Sunday, 10 March 2013

Ikhlas


“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Allah swt menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepada-Nya. Ini dijelaskan oleh Allah swt dengan firman-Nya yang bermaksudnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” .. surah al-Dhariyat(51): ayat 56.

Muhammad Ali al-Sabuni menjelaskan bahawa melalui ayat tersebut, Allah swt menerangkan matlamat kejadian manusia dan jin iaitu untuk beribadat kepada Allah swt dan mentauhidkan-Nya. Apakah yang dimaksudkan dengan beribadat yang menjadi matlamat manusia diciptakan ?

Mengikut kamus bahasa Arab, perkataan ibadat (al-‘ibadah) itu bererti taat yang disertakan dengan kerendahan diri (keikhlasan hati).

Sayyid Qutb menjelaskan bahawa pengertian ibadah terdapat di dalam dua cabang, iaitu teguhnya kefahaman perhambaan diri kepada Allah dalam jiwa seseorang dan penumpuan kepada Allah dalam setiap gerak hati, gerak anggota dan gerak kehidupan yang disertakan dengan keikhlasan hati.

Allah swt telah berfirman yang bermaksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar” … Surah al-Bayyinah (98): ayat 5.

Jelasnya, ibadat itu ialah segala perlakuan dan tindak tanduk seseorang disebabkan ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt dengan sepenuh keikhlasan hati, dengan sama ada melakukan suruhan Allah swt atau meninggalkan larangan-Nya.

Manakala ikhlas membawa maksud rela, jujur, tulus atau suci hati dalam melakukan sesuatu amal kebaikan tanpa mengharapkan sesuatu balasan atau ganjaran.

Dengan maksud yang demikian setiap individu muslim tidak akan mempunyai sedikit pun muslihat duniawi ketika melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan samada ianya berbentuk ibadah khusus atau perbuatan umum yang lain. Keikhlasan kita hanyalah kepada Allah swt, semua yang kita lakukan adalah untuk mendapat keredhaan Allah swt.

Seorang ahli tasawwuf terkemuka dari Baghdad (wafat 243H) Harith bin Asad al-Muhasabi berkata bahawa ikhlas itu ialah engkau maksudkan ta’at kepada Allah swt dan engkau tidak memerlukan kepada lainnya

Syeikh al-Khushairi seorang pengasas tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allat swt bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah swt, Tuhan yang menjadikan kita.
 
Imam Nawawi membahagikan amal yang ikhlas kepada tiga bahagian iaitu Pertama, amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah swt dan dinamakan “ibadat hamba”. Kedua, amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala dan dinamakan “ibadat saudagar” dan, Ketiga ialah amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah swt dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu samada amalnya diterima atau ditolak oleh Allah swt. Amal sebegini dinamakan “ibadat yang merdeka”.

Amal ibadat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw sewaktu menjawab sungutan ‘Aisah r.a. yang berkata: “Mengapakah Rasulullah saw bersusah payah mendirikan sembahyang malam hingga bengkak-bengkak kedua belah kakinya padahal Allah swt telah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang?”. Rasulullah saw dalam jawapannya bersabda yang bermaksudnya: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur”

Amal atau pekerjaan yang ikhlas ialah amal pekerjaan yang diqasadkan kepada Allah swt dan tidak kepada yang lainnya. Dalam sebuah hadis ada diceritakan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: “Ya Rasulullah saw, ada seorang lelaki yang bersedekah dan ia suka supaya dipuji dan diberikan pahala kepadanya”. Rasulullah saw tidak berkata-kata kepada orang tersebut sehingga diturunkan ayat yang bermaksudnya: “Maka barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya”… Surah al-Kahfi (18): ayat 110.

Dalam ayat tersebut, Allah swt memperingatkan manusia supaya apa saja amal pekerjaan yang di lakukan hendaklah semata-mata kerana Allah swt dan tidak kerana selain daripada Allah swt.

Dalam riwayat yang lain, dari Sufyan dari Habib dari Abi Salih berkata: Seorang datang kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah saw, saya berbuat suatu amal pekerjaan yang saya sembunyikan kemudian diketahui orang, maka saya merasa senang, apakah masih mendapat pahala? Nabi saw bersabda yang bermaksudnya: “Ya, bagimu pahala rahsia dan terang”

Nyatalah keikhlasan melakukan sesuatu amal atau pekerjaan adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan amal pekerjaan tersebut. Ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dengan hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah swt dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia iangin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan”.

Keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu amal pekerjaan adalah menjadi syarat penerimaan amal pekerjaan tersebut oleh Allah swt sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu”. Dengan ini jelas bahawa Allah swt melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.

Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amal pekerjaan dan sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan didalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah saw yang maksudnya: “Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas bagi-Nya dan bertujuan mendapat keredaan-Nya”. Tiap amal yang tidak ikhlas kepada Allah swt, maka tidak sampai kepada-Nya, kerana itu tiap amal yang dikerjakan tidak kerana Allah swt dan kerana lain-Nya, maka Allah swt lepas tangan daripadanya.

