Wednesday, 20 November 2013

Turki Kami Datang Dis 2012 .. (8) .. hari ketujuh ….. ronda-ronda Istanbul …..Part 1



Destinasi pertama lawatan hari ke tujuh, kami dibawa menziarahi masjid sahabat Nabi Mohamad saw yang terkenal iaitu Abu Ayyub Al-Ansori. Dalam peristiwa hijrah, setelah Nabi saw tiba di Madinah, ramai dikalangan orang islam berebut-rebut mengajak Nabi saw menginap di rumah mereka. Sementara itu Abu Ayyub Al-Ansori telah mengheret unta Nabi saw sehingga sampai di depan rumahnya. Lalu Nabi saw bersabda, orang yang bermusafir mengikut barangannya. Maksudnya dimana unta dan barang Nabi saw berhenti, disitulah Nabi saw akan menginap. Jadi rumah Abu Ayyub Al-Ansori menjadi penginapan sementara Nabi saw.

Masjid Abu Ayyub Al-Ansori
Abu Ayyub al-Ansori atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Khulaib berasal dari Bani Najjar dan lahir 16 tahun setelah kelahiran Nabi saw. Abu Ayub al-Ansori tidak pernah terlepas daripada menyertai sebarang peperangan sejak zaman Nabi saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin dan seterusnya menginjak ke zaman Kekhalifahan. Abu Ayyub adalah seorang yang bercita-cita tinggi untuk menawan Kota Constantinople sehingga sanggup berpindah dari Madinah ke Constantinople walaupun usianya telah mencecah 80 tahun.

Semasa peperangan berlaku antara tentera Islam & tentera Rom untuk merebut Constantinople, 2 hari sebelum pelancaran serangan terhadap tentera Rom, semua tentera Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan rohani sangat kuat dalam diri mereka.  Dalam peperangan membebaskan Constantinople itu, berjatuhanlah para syuhada bagai kembang-kembang seri yang gugur di Taman Syurgawi.

Pada hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit. Terbaring lesu tanpa boleh bergerak-gerak lagi. Ketika sakitnya semakin tenat, Abu Ayub pun berwasiat agar jasadnya disemadikan di benteng Kota Constantinople. Semasa kematiannya peperangan masih bergelora. Jenazah sahabat yang mulia itu dibawa ke benteng Constantinople untuk disemadikan. Ternyata beliau bukanlah orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Constantinople itu.

Setelah 600 tahun berlalu, Sultan Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota Constantinople iaitu pada tahun 1453. Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW yang bermaksud “Constantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Kami diturunkan dari bas agak jauh daripada Masjid Abu Ayyub, oleh itu kami terpaksa berjalan kaki menyusuri lorong-lorong kecil. Kami juga melewati kandang biri-biri dan perkuburan Islam yang luas sebelum sampai ke Masjid Abu Ayyub.

Satelah berjalan agak jauh, kami melalui satu lorong yang membawa kami ke Masjid Abu Ayyub Al-Ansori dimana terdapat air pancut dihadapan masjid tersebut.

Aku merakam gambar isteri yang membelakangi air pancut di luar pintu gerbang Masjid Abu Ayyub Al-Ansori. Satelah mengambil wuduk, aku masuk ke dalam masjid, dewan solatnya agak luas, dilengkapi dengan mihrab dan mimbar yang dihias indah.

Mereka sempat merakam gambar sementara menunggu rakan-rakan yang lain mendirikan solat tahiyatul masjid. Gambar atas kanan …  selesai solat dan ronda-ronda dalam masjid, aku pun keluar melalui pintu utama Masjid Abu Ayyub Al-Ansori.


Sebelum meninggalkan perkarangan masjid, aku sempat menziarahi makam Abu Ayyub Al-Ansori iaitu disebalik pintu yang berlangsir warna hijau yang terletak dibahagian belakang masjid (gambar kanan). Aku hadiahkan bacaan Fatihah kepadanya dan tidak lupa kepada Nabi Muhammad saw, dan aku berdoa mudah-mudahan aku dapat mengikut jejak Abu Ayyub Al-Ansori.

