tahun 1641 apabila beberapa pemerintah selepas baginda adalah permaisuri-permaisuri yang lemah. Pada tahun 1873 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, tercetuslah Perang Acheh menentang Belanda.  Setelah satu tahun berperang, Sultan Mahmud Syah telah mangkat dan digantikan dengan Sultan Muhammad Daud Syah pada tahun 1874.  Penentangan terhadap Belanda berterusan sehingga akhirnya Sultan Muhammad Daud Syah menyerah diri kepada Belanda pada tahun 1903 setelah dua isterinya dan ibundanya ditangkap oleh Belanda.

Kesultanan Aceh akhirnya jatuh seluruhnya kepada penjajah Belanda pada tahun 1904. Istana Kesultanan Aceh kemudian di robohkan oleh Belanda dan dibangunkan bangunan baru  yang sekarang dikenal dengan nama Pendopo Gubernor.


Apabila Republik Indonesia dibentuk pada tahun 1945, Acheh  dimasukkan sebagai salah satu wilayahnya. Pada tahun 1975, Gerakan Acheh Merdeka (GAM) diwujudkan bagi menuntut kemerdekaan Aceh. Ini membawa kepada pertempuran puluhan tahun di antara sebahagian penduduk Aceh dan tentera pemerintah Indonesia. Akhirnya pada 19 Mei 2003, kerajaan Indonesia telah mengisytiharkan darurat di Aceh dan melancarkan operasi ketenteraan selepas GAM menolak autonomi khas yang diberikan pemerintah. Hasilnya kumpulan pemberontak itu berjaya dipatahkan.


Bencana gempa bumi kuat diikuti tsunami dahsyat pada 26hb. Disember 2004 yang menimpa bumi Acheh  telah membawa kedua pihak kembali ke meja rundingan. Pada 17 Julai 2005  rundingan persefahaman yang di langsungkan di Vantaa, Helsinki, Finland telah berjaya mencapai perdamaian dan nota persepakatan telah ditandatangani pada 15 Ogos 2005. Kuasa autonomi khusus turut diberikan kepada Acheh seperti yang ditawarkan pada 2002.


Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Acheh, pemandu kami telah sedia menunggu. Pemandu kami bernama Encik Nazir baru berusia 24 tahun dan masih menuntut di Unviversiti Serambi Mekah. Beliau menjadi pemandu dan pemandu pelancung sebagai kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya.


Tanpa membuang masa, beliau membawa kami ke destinasi-destinasi saperti didalam jadual perjalanan yang telah aku emailkan kepada beliau.



1) Kuburan Massal Siron


Dalam perjalanan dari Bandar Udara Sultan Iskandar Muda ke Pusat Banda Acheh, Perkuburan Massal (kubur beramai-ramai) Siron, menjadi tempat persinggahan pertama kami. Di perkuburan ini terdapat seramai 46,718 jenazah mangsa tsunami 2004 telah semadikan dan merupakan perkuburan massal terbesar di Acheh. Siron adalah sebuah G(k)ampung di Kecamatan Ingin Jaya, Kabupaten Acheh Besar.

Gambar atas kiri atas adalah pintu masuk ke Kuburan Massal Siron dan kami sempat berposing sebagai tanda kami telah menjejakkan kaki ke perkuburan Massal Siron. Al-fatihah juga kami hadiahkan kepada semua ahli kubur.


Dikuburan Massal Siron juga terdapat tugu bagi menampalkan satu  pernyataan  dalam tiga bahasa iaitu bahasa Acheh, Bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia yang berbunyi “Bencana Kita Sabari, Nikmat Kita Syukuri, Banyaklah Orang Akan Bahagia” yang maksudnya lebihkurang  hendaklah kita bersabar dengan setiap ujian yang mendatangi kita, dan bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, nescaya kita menjadi orang yang bahagia. Sebaliknya janganlah kita menjadi golongan yang sebagaimana di Firmankan Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah dan pergilah cari Tuhan yang lain”



Manakala dibahagian belakang Kuburan Massal Siron terdapat monumen berbentuk ombak tsunami yang tercatit dibahagian bawahnya ayat 82 dari Surah Yassin, “Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya “Jadilah!” maka terjadilah ia”



Juga terdapat tempat solat dan pondok bagi para pengunjung berehat.