Ikhlas bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tidak semua orang boleh mencapai tahap keikhlasan . Sesungguhnya amat payah bagi seseorang untuk membebaskan diri daripada runtunan nafsu yang meluap-luap samada zahir atau bathin yang memang tersembunyi didalamnya. Memang menjadi lumrah manusia suka kepada habuan dan pujian. Oleh itu setiap individu muslim mestilah mendisiplinkan diri dan berusaha keras untuk melawan pelbagai tipu helah syaitan yang sentiasa melakukan rancangan jahatnya untuk memesongkan niat seseorang.

Maka untuk mencapai keikhlasan yang tulin, tiap amalan hendaklah dilakukan dengan niat yang suci dan mujahadah yang berterusan, kerana akan menempuhi berbagai godaan nafsu dan syaitan. Jika ada niat yang bercampur aduk adalah dikhuatiri amalan tadi tidak diterima oleh Allah saw. Dan rugilah seseorang yang melakukan amalan tidak ikhlas. Apalah ertinya amalan yang telah dilakukan dengan susah-payah sedangkan ianya tidak dipandang dan tidak diterima oleh Allah swt dan ia menjadi amal yang sia-sia saperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan Kami periksa segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan”... Surah al-Furqan (25): ayat 23.

Allah swt memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sapertimana firman Allah swt yang bermaksudnya: Katakanlah: “ Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah muka (diri) mu disetiap shalat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan keta’atanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah) kamu akan kembali kepadaNya”… Surah al-A’raaf (7): ayat 29.

Dalam Surah Yunus (10): ayat 105, Allah berfirman, yang maksudnya: “dan (aku telah diperintah): Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik” ... Surah Yunus (10): ayat 105. Berkata Ali bin Abu Talib k.a.w. “Jangan susah hati kerana amal yang sedikit, tetapi usahakanlah agar amal yang sedikit itu diterima oleh Allah swt”.

Rasulullah saw telah bersabda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Ikhlaskan amal itu, cukuplah walaupun sedikit”. Sesungguhnya amal yang sedikit dengan ikhlas lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak ikhlas, sebab amal yang diterima oleh Allah swt dilipatgandakan pahalanya serta mendapat balasan baik dari Allah swt saperti firman-Nya yang bermaksudnya: “Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (yaitu) surga yang mengalir sungai-sungai didalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya)”... Surah al-Maidah (5): ayat 85.

Dan lagi firman-Nya yang bermaksud “Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar” … Surah An-Nisaa’ (4): ayat 146.

Dan lagi firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha kearah itu dengan sungguh-sungguh serta ikhlas sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik” ... Surah al-Israa’ (17): ayat 19.

Adapun amal yang tidak ikhlas maka tidak ada pahalanya dan tempatnya adalah dalam neraka jahannam seperti firman Allah swt, maksudnya: “Siapa yang menginiginkan dunia dengan amalnya, Kami berikan kepadanya dari kekayaan dunia bagi siapa Kami kehendaki kebinasaanya, kemudian Kami masukkan ia ke dalam neraka jahannam sebagai seorang terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah sw” … Surah al-Israa’ (17): ayat 18.

Oleh kerana itu untuk melengkapkan diri dengan ikhlas mestilah terlebih dahulu mematahkan dorongan-dorongan hawa nafsu dan membersihkan diri dari perasaan tamak kepada dunia disamping menyediakan diri untuk menempa faedah-faedah akhirat sehingga perhatian terhadap akhirat itu menguasai hati kita.

Kita hendaklah sentiasa memeriksa dan memperhatikan diri kita dengan penuh teliti agar amalan-amalan yang kita usahakan itu benar-benar untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata dan tidak sekali-kali untuk mempersekutukan sesuatu dengan Allah swt. Firman Allah swt yang maksudnya: “dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatau dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh” ... Surah al-Hajj (22): ayat 31.

Orang yang ikhlas ialah orang yang menyembunyikan perbuatan baiknya sebagaimana menyembunyikan kejahatannya. Mengikut ulama, ikhlas ini ada tiga peringkat. Pertama dengan niat “Aku melakukan amal pekerjaan ini semata-mata kerana Allah swt”. Ini adalah tingkatan ikhlas paling rendah.  Kedua dengan niat “Allah swt lah yang membolehkan aku melakukan amal pekerjaan ini”. Ketiga dengan niat “Allah swt lah yang mengaturkan segala-galanya untuk aku. Aku sesungguhnya tidak berdaya melakukan sesuatu apapun”. Ini adalah tingkatan ikhlas paling atas.

Benteng amal itu ada tiga; pertama, harus merasa bahawa itu hidayah dan taufiq dari Allah swt (untuk mematahkan rasa ujub), kedua, harus niat untuk mendapatkan ridho Allah swt (untuk mematahkan hawa nafsu), ketiga: Harus mengharap pahala dari Allah swt (untuk menghilangkan rasa tamak, rakus dan riya’).

