Memang telah agak lama aku menyimpan angan-angan untuk
menziarahi rakan seagama di bumi Kemboja sehinggalah pada pertengahan Ramadan
1435 H yang baru lepas, aku berkesempatan untuk mengikuti satu rombongan misi
bantuan kemanusiaan ke Kemboja yang dianjurkan oleh satu badan NGO bebas.
HARI PERTAMA
Pada hari yang ditetapkan, pagi itu aku meminta isteriku menghantar aku sehingga ke Jalan Hj Salleh
sahaja, kemudian aku berjalan kaki ke stesen KTM Komuter Sentul.
Aku hanya menaiki KTM Komuter untuk ke KL Sentral. Keadaan
di stesen lengang sahaja. Aku membeli tiket dan kemudian menunggu keretapi
datang di tingkat bawah. Keretapi tiba mengikut jadual dan aku terus masuk. Keretapi
bergerak perlahan-lahan meninggalkan Stesen Sentul. Tak lama duduk di dalam
keretapi, dah sampai di Stesen Sentral KL.
Aku tidak perlu terburu-buru ke KLIA 2 kerana penerbangan
ke Phnom Penh hanya akan berlepas jam 3.00 petang. Di KL Sentral, aku berehat
sebentar sebelum turun ke tingkat bawah untuk menaiki Aerobus ke KLIA 2. Harga
tiket hanya rm10.00 sehala.
Bas ke KLIA 2 juga bergerak mengikut jadual. Sejam
kemudian, bas pun sampai di KLIA 2. Aku terus turun dan masuk ke dalam.
Terpaksa berjalan kaki agak jauh sebelum sampai ke ruang legar dihadapan pintu
perlepasan antarabangsa. Disitu sudah ada beberapa orang anggota NGO berkenaan
berkumpul menunggu rakan-rakan yang lain. Aku memperkenalkan diri kepada ketua
rombongan kerana itulah pertama kali aku berjumpa dengan mereka.
Oleh kerana waktu sudah melangkaui 1.30 tengah hari, aku
beredar ke surau untuk mendirikan solat jamak zohor dan asar di surau KLIA 2
yang terletak tidak jauh dari pintu perlepasan antarabangsa.
Masa tu belum ada orang datang solat. Tempat wuduk dan
ruang solatnya bersih dan rapi ... mungkin masih baru lagi. Selesai
melaksanakan kewajipan kepada Allah swt, aku kembali ke ruang legar perlepasan
antarabangsa dan semua anggota rombongan telah sedia berkumpul.
Kami bersama-sama bergerak melalui pemeriksaan di pintu
perlepasan antrabangsa. Kami terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk melintasi
“aerobridge” sebelum sampai ke pintu perlepasan P. Di situ kami melalui satu
lagi pemeriksaan sebelum sampai ke dewan perlepasan. Nasib baik pintu
perlepasan P1, jadi tak perlu berjalan jauh lagi. Kelihatan pesawat Air Asia
sudah sedia untuk menerima kemasukan kami.
Setelah kami berada didalam pesawat, tiba-tiba hujan turun
dengan lebatnya. Mungkin disebabkan hujan lebat atau sebab-sebab lain
menyebabkan berlaku kelewatan perlepasan pesawat Air Asia ke Phnom Penh yang
kami naiki. Aku tidak kisah sangat, kerana kita hanya merancang tetapi Allah
swt yang menentukan. Akhirnya jam 4.00 petang baru pesawat Air Asia dapat
berlepas.
Dari KAMPUCHEA Ke KEMBOJA
Kemboja atau
Kampuchea merupakan sebuah negara di Asia Tenggara. Rakyatnya biasa dikenali
sebagai Cambodian atau Khmer yang sebahagian besarnya beragama Budda Theravada
dan hanya sebahagian kecil sahaja beragama Islam iaitu dari keturunan Islam
Cham.