Aku juga merakam papan tanda ni walaupun aku tak faham maknanya.
  
 
Daripada Masjid Abu Ayyub Al-Ansori, kami dibawa ke pengkalan  jeti di Kasimpasa untuk menaiki bot menyurusi Selat Bosphorus. Semasa kami tiba di jeti tersebut, bot kami belum sampai lagi. Kira-kira 30 minit kemudian baru bot kami sampai, kelihatannya agak besar dan cantik. Bot dua tingkat.


Apabila bot telah rapat ke jeti, kami pun mulai naik. Seorang demi seorang mula menaiki bot dengan dibantu oleh Ms Luna. Gambar atas kanan .. pemandangan pengkalan jeti dari tengah selat…. kelihatan sayup-sayup Hagia Sophia dan Topkapi Palace dibahagian belakang.

Pelayaran bermula dengan menyusuri tepi pantai Selat Bosphorus sebelah Eropah. Bot kami terus bergerak menyusuri Selat Bosphorus menghala kearah Laut Hitam, sekarang bot kami baru melewati Yeni Camii (Masjid Yeni), gambar atas kanan.  Menurut cerita Ms Luna, masjid ini dibina tahun 1597 oleh Sultan Murad III atas permintaan permaisuri Safiye terletak diperkampungan yahudi supaya pengaruh islam mudah tersebar. Namun pembinaannya mengambil masa yang terlalu lama sehingga akhirnya terbengkalai apabila Sultan Murad III meninggal dunia. Setelah terbiar begitu lama, bonda kepada Sultan Mehmet IV telah mengarahkan supaya pembinaannya disambung semula dan akhirnya telah siap pada tahun 1663 dan dibuka dengan rasminya pada tahun 1665. Nota: Semasa dalam pelayaran, aku banyak merakam gambar menggunakan hand phone sahaja.

Menyusuri Selat Bosphorus yang membelah Turki kepada wilayah Asia dengan Eropah menggunakan bot adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Namun bagi mereka yang mudah terkena mabuk laut, baginya agak memualkan, begitu juga dengan isteriku yang sudah mulai mabuk walaupun baru beberapa minit belayar dan selat pun tidak bergelora.


Bot terus bergerak perlahan-lahan, di belakang kami adalah Istanbul Museum of Modern Arts, bangunan yang panjang.

Pemandangan seterusnya adalah Mimar Sinnan Fine Arts University (gambar atas kiri) yang terletak di kawasan Findikli, Istanbul. Ditubuhkan tahun 1882 sebagai Sekolah Seni Halus oleh pelukis terkenal Turki ketika itu bernama Osman Hamdi Bey. Mula mengambil pelajar tahun 1883. Tahun 1928 dinaik taraf kepada Akademi Seni Halus. Tahun 1982 dinaik taraf menjadi Mimar Sinnan University. Tahun 2003 bertukar kepada Mimar Sinnan Fine Arts University. Tidak jauh dari Mimar Sinnan University iailah Masjid Dolmabahce (gambar atas kanan) yang mempunyai dua menara dan dibina antara tahun 1853 hingga 1855 oleh permaisuri kepada Sultan Bezmi Alem Valide.

Seterusnya Dolmahbache Palace .Terletak di daerah Besiktas di pinggiran Selat Bosphorus iaitu di Bahagian Eropah Turki. Dibina antara tahun 1843 hingga 1856 semasa pemerintahan Sultan Abdul Majid I yang direka bentuk oleh arkitek Garabat Balyan. . Bangunan tiga tingkat yang mengandungi 285 bilik dan 43 dewan menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Islam Uthmanniyyah dari tahun 1856 hingga 1922 kecuali semasa tempoh 1887 hingga 1909 dimana Istana Yildiz dijadikan pusat pentadbiran. Apabila tumbangnya kerajaan Islam Uthmanniyyah dan pembentukan Republik Turki oleh Mustaffa Kamal Ataturk pada March 3, 1924 dan Mustaffa Kamal Ataturk menjadi presiden, beliau hanya menduduki istana ini dimusim panas sahaja, namum pada hari-hari terakhir kehidupanya beliau telah ditempatkan di istana ini sehingga meninggal dunia pada 10 November 1938.