Diantara tanda-tanda sesuatu amal atau perbuatan itu adalah ikhlas dan diterima oleh Allah swt adalah yang pertama, seseorang yang benar-benar ikhlas takut untuk menjadi terkenal kerana bimbang kesan dan pengaruhnya terhadap diri dan agama. Ibrahim bin Adham seorang tokoh zuhud ada berkata: “Orang yang mengejar kemashuran memang tidak jujur dengan Allah swt”. Kemashuran itu sendiri tidak tercela, tetapi yang tercela ialah perbuatan orang yang mengejar kemashuran, gila kemegahan dan rakus untuk mendapatkan kemuliaan.Sebab itu seorang yang ikhlas sentiasa ingat dan yakin bahawa Allah swt tidak melihat rupa wajah, tetapi melihat hakikat yang terdapat di dalam hati seseorang. Ini dinyatakan oleh Rasulullah saw sebagaimana sabdanya yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu”

Yang kedua, orang yang ikhlas setiap masa akan menyalahkan dirinya apabila ia lalai dan cuai dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah swt. Hatinya tidak dikuasai oleh rasa riya’ dan ujub terhadap sebarang kebaikan yang pernah dilakukan. Sebaliknya ia sentiasa merasa bimbang jika amalannya tidak diterima dan dosanya tidak diampunkan oleh Allah swt. Cuba renungkan kisah seorang yang soleh yang menangis ketika sakit tenat, orang yang menziarahinya bertanya: “Bukankah tuan telah berjuang, berpuasa, bersolat malam, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan memberi tazkirah” beliau menjawab: “Bagaimana saya hendak tahu samada amal saya itu diterima atau ditolak oleh Allah swt”.

Yang ketiga, orang yang ikhlas suka melakukan amal bakti kepada masyarakat dengan cara yang senyap, tidak suka disebut-sebut. Mereka tidak mahu dikenali dan diketahui. Amal mereka umpama asas bangunan yang kukuh didalam bumi. Orang mungkin boleh melihat kecantikan bangunan tersebut yang tersergam indah tetapi tidak dapat melihat asasnya yang menjadi pasak dibumi.

Yang keempat, orang yang ikhlas tidak akan dahagakan pujian manusia kerana ia menyedari hakikat sebenar tentang dirinya. Sebaliknya jika diberikan pujian atau gelaran, mereka tidak pula mudah terpesona, tertipu atau menjadi angkuh, sombong dan membesar diri.

Yang kelima, orang yang ikhlas sentiasa istiqomah dalam segala amalnya asalkan mendapat keredaan Allah swt. Mereka melakukannya tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagi pengikut, sama ada bersendirian atau berkumpulan, mereka tetap istiqomah dalam usahanya sebagaimana yang dituntut oleh Allah swt dengan firman-Nya yang bermaksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal saja, yaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad) tidak ada penyakit gila sedikitpun pada kawanmu itu. Dan tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras” ... Surah Saba’ (34): ayat 46.

Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata: “Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tidur, kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur dihujung tanduk”.

Marilah kita sama-sama menghayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Hurairah yang bermaksud:

“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bahawasanya apabila hari kiamat maka Allah akan menghukum di antara semua makhluknya dan diantara semua makhluk-makhluk tersebuat golongan pertama yang dipanggil ialah orang yang mengerti dan hafaz al-Qur’an, dan orang yang mati sahid, dan orang yang berharta. Maka Allah swt bertanya kepada orang yang pandai al-Qur’an: “Tidakkah Aku telah mengajarkan kepadamu apa yang Aku turunkan (al-Qur’an) kepada utusanKu (Nabi Mohammad saw)?. Jawab orang itu: “Benar ya Tuhanku. Allah swt bertanya lagi: “Lalu apa yang engkau buat dengan ilmu al-Qur’an yang telah engkau ketahui ?. Jawabnya: Saya telah mempelajarinya diwaktu malam dan mengajarkannya diwaktu siang. Firman Allah swt: “Dusta engkau”, malaikat juga berkata: “Dusta kau, sebaliknya engkau hanya ingin disebut seorang Qari dan hafaz dalam al-Qur’an dan sudah dikatakan sebegitu”

Lalu dipanggil orang yang berharta dan ditanya : “Engkau telah berbuat apa dengan harta yang Aku berikan kepadamu?”. Jawabnya: Aku telah gunakan untuk membantu ahli keluarga dan bersedekah. Dijawab oleh Allah swt: “Dusta engkau”. Juga para Malaikat berkata: “Dusta engkau, kau berbuat itu hanya ingin disebut seorang yang dermawan dan sudah terkenal sedemikian itu”.

Lalu dihadapkan orang yang mati sahid dan ditanya: “Kenapa engkau terbunuh?”. Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan agamaMu sehingga terbunuh. Allah swt berfirman: “Dusta engkau”, dan malaikat juga berkata: “Dusta engkau, kau hanya ingin disebut pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut yang sedemikian”.