2) Yayasan Dayah Ulee Titi


Dari Kuburan Massal Siron, kami dibawa ke Komplek Yayasan Dayah Ulee Titi iaitu sebuah pesantren yang menampung 1,800 pelajar yang sebahagiannya adalah dari kalangan anak yatim tsunami.  

 

Walaupun kami tidak memaklumkan terlebih dahulu akan kedatangan kami, tetapi Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi tetap menyambut kami dengan gembira. Gambar bawah sebelah kiri, nombor 5 dari kanan berbaju dan berkopiah putih adalah merupakan Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi. Nota: Kalau sekolah atau pondok di Malaysia, pimpinan mungkin bererti Tuan Guru atau Mursyid atau Pengetua.




Tanpa disangka-sangka, walaupun kedatangan kami ke Dayah Ulee Titi tidak dirancang, pihak pimpinan telah menjamu kami makan tengah hari Nasi Sop Kambing (gambar atas kiri). Demikianlah kehendak Allah SWT “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq.


Sebelum kami beredar meninggalkan Dayah Ulee Titi, kami solat jamak qasar zuhur dan asar di masjid (gambar atas kiri.  Gambar atas kanan adalah tempat mengambil wuduk). Tidak lupa kami telah menyampaikan kiriman sumbangan daripada Jemaah di Malaysia sebanyak 2.0 juta Rupiah kepada Penolong Pimpinan Dayah Ulee Titi.



3) Hotel Sulthan International



Kira-kira jam 2.10 petang, kami meninggalkan Dayah Ulee Titi untuk menuju pusat Kota Banda Acheh dan seterusnya mendaftar masuk ke Hotel Sulthan International.


Gambar atas kiri, ini lah hotel yang menjadi tempat penginapan kami selama tiga malam yang terletak di no. 1, Jalan Sulthan Hotel, 23122 Banda Aceh. Sementara aku membuat urusan mendaftar masuk, rakan-rakan yang lain sempat juga berehat dan bersembang di ruang legar hotel. Eh! Mana lagi yang dua orang ! berasap agaknya.



 

4) Blang Padang – Monumen Ucapan Terima Kasih



Setelah berehat sebentar di bilik masing-masing, seperti didalam jadual perjalanan, kami dibawa ke kawasan Blang Padang iaitu satu taman permainan dan rekreasi yang sangat luas di pusat Banda Acheh. Jogging track sahaja melebehi 2 kilometer panjang.
Disepanjang jongging track tersebut terdapat 53 monumen ucapan terima kasih dari kerajaan Indonesia kepada semua negara yang telah memberi bantuan semasa kejadian gempa dan tsunami 2004. Monumen ucapan terima kasih itu berbentuk kapal separuh karam dan dilekatkan bendera Negara, serta ucapan “terima kasih dan damai” dalam bahasa Negara masing-masing.




Aku tercari-cari juga monument ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan terpaksa merujuk kepada papan tanda (gambar atas sebelah kiri sekali) untuk mengetahui kedudukan monument tersebut. Akhirnya setelah berjalan hampir separuh padang, monumen ucapan terima kasih untuk kerajaan Malaysia yang bernombor 28, aku jumpai (gambar atas bahagian bawah tengah).



 5) Blang Padang – Monumen Tsunami



Setelah penat aku berjalan kaki mengelilingi jogging track, aku ternampak sebuah binaan berwarna biru putih. 

Binaan tersebut dikenali sebagai monumen tsunami yang dibina daripada konkrit berbentuk ombak tsunami. Dibina bagi mengingatkan semua bahawa tsunami pernah melanda banda Acheh pada 26 Disember 2004.

6) Blang Padang – Tugu Peringatan Tsunami

Tidak jauh daripada monumen tsunami, terdapat sebuah tugu yang dikenali sebagai Tugu Peringatan Tsunami.