Pada 9 November
1953, Perancis mengakhiri penjajahannya di Kemboja semenjak tahun 1863. Setahun kemudian, Raja Norodom Sihanouk yang
kembali daripada Thailand telah memenangi pilihanraya. Pada tahun 1955, Norodom
Sihanouk telah mengembalikan tahta kepada ayahnya, Norodom Suramarit. Norodom
Sihanouk kemudian memasuki dunia politik dan memenangi pilihanraya tahun 1955,1958, 1962 dan 1966.
Pada bulan Mac
1969, tentera Amerika mulai mengebom tentera Vietcong di Kemboja. Pada tahun
1970, semasa Norodom Sihanouk melawat Moskow, Marshal Lon Nol telah menawan
Phnom Penh dan menghapuskan kerajaan serta mengistiharkan sebuah negara
republik. Norodom Sihanouk tidak balik ke Kemboja dan memilih menetap di
Peking, China.
Khmer Rouge
merupakan serpihan Parti Komunis Kampuchea.
Pada tahun 1960-an hingga 1970-an, Khmer Rouge melakukan perang gerila
melawan rejim Shihanouk dan Marshal Lon Nol. Pada 17 April 1975, Pol Pot yang
memimpin tentera Khmer Rouge berjaya menggulingkan kerajaan dan melantik
dirinya sebagai pemimpin Kemboja. Pol Pot memerintah secara kejam dengan
membunuh sebahagian besar penyokong Shihanouk dan Lon Nol terutama oarng-orang
yang berpendidikan. Penduduk Phnom Penh dan daerah lain terpaksa berpindah ke
daerah pendalaman.
Selama empat
tahun Pol Pot dan Khmer Rouge berkuasa, hampir atau lebih 3 juta rakyat diseksa
sebelum dibunuh di lebih 300 padang pembunuhan (Killing Field). Seorang dokter
bernama Haing S Ngor telah berjaya melepaskan diri daripada rejim Khmer Rouge
dimana dalam tahun 1984 beliau telah menerima Oscar hasil peranannya sebagai
pemberita dalam filem “Killing Field”.
Pada 25
disember 1978, tentara Vietnam memasuki Kemboja dan pada 7 Januari 1979, telah
menduduki Phnom Penh dan menggulingkan pemerintahan Pol Pot. Pemerintahan
boneka dibentuk di bawah pimpinan Heng Samrin, namun tidak diakui oleh
negara-negara Barat.
Pada tahun
1982, tiga kelompok utama yang masih bertahan di Kemboja iaitu Khmer Rouge,
Barisan Kemerdekaan Kebangsaan dan Pangeran Sihanouk telah membentuk kerjasama
dan akhirnya berjaya mengeluarkan tenteran Vietnam daripada Kemboja pada tahun 1989.
Pada tahun
1992, PBB (UNTAC), mengambilalih sementara pemerintahan negara Kemboja manakala
tahun berikutnya PBB mengiktiraf pilihanraya demokrasi yang telah dimenangi
oleh FUNCINPEC yang kemudiannya membentuk kerajaan campuran bersama Partai
Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen.
Dengan bantuan
Negara-negara asing, Kemboja kini berkembang pesat dengan rakyat di bandar dan
desa telah mula merasi kehidupan yang lebih selesa dan harmoni.
Lebih kurang dua jam berada dalam penerbangan, ketua
peramugari Air Asia mengumumkan yang pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang
Phnom Penh. Girang rasanya kerana akhirnya aku akan menjejakkan kaki di bumi
Kemboja.
Setelah pesawat mendarat, kami secara berkumpulan
bergerak ke tempat untuk mengambil bagasi.
Semasa melalui pemeriksaan kastam, salah satu beg yang
mengandungi ubat-ubatan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut, jadi
terpaksalah kami menunggu. Alhamdulillah, akhirnya barangan tersebut diberi
pelepasan dan kami meninggalkan lapangan terbang lebih kurang jam 6.00 petang
waktu tempatan dan terus menuju ke hotel.