Kemudian Nabi saw memukul lututku sambil bersabda: “ Hai Abu Hurairrah r.a., ketiga-tiga orang itulah yang pertama-tama yang dibakar dalam api neraka pada hari kiamat”.

Apabila berita tersebut sampai kepada Mu’awiyah maka ia menangis dan berkata: Benar Firman Allah swt dan Rasulullah saw kemudian membaca ayat 15 & 16 Surah Hud yang bermaksudnya: “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka didunia itu tidak akan dirugikan (15). Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan (16)” … Surah Huud (11): ayat 15-16.

Demikianlah balasan orang berbuat amal tetapi tidak ikhlas kerana Allah swt, maka balasannya adalah api neraka.

Wallahu A’lam

Rujukan
1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya.
2. Shahih Muslim, Edisi Terjemahan, Ma’mur Daud, Klang Book Centre.
3.  Bimbingan Mukmin, Edisi Terjemahan, Syed Ahmad, Pustana Nasional, Singapore.
4.  Mencapai Maqam Shiddiqun & Rabbaniyun, Sa’id Hawa, Edisi terjemahan, Imran Affandi, Pustaka Dini Sdn Bhd, 2001).
5.  Hadith 40 Imam Nawawi, Edisi terjemahan, Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1996
6.  Pengantar Dakwah Islamiah, Ab. Aziz Mohd Zin, Penerbit UM, 1999.
7.  Peringatan Bagi Yang Lupa, Abullaits Assamarqandi, Edisi terjemahan, H. Salim Bahreisy, PT Bina Ilmu, Jakarta, 1977).

Kalau hatiku sedang rindu (1) … Lambaian Kaabah


Telah agak lama aku meninggalkan tanah suci Makkatul Mukarramah setelah selesai mengerjakan ibadat haji pada tahun 2010. Hatiku mulai merindui kedamaian Masjid An-Nabawi di Madinatul Munawarah dan Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah. Rindu untuk mengunjungi Maqam Baginda Rasulullah saw dan dua sahabatnya, rindu untuk berada di Raudhah Taman Syurga di Masjid Nabawi, rindu untuk bertawaf dan bersai di Masjidil Haram, lebih-lebih lagi rindu untuk bersolat fardhu berjemaah di kedua-dua masjid suci tersebut kerana didalam suatu hadith riwayat daripada Ahmad bahawa  Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku lebih utama seribu kali daripada solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain”.

Rinduku kepada kedua masjid suci tersebut melebihi perasaan rinduku ketika zaman muda apabila tidak bertemu dengan buah hati tersayang yang kini menjadi penyeri rumahtanggaku. Hari demi hari kerinduan semakin membara aku tidak sabar untuk berkunjung kesana. Kadang-kadang hatiku menjadi tersangat sayu apabila mendengar bacaan al-Quran oleh Sheikh Abdul Rahman As-Sudais yang dimainkan di sebuah restoran ketika aku bersarapan pagi setelah aku selesai melakukan riadah berbasikal mengelilingi sebuah tasik berhampiran tempat tinggalku.

Pagi itu aku keseorangan kerana rakan berbasikalku masih bekerja sedangkan aku telah membuat keputusan untuk bersara. Satelah selesai bersarapan aku terus balik ke rumah, hatiku masih lagi sayu, lantas aku terus ke bilik mandi untuk membersihkan badan. Selesai mandi aku berpakaian lengkap lalu mengambil wuduk, dan tanpa aku mengelap kesan air wuduk, aku mendirikan solat sunat wuduk dua rakaat kerana didalam hadith riwayat daripada al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal : Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat”.

Selesai mendirikan solat sunat wuduk, aku menyambung dengan solat sunat dhuha,  telah diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasullullah saw pernah bersabda yang maksudnya: “Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha” dan dalam satu riwayat yang lain Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” hadith riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi … dan aku berdoa “Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”Amin ya Rabbal’alamin”.

Aku mengalihkan pandanganku kedinding yang tergantung rapi sebuah jam dinding yang senantiasa setia “baru pukul 10.30 pagi” bisik hati kecilku, tanpa membuang masa aku terus bersiap dan mengambil kunci kereta, aku menghidupkan enjin kereta dan membaca doa “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali” ... surah Az-Zukhruf ayat  13-14 … aku terus memandu dengan jiwa yang tenang ke destinasi tujuan.