Seterusnya adalah Ciragan Palace. Satu lagi pemandangan indah yang dapat dilihat daripada bot kami yang merupakan salah satu istana Kesultanan Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Terletak disebelah Eropah iaitu diantara Daerah Besiktas dan Ortakoy. Dibina oleh Sultan Abdul Aziz diantara tahun 1863 hingga 1867 dan direkabentuk oleh Nogogayos Balyan seorang akitek bangsa Armenia. Walaubagaimanapun pembinaannya diteruskan untuk menghiasi bahagian dalam sehingga tahun 1872.

Apabila siap, Sultan Abdul Aziz hanya sempat bersemayam sekitar empat tahun sebelum ia dijumpai mati didalam istana tersebut pada 30 May 1876. Semasa pemerintahan Sultan Mehmet V, baginda membenarkan persidangan parlimen diadakan didalam istana ini, namun hanya untuk tempoh dua bulan apabila istana tersebut musnah terbakar pada 19 Januari 1904 yang tinggal hanya bahagian dinding luar sahaja. Bangunan yang tinggal telah dijadikan stadium bola sepak untuk kelab Besiktas JK dan dikenali sebagai Stadium Seref selama berpuluh-puluh tahun. Dalam tahun 1991, bangunan yang tinggal telah diubahsuai dengan penambahan bangunan baru disebelahnya yang menjadikannya Hotel Mewah bertaraf lima bintang yang dimiliki oleh Rangkaian Hotel Kempinski. 

Ini pula Bahcesehir University yang bersebelahan dengan bangunan Four Seasons Hotel (gambar sebelah kanan). Hotel mewah mempunyai 65 bilik mewah dan 11 suites.


Bot bergerak terus sehingga menghampiri Kompleks Galatasary University. Galatasaray Universiti telah ditubuhkan tahun 1992 selepas perjanjian persefahaman ditandatangai antara Turki dan Perancis untuk menaiktaraf Sekolah Tinggi Galatasaray yng ditubuhkan tahun 1481. Terletak di Ortakoy dalam Daerah Besiktas, bangunan asalnya ialah Ferive Palace, istana musim panas, dibina tahun 1871 semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz oleh akitek Sarkis Balyan. Bangunan digunakan sebagai asrama untuk pelajar wanita sekolah tinggi Galatasaray sehingga 1992 bila dinaik taraf menjadi university.

Sebuah lagi hotel mewah yang terletak dipantai sebelah Eropah iaitu Radisson Blue Bosphorus Hotel yang mempunyai 120 bilik dan suite.

Ini pula Masjid Ortakoy (Ortakoy Camii) yang sedang diubah suai. Gambaran sebelum diubah suai adalah saperti foto di sebelah kanan. Masjid ini merupakan masjid Sultan Abdul Majid terletak di  Besiktas, Istanbul, Turkey. Dibina antara tahun 1854 dan 1856 atas arahan Sultan Abdul Majid. Nota: Jambatan yang kelihatan adalah Jambatan Bosphorus, salah satu daripada dua jambatan yang menyeberagi Selat Bosphorus.


Gambar atas kiri … bot kami membuat pusingan U selepas melepasi Jambatan Bosphorus dan menyusuri pantai sebelah Asia pula. Jambatan ini adalah jambatan pertama dibina menyambungkan bahagian Eropah dan Asia menyeberangi Selat Bosphorus dan telah dibina dalam tahun 1973. Sebelum tahun 1973 perhidmatan feri digunakan bagi menyeberangi Selat Bosphorus. Gambar atas kanan … bangunan pertama yang sempat saya rakam ialah Kuleli Military High School di Daerah Cengelkoy, Uskudur, Istanbul. 


Berhampirannya dengan Kuleli Military High School adalah sebuah masjid iaitu Masjid Haji Omer, agak cantik tapi nampaknya macam dalam keadaan uzur.


Ini pula Istana Beylerbeyi yang terletak berhampiran Jambatan Bosphorus. Dibina antara tahun 1861 hingga 1865 sebagai istana musim panas dan juga rumah persinggahan ketua-ketua negara luar. Sultan Abdul Hamid II menduduki istana ini dari tahun 1912 hingga kematiannya pada tahun 1918.


