Friday, 4 April 2014

Kembara Bumi Acheh : Hari Kedua



Seperti dijanjikan, tepat jam 8.30 pagi, kami sudah berada di lobi hotel, namun sehingga jam 9.00 pagi kenderaan kami belum lagi kelihatan. Walaupun rakan lain tidak ambil kisah, aku sudah mulai risau kerana aku yang menempah kenderaan untuk memudahkan perjalanan kami sepanjang berada di Acheh.


Kira-kira sepuluh minit kemudian barulah Nazir muncul. Katanya dia tidur lewat semalam untuk menghabiskan tugasan pengajiannya. Satu perkhabaran yang menyejukkan hatiku. Kami tidak menunggu lama dan terus menaiki kenderaan untuk meneruskan pengembaraan hari kedua di Bumi Acheh.


1) Muzium Tsunami

Setelah kenderaan berjalan tak sampai sepuluh minit, kami telah sampai di destinasi pertama iaitu Muzium Tsunami Acheh yang terletak di Jalan Iskandar Muda, Pusat Banda Acheh.
 
Muzium yang berbentuk kapal (gambar atas sebelah kiri bawah) ini direkabentuk oleh Encik Ridwan Kamil iaitu Dekan Institut Teknologi Bandung yang kini menjadi Datuk Bandar Acheh. Muzium yang menyimpan segala rakaman jejak tsunami seperti video, gambar serta berita-berita telah dirasmikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 23 Februari 2008. Masuk kedalam Muzium Tsunami adalah gratis (percuma).

Dibina pada tahun 2006 oleh Badan Rehabilitasi dan Rekonstruksi (BRR) Nanggroe Aceh Darussalam. Gambar di atas menunjukan peringkat-peringkat pembinaan, dibahagian dalam terdapat laluan berbentuk jambatan melintasi kolam dibawahnya.


Antara koleksi yang tersimpan ialah gambar-gambar (gambar atas) menunjukkan kemusnahan yang terjadi selepas terjadinya gempa bumi sekuat 9.3 skala ritcher dan sebelum datangnya Gelombang Tsunami.


Ini pula (gambar atas) menunjukkan keadaan huru-hara semasa gelombang tsunami melanda Acheh. Dilapurkan air naik sehingga setinggi pokok kelapa tua. Gambar atas sebelah kiri atas, seorang remaja berpaut pada sebatang potong kelapa.

Gambar di atas pula menerangkan dengan sendirinya keadaan kemusnahan yang amat dahsyat selepas terjadinya gelombang tsunami.

Didalam Muzium Tsunami terdapat satu serombong seolah-olah serombong kapal yang dicatat didalamnya sebahagian besar nama-nama mangsa yang terkorban (gambar atas kiri) selepas kejadian gempa dan tsunami. Di bahagian lelangit serombong tersebut terbentang kalimah “Allah” (gambar atas kanan).Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “  ayat 156, Surah al-Baqarah.

Disatu ruang yang lain terdapat arca-arca yang telah direka sebagai menggambarkan ketinggian ombak tsunami (gambar atas paling kiri), kemusnahan disekeliling Masjid Rahmatullah (gambar atas tengah), bot nelayan yang di lambung ombak sehingga sejauh lebih tiga km (gambar atas paling kiri bawah).

Didalam Muzium Tsunami juga terdapat satu bilik khusus untuk mempertonton vedio peristiwa tsunami agar dapat dilihat dan dijadikan iktibar kepada semua para pengunjung.

Keluar dari Muzium Tsunami dengan membawa satu perasaan takjub ke atas kekuasaan Allah SWT yang boleh menimpakan bencana kepada mana-mana umatnya dengan sekelip mata. “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”, ayat 16 Surah Al-Isra’.


2) Kapal Apong PLTD

Dari Muzium Tsunami, kami dibawa kesuatu perkampungan untuk melihat kedahsyatan gelombang tsunami yang telah menghambat sebuah kapal penggera elektrik tunggu sedia seberat 2600 ton. Kapal tersebut yang boleh membekalkan kuasa elektrik sebanyak 10.5 megawatt dan sedang berlabuh di Pelabuhan Ulee Lheue telah di hanyutkan oleh arus deras gelombang tsunami sejauh kira-kira 5km.