Aku memandu terus hingga memasuki ke kawasan meletak kenderaan, setelah pasti bahawa aku telah mengunci kereta dengan rapi, aku berjalan menuju ke suatu pejabat, tak sampai lima minit aku berjalan, aku sudah sampai lalu aku masuk, “Assalamu’alaikum” aku memberi salam … “Wa’alaikumussalam, sila duduk pakcik, boleh saya bantu” begitu jawapan daripada salah seorang kakitangan di dalam pejabat tersebut. Aku menerangkan tujuan kedatanganku. Setelah itu mereka memberikan aku beberapa broser untuk aku lihat dan pilih, sekejap sahaja aku melihat broser tersebut aku sudah tertarik pada satu tarikh, aku bertanya kalau-kalau masih ada kekosongan pada tarikh yang aku maksudkan dan aku dimaklumkan hanya tinggal beberapa kekosongan sahaja dan aku perlu segera menempah sekiranya aku ingin memilih tarikh tersebut. Aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku perlu berbincang dengan isteri dan dua orang sahabat yang ingin mengikuti kami dan berjanji akan segera memberikan jawapan, lantas aku bergegas pulang kerana aku perlu sampai di rumah jam 12.00 tengah hari untuk menghantar anak bungsuku ke sekolah menengah. Demikianlah rutin harianku manakala sebelah petang aku mengambilnya dari sekolah.

Dalam pemanduan pulang, aku menalifon isteriku yang masih mengajar untuk memaklumkan tarikh yang aku maksudkan. Isteriku dan juga rakannya (seorang saudara baru) bersetuju kepada tarikh tersebut kerana jatuh pada permulaan cuti sekolah, namun rakan isteriku perlu memaklumkan kepada suaminya terlebih dahulu kerana suaminya perlu memohon cuti untuk dapat pergi bersama.Hari itu adalah hari khamis dan aku perlu menunggu beberapa hari untuk mendapat jawapan. Namun aku tetap sabar menunggu.

Thursday, 3 May 2012

Akal dan Nafsu

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.

Segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan, serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.

Dari sekian banyak ciptaan Allah SWT, manusia adalah makhluk yang paling sempurna dari segi penciptaannya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin (95); ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. Salah satu kesempurnaan tersebut ialah bahawa diri manusia mencakup semua unsur yang ada di alam semesta ini. Yang membezakan manusia dari makhluk lainnya adalah akal dan nafsu yang ada dalam diri setiap insan. Kedua unsur tersebut selalu bertentangan dan berbenturan.

AKAL

Pengertian akal ada dua jenis. Pertama, dimaksudkan sebagai pengetahuan terhadap hakikat segala sesuatu. Maka ilmu dalam pengertian ini adalah kajian yang digunakan untuk menyebut sifat ilmu yang tersimpan dalam hati. Sedang erti yang kedua adalah sifat memahami dan mengerti akan pengetahuan. Sehingga kadang-kadang disebut hati. Ketika menyebut istilah ‘akal’ ditujukan untuk menjelaskan unsur pemahaman dan pengetahuan manusia tentang hakikat sesuatu. Kadang-kadang akal juga dipakai sebagai persamaan makna dari hati jasmani yang berada dalam dada manusia

Akal memainkan peranan penting dalam membatasi dan mengendalikan hawa nafsu manusia iaitu agar tidak selalu memenuhi segala ajakan nafsu. Kata ‘aql atau ‘iqal dalam bahasa Arab mempunyai erti ‘ikatan’ dan ‘pembatasan’  dan begitulah peranan yang harus dimainkan oleh akal dalam menghadapi nafsu manusia.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sesunguhnya akal merupakan pengikat kejahilan. Sedang nafsu bak binatang yang sangat buas.” Manakala Saiyidina Ali bin Abi Talib k.w.  berkata, “Jiwa memendam berbagai hasrat nafsu. Dan akal yang bertugas melarang dan mencegahnya.”

Ertinya, keupayaan menahan dan menundukkan nafsu merupakan tanda sehatnya akal seseorang. Akal dan nafsu sama-sama memainkan peranan penting dalam hidup manusia.  Nafsu menggerakkan hidup manusia manakala akal berperanan sensitive dalam membatasi, mengendalikan serta mencegah kerosakan yang ditimbulkan oleh nafsu.

Peranan Akal;
Rasulullah saw bersabda, “Akal terbahagi kepada tiga bahagian dan barangsiapa menyandangnya maka sempurnalah akalnya, dan yang tidak, dia tidak berakal;

1.        Mengenal Allah swt kerana  Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya seluruh kebaikan hanya di mengerti oleh akal.” dan sabdanya lagi, “Mintalah petunjuk kepada akal, nescaya kamu akan mendapatkannya. Dan jangan menentangnya, nescaya kamu akan menyesal.”

2.       Ketaatan mutlak kepada segala perintah Allah SWT, mengenal rububiyyah Allah dengan baik akan menghasilkan ketaatan dan ubudiyyah. Disinilah keistimewaan akal yang meletakkan manusia dalam melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Orang yang berakal adalah orang yang taat kepada Allah.” Manakala Saiyidina Ali k.w. berkata, “Orang paling berakal diantara kamu semua adalah orang yang paling taat kepada Allah”.

3.        Takwa kepada Allah SWT , iaitu melaksanakan segala kewajipan dan mencegah diri dari larangan Allah. Berdasarkan hal ini, akallah yang bertanggungjawab baik dalam menguasai mahupun menundukkan segala kesenangan nafsu.

Saiyidina Ali k.w. berkata, “Bunuhlah nafsumu dengan senjata akalmu.” Dan katanya lagi, “Orang berakal adalah orang yang melawan nafsunya untuk taat kepada Tuhannya.”.