Sebaik melepasi Jambatan Bosphorus, ada dua bangunan ni yang aku sendiri tak tahu namanya tapi, sebab rakam gambar tak perlu bayar, aku pun rakam je.

Disepanjang pantai sebelah Asia Selat Bosphorus banyak terdapat masjid, antaranya  selepas dua bangunan yang tak tahu nama ialah Masjid Uryanizade (kiri) dan Masjid Sultan Mihrimah (kanan)

Satu lagi masjid ialah Masjid Semsi Pasha, sebuah masjid yang kecil dibina tahun 1580 hingga 1581.
   
Dibelakang menara air ini pun ada sebuah lagi masjid iaitu Salacak Fatih Camii yang terletak diatas bukit. Gambar kanan adalah Maiden Tower (macam rumah api).


Gambar atas kiri … sebuah cruise mewah sedang berlabuh di pengkalan. Sebelum bot kami berlabuh untuk menurunkan kami, rombongan kami sempat bergambar beramai-ramai di atas bot. Menyusuri Selat Bosphorus menggunakan bot adalah satu pelayaran yang menyeronokkan, kenangan saperti ini jarang aku dapati yang sudah pasti menggamit memori bila aku balik ke Malaysia …..ikuti sambungan lawatan hari ke 7 di bahagia 2 ...

Turki Kami Datang Dis 2012 ..(6) .. hari kelima ... Cappadocia ... Ankara ... Bolu ...

Dua  hari di Cappadocia sudah berakhir. Pengembaraan akan diteruskan menuju ke Bolu iaitu sebuah bandar kecil untuk kami bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul pada keesokan harinya. Ini kerana jarak antara Capadocia ke Bolu sahaja melebehi 500 km.

 
Oleh itu, aku sudah tidak sabar-sabar untuk meneruskan pengembaraan hari ke lima, dan awal-awal lagi aku telah siap menunggu di lobi hotel. Bila bas sampai, terus sahaja aku mengangkut beg-beg masuk ke dalam bas.  Bas kami bertolak jam 7.30 pagi … selamat tinggal Cappadocia.  Dalam perjalanan meninggalkan Hotel Avrasya, aku dapat melihat beberapa belon panas yang terapung-apung diudara, namun aku tidak menyesal kerana tidak menaikinya.
Ms Luna menerangkan di dalam  perjalanan ke Bolu, kami akan berhenti sebentar di Salt Lake (Tasik Garam) dan juga Ankara iaitu ibu negara Turki untuk melawat Muzium Kamal Atartuk. Dalam perjalanan aku mendiamkan diri sahaja namun aku dapat mendengar bermacam-macam cerita yang berkumandang disekitarku.
Lebih kurang dua jam dalam perjalanan, pemandu bas kami melencong ke satu kawasan rehat,  kerana ramai yang ingin ke “bay” dan “bayan”. Kawasan rehat dan rawat mereka tidaklah sehebat R&R yang terdapat di sepanjang lebuhraya PLUS di Malaysia.
Oleh kerana hari masih lagi agak awal, tidak ramai orang yang singgah ke R&R . Kami hanya ke “bay n bayan” kerana restoran pun masih lagi tutup. Sementara menunggu rakan-rakan yang lain selesai, aku dan isteri sempat juga bergambar kenangan di tempat tu. 
Satelah kesemuanya berada didalam bas, perjalanan di teruskan untuk ke Bolu. Tidak lama kemudian, kami pun sampai di Tuz Lake  iaitu tasik garam yang kedua terbesar di Turki dan mempunyai paras air berbeza-beza mengikut musim. Kawasannya memang luas dan kelihatan garam-garam yang memutih di permukaan tasik.



Tasik ini sebetulnya tidak berair, karena tingginya kadar garam di dalamnya. Kononnya garam di tasik  ini bukan sembarangan garam, karena mengandung zat kimia yang bagus bagi kesihatan, terutama kesihatan kulit. Turun sahaja dari bas, isteriku terus ke kedai yang menjual hasil barangan air garam dari tasik tersebut. Berbagai barangan untuk kecantikan di jual dikedai itu. Menurut mereka hampir seluruh barangan hasil garam di Turki dihasilkan di tempat ini.



