“Dengan
nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasehani” … maksud
firman Allah swt, surah Al-Fatihah ayat 1.
Segala
puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Nabi junjungan,
serta para ahli keluarganya dan para sahabatnya, juga seluruh umatnya yang
mengikut hidayah petunjuk dan perjuangan baginda SAW.
Dari
sekian banyak ciptaan Allah SWT, manusia adalah makhluk yang paling sempurna
dari segi penciptaannya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin (95); ayat 4 yang
bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang
sebaik-baiknya”. Salah satu kesempurnaan tersebut ialah bahawa diri
manusia mencakup semua unsur yang ada di alam semesta ini. Yang membezakan
manusia dari makhluk lainnya adalah akal
dan nafsu yang ada dalam diri setiap
insan. Kedua unsur tersebut selalu bertentangan dan berbenturan.
AKAL
Pengertian
akal ada dua jenis. Pertama, dimaksudkan sebagai pengetahuan terhadap hakikat
segala sesuatu. Maka ilmu dalam pengertian ini adalah kajian yang digunakan
untuk menyebut sifat ilmu yang tersimpan dalam hati. Sedang erti yang kedua adalah
sifat memahami dan mengerti akan pengetahuan. Sehingga kadang-kadang disebut
hati. Ketika menyebut istilah ‘akal’ ditujukan untuk menjelaskan unsur
pemahaman dan pengetahuan manusia tentang hakikat sesuatu. Kadang-kadang akal
juga dipakai sebagai persamaan makna dari hati jasmani yang berada dalam dada
manusia
Akal
memainkan peranan penting dalam membatasi dan mengendalikan hawa nafsu manusia
iaitu agar tidak selalu memenuhi segala ajakan nafsu. Kata ‘aql atau ‘iqal dalam
bahasa Arab mempunyai erti ‘ikatan’ dan ‘pembatasan’ dan begitulah peranan yang harus dimainkan
oleh akal dalam menghadapi nafsu manusia.
Rasulullah
saw bersabda yang bermaksud, “Sesunguhnya akal merupakan pengikat
kejahilan. Sedang nafsu bak binatang yang sangat buas.” Manakala Saiyidina
Ali bin Abi Talib k.w. berkata, “Jiwa memendam berbagai hasrat nafsu. Dan
akal yang bertugas melarang dan mencegahnya.”
Ertinya,
keupayaan menahan dan menundukkan nafsu merupakan tanda sehatnya akal seseorang.
Akal dan nafsu sama-sama memainkan peranan penting dalam hidup manusia. Nafsu menggerakkan hidup manusia manakala
akal berperanan sensitive dalam membatasi, mengendalikan serta mencegah
kerosakan yang ditimbulkan oleh nafsu.
Peranan Akal;
Rasulullah
saw bersabda, “Akal terbahagi kepada tiga bahagian dan barangsiapa
menyandangnya maka sempurnalah akalnya, dan yang tidak, dia tidak berakal;
1. Mengenal
Allah swt kerana Rasulullah saw telah bersabda
yang bermaksud, “Sesungguhnya seluruh kebaikan hanya di mengerti oleh akal.”
dan sabdanya lagi, “Mintalah petunjuk kepada akal, nescaya kamu akan mendapatkannya. Dan
jangan menentangnya, nescaya kamu akan menyesal.”
2. Ketaatan
mutlak kepada segala perintah Allah SWT, mengenal rububiyyah Allah dengan baik
akan menghasilkan ketaatan dan ubudiyyah. Disinilah keistimewaan akal yang meletakkan
manusia dalam melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala
larangan-Nya.
Rasulullah
saw bersabda yang bermaksud, “Orang yang berakal adalah orang yang taat
kepada Allah.” Manakala Saiyidina Ali k.w. berkata, “Orang paling berakal diantara kamu semua adalah
orang yang paling taat kepada Allah”.
3. Takwa
kepada Allah SWT , iaitu melaksanakan segala kewajipan dan mencegah diri dari
larangan Allah. Berdasarkan hal ini, akallah yang bertanggungjawab baik dalam
menguasai mahupun menundukkan segala kesenangan nafsu.