NAFSU

Syeikh Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali at-Tusi (Imam Al-Ghazali) dalam bukunya yang berjodol Raudhotut-tholibin wa ‘umdatus-salikin (Darul kutub al-ilmiah – Bairut-Lebanon 1993), telah memberikan dua pengertian kepada kalimah nafsu.

Pengertian pertama, beliau menyatakan bahawa nafsu merupakan segala sesuatu yang mengandungi kemampuan kemarahan yang kuat serta hasrat untuk selalu bersuka cita. Pengertian ini banyak dianggap oleh kalangan sufi sebagai sifat cela dalam diri manusia saperti pemarah, nafsu berahi dan syahwat, hasad dengki, riak dan berbagai. Maka mereka berkata “perang terhadap nafsu dan mengalahkan hawa nafsu adalah suatu keharusan”. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Musuh paling bahaya dalam dirimu adalah nafsu yang berada di antara dua lambungmu.”

Maka sesungguhnya nafsu itu musuh yang paling merbahaya, bala’ yang paling sukar dihindarkan, penyakit yang paling sukar dirawat. Oleh itu kita wajib berwaspada dengannya kerana pertamanya, nafsu itu musuh dari dalam tidak saperti syaitan iaitu musuh dari luar. Keduanya, nafsu itu adalah musuh yang sangat dicintai sedangkan manusia buta daripada keburukan kekasihnya.

Pengertian kedua, nafsu ialah “lathifah rabbaniyyah” iaitu hakikat manusia dengan jiwa dan zatnya. Namun disifati dengan sifat-sifat yang berlainan sesuai dengan keadaannya.

Nafsu adalah sumber akhlak tercela, al-Farabi, Ibn Sina dan al-Ghazali membahagikan nafsu kepada tiga iaitu nafsu nabati (tumbuh-tumbuhan); nafsu haiwani (binatang) dan nafsu insani.

Nafsu nabati adalah kesempurnaan awal bagi benda alami yang organis dari segi makan, tumbuh dan melahirkan. Nafsu haiwani, disamping memiliki daya makan untuk tumbuh dan melahirkan, juga memiliki daya untuk mengetahui hal-hal yang kecil dan daya merasa. Manakala nafsu insani mempunyai kelebihan dari segi daya berfikir.

Sementara ketika nafsu tidak lagi tenang dalam pangkuan-Nya, namun masih mampu menahan nafsu syahwat, ia dinamakan nafsu lawwamah. Sebaliknya, ketika menyerah pada nafsu atau menuruti kehendak syahwat dan ajakan syaitan, disebut dengan nafsu amarah.

Apabila nafsu menyerah dan patuh pada kemauan syahwat dan menurutkan ajakan syaitan, yang memang pada nafsu itu sendiri ada sifat kebinatangan, maka ia disebut nafsu yang menyuruh berbuat kejahatan. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf (12), ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku…”

Apabila nafsu selalu dapat menentang dan melawan sifat-sifat tercela, di disebut nafsu pencela, sebab ia selalu mencela manusia yang melakukan keburukan dan lalai berbakti kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qiyaamah (75), ayat 2 yang bermaksud: “dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri…”

Tetapi apabila nafsu dapat terhindar dari semua sifat-sifat yang tercela, maka ia berubah menjadi nafsu yang tenang … Firman Allah SWT dalam Surah al-Fajr (89), ayat 27-30 yang bermaksud: “Hai nafsu yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas lagi diredai, dan masuklah kepada hamba-hambaku, dan masuklah kedalam syurgaKu”

Nafsu ini dinamakan nafsu muthmainnah iaitu nafsu yang telah mencapai tingkat kesucian, ketenangan dan ketenteraman dan mendapat jaminan Allah SWT untuk masuk syurga. Nafsu muthmainnah selalu berhubungan dengan ruh. Ruh bersifat Ketuhanan sebagai sumber moral mulia dan terpuji, dan ia hanya mempunyai satu sifat iaitu suci.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syams (91), ayat 7&8 yang bermaksud: “Demi nafsu serta kesempurnaannya , maka Allah mengilhamkan kepada  jiwa itu jalan kebaikan dan keburukan.” Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat”.

Maka apabila seseorang telah menganggap baik semua keburukan yang lahir daripada nafsu dirinya, sudah pasti dia tidak dapat melihat keaiban dirinya sendiri. Dan punca segala fitnah, keaiban, kehinaan, kerosakan, dosa dan kebinasaan yang telah menimpa manusia semenjak awal kejadiannya hingga kehari kiamat, semuanya daripada nafsu, samaada daripada nafsu sahaja, atau dengan pertolongannya atau penyertaan dan bantuannya.