Untuk melihat kapal tersebut, kami melalui satu pintu gerbang (gambar atas sebelah kiri atas) dan setelah melewati pintu gerbang, disebelah kanannya telah dibina satu monument tsunami dengan bahagian atasnya terdapat hari, tarikh dan masa berlakunya tsunami (gambar atas sebelah kiri bawah).

Gambar atas kiri menunjukkan begitu besarnya kapal tersebut hampir menyamai satu padang bola, namun bagi Allah SWT itu mudah sahaja “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” Ayat 22, Surah Al-Hadid.

Kapal tersebut yang juga dikenali sebagai Kapal Apong PLTD telah dijadikan sebagai salah satu Warisan Tinggalan Tsunami dan dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia.


3) Kuburan Massal Ulee Lheue

Perjalanan kami diteruskan menuju ke Pelabuhan Ulee Lheue dan tempat persinggahan pertama di Ulee Lheue adalah Kuburan Massal Ulee Lheue.

Kuburan ini merupakan perkuburan kedua terbesar selepas perkuburan Massal di Siron. Sekitar 13,264 jenazah telah dikebumikan dalam satu liang lahad tanpa batu nisan. Hanya terdapat papan tanda yang memberitahu tempat-tempat jenazah dewasa dan kanak-kanak.

Kawasan kuburan ini asalnya adalah Rumah Sakit (Hospital) Meuraxa yang sebahagian besarnya telah musnah di badai gelombang tsunami 26 Disember 2004 (gambar atas sebelah kanan bawah). Bangunan hospital yang tidak musnah telah diperbaiki dan dikekalkan sebagai Warisan Tinggalan Tsunami.


4) Pusat Riset Tsunami dan Mitigasi Bencana

Tidak jauh daripada Kuburan Massal, telah dibina satu bangunan yang dijadikan sebagai Pusat Riset Tsunami dan Mitigasi Bencana Nasional. Bangunan tersebut juga dikenali sebagai “Escape Building” iaitu tempat untuk berlindung apabila kejadian bencana terjadi.

Bangunan yang kelihatan indah tetapi agak terbiar itu telah dibina dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Jepun dan oleh itu reka bentuknya mempunyai struktur yang sangat kuat supaya dapat menyerap dan bertahan apabila berlaku gempa bumi yang kuat.


5) Masjid Baiturrahim Ulee Lheue

Selepas makan tengah hari di Banda Sea Food Ulee Lheue, kami terus ke Masjid Baiturrahim untuk melaksanakan kewajipan kepada Allah SWT. Dalam pada itu aku sempat merakam beberapa gambar untuk kenangan.

Gambar atas kiri, Masjid Baiturrahim yang telah diperbaiki selepas kejadian tsunami. Gambar atas sebelah kanan atas merupakan pintu pagar utama untuk memasuki kawasan masjid. Gambar atas sebelah kanan bawah adalah keadaan masjid semasa tsunami yang ditenggelami air setinggi pagar masjid.


Gambar atas kiri adalah bahagian hadapan masjid, gambar atas tengah adalah ruang mihrab dan mimbar masjid yang tergantung ditengah-tengahnya lampu chendeliar (gambar atas sebelah kanan atas), juga terdapat beduk di tepi pintu masuk utama ke dalam masjid (gambar atas sebelah kanan bawah). Nota: Kebanyakan masjid pada zaman dahulu menggunakan bedok dan kentong untuk di tabuh apabila masuk waktu solat.

Aku bersyukur kerana dapat mendirikan solat di Masjid Baiturahim. Dalam satu hadis daripada Jabir r.a., Nabi saw bersabda yang bermaksud "Dijadikan untukku bumi sebagai masjid (tempat sujud) yang suci" Riwayat Al-Bukhari dan Muslim Dan dari Abu Sa’iid Al-Khudriy ra, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah  saw “Bumi ini semuanya merupakan masjid (tempat sujud untuk shalat) kecuali kuburan dan tandas”.