Saiyidina
Ali k.w. berkata, “Bunuhlah nafsumu
dengan senjata akalmu.” Dan katanya lagi, “Orang berakal adalah orang yang melawan nafsunya untuk taat kepada
Tuhannya.”.
NAFSU
Syeikh
Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali at-Tusi (Imam
Al-Ghazali) dalam bukunya yang berjodol Raudhotut-tholibin
wa ‘umdatus-salikin (Darul kutub al-ilmiah – Bairut-Lebanon 1993), telah
memberikan dua pengertian kepada kalimah nafsu.
Pengertian
pertama,
beliau menyatakan bahawa nafsu merupakan segala sesuatu yang mengandungi
kemampuan kemarahan yang kuat serta hasrat untuk selalu bersuka cita.
Pengertian ini banyak dianggap oleh kalangan sufi sebagai sifat cela dalam diri
manusia saperti pemarah, nafsu berahi dan syahwat, hasad dengki, riak dan berbagai.
Maka mereka berkata “perang terhadap nafsu dan mengalahkan hawa nafsu adalah
suatu keharusan”. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Musuh paling bahaya dalam
dirimu adalah nafsu yang berada di antara dua lambungmu.”
Maka
sesungguhnya nafsu itu musuh yang paling merbahaya, bala’ yang paling sukar
dihindarkan, penyakit yang paling sukar dirawat. Oleh itu kita wajib berwaspada
dengannya kerana pertamanya, nafsu itu musuh dari dalam tidak saperti syaitan
iaitu musuh dari luar. Keduanya, nafsu itu adalah musuh yang sangat dicintai
sedangkan manusia buta daripada keburukan kekasihnya.
Pengertian
kedua,
nafsu ialah “lathifah rabbaniyyah” iaitu
hakikat manusia dengan jiwa dan zatnya. Namun disifati dengan sifat-sifat yang
berlainan sesuai dengan keadaannya.
Nafsu
adalah sumber akhlak tercela, al-Farabi, Ibn Sina dan al-Ghazali membahagikan
nafsu kepada tiga iaitu nafsu nabati (tumbuh-tumbuhan); nafsu haiwani
(binatang) dan nafsu insani.
Nafsu
nabati adalah kesempurnaan awal bagi benda alami yang organis dari segi makan,
tumbuh dan melahirkan. Nafsu haiwani, disamping memiliki daya makan untuk
tumbuh dan melahirkan, juga memiliki daya untuk mengetahui hal-hal yang kecil
dan daya merasa. Manakala nafsu insani mempunyai kelebihan dari segi daya
berfikir.
Sementara
ketika nafsu tidak lagi tenang dalam pangkuan-Nya, namun masih mampu menahan
nafsu syahwat, ia dinamakan nafsu
lawwamah. Sebaliknya, ketika menyerah pada nafsu atau menuruti kehendak
syahwat dan ajakan syaitan, disebut dengan nafsu
amarah.
Apabila
nafsu menyerah dan patuh pada kemauan syahwat dan menurutkan ajakan syaitan,
yang memang pada nafsu itu sendiri ada sifat kebinatangan, maka ia disebut
nafsu yang menyuruh berbuat kejahatan. Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf (12),
ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh
kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku…”
Apabila
nafsu selalu dapat menentang dan melawan sifat-sifat tercela, di disebut nafsu
pencela, sebab ia selalu mencela manusia yang melakukan keburukan dan lalai
berbakti kepada Allah SWT. Firman
Allah SWT dalam Surah al-Qiyaamah (75), ayat 2 yang bermaksud: “dan
Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri…”
Tetapi
apabila nafsu dapat terhindar dari semua sifat-sifat yang tercela, maka ia berubah
menjadi nafsu yang tenang … Firman Allah SWT dalam Surah al-Fajr (89), ayat
27-30 yang bermaksud: “Hai nafsu yang tenang, kembalilah kepada
Tuhanmu dengan rasa puas lagi diredai, dan masuklah kepada hamba-hambaku, dan
masuklah kedalam syurgaKu”
Nafsu
ini dinamakan nafsu muthmainnah iaitu
nafsu yang telah mencapai tingkat kesucian, ketenangan dan ketenteraman dan
mendapat jaminan Allah SWT untuk masuk syurga. Nafsu muthmainnah selalu
berhubungan dengan ruh. Ruh bersifat Ketuhanan sebagai sumber moral mulia dan
terpuji, dan ia hanya mempunyai satu sifat iaitu suci.