Tugu Peringatan Tsunami  (gambar atas) telah dibina untuk mengenang peristiwa tsunami yang terjadi pada 26 Disember 2004. Tugu ini dibina oleh Yayasan Harapan Bangsa Nusantara dan dibiayai oleh yayasan dari Amerika dan telah dirasmikan oleh Panglima Kodam Iskandar Muda, Mayjen TNI Supiadin AS pada tahun 2008.


7) Blang Padang – Pesawat Dakota

Berhampiran dengan Tugu Peringatan Tsunami, terdapat Monumen Pesawat Dakota DC-3 RI-00.


Menurut ceritanya, pesawat tersebut (gambar atas) merupakan pesawat pertama yang dimiliki Republik Indonesia yang telah dihadiahkan oleh Rakyat Aceh pada tahun 1948. Dari sinilah lahirnya Syarikat Penerbangan Garuda Indonesia.

8) Blang Padang – Kemudahan Lain
Dikawasan Blang Padang juga dilengkapi dengan tempat solat dikenali sebagai Mushala Arafah (gambar atas kanan atas) dan sebuah gelanggang bola keranjang dengan gelaran Teuku Nyak Arief (gambar atas kanan bawah). Gambar atas kiri menunjukkan keadaan Blang Padang selepas di landa tsunami 26 Disember 2004.



9) Pasar Acheh



Encik Nazir tidak lupa juga membawa kami untuk membeli belah di Pasar Acheh yang kelihatan sebok pada petang itu.




Sekali lagi, Tn Hj Khamdan menjadi model dalam setiap foto yang aku abadikan.





10) Masjid Raya Baiturrahman



Selepas puas membeli belah di Pasar Acheh, kami dibawa mengunjungi Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di Pusat Kota dan tidak jauh dari Pasar Acheh. Masjid Raya Baiturrahman adalah salah satu tarikan di pusat Banda Aceh. Dilengkapi dengan keindahan arsitekturnya, masjid ini adalah salah satu kebanggaan Nanggroe Acheh Darussalam (NAD).


Masjid Raya Baiturrahman dibina semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1022 H (1612 M). Masjid ini hanya mengalami sedikit kerosakan semasa tsunami 2004 walaupun di rempoh  gelombang setinggi 21 meter. Di bahagian hadapan masjid dibina sebuah menara (gambar atas sebelah kanan atas) yang tinggi dan dikhabarkan bahawa bangunan-bangunan yang akan dibina di Acheh tidak boleh lebih tinggi daripada ketinggian menara masjid ini.



Aku sempat masuk kedalam masjid semasa orang belum ramai. Sambil menunggu ketibaan waktu maghrib, sempat juga aku merakam beberapa gambar bahagian dalam masjid. Gambar atas sebelah kiri atas merupakan bahagian ruang mihrab dan mimbar masjid. Gambar atas sebelah kanan adalah bahagian ruang solat masjid yang sangat luas.



Selepas solat maghrib dan jamak takdim isyak, aku sempat merakam gambar masjid yang diselubungi suasana malam hari. Masjid dan menara kelihatan lebih menarik pada waktu malam.




Gambar atas  menunjukkan keadaan di sekeliling masjid selepas dilanda tsunami 2004 yang kini telah berubah menjadi taman yang indah dan menarik.


Selesai menziarahi sambil solat di Masjid Raya Baiturrahman, kami dibawa ke restoran untuk makan malam dan kemudian langsung balik ke hotel untuk istirehat.



Wednesday, 1 January 2014

Rintihan Hati Seorang Ayah …



Untuk anak-anak ayah yang ayah sayangi di bumi Allah SWT. Segala puji bagi Allah SWT, yang telah memudahkan ayah untuk beribadah kepada-Nya. Selawat serta salam, ayah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga, dan para sahabat sekalian.




Wahai anak-anak ayah…
Luahan rasa ini ini datang dari lubuk hati ayahmu, yang selalu dirundung keresahan. Satelah berpikir panjang, ayah  mencuba untuk menulis dan menekan papan kekunci menggunakan jari-jari ayah yang semakin kendur, sekalipun keraguan dan rasa malu menyelimuti diri ayahmu ini.