6) Muzium Cut Nyak Dhien

Untuk ke Muzium Cut Nyak Dhien hanya mengambil masa kira-kira tiga puluh minit dari Masjid Baiturrahim Ulee Lheue. Terletak di Desa Lam Pisang, Kecamatan Peukan Bada, Acheh Besar, telah dibina dalam tahun 1981-1982 ditapak asal rumah Cut Nyak Dhien yang telah dibakar oleh Belanda dalam tahun 1896. Di muzium ini dipamerkan data-data sejarah Cut Nyak Dhien dan Teuku Umar yang dibawa dari Belanda.

Cut Nyak Dien dilahirkan di Acheh sekitar tahun 1848. Dia berkahwin dengan Teuku Ibrahim Lamnga pada usia 14 tahun. Ketika Perang Aceh menentang Belanda meletus pada tahun 1873, Cut Nyak Dien merupakan seorang pahlawan yang berjuang habis-habisan hingga bertahun-tahun lamanya. Suaminya, Teuku Ibrahim Lamnga telah berjaya di bunuh Belanda semasa pertempuran di Sela Glee Tarun. Di sinilah, munculnya seorang lagi pahlawan nasional Indonesia yang bernama Teuku Umar yang telah berjuang bersama-sama Cut Nyak Dhien. Akhirnya Teuku Umar telah berkahwin dengan Cut Nyak Dhien.


Didalam muzium yang agak besar terdapat bilik Cut Nyak Dhien (gambar atas sebelah kiri atas), bilik dayang (gambar atas sebelah tengah atas) , bilik pembantu (gambar atas sebelah kanan atas), ruang dapur (gambar atas sebelah kiri bawah), ruang tamu (gambar atas kedua dari kiri bawah) dan bilik rehat (gambar atas kedua dari kanan bawah).

Cut Nyak Dhien sekali lagi kehilangan suami apabila Teuku Umar berjaya di bunuh Belanda dalam satu pertempuran yang sedikit sebanyak telah melemahkan kekuatan pasukan Cut Nyak Dhien yang mana akhirnya Belanda telah dapat menangkap Cut Nyak Dhien dan dihantar ke Kampong Sumedang di Jawa Barat sehinggalah dia meninggal dunia pada 6 November 1908. Gambar atas tengah merupakan makam Cut Nyak Dhien yang berada di Sumedang, Jawa Barat. Gambar atas kanan adalah rakan seperjuangan Cut Nyak Dhien yang bernama Cut Mutia.
Gambar di atas adalah antara gambar-gambar yang diperolehi daripada kerajaan Belanda dan dibawa balik ke Indonesia serta di pamerkan di Muzium Cut Nyak Dhien.

Lagi gambar-gambar yang diperolehi daripada kerajaan Belanda dan dibawa balik ke Indonesia serta di pamerkan di Muzium Cut Nyak Dhien.

Kami berempat sempat bergambar bersama petugas muzium manakala dua orang lagi rakan kami telah kepenatan dan tidur di dalam kenderaan. Gambar atas kanan bawah adalah telaga yang dibina bersama-sama rumah Cut Nyak Dhien yang asal dan telaga tersebut masih kekal semasa rumah asal di bakar oleh Belanda.




7) Tugu Tsunami Lhok Nga

Selepas Muzium Cut Nyak Dhien, kami menuju kearah Pantai Lhok Nga. Dalam perjalanan kami singgah di Tugu Tsunami Mukim Lhok Nga untuk melihat-lihat dan mengambil gambar.


Sayang sekali walaupun kos untuk membina tugu yang bersimbolkan ombak tsunami itu agak tinggi, tetapi tugu tersebut seolah-olah terbiar sehingga jalan masuk ke tugu pun di penuhi dengan tumbuhan liar (gambar atas sebelah kiri bawah).


8) Kilang Simen PT SAI, Lhok Nga

Dalam meneruskan perjalanan ke Pantai Lhok Nga, kami melewati sebuah kilang simen iaitu PT Lafarge Simen Andalas Indonesia yang juga terjejas semasa tsunami 2004, namun kini telah beroperasi saperti sedia kala.