Kawasan berwarna putih dibelakang aku (gambar kanan)  itulah tasik garam. Kami tidak lama disini kerana perlu segera ke Ankara untuk melihat-lihat muzium Kamal Atartuk.
Lebih kurang jam 2.30 petang, bas kami sampai ke Bandar Ankara iaitu ibu negara Turki.   Bas terus menuju ke Mousoleum Mustafa Kemal Ataturk (Makam Monumen Mustafa Kemal Ataturk) atau Anıtkabir yang terletak di kawasan paling tinggi di Ankara. Ia merupakan tempat persemadian terakhir Presiden Pertama dan pengasas Republik Turki – Mustafa Kemal Ataturk selepas keranda beliau dipindahkan dari makam asalnya yang terletak di Ethnography Museum pada 10 November 1953, lima belas tahun selepas kematiannya.
Untuk memasuki kawasan Anıtkabir ni, kawalan keselamatan yang dikenakan kepada pengunjung sangat ketat. Kami terpaksa melalui dua stesen pengimbas keselamatan sebelum dibenarkan masuk. Pada stesen pengimbas pertama, kami dikehendaki turun dari bas dengan membawa semua beg yang kami pegang dalam bas dan melalui sistem pengimbas macam kat airport seorang demi seorang. Semasa kami semua turun dari bas, akan ada seorang pegawai keselamatan yang naik ke atas bas dan membuat pemeriksaan keselamatan dalam bas.

 Selepas melalui sistem pengimbas pertama, kami naik semula ke atas bas dan meneruskan perjalanan. Tidak jauh dari stesen pertama, kami akan turun semula  dan melalui sistem pengimbas kedua untuk masuk ke kawasan Anıtkabir tersebut. Kami dikehendaki berjalan lebih kurang 200 meter untuk sampai ke kompleks tersebut termasuk menaiki beberapa anak tangga.
  
Gambar kiri, bergambar di luar kompleks sebelum menaiki tangga.

 
Di sini kami diberi penerangan terlebih dahulu oleh Ms Luna  tentang sejarah senibina Anitkabir dan muzium yang terdapat di dalam kompleks. Menurut Ms Luna, Anitkabir merupakan idea dan kemahuan rakyat Turki untuk mendirikan sebuah makam sebagai penghormatan tertinggi kepada Mustafa Kamal Ataturk, pengasas Republik Turki, revolusioner, seorang askar yang berani, seorang pemimpin yang hebat dan seorang tokoh antarabangsa . Beliau dihormati banyak pihak di dunia barat terutamanya pihak Inggeris kerana berjaya membawa perubahan kepada Turki yang pada asalnya gemilang dengan pemerintahan Islam semasa Empayar Uthmaniyyah kepada Turki moden yang demokratik, sekular serta memisahkah aspek agama daripada aspek kehidupan. Nota: walaupun dunia islam mengutuk Kamal Ataturk, tetapi hampir seluruh rakyat Turki menyanjungi beliau.

Anitkabir direka bentuk oleh arkitek Turki bernama Prof. Emin Onat. Terletak di atas bukit yang dikenali sebagai Rasattepe, merangkumi 700,000 meter persegi tanah termasuk Peace Park, yang mengandungi tumbuh-tumbuhan dari semua bahagian Turki dan seluruh dunia. Ia mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Selepas mendengar penerangan dari Ms Luna, kami diberi kebebasan untuk melawat makam dan kawasan sekitarnya. Di sebelah kiri Anıtkabir merupakan Muzium Ataturk yang dibuka pada 21 Jun 1960. Barang-barang peribadi Ataturk seperti almari pakaian beliau dan beberapa hadiah yang diberikan kepadanya terdapat di muzium ini. Pingat, hiasan dan beberapa barangan peribadi seperti sikat rambut, wallet, pen, duit syiling sehingga uniform tentera dan senjata beliau juga dipamerkan di muzium itu.