Setiap kali meluahkan isi hati melalui papan kekunci yang usang ini, setiap itu pula jari-jari ayah terhalang oleh tangis. Dan setiap kali menitiskan air mata, setiap itu pula, hati ini terluka.


Wahai anak sulung ayah
Tanggal 26 Disember 1985, engkau telah dilahirkan wahai anak sulungku. Ayah masih ingat, ayah berada disisi ibumu didalam bilik bersalin ketika engkau mula menjengah dunia ini dan bercampurlah air mata kebahagiaan ayah dengan air mata tangismu. Ayah masih ingat bahawa arwah datukmu yang telah mengalunkan azan ke telingamu. Sesungguhnya bait-bait suci itulah yang mula-mula engkau dengar dan terukirlah kalimah tauhid di kanvas hatimu yang masih suci. Itulah bekal utama,  jati dirimu yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Wahai anak ayah, kau adalah hamba Allah SWT dan khalifah-Nya. Dan ayah adalah ayahmu,  pemegang amanah kehidupanmu yang fana. Ayah merasa sungguh gembira pada ketika itu kerana telah bergelar “ayah” dan bertambahlah tanggungjawab ayah. Ayah bersyukur kepada Allah SWT.

Apabila telah berlalu setahun dari usiamu, pada tanggal 8 Ogos 1987, lahirlah adikmu, seorang bayi lelaki sebagai penyambung zuriat ayah. Ketika itu, ayah sendiri yang telah mengalunkan azan ke telinga adikmu. Masa pantas berlalu tanpa boleh dikejar dan setelah empat tahun berselang, iaitu pada tanggal 16 Ogos 1991 seorang lagi adikmu dilahirkan, seorang bayi perempuan yang periang. Masa berlalu lagi yang tidak pernah sepi dari gelombang dan setelah agak lama berlalu iaitu pada tanggal 6 Oktober 1999, lahir seorang bayi perempuan iaitu adikmu yang bungsu.


Wahai anak-anak ayah…
Ketika diawal-awal usiamu, ayah masih ingat bahawa ayah selalu menolong ibumu memandikanmu dengan kedua tangan kasih sayang ayah, memakaikan lampinmu dan pakaianmu, membancuh air minummu dikala engkau kelaparan, menyapu minyak angin dan mengurut dadamu ketika kembung perutmu. Kehidupan ayah, ayah berikan kepadamu. Ayah tidak tidur, demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapan ayah pada setiap hari, agar ayah selalu melihat senyumanmu. Kebahagiaan ayah setiap saat, adalah setiap permintaanmu agar ayah berbuat sesuatu untukmu. Itulah kebahagiaan ayah.

Lalu berlalulah waktu, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, selama itu pula, ayah setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai, setiap permintaanmu ayah penuhi,  menjadi dayangmu yang tidak pernah berhenti, kemana sahaja kamu nak pergi, ayah menjadi pemandumu, menjadi pekerjamu yang tidak pernah lelah, setiap kehendakmu ayah turuti dan saban hari ayah mendoakan kebaikan dan taufiq untukmu. Harapan ayah supaya anak-anak ayah semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Wahai anak-anak perempuan ayah…
Ayah selalu memperhatikan dirimu, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi tahun, dan waktu pun terus berlalu, seakan-akan ayah menyeretnya dengan berat sekali seakan tidak mampu ayah harungi. Sepanjang masa yang telah engkau lalui, ayah lihat anak-anak ayah semua telah menjadi semakin dewasa. Namun perasaan hati ayah berbaur bahagia dan duka. Bahagia kerana anak-anak ayah  semuanya cerdas dan bijaksana, sedangkan duka kerana anak-anak ayah sering berpenampilan tidak saperti yang ayahmu harapkan. Tatkala itu, hati ayah serasa teriris-iris, air mata ayah mengalir, entah apa rasanya hati ini. Bahagia telah bercampur dengan duka. Tangis telah bercampur pula dengan tawa.