Sampai di hotel hari sudah mulai gelap kerana telah masuk
waktu maghrib. Kami menginap di Hotel Holiday Villa, sebuah hotel yang agak
lama di Kota Phnom Penh. Kami hanya berbuka puasa dengan buah kurma dan air
mineral sahaja pada hari pertama berbuka di Phnom Penh.
Selesai urusan check-in bilik masing-masing, baru kami dibawa
keluar untuk makan malam di sebuah Restoran Halal Mamak Malaysia di Khan Doun
Penh. Ketua rombongan kami telah menempah makanan di situ, jadi bila kami
sampai terus sahaja kami makan. Aku ada berbisik kepada ustaz pengiring kalau
boleh hantar ke masjid untuk menunaikan solat terawih, tetapi katanya majoriti
mahu balik ke bilik hotel. Aku menurut sahaja. Selesai makan malam, dengan
perut kenyang, kami balik semula ke hotel untuk berehat kerana esuk ada misi
yang perlu diuruskan. Sementara rakan sebilikku pergi ke pasar berhampiran
untuk membeli buah, aku mengambil peluang untuk bersolat terawaih secara solo
di dalam bilik sahaja.
Inilah menu makan sahur kami pada malam pertama di Phnom
Penh yang disediakan oleh Holiday Villa. Hanya nasi putih dan ayam goreng
sahaja. Oleh kerana makan sahur itu sunnah, aku habiskan juga bersama segelas
Ali Cafe yang aku bawa dari Malaysia.
HARI KEDUA
Pagi hari kedua di Phnom Penh, 7 orang termasuk aku telah
pergi ke kampung dimana misi bantuan kemanusiaan akan dilaksanakan keesukan
harinya, manakala yang lain ada yang tinggal berehat di bilik hotel dan ada
yang shopping di Central Market.
Kami menunggu lebih satu jam baru van yang penuh dengan
barangan makanan sampai menjemput kami di hotel. Kami bertujuh terus manaiki
van dan meninggalkan hotel untuk ke Kampong Barain di Daerah Kandal lebih
kurang 42 km dari bandar Phnom Penh. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di
Toul Tom Poung Market atau biasa di panggil Russian Market kerana salah seorang
daripada kami ada yang ingin menempah baju melayu untuk raya. Katanya murah dan
boleh siap dalam masa satu hari sahaja.
Ini dia Pasar Russia yang sentiasa penuh sesak, gerai
jualannya rapat-rapat dengan berbagai barangan, tukang jahit berderetan yang
menawarkan harga yang agak murah dan perhidmatan yang cepat. Masaalah utama
untuk pengunjung dari Malaysia ialah masaalah bahasa, jadi terpaksa pergi
bersama ustaz pengiring sebagai penterjemah. Aku tak sempat mencari jawapan
kenapa Toul Tom Poung Market di kenali sebagai Russian Market.
Walaupun tidak begitu jauh, namun sebab keadaan jalan
yang kurang baik dan van yang sarat dengan muatan, selepas hampir dua jam dalam
perjalanan baru kami sampai. Kami langkah kanan, kerana sampai sahaja, azan
zohor dikumandangkan. Jadi kami mengambil kesempatan untuk solat zohor
berjamaah bersama penduduk tempatan sebelum kami sama-sama solat jamak takdim
asar.
Selepas solat dan para jemaah meninggalkan masjid, aku
pun mulalah merakam beberapa pos untuk kenangan. Gambar atas tengah, adalah
satu-satunya masjid di kampung tersebut. Gambar kecil atas kanan, ruang dalam
masjid yang agak luas dan bersih. Gambar kecil atas kiri (bawah), antara para
jemaah masjid.
Sementara itu, kerja-kerja memindahkan barangan yang akan
disumbangkan kepada penduduk tempatan pada keesukan hari sedang dijalankan dengan
bantuan penduduk kampung dan diperhatikan dari jauh oleh dua orang anggota
petugas NGO, yang berbaju hijau dan berbaju jalur merah putih. Barangan
tersebut disimpan didalam bilik darjah sekolah agama bersebelahan dengan masjid.