Dari Abi Muhammad Abdillah bin Amru bin al-‘As r.a katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tiada beriman seseorang kamu sehingga hawanya (kecenderungan atau kemahuannya) mengikut apa yang aku bawa.” … Hadis Hasan Sahih

Tetapi yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja dengan cara yang mudah dengan alasan yang bermacam-macam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan mereka sebagaimana yang diterangkan pada firman-Nya dalam surah al-Qasas : ayat 50 yang bermaksud,  “Jika mereka tidak dapat memperkatakan bagi engkau, maka ketahuilah bahawa mereka hanya menurut hawa-hawa nafsu mereka, dan siapakah orang yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak ada petunjuk daripada Allah?”

Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. telah melanggar larangan Allah SWT adalah dengan pertolongan dan penyertaan nafsunya yang ingin kekal hidup dalam syurga Allah hasil daripada hasutan dan tipu muslihat oleh syaitan laknatullah. Begitu juga pembunuhan pertama didunia dalam kisah Qabil dan Habil adalah berpunca daripada nafsu hasad dengki dan bakhil.

Dalam kisah Harut dan Marut, mereka juga tidak terlepas daripada dorongan nafsu syahwat sehingga melakukan zina dengan seorang perempuan cantik. Begitulah seterusnya manusia melakukan segala kejahatan adalah hasil daripada godaan nafsunya sendiri dan seandainya tiada nafsu, sudah pasti manusia akan berada dalam keadaan selamat dan baik.

Nafsu adalah musuh yang sangat merugikan, dan untuk melawannya sangatlah sukar. Maka harus diikat dengan tali ketakwaan dan wara’ agar kita sanggup menjalankan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Imam al-Ghazali didalam nukilannya bertajuk “Pembersih Kalbu”, telah berkata, untuk menundukkan hawa nafsu dan memecahkan keinginan jahatnya ialah dengan tiga perkara:-

1.                  Menahankan keinginan nafsu syahwat, kerana binatang yang culas dan degil akan menjadi lembut dan lemah bila dikurangkan makannya.

2.                Membebani dengan ibadat yang berat kerana sesungguhnya keldai apabila ditambah beban yang dipikulnya dan dikurangkan makanannya nescaya ia akan tunduk dan menurut perintah.

3.       Memohon pertolongan daripada Allah SWT dan merendah diri dan berdoa kepada-Nya agar dilindungi daripada godaan nafsu durjana.


PERTARUNGAN ANTARA AKAL DAN NAFSU

Hasil pertarungan antara akal dan nafsu inilah yang bakal menentukan kebahagiaan dan kesengsaraan manusia.  Manusia dalam pertarungan ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompak orang bertakwa dan kelompok orang yang fasik dan perilaku manusia juga terbahagi menjadi dua iaitu taqwa dan keji. Dipersimpangan antara akal dan nafsu ditentukan nasib manusia, bahagia atau celaka. Sekelompok manusia yang akalnya dapat mengatasi nafsunya, mereka adalah orang-orang yang saleh dan bertaqwa, dan bahagialah mereka.

Manakala sekelompok manusia yang nafsunya menguasai akalnya, mereka adalah orang-orang fasik dan celaka dan kejilah mereka sehingga manusia yang pada mulanya ciptaan terbaik akan merosot derajatnya pada tingkatan yang paling rendah.

Allah berfirman dalam Surah At-Tin (95), ayat 5 yang bermaksud: “Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)”. Dan firman-Nya lagi dalam Surah Al-Furqan (25), ayat 44 yang bermaksud: “Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).”                  

Daripada Saiyidina Ali k.w. katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang akalnya mengalahkan hawa nafsunya akan beruntung. Dan barangsiapa yang hawa nafsunya mengalahkan akalnya, maka ia akan celaka”. Saiyidina Ali k.w. juga pernah berkata, “Akal dan syahwat adalah dua hal yang saling berlawanan. Ilmu adalah pembantu akal dan nafsu adalah hiasan syahwat, sedang jiwa merupakan rebutan keduannya. Jiwa akan berada disamping yang menang antara keduanya.”

Dalam pertarungan yang menentukan nasib akhir manusia, akal adalah pihak yang lemah sementara nafsu adalah pihak yang kuat. Ini kerana akal adalah alat untuk memahami dan mengetahui sesuatu sementara nafsu adalah kekuatan besar jiwa yang menggerakkan manusia. Nafsu mendorong manusia melalui rayuan dan tipu dayanya sehingga manusia tergelincir bersamanya. Sementara akal, mengajak manusia kepada sesuatu yang dibencinya.

Jalan menuju nafsu dan hal-hal yang hina itu menurun dan mudah diikuti, manakala jalan menuju kepada keutamaan adalah mendaki dan sukar untuk dinaiki. Oleh itu akal selalu berada pada kedudukan yang lemah berbanding kedudukan nafsu. Nafsu memasuki medan pertarungan dalam keadaan menyerang dan akal dalam banyak keadaan lemah menghadapinya. Dengan begitu, nafsu dengan mudah mengalahkan akal dan sepenuhnya menguasai jiwa manusia.