Dimanakah silap ayah? Apakah ayah tidak menghantarmu ke sekolah agama hingga perilakumu sedemikian rupa? Seingat ayah, akademikmu cemerlang, pelajaran agamamu terbilang! Apakah ayahmu tidak bekalkan ilmu buatmu menyuluh? Ayah mendidikmu bagaikan menatang air yang penuh! Agar kamu tahu menilai pahala dan arif mengenal dosa. Ayah selalu berdamping dengan mu, mendengar luahan kata yang tersurat dan memahami syarat dalamannya yang tersirat. Apakah itu tidak mampu membantumu? Fikiran ayah semakin kontang. Sudah beberapa dekad amanah Allah SWT ayah genggam. Ayah cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya ayah tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi banyak masanya ayah terjatuh, ayah dilanggar dan dirempuh.


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Melalui rintihan ayah ini, ayah ingin melihat kiranya anak-anak ayah berpenampilan sebagaimana yang ayah inginkan, agar sejuk mata ayah memandang, hati tidak rasa  radang, perasaan tidak terus karuan, kiranya ayah pergi tidak kempunan dengan dosa yang diampun Tuhan. 



Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali bahagian yang biasa nampak

Kerana ini adalah firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 59: yang bermaksud “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya  ke seluruh tubuh” sedang jilbab itu pakaian yang menutupi seluruh tubuh.
           
Juga terdapat dalam firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31: yang bermaksud“ Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka, memelihara kemaluan mereka dan jangan menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak.

Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat diatas sebagai “mereka tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya kepada orang-orang ajnabi (bukan mahram), kecuali bahagian yang tidak boleh disembunyikan”.
           
Namun ulamak berbeza pendapat tentang “kecuali yang biasa nampak” ada yang mentafsirkannya sebagai pakaian-pakaian luar, celak, cincin, gelang dan muka dan kedua tapak tangan.

Pendapat yang lebih tepat adalah muka dan tapak tangan, kerana celak letaknya dimuka manakala cincin dan gelang di tangan.

Kesimpulannya, wajib bagi seluruh wanita, baik yang merdeka atau hamba abdi untuk menutupkan pakaiannya ke seluruh tubuh ketika mereka keluar. Mereka hanya dibolehkan menampakkan muka dan kedua telapak tangannya sahaja berdasarkan kebiasaan yang berlaku pada zaman Nabi saw kerana adanya persetujuan beliau terhadap mereka.


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak untuk berhias.

Kerana ini adalah firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka”. Secara umum ia mengandungi larangan menghiasi pakaian yang dipakai sehingga menarik perhatian laki-laki.

Ayat di atas dikuatkan oleh firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu semua tetap tinggal dirumah! Juga, janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dulu”.

Juga sebuah hadis Nabi yang bermaksud: “ Ada 3 golongan manusia yang tidak ditanya (kerana mereka sudah pasti termasuk orang-orang yang celaka): pertama orang laki-laki yang meninggalkan jemaah dan mendurhakai imamnya serta meninggal dalam kedurhakaan itu; kedua, seorang budak perempuan atau lelaki yang melarikan diri dari Tuannya lalu mati; ketiga, wanita yang ditinggalkan pergi oleh suaminya, dimana suaminya itu telah mencukupi keperluan dunianya, namun (ketika suaminya tiada dirumah) dia bertabarruj.[Hadith  riwayat al-Hakim & Ahmad]

Kalimah tabarruj  bererti perbuatan wanita menampakkan perhiasan dan kecantikannya, serta segala sesuatu yang harus ditutup dan disembunyikan kerana boleh membangkitksn syahwat laki-laki. Jadi maksud perintah mengenakan pakaian yang menutup aurat (jilbab) adalah perintah untuk menutup perhiasan wanita. Maka tidak masuk akal bila jilbab yang berfungsi untuk menutup perhiasan wanita itu menjadi pakaian untuk berhias.


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang kainnya tebal dan tidak nipis.

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan diperbuat daripada kain yang tebal, sebab sesuatu yang menutup itu hendaklah daripada yang tebal. Adapun kain yang nipis akan hanya menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit yang menjadi tarikan lelaki untuk memandangnya. Pakaian seperti ini tidak berfungsi sebagai menutup aurat kerana tidak dapat menghalangi daripada pandangan  mata.