Inilah dia antara rumah-rumah penduduk Islam di kampong
berkenaan. Ada yang daif tetapi banyak juga yang agak mewah sehingga “railing”
tangga diperbuat daripada stainless steel. Kebanyakannya membela lembu di bawah
rumah masing-masing. Menurut ketua rombongan, kampung ini tidaklah begitu
mundur berbanding dengan kampung yang mereka pernah pergi sebelum ini.
Selesai menghantar barang, kami balik semula ke hotel di
Phnom Penh. Kami tidak melalui jalan yang sama sebaliknya kami menyeberangi
sungai menggunakan feri kerana van kami telah pun kosong. Gambar atas tengah ...
berbaju merah adalah ketua misi bantuan dari Malaysia. Kami terus balik ke
hotel untuk berehat.
Disebelah petang, lebih kurang jam empat petang sementara
menunggu waktu berbuka puasa, rombongan kami telah dibawa untuk menaiki bot
menyusuri Sungai Tonle Sap. Sampai sahaja kami dipengkalan bot, banyak
pengusaha bot menyerbu ustaz pengiring kami untuk menawarkan perhidmatan.
Setelah berlaku tawar menawar harga, akhirnya kami dibawa
kesebuah bot dua tingkat yang sederhana saiznya. Kami hanya perlu menuruni anak
tangga dan berjalan diatas titi papan untuk sampai ke bot berkenaan. Tiada pengkalan yang khusus untuk bot-bot
persiaran berkenaan. Walaupun bot kami hanya menyusuri sungai, namun ianya
bergelombang juga apabila berselisih dengan bot-bot yang lain. Oleh kerana aku
mudah mabuk bila bot bergoyang, jadi aku hanya duduk dibahagian bawah sahaja
bersama dua tiga orang yang senasib dengan ku termasuk ketua rombongan.
Tujuan utama menaiki bot menyusuri Sungai Tonle Sap
adalah untuk melihat perkampungan sampan dimana kebanyakan orang Islam
menjadikan sampan sebagai tempat tinggal mereka. Sepanjang lebih kurang satu
kilometer kami menyusuri sungai, kelihatan rumah sampan berderetan sepanjang
tepi sungai. Kehidupan mereka sebagai nelayan sungai mencari ikan untuk dijual
bagi membeli barangan keperluan harian yang lain. Mereka hidup dalam serba
kekurangan, namun mereka tetap tinggal didalam sampan sehingga beranak pinak.
Aku tak dapat bayangkan bagaimana mereka ....
Kelihatan beberapa bot lain juga sedang menyusuri Sungai Tonle
Sap. Ada yang mengadakan majlis hari jadi di atas bot, ada juga yang menikmati
makan petang di atas bot. Juga terdapat kapal pengorek pasir dan juga kapal
pasukan keselamatan Negara Kemboja untuk mengawasi keadaan. Cuaca petang itu
begitu nyaman sehingga tidak disedari waktu sudah menghampiri jam 6.00 petang.
Waktu berbuka pula jam 6.30 petang sedangkan kami masih lagi berada di atas
bot.
Menyedari kelewatan tersebut, ustaz pengiring kami terus
mengarahkan pemandu bot untuk berlabuh. Kami bergegas keluar dari bot dan
mujurlah bas sudah sedia menunggu kami. Dalam keadaan hujan renyai-renyai kami
meninggalkan bot dan berjalan untuk menaiki bas. Bas kami terus bergerak dalam
jalan yang agak sesak dan akhirnya kami sampai kesebuah restoran lima minit
sebelum waktu berbuka puasa.
Petang itu kami berbuka puasa di Restoran D’Nyonya yang
dimiliki oleh usahawan Malaysia yang telah menetap di Phnom Penh. Masakan ala
Malaysia, rasa pula sedap, perut pun lapar, jadi tiada masaalah untuk kami
menghabiskan juadah yang disediakan.
Selepas selesai berbuka puasa dan makan malam, kami
dibawa ke Phnom Penh Night Market. Keadaan begitu sesak dengan para pengunjung.