Firman
Allah SWT dalam Surah Asy-Syams (91), ayat 7&8 yang bermaksud: “Demi
nafsu serta kesempurnaannya , maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kebaikan dan keburukan.” Rasulullah
saw bersabda yang bermaksud, “Jalan ke Syurga dikelilingi dengan
kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat”.
Maka
apabila seseorang telah menganggap baik semua keburukan yang lahir daripada
nafsu dirinya, sudah pasti dia tidak dapat melihat keaiban dirinya sendiri. Dan
punca segala fitnah, keaiban, kehinaan, kerosakan, dosa dan kebinasaan yang
telah menimpa manusia semenjak awal kejadiannya hingga kehari kiamat, semuanya
daripada nafsu, samaada daripada nafsu sahaja, atau dengan pertolongannya atau
penyertaan dan bantuannya.
Dari
Abi Muhammad Abdillah bin Amru bin al-‘As r.a katanya, Rasulullah saw bersabda
yang bermaksud: “Tiada beriman seseorang kamu sehingga hawanya (kecenderungan atau
kemahuannya) mengikut apa yang aku bawa.” … Hadis Hasan Sahih
Tetapi
yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja
dengan cara yang mudah dengan alasan yang bermacam-macam. Inilah sebabnya Allah
telah mensifatkan mereka sebagaimana yang diterangkan pada firman-Nya dalam
surah al-Qasas : ayat 50 yang bermaksud, “Jika mereka tidak dapat memperkatakan bagi
engkau, maka ketahuilah bahawa mereka hanya menurut hawa-hawa nafsu mereka, dan
siapakah orang yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya
dengan tidak ada petunjuk daripada Allah?”
Nabi
Adam a.s. dan Hawa a.s. telah melanggar larangan Allah SWT adalah dengan
pertolongan dan penyertaan nafsunya yang ingin kekal hidup dalam syurga Allah
hasil daripada hasutan dan tipu muslihat oleh syaitan laknatullah. Begitu juga
pembunuhan pertama didunia dalam kisah Qabil dan Habil adalah berpunca daripada
nafsu hasad dengki dan bakhil.
Dalam
kisah Harut dan Marut, mereka juga tidak terlepas daripada dorongan nafsu
syahwat sehingga melakukan zina dengan seorang perempuan cantik. Begitulah
seterusnya manusia melakukan segala kejahatan adalah hasil daripada godaan
nafsunya sendiri dan seandainya tiada nafsu, sudah pasti manusia akan berada
dalam keadaan selamat dan baik.
Nafsu
adalah musuh yang sangat merugikan, dan untuk melawannya sangatlah sukar. Maka
harus diikat dengan tali ketakwaan dan wara’ agar kita sanggup menjalankan
perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Imam
al-Ghazali didalam nukilannya bertajuk “Pembersih Kalbu”, telah berkata, untuk
menundukkan hawa nafsu dan memecahkan keinginan jahatnya ialah dengan tiga
perkara:-
1.
Menahankan
keinginan nafsu syahwat, kerana binatang yang culas dan degil akan menjadi lembut
dan lemah bila dikurangkan makannya.
2.
Membebani dengan ibadat yang berat
kerana sesungguhnya keldai apabila ditambah beban yang dipikulnya dan
dikurangkan makanannya nescaya ia akan tunduk dan menurut perintah.
3.
Memohon pertolongan daripada Allah SWT
dan merendah diri dan berdoa kepada-Nya agar dilindungi daripada godaan nafsu
durjana.