Ibnul Abdil Bar berkata “Yang dimaksudkan oleh Nabi  saw adalah para wanita yang mengenakan pakaian nipis yang menggambarkan bentuk tubuhnya, belum menutup atau menyembunyikan tubuh yang sebenarnya. Mereka itu berpakaian, namun pada hakikatnya masih telanjang”

Ini diperkuatkan oleh sebuah hadis yang mana Aisyah meriwayatkan, bahawa Asma’ bt Abu Bakar pernah masuk kerumah Rasulullah saw, sedang ia memakai baju nipis, lalu Rasulullah saw berpaling daripadanya. [Hadith riwayat  Abu Daud dengan sanad Mursal]


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang longgar dan tidak ketat.

Kerana pakaian yang menutup aurat mesti longgar, kerana maksud dan tujuan seseorang wanita berpakaian adalah untuk menghilangkan fitnah dan tarikan orang laki-laki. Pakaian yang ketat meskipun tebal kainnya dan boleh menutup warna kulit namun tetap menggambarkan bentuk tubuh badan pemakainya dan masih bolih mempesona,  menarik perhatian dan menaikkan berahi laki-laki yang memandangnya. Oleh itu pakaian wanita harus longgar, tidak ketat.

Usamah bin Zaid pernah berkata: “Pernah Rasulullah saw memberi saya baju qibthiyah yang tebal hadiah dari Dihyah Al-Kalbi. Baju itupun saya pakaikan pada isteri saya. Nabi bertanya kepada saya, “Mengapa kamu tidak pernah memakai baju qibthiyah ? Saya menjawab, “Baju itu saya beri isteri saya pakai” Beliau lalu berkata, “Perintahkan isterimu agar memakai baju dalam ketika memakai baju qibthiyah, kerana saya khawatir baju qibthiyah itu masih boleh menggambarkan bentuk tulangnya (bentuk tubuh)”.


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak di beri wangi-wangian.

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak diberi wangi-wangian berdasarkan hadis-hadis yang melarang wanita memakai wangi-wangian ketika mereka keluar rumah. Pakaian yang diberi wangi-wangian akan dapat meransang syahwat laki-laki apabila terbau wangian tersebut.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari bahawasanya dia berkata, “ Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya perempuan apabila memakai wangi-wangian lalu ia berjalan di hadapan suatu kaum (dengan tujuan) supaya mereka mencium baunya maka ia berzina”  [Hadith riwayat at-Tirmidhi, An-Nasai, Abu Dawud].

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya dia berkata, Rasulullah saw pernah bersabda: “Perempuan yang memakai bakhur (sejenis pewangi pakaian), janganlah solat Isya bersama kami”. [Hadith riwayat Muslim dan Abu Awanah]


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian lelaki iaitu pakaian yang lazimnya dipakai oleh lelaki saperti seluar dan kemeja atau baju T.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya  Rasulullah saw melaknat laki-laki yang berpakaian seperti pakaian perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti pakaian laki-laki”.  [Hadith riwayat Abu Daud dan Nasai].

Daripada Abdullah bin Amru, katanya “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bukan termasuk golongan kami laki-laki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai laki-laki”.[Hadith riwayat Ahmad]

Kedua-dua hadis di atas dengan jelas menunjukkan haramnya wanita menyerupai laki-laki dan laki-laki menyerupai wanita.  Hadis pertama menghusus kepada masaalah pakaian manakala hadis kedua kepada masaalah umum.


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang tidak menyerupai pakaian orang kafir.
           
Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan tidak menyerupai pakaian orang kafir sebab didalam syariat Islam telah ditetapkan bahawa kaum muslimin, baik laki-laki mahupun perempuan, tidak boleh tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir, baik dalam hal ibadah, perayaan hari raya, dan pakaian yang menjadi pakaian khas mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 16, yang bermaksud: “ … Janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepada meraka, lalu berjalanlah masa yang panjang, sehingga hati mereka menjadi keras dan kebanyakkan dari mereka menjadi orang-orang yang fasik”.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Firman Allah, ‘Janganlah mereka seperti…’ merupakan larangan mutlak terhadap tindakan menyerupai orang yang kafir; disamping itu merupakan peringatan yang khusus bahawa hati mereka boleh menjadi keras akibat dari kemaksiatan’”


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Pakailah pakaian yang bukan pakaian syurah (mencari populariti).