Tujuan kesana hanya untuk minum segelas air tebu madu. Memang sedap, tapi perut
masih lagi penuh, jadi satu gelas pun susah nak habis. Kami lepak diatas tikar
sahaja malam itu.
Dalam banyak-banyak gerai yang menjual makanan, ada juga
gerai yang menjual makanan halal yang diusahakan oleh penjual beragama Islam.
Mereka hanya mengharapkan pengunjung Islam saperti kami untuk membeli jualan
mereka sedangkan penduduk Islam tempatan sangat sedikit.
Tidak jauh dari Phnom Penh Night Market, satu
pertunjukkan bunga api sedang dijalankan. Walaupun rakyat Negara Kemboja agak
miskin, tetapi mereka mampu juga mengadakan pertunjukkan bunga api. Juga
terdapat satu papan tanda besar “Visit Malaysia 2014” berhampiran dengan Phnom
Penh Night Market.
Kira-kira satu jam berlegar-legar di Phnom Penh Night
Market, kami balik ke hotel penginapan untuk berehat kerana hari esuk ada misi
yang akan kami jalankan. Seperti malam semalam, aku hanya bersolat jamak
maghrib dan isyak dan solat sunat terawih didalam bilik sahaja.
Ini pula menu makan sahur malam kedua di Phnom Penh, mee
goreng dan sosej sahaja, tanpa kuah atau sos. Namun aku dan rakan sebilik
menikmatinya dengan rasa syukur kepada Allah swt.
HARI KETIGA
Keesukan paginya, jam 9.00 pagi semua sudah bersiap di
lobi hotel menunggu untuk menaiki bas. Masing-masing bersemangat untuk
melaksanakan misi kedatangan kami ke Kemboja. Namun bas tidak kunjung tiba. Jam
10.00 pagi baru bas sampai. Alasannya terpaksa tukar bas kerana bas yang
semalam mengalami masaalah alat penghawa dingin.
Sampai sahaja bas gantian yang lebih selesa, kami
bergegas naik. Bersedia didalam bas untuk menuju ke destinasi tujuan. Biasalah,
aku kalau naik bas, memang jadi backbencher. Bertopi dan berT-shirt biru adalah
rakan sebilikku. Gambar kecil atas kanan ... ustaz pengiring sedang memberi
taklimat dan juga bacaan doa musafir. Bas memang tidak penuh kerana rombongan
kami hanya seramai dua puluh sembilan orang termasuk kanak-kanak.
Perjalanan kami ke destinasi tujuan melalui beberapa
pekan kecil dengan jalan yang agak sempit serta berdebu dan belopak-lopak. Jadi
bas tidak dapat bergerak laju. Walaupun destinasi tujuan hanya berjarak lebih kurang
42 km daripada kota Phnom Penh, ia mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit baru
sampai.
Akhirnya kami sampai jua. Rombongan kami telahpun sampai
di pintu gerbang Masjid Al-Naim, Parinkerom. Gambar atas kiri ... paling kiri
adalah ustaz yang mengiringi kami sepanjang berada di Kemboja. Nombor tiga dari
kanan adalah ketua rombongan dari Malaysia. Gambar kecil atas, adalah anggota
squad para medik yang terdiri dari lima orang doktor perubatan bertauliah dan
tiga pelajar tahun lima fakulti perubatan UM.
Kami terpaksa berjalan kaki lebih kurang 150 meter untuk
sampai ke masjid kerana bas tidak dapat melalui jalan dan pintu gerbang yang
sempit.
Sampai di perkarangan masjid, kami dapati penduduk
tempatan sedang sebok memasak dan ada yang sedang memanggang lembu untuk
dijadikan lauk berbuka puasa. Beruntung sungguh rombongan kami dapat makan
lembu golek.
Pasukan kami tidak membuang masa terus memulakan kerja
untuk mengubah sebuah bilik darjah menjadi kelinik sementara untuk menjalankan
pemeriksaan kesihatan.