Saiyidina Ali k.w. berkata, “Siapa saja yang syahwatnya dikalahkan oleh akalnya, maka ia lebih baik dari malaikat. Dan siapa saja yang akalnya dikalahkan oleh syahwatnya, maka ia  lebih buruk dari binatang.”.

Tugas akal yang demikian sulit itu telah dibantu oleh Allah SWT dengan menganugerahinya sejumlah kekuatan yang dapat mendukung jerih payahnya.  Diantaranya, kecenderungan-kecenderungan terhadap kasih sayang dan kebajikan yang tersebar, fitrah dan beberapa emosi dalam jiwa manusia yang mampu untuk menggerakkan manusia dalam menghadapi dan mengendalikan naluri dan mengekang nafsu.

Sebagai contoh, dalam tekanan naluri cinta kepada harta benda, akal sememangnya menolak sumber pendapatan harta yang haram. Namun akal sahaja tidak mampu untuk mencegah nafsu dari mencari harta melalui jalan yang hina dan haram. Disini peranan perasaan harga diri manusia dapat membantu akal untuk mengingatkan manusia dari mencarai harta dengan jalan yang haram. Begitu juga, naluri seksual sering memaksa manusia mendapatkan kelazatan seksual melalui cara yang haram dan hina. Namun kesucian diri yang terpendam dalam setiap jiwa manusia yang lurus fitrahnya dapat membantu akal agar menghindarkan perbuatan terkutuk tersebut.

Oleh yang demikian, maka wajiblah seseorang itu berusaha menunduk dan menguasai nafsunya, dan ini adalah satu perjuangan yang utama. Pada suatu masa pernah ditanya orang kepada Rasulullah saw apakah perjuangan yang afdal ? Baginda menjawab yang bermaksud, “ Perjuangan engkau terhadap nafsu engkau”.


Al-KISAH AKAL DAN NAFSU

Setelah suami Rabi’ah al-Adawiyah meninggal dunia, maka Hasan Basri dan teman-temannya datang kerumahnya dan mereka dipersilakan masuk. Kemudian Rabi’ah membentang tabir dan dia duduk dibelakang tabir lalu berkata: “Siapa yang paling pintar antara kalian maka dia adalah suami saya”. Maka mereka menjawab: “Hasan al-Basri”.

Rabi’ah  :          “Bila dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu”

Hasan     :         “Tanyalah semuga aku dapat menjawab”.

Rabi’ah  :          “Apabila aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak ?”.

Hasan  :            “Itu masalah ghaib dan tidak seorangpun yang mengetahui kecuali Allah SWT”.

Rabi’ah  :          “Bila aku telah terletak diliang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak ?”.

Hasan  :            “Itu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali  Allah SWT”.

Rabi’ah  :          “Apabila orang yang telah dikumpulkan di hari Kiamat diberikan kepada mereka catatan amal masing-masing, dengan tangan kananku atau tangan kirikukah aku akan menerima cacatan amalanku ?.

Hasan     :         “Itu pun barang ghaib juga”.

Rabi’ah  :          “Hai Hasan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya.”.

Kemudian Rabi’ah berkata untuk terakhir kalinya: “Hai Hasan, dalam berapa bahagiankah Allah menciptakan akal ?”.

Hasan  :            “Sepuluh bahagian, sembilan untuk laki-laki dan satu jenis perempuan.”.

Rabi’ah  :          “Dalam berapa bahagiankah Allah swt menciptakan nafsu ?.

Hasan     :         “Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagian untuk laki-laki”.

Rabi’ah  :          “Hai Hasan, aku dapat menguasai sembilan nafsu dengan satu bahagian akal, sedangkan kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian nafsu dengan sembilan bahagian akal yang kamu dapat”.

Diriwayatkan, Hasan Basri keluar dari rumah Rabi’ah dengan tangisan dan air mata yang bercucuran.


Wallahu A’lam.


RUJUKAN

  1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya.
  1. Shahih Muslim, Edisi Terjemahan, Ma’mur Daud, Klang Book Centre.
  1. Jalan Para ‘Abid, Haji Engku Ali Engku Endut, Kuala Terengganu (Terjemahan Minhajul ‘Abidin, Imam Ghazali).
  1. Mencapai Maqam Shiddiqun & Rabbaniyun, Sa’d Hawa (Edisi terjemah oleh Imran Affandi, Pustaka Dini Sdn Bhd, 2001).
  1. Hadith 40, Imam Nawawi (Edisi terjemah oleh Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1996)
  1. Peringatan Bagi Yang Lupa, Abullaits Assamarqandi (Edisi terjemah oleh H. Salim Bahreisy, PT Bina Ilmu, Jakarta, 1977).
  1. Pembersih Kalbu, Imam al-Ghazali (edisi terjemahan oleh Jasmine Enterprise) Berlian Publications, KL, 2005


Nota: Tulisan ini adalah salah satu daripada tugasan yang perlu aku sediakan semasa mengambil Diploma Eksekutif Pangajian Usuluddin daripada Universiti Malaya. Alhamdulillah, aku telah lulus dengan cemerlang.

As-samaki