Kerana pakaian yang menutup aurat disyaratkan bukan merupakan pakaian untuk mencari populariti berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, dia berkata, “Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa memakai pakaian untuk mencari populariti di dunia, maka Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka” [Hadith riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah]


Wahai anak-anak perempuan ayah…
Jagalah penampilan dirimu. Janganlah memakai pakaian yang dilarang kerana ianya tidak dapat berfungsi sebagai menutup aurat atau tubuh pemakainya daripada sorotan mata yang beracun, yang memancar dari orang-orang yang hatinya berpenyakit dan orang-orang yang rendah akhlaknya.

Kerana sesungguhnya, mereka yang memakai pakaian yang dilarang, dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu (1) Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang dipukulkan kepada manusia. (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian (tetapi hakikatnya) telanjang, jalannya lenggang-lenggok, kepala (rambutnya) seperti ponok unta yang miring. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal sesungguhnya bau syurga itu tercium dari jarak yang sangat jauh. Dalam lain riwayat (dikatakan): dan sesungguhnya baunya tercium dari jarak perjalanan (sejauh) lima ratus tahun”. [Hadith Riwayat Muslim].


Oleh itu, wahai anak-anak perempuan ayah…
Berpenampilanlah dengan pakaian yang boleh menutup seluruh tubuh (tidak singkat), pakaian yang tebal (tidak nipis), pakaian yang longgar (tidak ketat), pakaian yang dikhususkan untuk perempuan sahaja (seperti baju kurung, jubah), pakaian yang tidak berwarna – warni dan pakaian yang tidak diberi wangi-wangian dan dilengkapkan dengan tudung sehingga menutupi dada kerana sesungguhnya memakai pakaian dari jenis pakaian yang tersebut, akan memutuskan keinginan-keinginan gila dan meluap-luap dari lelaki fasiq, agar tidak sampai kepada anak-anak ayah.

Ingatlah amaran Nabi SAW supaya selamat dunia akhirat dan kehidupan menjadi berkat, kerana kasih sayang ayah kepada kamu semua tidak pernah luntur, masih seperti dulu, masih seperti lautan yang tidak pernah kering, masih seperti angin yang tidak pernah berhenti. Harapan ayah, agar kamu semua dimuliakan satu hari nanti, nescaya engkau akan dibalas dengan kebaikan, sedangkan ayahmu tidak mengharapkan apa-apa balasan. Ayah hanya ingin melihatmu berubah menjadi wanita solehah.

Terasa lama hari-hari yang ayah lewati, hanya untuk melihat perubahan dalam penampilan dirimu. Detik demi detik tidak dapat ayah hitung dengan jari, hanya setia menanti. Akan tetapi penantian ayah seakan sangat panjang, seakan-akan semua itu tidak ada, mampukah ayah bertahan. Penantian ayah hanya sia-sia, dan harapan ayah hancur belaka. Yang ada hanya keputus-asaan. Yang tersisa hanya kesedihan dari semua keletihan yang selama ini ayah rasakan, sambil menangisi diri dan nasib yang memang ditakdirkan oleh Tuhan.

Sampai begitukah keras hatimu, dan sudah begitu jauhkah dirimu setelah berlalunya hari dan berselangnya waktu. Apakah hatimu tidak tersentuh, terhadap seorang lelaki tua yang lemah dimamah usia, sudah putih rambut dikepala, sudah berkedut garis di muka, sudah menggigil kaki dan tangan, sudah kabur mata memandang. Usia sudah diambang senja, entah esuk entahkan lusa, mentari hidup kian redup, sudah hampir episode penutup. Itulah ayahmu yang masih engkau belum kenal.