Walaupun begitu, terdapat syarat yang dikenakan semasa memasuki muzium tersebut. Kami tidak dibenarkan mengambil sebarang gambar. CCTV ada dimerata tempat dalam muzium tu. Pengawal pun ramai yang berkawal di dalam muzium bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi. Jadi takdalah gambar yang boleh diabadikan.

Selesai mendengar penerangan daripada Ms Luna, aku pun mulai menaiki anak tanga. Aku terkejut, sebaik sampai diatas untuk ke bangunan Anitkabir, seorang pengawal sedia menunggu. Dia berdiri bagaikan patung di dalam bilik kaca dengan mata yang tidak berkelip. Aku mengabadikan gambar bersamanya pun dia tak sedar agaknya, tapi dia tidaklah marah, kerana itu tugas dia.

  
Inilah bangunan Anitkabir (gambar atas kiri) yang menempatkan keranda sebenar Mustafa Kamal Ataturk yang ditanam 25 meter di bawah binaan batu marmar. Keranda yang dipamerkan di atas batu marmar itu hanya replika sahaja (gambar atas kanan).

Menurut cerita yang tersebar luas, di saat kematian Kamal Ataturk,  Allah SWT telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah SWT berikan di dunia. Antaranya, didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki di mana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan,  sakit jantung ;   darah tinggi,  panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk  sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba  untuk menyiram rumahnya 24jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau namun tidak berkesan. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit-jerit sehingga seluruh istana mendengar jeritannya kemudian beliau dipindahkan ke tengah laut dalam sebuah bot besar dalam usaha untuk menyejukkan beliau, namun tidak berupaya melawan azab Allah SWT.

Akhirnya, pada 26 september 1938, beliau koma  selama 48 jam disebabkan terlalu panas, apabila sedar beliau telah hilang ingatan. Pada 9 November 1938, beliau koma sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayat beliau diawetkan selama 9 hari 9 malam dan diletakkan di ruang takhta di Istana Dolmabahce, Istanbul sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya.

Menurut cerita selanjutnya, bila mayatnya hendak ditanam, bumi tidak menerimanya. Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dipindahkan ke Ankara serta dipertontonkan di hadapan Grand National Assembly Building. Pada 21 November 1938, dipindahkan pula ke sebuah tempat sementara di Muzium Ethnography di Ankara yang berhampiran Dewan Rakyat.

Selepas 15 tahun iaitu 1953,  mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah SWT tidak mengizinkan, bumi sekali lagi tak menerimanya. Akhirnya pemerintah telah memilih Bukit Rasattepe di Ankara untuk menempatkan binaan batu marmar seberat 44 tan di bahagian atas sementara mayat Kamal Ataturk ditempatkan di bahagian bawah binaan dua tingkat itu.

Gambar atas, aku dan isteri , sebelum beredar meninggalkan komplek muzium Kamal Ataturk untuk menaiki bas menuju ke Bolu.

Perjalanan dari Ankara ke Bolu, melalui jalan yang agak berliku ditemani dengan hujan renyai-renyai hampir sepanjang perjalanan. Di kanankiri jalan, kelihatan salji sudah mulai turun menandakan cuaca diluar sudah begitu sejuk. Untuk mengurangkan kesejukan, bas kami berhenti sekali lagi di R&R untuk menghirup kopi panas. Di kawasan R&R ini agak ramai orang yang singgah untuk memanaskan badan.

     
Malam itu kami ditiba di hotel penginapan agak lewat kerana pemanduan dikendalikan secara berhati-hati, namun alhamdulillah, kami selamat sampai.

   
Hotel Koru adalah hotel kami menginap di Bolu. Selepas makan malam, aku dan isteri berlegar-legar di lobi hotel yang terdapat sebuh jug yang cukup besar. Sementara diluar, hujan renyai-renyai menjadi semakin lebat,  cuaca semakin sejuk , titis-titis salji mulai turun lalu aku dan isteri beredar ke bilik, untuk merehatkan badan dan aku tidak sedar bilamasa aku melelapkan mata.

 ... Ikuti pengembaraan seterusnya ... Bolu ... Ankara ... Instanbul ...