9) Masjid Rahmatullah, Lampuuk

Kami membuat keputusan untuk tidak ke Pantai Lhok Nga sebaliknya kami berpatah balik dan meneruskan perjalanan ke Kampung Lampuuk untuk melihat Masjid Rahmatullah yang tidak terjejas semasa tsunami 2004.

Gambar atas kiri merupakan gambaran dari udara keadaan sekeliling Masjid Rahmatullah yang musnah segalanya dan yang tinggal hanyalah masjid tersebut. Gambar atas kanan, Masjid Rahmatullah berdiri megah walaupun seluruh perkampungan disekitarnya ranap.

Selepas kejadian tsunami 26 Disember 2004, Masjid Rahmatullah telah diperbesarkan dan diperindahkan dengan harapan akan lebih ramai orang yang akan mengimarahkannya dan bukan untuk berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang besar dan indah kerana dalam satu hadis riwayat Abu Daud,  Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Tidak berlaku (terjadi) hari Qiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid.” .


Gambar atas kiri, ruang mihrab dan mimbar dengan jubin dinding yang diperbaharui, begitu juga lantai. Gambar atas kanan, ruang solat yang luas dengan tiang-tiang yang diperindahkan dan siling berbentuk kubah. Segala kos untuk menaik taraf masjid tersebut telah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki.


10) Pantai Lampuuk

Destinasi terakhir aktiviti hari kedua adalah Pantai Lampuuk. Untuk sampai ke Pantai Lampuuk, kami terpaksa menyusuri lorong-lorong yang sempit, mujurlah tiada kenderaan lain yang menuju ke Pantai Lampuuk.



Gambar atas sebelah kiri atas, Pantai Lampuuk mempunyai pasir pantai yang putih bersih dan lautnya tidak begitu berombak kerana kedudukannya berada di sebuah teluk. Gambar atas kanan, rakan-rakan berehat di sebuah pondok sambil menyaksikan itek pulang petang. “Kalau tuan-tuan bijak biksana, yang mana jantan yang mana betina”.

Perancangan awal, sepatutnya kami akan makan malam di Joel’s Bungalow Restaurant (gambar  atas sebelah kiri bawah) yang menyediakan makanan eksotik sambil menyaksikan matahari tenggelam, namun kami memilih untuk balik ke hotel penginapan kerana kami semua telah kepenatan, maklumlah hanya aku seorang yang masih lima siri yang lain dah enam dan tujuh series.

Petang itu kami meninggalkan Pantai Lampuuk dengan seribu kenangan indah untuk di bawa balik ke Malaysia. Dalam perjalanan balik ke hotel, kami melalui pelabuhan Ulee Lheue dan disepanjang jalan berhampiran Pantai Ulee Lheue, berderetan gerai-gerai yang menjual air kelapa muda. Kesegaran air kelapa muda akhirnya dapat menambat hati kami untuk singgah disalah sebuah gerai dan gambar dibawah menerangkan segalanya.


Kenangan bersenda gurau di selangi dengan gelak ketawa di sebuah gerai di Pantai Ulee Lheue sambil minum air kelapa muda dan makan jagung bakar, mengakhiri pengembaraan kami pada hari kedua berada di Bumi Acheh.

Secebis Untaian Kata Sekelumit Doa



Sempena majlis kesyukuran di atas perkahwinan anak lelakiku, aku telah nukilkan secebis untaian kata dan sekelumit doa yang telah aku bacakan di majlis tersebut pada 2hb. Mac 2014 yang lalu.. 



Untuk anakku yang ku sayangi di bumi Allah SWT. Segala puji bagi Allah SWT, yang telah memudahkan ayah untuk beribadah kepada-Nya. Selawat serta salam, ayah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW keluarga, dan para sahabatnya.


Wahai anak lelakiku …

Tanggal 8 Ogos 1987, engkau telah dilahirkan. Ayah masih ingat, ayah berada disisi ibumu didalam bilik bersalin ketika engkau mula menjengah dunia ini dan bercampurlah air mata kebahagiaan ayah dengan air mata tangismu dan ayah telah mengalunkan azan ke telingamu. Sesungguhnya bait-bait suci itulah yang mula-mula engkau dengar dan terukirlah kalimah tauhid di kanvas hatimu yang masih suci. Itulah bekal utama,  jati dirimu yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Wahai anak lelakiku, kau adalah hamba Allah SWT dan khalifah-Nya. Dan aku adalah ayahmu,  pemegang amanah kehidupanmu yang fana. Ayah merasa sungguh gembira pada ketika itu dengan kelahiran seorang bayi lelaki sebagai penyambung zuriat ayah. 