Kelihatan squad
paramedik sedang menyiapkan susunan kedudukan meja doktor, meja mengambil ubat
dan kerusi pesakit, sebelum pemeriksaan kesihatan dimulakan. Mereka berkerja
sebagai satu pasukan yang pantas dan dalam masa tidak sampai setengah jam
kelinik tersebut telah sedia untuk menerima pesakit.
Pemeriksaan kesihatan percuma pun dimulakan. Oleh kerana
penduduk tempatan tidak boleh berbahasa melayu dan anggota paramedik juga tidak
faham bahasa mereka, hidmat penterjemah terpaksa digunakan untuk berkomunikasi.
Ini menjadikan proses pemeriksaan kesihatan agak lambat sedikit, namun
segalanya berjalan lancar. Squad paramedik berkerja terus menerus, hanya
berhenti untuk solat secara bergilir dan meneruskan semula pemeriksaan
kesihatan, kerana begitu ramai penduduk tempatan yang menunggu untuk diperiksa.
Lihat sahaja begitu ramai penduduk tempatan yang hadir
untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang jarang-jarang mereka dapati.
Antara yang menunggu giliran ialah tiga dara yang memberikan pos istimewa bila
aku mahu merakam gambar mereka. Lebih kurang jam 5.30 petang baru pemeriksaan kesihatan
berakhir. Walaupun squad paramedik keletihan, namun mereka puas kerana dapat
menabur bakti kepada penduduk tempatan yang seagama. Hanya Allah swt sahaja
yang dapat membalas segala usaha mereka.
Selesai sahaja pemeriksaan kesihatan, maka bermulalah
pengagihan bantuan bahan makanan kepada keluarga yang layak menerima bantuan.
Di kampung tersebut terdapat lebih kurang 500 keluarga Islam tetapi hanya 370
keluarga sahaja yang layak menerima bantuan bahan makanan. Penilaian serta
bancian telah dijalankan oleh ketua kampung berkenaan dan mereka yang layak
telah diberikan kupon bagi memudahkan agihan barangan makanan kepada mereka.
Pengagihan dimulakan oleh ketua rombongan (bertopi dalam gambar atas kanan).
Kemudian kami secara bergilir-gilir menyampaikan bahan
makanan kepada penerima yang layak sehinggalah selesai.
Selesai mengagihkan barangan makanan, tiba pula masa
kanak-kanak tempatan menerima sumbangan duit raya. Lebih kurang 700 kanak-kanak
telah berkumpul dan kami sekali lagi secara bergilir-gilir menghulurkan
sumbangan ikhlas kepada kanak-kanak yang setia duduk menanti. Memang sungguh
meriah mereka menerima sumbangan kami walaupun tidak seberapa.
Aku merasa sebak melihat keadaan mereka dan bersyukur
kerana dapat juga menghulurkan sedikit sumbangan mudah-mudah dirahmati dan
diberkati Allah swt.
Waktu berbuka puasa sudah hampir dan juadah sudah siap
terhidang di atas meja. Nasi putih dengan daging lembu panggang dan ikan toman
bakar berserta sambal cecah memang sangat menyelerakan. Walaupun tiada lauk
berkuah, habis juga aku makan sepinggan. Aku makan bersama-sama ustaz pengiring
dan juga imam masjid tempatan yang telah berusia hampir lapan puluh tahun. Aku
makan bersama mereka ... orang dulu-dulu kata untuk mengambil berkat.
Malam itu selepas solat maghrib kami meninggalkan Kampung
Barain dengan seribu kenangan dan berharap segala usaha yang sedikit itu
dijadikan oleh Allah swt sebagai amalan soleh sebagai bekalan untuk
menghadap-Nya kemudian.
Malam terakhir di Phnom Penh, aku dan rakan sebilik
terlewat bangun. Agaknya kami kepenatan setelah sehari berhidmat di Kampung
Barain. Jaga-jaga sudah jam 4.50 pagi sedangkan waktu subuh masuk jam 4.35
pagi. Pagi itu kami berdua tidak makan sahur namun kami tetap niat berpuasa.