Wahai anak-anak ayah…
Ayahmu tidaklah meminta banyak, ia tidaklah menagih padamu yang bukan-bukan. Yang ayah pinta kepadamu, jadilah anak-anak yang soleh dan solehah yang sejuk mata ayahmu memandang, yang memanjangkan doa bila ayah di alam kubur . Jadikanlah teguran ayahmu sebagai nasihat, agar engkau tidak tersesat. Jangan jadikan ia sebagai tempat sampah yang tidak pernah engkau singgah. Dosa apakah yang telah ayah perbuat, sehingga nasihat ayah tidak engkau genggam erat. Atau pernahkah ayah berbuat lalai dalam melayanimu, sehingga kehidupanmu melarat!

Bangunlah wahai anak-anak ayah. Bangkitlah! Bertakwalah kepada Allah, takutlah kepada Allah. Uban-uban sudah mulai merambut di kepalamu. Akan berlalu masa, sehingga kamu semua akan menjadi tua pula saperti ayahmu. Sebagaimana kamu semua akan berbuat, seperti itu pula anak-anakmu akan berbuat kepadamu kelak. Ganjaran itu sesuai dengan amal yang kamu semua telah lakukan. Kamu semua akan memetik sesuai dengan apa yang kamu semua tanam.

Senyummu yang selama ini menjadi pelipur duka dan kesedihan ayah, sekarang telah mulai suram bagaikan matahari yang ditutupi oleh kegelapan malam. Tawamu yang selama ini ayah jadikan buluh perindu, sekarang telah tenggelam, seperti batu yang dijatuhkan ke dalam kolam yang hening, dengan dedaunan yang berguguran.


Wahai anak-anak ayah…
Ayah tidak akan panjatkan keluhan ini ke langit, ayah tidak akan adukan duka ini kepada Allah SWT, karena jika seandainya keluhan ini telah membumbung menembus awan, melewati pintu-pintu langit, maka ayah risau akan menimpamu kebinasaan dan kesengsaraan, yang tidak ada ubatnya dan tidak ada doktor yang dapat menyembuhkannya…hanya Allah jua.

Ayah tidak akan melakukannya wahai anak-anak ayah. Bagaimana ayah akan melakukannya, sedangkan engkau adalah jantung hati ayah. Bagaimana ayah boleh menengadahkan tangan ke langit, sedangkan engkau adalah pelipur lara hati ayah. Bagaimana ayah sampai hati melihatmu merana terkena doa mustajab, padahal engkau bagi ayah adalah kebahagiaan hidup ayah.

Ayah tidak ingin anak-anak ayah menulis rintihan saperti ini. Ayah tidak ingin anak-anak ayah menulis rintihan yang serupa dengan air matamu kepada anak-anakmu kelak, sebagaimana ayah  telah menulisnya kepada kamu semua.


Wahai anak-anak ayah…  
Andainya kamu semua telah membaca rintihan ayah ini, terserah padamu. Apakah kamu semua akan sedar dan kamu semua akan kembali merobah diri, atau kamu semua akan pergi sepantas kuda berlari.

Namun ayah akan terus menghadapi taufan kehidupan ini yang tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, ayah akan harungi badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan tetapi ia adalah  kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa  kekadang sepantas  igauan.

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu, perginya begitu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain  hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi   ujian .... akan tenggelamkah ayah !.

“Ya Allah, Ya Tuhan Kami, hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hamba-hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak kami, tambahkanlah kasih sayang diantara kami, jauhkanlah rasa benci, hasad dan iri hati, hiasilah diri kami seperti peribadi Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati”.

“Ya Allah, Ya Tuhan Kami Yang Maha Pengampun, Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kami terhadap kedua ibubapa kami, mereka bersusah payah membesarkan kami Ya Allah, tetapi kami telah berbuat salah kepada mereka, kami telah abaikan mereka, kami sering mengherdik mereka, ampunkanlah dosa kedua ibu bapa kami Ya Allah, janganlah mereka diazab kerana perbuatan kami, Ya Allah, ampunkanlah dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat”.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, Perbaikilah akhlak anak-anak kami. Tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buangkanlah sifat mazmumah dalam diri mereka”. 

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah lagi hina, memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon,  redhailah permohonan kami”.

“Ya Allah Ya Tuhan kami, Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu”. 

Amin, amin Ya Rabbal’alamin.