Wahai anak lelakiku …

Ketika diawal-awal usiamu, ayah masih ingat bahawa ayah selalu menolong ibumu memandikanmu dengan kedua tangan kasih sayang ayah, memakaikan lampinmu dan pakaianmu, membancuh air minummu dikala engkau kelaparan, menyapu minyak angin dan mengurut dadamu ketika kembung perutmu. Kehidupan ayah, ayah berikan kepadamu. Ayah tidak tidur, demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapan ayah pada setiap hari, agar ayah selalu melihat senyumanmu. Kebahagiaan ayah setiap saat, adalah setiap permintaanmu agar ayah berbuat sesuatu untukmu. Itulah kebahagiaan ayah.


Lalu berlalulah waktu, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, selama itu pula, ayah setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai, setiap permintaanmu ayah penuhi,  menjadi dayangmu yang tidak pernah berhenti, kemana sahaja kamu nak pergi, ayah menjadi pemandumu, menjadi pekerjamu yang tidak pernah lelah, setiap kehendakmu ayah turuti dan saban hari ayah mendoakan kebaikan dan taufiq untukmu. Harapan ayah supaya anak-anak ayah semua menjadi anak yang soleh dan solehah.


Wahai anak lelakiku …

Ayah selalu memperhatikan dirimu, hari demi hari, minggu demi minggu, tahun demi tahun, dan waktu pun terus berlalu, seakan-akan ayah tidak percaya bahawa kini engkau wahai anak lelakiku, telah menjadi seorang suami. Ingatlah bukan sedikit kewajipan yang engkau perlu tunaikan.


Dengarlah Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir "
- Ar-Rum : Ayat 21 


Wahai anak lelakiku …

Sematkanlah dalam hati akan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud “ Apabila berkahwin seseorang itu, maka sempurnalah separuh agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah S.W.T untuk selebihnya."



Ingatlah amaran Nabi SAW supaya selamat dunia akhirat dan kehidupan menjadi berkat, kerana kasih sayang ayah kepada kamu semua tidak pernah luntur, masih seperti dulu, masih seperti lautan yang tidak pernah kering, masih seperti angin yang tidak pernah berhenti. Harapan ayah, agar kamu semua dimuliakan satu hari nanti, nescaya kamu akan dibalas dengan kebaikan, sedangkan ayahmu tidak mengharapkan apa-apa balasan. Ayah hanya ingin melihat kehidupanmu  menjadi suami isteri yang soleh dan solehah yang sejuk mata ayahmu memandang. Jadikanlah teguran ayahmu sebagai nasihat, agar engkau tidak tersesat.


Ya Allah Ya Rahman Ya Rakhim, pada 15hb. Febuari 2014 yang lepas, dua hamba-Mu telah  mematri janji di hadapan kebesaran-Mu. Kami tahu tidak mudah untuk mereka berdua memelihara ikatan suci itu dalam naungan ridha dan maghfirah-Mu. Kami tahu, amat berat bagi mereka berdua untuk mengayuh perahu rumah tangga mereka dalam menghadapi taufan godaan di hadapan mereka. Karena itulah, kami  memohon Rahman dan Rakhim-Mu bagi mereka.


Ya Allah Ya Tuhan Kami Yang Amat Mengasihani, Limpahkanlah rahmat dan keampunanMu kepada pasangan pengantin. Limpahkanlah rasa cinta kepada kedua mereka, Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al-Qubro, Yang Kau jadikan mata air kasih sayang Ali bin Abi Thalib dan Fatimah Az Zahra, Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci.


Ya Allah, Jadikanlah mereka berdua Suami & Isteri yang saling mencintai di kala dekat, Saling menjaga kehormatan dikala jauh, Saling menghibur dikala duka, Saling mengingatkan dikala bahagia, Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan.


Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati mereka berdua ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepada-Mu Ya Allah, bertemu untuk taat kepada-Mu Ya Allah, bersatu dalam rangka menyeru di jalan-Mu Ya Allah, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu maka kuatkanlah ikatan pertalian mereka berdua.


Ya Allah, Abadikan kasih sayang mereka berdua, tunjukkanlah jalan dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dada mereka dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah mereka dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah mereka dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.


Ya Allah, Sempurnakanlah kebahagiaan mereka dengan menjadikan perkahwinan mereka sebagai ibadah kepada-Mu dan bukti ketaatan mereka berdua kepada sunnah Rasul-Mu SAW.


Ya Allah, Indahkanlah rumah tangga mereka berdua dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkanlah mereka berdua dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhilah mereka  berdua dengan amal shaleh yang Engkau ridhai. Jadikan mereka Yaa…Allah teladan yang baik bagi manusia.


“Ya Allah, Ya Tuhan Kami, hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hamba-hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar mereka kelak menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anak-anak mereka, tambahkanlah kasih sayang diantara mereka, jauhkanlah rasa benci, hasad dan iri hati, hiasilah diri mereka seperti peribadi Nabi, serta lindungilah mereka dari syaitan yang dilaknati”.


“Ya Allah, Ya Tuhan Kami Yang Maha Pengampun, Kau ampunkanlah dosa mereka, dosa kedua ibu bapa mereka, dosa saudara mara mereka, dosa ahli keluarga mereka, dosa guru-guru dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat”.


“Ya Allah, Perbaikilah akhlak mereka berdua, tanamkanlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buangkanlah sifat mazmumah dari dalam diri mereka”.


“Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah lagi hina, memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon,  redhailah permohonan kami”.



Ya Allah, pada hari yang berkat ini, kami berhimpun di sini sebagai tanda kesyukuran kami atas nikmat-Mu bersempena dengan majlis perkahwinan anak-anak kami.



Ya Allah Ya Tuhan Kami Yang Maha Sempurna, rahmatilah majlis ini semoga ianya berjalan dengan sempurna seperti mana yang telah Engkau kehendaki, dan berkatilah majlis yang diadakan ini dengan keberkatan dari permulaan hingga ke akhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu.


Ya Allah Ya Tuhan kami, Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahi kenikmatan, bukan-nya jalan orang-orang yang Engkau timpai kemurkaan, bukan pula jalan orang-orang yang Engkau tenggelamkan dalam kesesatan. Sinarilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu Ya Allah. Terangilah jalan kami dengan sinar taufik-Mu. Kalau Engkau berkenan menganugerahkan nikmat-Mu atas kami, bantulah kami untuk banyak berdzikir dan bersyukur atas nikmat-Mu itu. Hindari kami dari orang-orang yang terlena dalam kemewahan dunia. Lembutkan hati kami untuk merasakan curahan rahmat-Mu.


Ya Allah, Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kekejian yang nampak dan tersembunyi.


Ya Allah, Berkatilah pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, suami/isteri kami, keturunan kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai satu perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini sebagai satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi. Dan janganlah Engkau jadikan pada diri kami ini, dan mereka yang bersama kami, kebinasaan, dan menyingkirkan kami dari memperolehi rahmat-Mu.


Ya Allah, Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini, ya Allah. Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya, ya Allah. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya, ya Allah. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.




Ya Allah, ya Tuhan kami, rahmatilah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW suatu rahmat yang Engkau lepaskan kami dengannya dari segala kesusahan dan kebinasaan, dan yang Engkau tunaikan bagi kami dengannya segala hajat, dan yang Engkau sucikan kami dengannya dari segala kejahatan, dan yang Engkau angkat kami dengannya di sisi-Mu pada setinggi-tinggi darjat, dan yang Engkau sampaikan kami dengannya sejauh-jauh tujuan segala kebajikan semasa hidup dan sesudah mati. Dan juga selawat ke atas keluarga dan sahabat baginda dan anugerahkanlah mereka salam sejahtera yang banyak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.


Amin..Ya Rabbal’alamin.