PERTARUNGAN ANTARA AKAL DAN NAFSU
Hasil
pertarungan antara akal dan nafsu inilah yang bakal menentukan kebahagiaan dan
kesengsaraan manusia. Manusia dalam
pertarungan ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompak orang bertakwa dan
kelompok orang yang fasik dan perilaku manusia juga terbahagi menjadi dua iaitu
taqwa dan keji. Dipersimpangan antara akal dan nafsu ditentukan nasib manusia,
bahagia atau celaka. Sekelompok manusia yang akalnya dapat mengatasi nafsunya,
mereka adalah orang-orang yang saleh dan bertaqwa, dan bahagialah mereka.
Manakala
sekelompok manusia yang nafsunya menguasai akalnya, mereka adalah orang-orang
fasik dan celaka dan kejilah mereka sehingga manusia yang pada mulanya ciptaan
terbaik akan merosot derajatnya pada tingkatan yang paling rendah.
Allah
berfirman dalam Surah At-Tin (95), ayat 5 yang bermaksud: “Kemudian kami kembalikan dia ke
tempat yang serendah-rendahnya (neraka)”. Dan firman-Nya lagi dalam
Surah Al-Furqan (25), ayat 44 yang bermaksud: “Mereka itu tidak lain hanyalah
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang
ternak itu).”
Daripada
Saiyidina Ali k.w. katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa
yang akalnya mengalahkan hawa nafsunya akan beruntung. Dan barangsiapa yang
hawa nafsunya mengalahkan akalnya, maka ia akan celaka”. Saiyidina Ali k.w.
juga pernah berkata, “Akal dan syahwat
adalah dua hal yang saling berlawanan. Ilmu adalah pembantu akal dan nafsu
adalah hiasan syahwat, sedang jiwa merupakan rebutan keduannya. Jiwa akan
berada disamping yang menang antara keduanya.”
Dalam
pertarungan yang menentukan nasib akhir manusia, akal adalah pihak yang lemah
sementara nafsu adalah pihak yang kuat. Ini kerana akal adalah alat untuk
memahami dan mengetahui sesuatu sementara nafsu adalah kekuatan besar jiwa yang
menggerakkan manusia. Nafsu mendorong manusia melalui rayuan dan tipu dayanya
sehingga manusia tergelincir bersamanya. Sementara akal, mengajak manusia
kepada sesuatu yang dibencinya.
Jalan
menuju nafsu dan hal-hal yang hina itu menurun dan mudah diikuti, manakala
jalan menuju kepada keutamaan adalah mendaki dan sukar untuk dinaiki. Oleh itu akal
selalu berada pada kedudukan yang lemah berbanding kedudukan nafsu. Nafsu
memasuki medan pertarungan dalam keadaan menyerang dan akal dalam banyak
keadaan lemah menghadapinya. Dengan begitu, nafsu dengan mudah mengalahkan akal
dan sepenuhnya menguasai jiwa manusia.
Saiyidina
Ali k.w. berkata, “Siapa saja yang
syahwatnya dikalahkan oleh akalnya, maka ia lebih baik dari malaikat. Dan siapa
saja yang akalnya dikalahkan oleh syahwatnya, maka ia lebih buruk dari binatang.”.
Tugas
akal yang demikian sulit itu telah dibantu oleh Allah SWT dengan
menganugerahinya sejumlah kekuatan yang dapat mendukung jerih payahnya. Diantaranya, kecenderungan-kecenderungan
terhadap kasih sayang dan kebajikan yang tersebar, fitrah dan beberapa emosi
dalam jiwa manusia yang mampu untuk menggerakkan manusia dalam menghadapi dan
mengendalikan naluri dan mengekang nafsu.
Sebagai
contoh, dalam tekanan naluri cinta kepada harta benda, akal sememangnya menolak
sumber pendapatan harta yang haram. Namun akal sahaja tidak mampu untuk
mencegah nafsu dari mencari harta melalui jalan yang hina dan haram. Disini
peranan perasaan harga diri manusia dapat membantu akal untuk
mengingatkan manusia dari mencarai harta dengan jalan yang haram. Begitu juga,
naluri seksual sering memaksa manusia mendapatkan kelazatan seksual melalui
cara yang haram dan hina. Namun kesucian diri yang terpendam dalam
setiap jiwa manusia yang lurus fitrahnya dapat membantu akal agar menghindarkan
perbuatan terkutuk tersebut.