Selepas mendirikan solat subuh, kami tidur semula.
HARI TERAKHIR
Hari keempat adalah hari terakhir kami berada di Phnom
Penh. Pagi itu tidak ada aktiviti khusus sementara menunggu penerbangan balik
ke KL jam 4.40 petang. Ada yang duduk dibilik hotel sahaja dan ada yang ke
Central Market. Aku mengambil kesempatan untuk menziarahi masjid yang ada di
kota Phnom Penh. Aku pergi berseorangan sahaja kerana rakan sebilik memilih
untuk tidur sahaja bila aku mempelawanya pergi bersama.
Di Phnom Penh, masaalah utama ialah pertuturan kerana
sangat sedikit yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi aku bernasib
baik, kerana pemandu “tuk-tuk” yang aku naiki boleh berbahasa Inggeris walaupun
tidak begitu fasih. Setelah menerangkan tempat tujuan ku, ia pun membawa aku ke
destinasi pertama.
Masjid ini (gambar bawah kanan) adalah masjid terbesar di
Kota Phnom Penh tetapi kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf sedang
dijalankan.
Masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Al-Azhar (Al-Serkal
Mosque) yang merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab Saudi selepas kejatuhan
kerajaan Khmer Rouge di Kemboja. Terletak di Boeung Kak yang dahulunya sebuah
tasik yang kini telah kering. Gambar kecil atas bawah, berkubah kuning adalah
masjid asal. Kerja-kerja mengubahsuai bermula seawal tahun 2013 dan dibiayai
oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan sehingga kini masih belum siap
sepenuhnya. Pagar keselamatannya berkunci, jadi aku tak dapat masuk ke dalam.
Selesai di Masjid Al-Azhar, pemandu tuk-tuk membawa aku
ke satu lagi masjid iaitu Masjid Jamek Al-Islami (Mosque Al Jamee Al Islami)
yang terletak di Khan Chamkarmon. Masjid ni kecil sahaja tidak sehebat masjid
Al-Azhar. Namun aku bersyukur kerana dapat mendirikan solat sunat tahiyat
masjid dan juga solat sunat dzuha didalamnya. Beberapa buah kereta mewah
dipakir di dalam kawasan masjid ... aku tak dapat mencari jawapan siapa
pemiliknya.
Dari Masjid Jamek Al-Islami, pemandu tuk-tuk membawa aku
ke tempat paling popular di Phnom Penh iaitu Regie Du Marche Central atau
Central Market juga dikenali sebagai Pasar Kubah Kuning. Central Market memang
lebih besar dan moden berbanding Russian Market, tetapi keadaan dalamannya
lebih kurang sama sahaja, kedai-kedai berderetan menjual berbagai barang,
memang rambang mata dibuatnya.
Hampir satu jam aku meronda di Central Market, aku hanya
membeli sepasang kain sutera, kain selempang dan fridge magnet sebagai ole-ole
dari Phnom Penh. Akhirnya aku meminta pemandu tuk-tuk untuk menghantar aku
semula ke hotel kerana waktu check-out sudah hampir tiba.
Sampai di hotel aku terus berkemas kemudian turun ke lobi
hotel kerana bas telah sedia menunggu untuk menghantar rombongan kami balik ke
Lapangan Terbang Phnom Penh.
Lebih kurang jam 2.00 petang kami sudah berada di
Lapangan Terbang Phnom Penh. Orang belum begitu ramai dan selepas berbaris
lebih kurang dua puluh minit, sampai giliran aku untuk mendapatkan Boarding
Pass. Aku terus bergegas ke bilik solat untuk menjalankan kewajipan kepada
Allah swt. Alhamdulillah setelah berada didalam penerbangan sekitar dua jam,
penerbangan Air Asia AK 535 telah selamat mendarat di KLIA 2.
Demikian sedikit catatan perjalanan ....