Oleh
yang demikian, maka wajiblah seseorang itu berusaha menunduk dan menguasai
nafsunya, dan ini adalah satu perjuangan yang utama. Pada suatu masa pernah
ditanya orang kepada Rasulullah saw apakah perjuangan yang afdal ? Baginda
menjawab yang bermaksud, “ Perjuangan engkau terhadap nafsu engkau”.
Al-KISAH AKAL DAN NAFSU
Setelah
suami Rabi’ah al-Adawiyah meninggal dunia, maka Hasan Basri dan teman-temannya
datang kerumahnya dan mereka dipersilakan masuk. Kemudian Rabi’ah membentang tabir
dan dia duduk dibelakang tabir lalu berkata: “Siapa yang paling pintar antara
kalian maka dia adalah suami saya”. Maka mereka menjawab: “Hasan al-Basri”.
Rabi’ah : “Bila
dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu”
Hasan : “Tanyalah semuga aku dapat menjawab”.
Rabi’ah : “Apabila
aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau
tidak ?”.
Hasan
: “Itu masalah ghaib dan
tidak seorangpun yang mengetahui kecuali Allah SWT”.
Rabi’ah : “Bila
aku telah terletak diliang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir
apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak ?”.
Hasan
: “Itu juga hal yang
ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali Allah SWT”.
Rabi’ah : “Apabila
orang yang telah dikumpulkan di hari Kiamat diberikan kepada mereka catatan
amal masing-masing, dengan tangan kananku atau tangan kirikukah aku akan
menerima cacatan amalanku ?.
Hasan : “Itu pun barang ghaib juga”.
Rabi’ah : “Hai
Hasan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan
jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya.”.
Kemudian
Rabi’ah berkata untuk terakhir kalinya: “Hai Hasan, dalam berapa bahagiankah
Allah menciptakan akal ?”.
Hasan
: “Sepuluh bahagian,
sembilan untuk laki-laki dan satu jenis perempuan.”.
Rabi’ah : “Dalam
berapa bahagiankah Allah swt menciptakan nafsu ?.
Hasan : “Sembilan bahagian untuk wanita dan
satu bahagian untuk laki-laki”.
Rabi’ah : “Hai
Hasan, aku dapat menguasai sembilan nafsu dengan satu bahagian akal, sedangkan
kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian nafsu dengan sembilan
bahagian akal yang kamu dapat”.
Diriwayatkan,
Hasan Basri keluar dari rumah Rabi’ah dengan tangisan dan air mata yang
bercucuran.
Wallahu
A’lam.
RUJUKAN
- Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahannya.
- Shahih Muslim, Edisi Terjemahan, Ma’mur Daud, Klang Book Centre.
- Jalan Para ‘Abid, Haji Engku Ali Engku Endut, Kuala Terengganu (Terjemahan Minhajul ‘Abidin, Imam Ghazali).
- Mencapai Maqam Shiddiqun & Rabbaniyun, Sa’d Hawa (Edisi terjemah oleh Imran Affandi, Pustaka Dini Sdn Bhd, 2001).
- Hadith 40, Imam Nawawi (Edisi terjemah oleh Mustafa Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1996)
- Peringatan Bagi Yang Lupa, Abullaits Assamarqandi (Edisi terjemah oleh H. Salim Bahreisy, PT Bina Ilmu, Jakarta, 1977).
- Pembersih Kalbu, Imam al-Ghazali (edisi terjemahan oleh Jasmine Enterprise) Berlian Publications, KL, 2005
Nota:
Tulisan ini adalah salah satu daripada tugasan yang perlu aku sediakan semasa
mengambil Diploma Eksekutif Pangajian Usuluddin daripada Universiti Malaya.
Alhamdulillah, aku telah lulus dengan cemerlang.